Tidur Terganggu? Makanan Ini Boleh Membantu, Termasuk Popcorn!

Masalah sukar tidur boleh mengganggu kesihatan kamu. Selain membuatkan tubuh dan minda letih sentiasa, ia juga menjadikan kamu tidak produktif. Hmm, percaya tak kalau Cosmo kata makanan dan minuman yang tepat boleh membantu kamu lena di waktu malam? Ini antaranya…

Tidur Terganggu? Makanan Ini Boleh Membantu, Termasuk Popcorn!

Foto: Depositphotos

Popcorn

Ya, mengunyah popcorn tiga jam sebelum tidur dapat membantu kamu lelap dengan lebih cepat. Pilih popcorn dengan taburan keju parmesan. Seperti produk tenusu lain, parmesan mengandungi triprofan yang akan mencetus pengeluaran melatonin, manakala kandungan karbohidrat di dalam popcorn pula akan membantu otak menyerap triptofan dengan lebih baik.

Badam

Kacang badam yang kaya akan magnesium boleh membantu kamu tidur. Magnesium sangat diperlukan untuk sesi tidur yang berkualiti. Menurut Journal of Orthomolecular Medicine, tubuh yang kekurangan magnesium akan lebih sukar untuk lena.

Produk Tenusu

Susu panas memang terkenal untuk membantu kamu rasa mengantuk dan terlelap. Keju dan yogurt juga memberi efek yang sama. Kandungan triptofan dalam produk tenusu akan mencetus melatonin dalam tubuh – hormon yang mengawal kitaran tidur. Selain itu, kalsium di dalamnya juga membantu pergerakan otot ketika tidur.

Teh Kamomil

Menghirup secawan teh kamomil dapat mengurangkan ketegangan tubuh sehingga membuatkan kamu mudah lena. Menurut kajian, teh kamomil dapat meningkatkan glisin, bahan kimia yang membuatkan saraf dan otot menjadi relaks. Bukan itu saja, ia juga berfungsi sebagai penenang ringan untuk tubuh. Tidak seperti teh lain, kamomil secara semula jadinya bebas kafein, sebab itulah ia baik diminum sebelum tidur.

Madu

Mengambil satu sudu makan madu boleh memberikan efek relaks pada tubuh. Menurut pakar nutrisi, Lindsey Duncan, gula semula jadi yang ditemui dalam madu memudahkan tripofan masuk ke dalam otak sehingga kamu akan lebih cepat tertidur. Mencampurkan madu dengan teh kamomil juga akan membuat tidur kamu jadi lebih nyenyak. Apa tunggu lagi? Cubalah!

 

Credit: cosmopolitan.my