Sekarang tengah musim ibu bapa beli peralatan sekolah, dan salah satu kelengkapan penting adalah beg sekolah. Ibubapa perlu beli beg sekolah yang betul untuk elakkan kemudaratan pada anak-anak.
Pemilihan beg yang salah boleh menyebabkan sakit tengkuk, sakit belakang, serta masalah-masalah tulang belakang yang lain, seperti skoliosis dan kyphosis.
◾ Cara Pilih Beg Yang Betul:
1. Jenis:— mempunyai dua tali penyandang, dan penyandang mempunyai pelapik span. Penyandang yang mempunyai klip penyambung di bahagian hadapan adalah digalakkan.
2. Dalaman:— mempunyai pembahagi ruang atau jalur pengikat, agar buku boleh disusun rapi serta diletakkan berhampiran pada ruang yang dekat kepada tubuh pemakai.
3. Saiz:— bahagian atas beg mesti berada di paras belikat dan bahagian bawah hanya berada di lengkung pinggang. Jika bahagian bawah mencecah punggung, bermakna beg terlalu besar.
◾Cara Galas Beg Yang Betul:
1. Berat beg dan isinya tidak melebihi 15% berat badan pemakainya. Jika berat pemakai 20kg, maka berat beg mestilah tidak lebih 3kg. Jika ada muatan lebih, bawa di tangan dan dilekapkan ke dada.
2. Tali penyandang dipendekkan sehingga beg rapat ke tubuh da tidak londeh. Ia memastikan beban dapat ditampung dengan baik, serta mengelakkan beg berhayun semasa berjalan/berlari.
3. Tidak menjinjing atau menggalas hanya sebelah tali penyandang beg, untuk mengelakkan bebanan tertumpu hanya pada sebelah bahagian tubuh. Bebanan tak simetri boleh menyebabkan skoliosis.
Semoga penerangan ini memberi manfaat kepada ibubapa dan anak-anak!
Credit: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan