Archives for December 2021

Hati-Hati! Ini 6 Makanan Yang Selalu Menjadi Punca Keracunan

Hati-hati! Ini 6 makanan yang selalu menjadi punca keracunan

ADUHAI penat kan kalau terkena cirit-birit.

Cirit-birit dan muntah merupakan antara gejala dan simptom yang paling biasa berlaku kepada mereka yang mengalami keracunan makanan.

Namun, apakah penyebab sebenar keracunan makanan?

Korang akan mengalami keracunan makanan apabila makanan yang anda makan itu tercemar disebabkan oleh cara penyediaan yang tidak betul atau makan menggunakan tangan yang kotor selain memakan makanan yang sudah tamat tempoh.

Tetapi, sebenarnya terdapat enam makanan tertentu yang boleh meningkatkan risiko keracunan makanan korang.

1. Telur mentah

Telur mentah sering terdedah kepada pencemaran yang disebabkan oleh bakteria salmonella.

Cara untuk mencegah keracunan ini adalah dengan mencuci telur sebelum dimasak dan memastikan ia masak sepenuhnya.

Ibu yang mengandung harus mengelakkan daripada memakan telur separuh masak.

2. Sayuran

Sayuran hijau seperti buncis, salad, sawi, bayam atau sayur-sayuran lain merupakan sajian yang baik dan menyihatkan.

Tetapi tanpa anda sedari sayuran seperti ini juga berpotensi menjadi penyebab keracunan makanan.

Ini kerana sayur mudah tercemar dengan kotoran yang terdapat pada tanah.

Penggunaan pisau yang sama dengan daging mentah juga boleh menyebabkan pencemaran silang. Jadi berhati-hati, ya!

3. Tuna

Ikan seperti tuna juga boleh meningkatkan risiko keracunan apabila ia sudah tercemar dengan scombrotoxin.

Masalah ini boleh menyebabkan korang berasa sakit kepala, kekejangan dan kemerahan pada seluruh badan.

Kaedah penyimpanan ikan tuna yang tidak betul atau disimpan pada tempat yang melebihi suhu 60 ℃ akan menyebabkan racun keluar daripada ikan. Bahaya!

4.Daging merah

Hidangan daging yang tidak dimasak sempurna seperti daging mentah mengandungi racun daripada pencemaran bakteria E.coli.

Cara terbaik untuk mencegah keracunan disebabkan oleh daging adalah dengan memastikan ia dimasak dengan sempurna.

5. Tiram

Makanan laut daripada jenis kerang-kerangan boleh menjadi punca keracunan makanan.

Tiram merupakan antara makanan yang boleh menjadi punca keracunan disebabkan pencemaran virus dan bakteria berbahaya daripada air yang tersimpan di
dalamnya.

Bahkan cara pengendalian tiram yang salah sebelum dan saat dimasak juga meningkatkan risiko keracunan.

Tiram mentah biasanya mengandungi racun vibrio vulnificus dan ia boleh memberikan reaksi alahan teruk seperti muntah, cirit-birit dan mual berlebihan.

6. Kentang

Kentang yang disimpan terlalu lama berisiko terdedah kepada pencemaran silang daripada Listeria, E.coli, Salmonella dan Shigella.

Pencemaran ini boleh berlaku jika kentang disimpan bersama makanan lain seperti daging mentah.

Mungkin ada antara korang yang menganggap bahawa keracunan makanan adalah satu isu kecil tetapi hakikatnya mengalami masalah ini boleh mengganggu perjalanan tugasan harian.

Kebanyakan pesakit akan mengalami cirit-birit untuk beberapa hari sahaja dan ia akan baik dengan sendirinya.

Tetapi jika masalah tersebut berlaku lebih dari seminggu, ia mungkin menunjukkan jangkitan kuman yang berterusan, keradangan usus ataupun kanser usus.

Jika cirit-biritnya terlalu teruk, ia mungkin disebabkan jangkitan kuman yang serius, berjumpalah dengan doktor korang segera!

Jadi sebaiknya, pastikan korang utamakan kebersihan sama ada dalam aspek penyimpanan dan penyediaan makanan serta kebersihan diri seperti membasuh tangan sebelum makan.

Sumber: Hello Health Group

Bahaya Cahaya Biru Pada Skrin Gajet Pada Mata Si Kecil, Ibu Bapa Kena Ambil Tahu Perkara Ini…

MATA adalah organ anugerah Pencipta yang sangat berharga. Justeru, kesihatan mata perlu diambil serius dan itu semua bagi memastikan kita dapat menikmati penglihatan yang baik dan berpanjangan.

Tidak kiralah berapa usia kita, penjagaan rapi perlu dititik beratkan. Apatah lagi warga emas, bayi dan kanak-kanak. Golongan inilah yang sangat sensitif.

Bercerita tentang mata, seorang pegawai perubatan, Dr Redza Zainol melalui bebenang Twitternya melontarkan pesanan berharga kepada ibu bapa di luar sana.

“Mak ayah tolong jangan leka bab jaga mata anak. Ini kerana merujuk kajian, saraf mata anak berisiko untuk rosak akibat terdedah pada cahaya biru (blue light) yang terhasil daripada skrin gajet jika digunakan lebih dari sejam sehari,” tulisnya.

Untuk pengetahuan pembaca, sinaran ultraviolet daripada matahari boleh ditapis oleh kornea dan kanta kristalin. Namun, cahaya biru tadi pula boleh menembus sehingga ke bahagian saraf mata. Memang menakutkan!

Pegawai perubatan dalam bidang pediatrik itu kemudian berkongsi catatan American Academy of Pediatrics tentang limitasi penggunaan skrin gajet:

i. Penggunaan skrin gajet untuk bayi di bawah umur 2 tahun tidak dibenarkan kecuali sesi pendek semasa membuat panggilan video bersama keluarga.

ii. Bagi kanak-kanak yang berumur 2 hingga 5 tahun pula, disarankan cuma sejam sahaja.

“Namun, tak semua mak ayah ikut pun nasihat ini. Ingat, apabila kita biar anak guna gajet tanpa kawalan, penglihatan anak boleh jadi kabur, sakit kepala, mata jadi kering dan boleh jadi rabun jauh,” beritahu Dr Redza.

Menerusi bebenang itu, pegawai perubatan itu turut mengemukakan amalan senaman mata bagi mengelak masalah penglihatan. Antaranya adalah:

i) Peraturan 20-20-20.

Caranya, untuk setiap 20 minit berhenti dan berehat melihat skrin tersebut. Kemudian minta anak kecil memandang tempat lain sejauh 6.1 meter (m) selama 20 saat. Mudahkan?

Walaupun mudah, ia dapat memberi manfaat besar untuk mata yang sihat kerana peraturan itu dapat membantu merehatkan mata dan mengelak daripada mata terlalu penat.

ii) Fokus jauh dan dekat.

Caranya, letakkan ibu jari pada jarak 20 sentimeter (sm) dari mata dan pandang ibu jari selama 20 saat.
Selepas itu, pandang tempat yang 6.09m jauhnya selama 20 saat. Ulangi langkah tersebut beberapa kali.

Sehubungan itu, jika anda, ahli keluarga lain lebih-lebih lagi si cilik yang mempunyai simptom masalah mata, segeralah dapatkan nasihat pakar agar ia tidak melarat.

Awasi juga perilaku anak-anak kita. Jangan biarkan mereka berterusan melekat dengan telefon pintar mahupun komputer.

Tabiat Kepit Pin Tudung Pada Bibir Boleh Undang Maut. Ini Reaksi Pakar

KEBANYAKAN wanita biasanya sangat gemar mengepit pin pada bibir semasa memakai tudung. Betul atau tidak? Jawapannya, mesti ya kerana ia bagaikan satu habit bukan?

Masakan tidak, pin tudung boleh diibaratkan seperti sahabat baik wanita terutamanya mereka yang berhijab.

Penulis turut mengakui kadangkala tidakan itu berlaku secara spontan sahaja.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang menganggap perbuatan tersebut normal dan memudahkan cara tetapi, adakah anda tahu ia sebenarnya sangat bahaya jika pin atau kerongsang itu termasuk ke dalam rongga mulut secara tidak sengaja?

Jangan pandang mudah ya. Buktinya tahun lalu, seorang wanita terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital bagi mengeluarkan sebatang pin dari paru-paru kirinya melalui prosedur rigid bronchoscopy.

Perkara berkenaan turut mendapat perhatian Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang melalui ciapan Twitternya baru-baru ini.

Dr Ahmad Samhan.

Katanya, kaum Hawa janganlah memandang enteng dengan situasi itu. Tabiat kepit pin tudung pada bibir boleh bawa maut, katanya.

Mengakui kes tertelan pin tudung sudah banyak kali terjadi, Dr
Ahmad Samhan menjelaskan bagaimana keadaan itu boleh terjadi.

Bagaimana si pemakai boleh tertelan pin tudung tersebut?

“Sebenarnya, ia terjadi diluar kawalan. Lazimnya akan berlaku akibat terbatuk, terbersin, semasa menarik nafas atau terlucut dari bibir.

“Pin tudung ini sama ada akan masuk ke salur makanan (esofogus) seterusnya ke perut atau masuk ke salur pernafasan dan seterusnya ke paru-paru,” jelas Dr Ahmad Samhan.

Mengulas lanjut, katanya, jika masuk ke dalam salur makanan, berkemungkinan pin tersebut akan keluar bersama najis jika ia tidak tersekat.

Sebaliknya, jika masuk ke salur pernafasan, ia akan tersekat pada paru-paru dan boleh mengakibatkan pendarahan yang serius atau pneumomediastinum seterusnya boleh membawa maut. Takutnya!

Memperincikan mengenai rawatan, Dr Ahmad Samhan mengutarakan, kes sebegitu akan dirawat menggunakan kaedah rigid bronchoscopy iaitu dengan memasukkan kamera ke dalam saluran pernafasan sebelum menarik keluar objek berkenaan.

“Jika tidak berjaya, pesakit tidak mempunyai pilihan lain selain menjalani pembedahan yang mana dada terpaksa dibelah untuk keluarkan objek berkenaan,” tambah beliau.

Jadi, bagi mengelak kejadian tersebut berlaku, berikut saranan yang diusulkan oleh Dr Ahmad Samhan:

i) Cucuk pin pada lengan baju atau atas tudung.
ii) Pakai tudung instant (segera).
iii) Gunakan pin jenis magnet atau kepit.
iv) Elak membuat urusan lain ketika melaram.

Sehubungan itu, beliau menasihati para hijabis agar meninggalkan tabiat tersebut serta-merta kerana ia sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa. Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan peringatan kepada anda.

Bahaya Segi Tiga Kematian, Elak Picit Jerawat Dan Tarik Bulu Hidung. Perlakuan Yang Membahayakan Diri

PAKAR-PAKAR penyakit berjangkit di Universiti John Hopkins di Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat menyeru orang ramai mengelakkan perlakuan memicit jerawat atau menarik bulu hidung terutamanya di kawasan segi tiga kematian pada muka, kongsi Public Health Malaysia (PHM) melalui Facebooknya semalam.

Selain dipanggil kawasan segi tiga kematian atau triangle of death, ia juga dikenali sebagai segi tiga berbahaya atau dangerous triangle.

Memperincikan mengenai kawasan segi tiga kematian itu, ia bermula dari pangkal hidung ke bahagian hujung bibir.

Seperti nama yang diberikan, ia jelas menunjukkan kawasan berkenaan sangat sensitif.

Ia kerana kawasan tersebut adalah berkait dengan infeksi bakteria yang dikatakan boleh menyebabkan jangkitan di sekitar otak sehingga boleh menyebabkan strok.

“Bagaimanapun, ia sangat jarang berlaku disebabkan antibiotik dan ia sukar untuk bakteria merebak secara melawan arus di dalam salur darah,” kata PHM yang memetik kajian universiti terkenal itu.

Doktor-doktor pakar penyakit berjangkit di Universiti John Hopkins telah menyeru untuk orang ramai mengelakkan memicit…

Posted by Public Health Malaysia on Thursday, November 19, 2020

Namun demikian, ia boleh berlaku jika kuman tersebut sudah menjadi kuat dan antibiotik tidak lagi boleh melawan kuman atau jangkitan kulit yang sangat teruk.

Jadi, adalah penting untuk kita mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan kulit kita terdedah dengan kuman akibat daripada aktiviti-aktiviti yang disebutkan di atas lebih-lebih lagi, bakteria ‘sekarang’ yang semakin ‘bijak’ mengekang rintangan antibiotik.

Ingat, kita sudah lama tidak menjumpai antibiotik kelas baharu.

Untuk pengetahuan pembaca SinarPLus, kali terakhir kelas antibiotik yang dijumpai adalah pada tahun 1987 iaitu lipopeptides.

Sehingga kini, kita hanya membangunkan antibiotik sedia ada untuk menjadi lebih baik.

“Semakin lama semakin sukar untuk merawat kuman bakteria,” kata entri tersebut.

Selain itu, menurut sebuah portal kesihatan, thediagnosa.com pula, berikut kesan lain yang boleh berlaku jika bakteria sudah mula merebak di kawasan segi tiga kematian berkenaan.

Jangkitan kuman pada bahagian muka akan menyebabkan:

i) Jangkitan otak

Jangkitan kuman pada bahagian muka ini akan membawa kuman pergi ke bahagian cavernous sinus dan kemudian membawa ke bahagian otak. Oleh itu, ia boleh menyebabkan jangkitan pada bahagian otak.

ii) Angin ahmar

Jangkitan kuman di dalam cavernous sinus juga akan menyebabkan penghasilan darah beku. Darah beku tersebut akan pergi ke otak menyebabkan sumbatan dalam salur darah dan menyebabkan angin ahmar berlaku.

iii) Lumpuh otot pada bahagian muka

Di dalam cavernous sinus terdapat beberapa jenis saraf yang berkaitan dengan otot muka. Ketika mana jangkitan kuman berlaku dalam cavernous sinus, ia akan mengganggu fungsi saraf dan menyebabkan otot muka menjadi lumpuh.

Pada masa sama, PHM sentiasa menekankan konsep pencegahan lebih baik daripada berubat.

Jadi, amalkan sanitasi yang baik, elakkan memicit jerawat atau mencabut bulu hidung.

Jika ingin melakukan prosedur, pastikan ia disterilkan terlebih dulu. Semoga artikel ini bermanfaat dan memberikan ilmu baharu untuk kita semua. #kitajagakita #kitapastimenang

Ekzema, Penyakit Tidak Berjangkit Dan Perlu Dirawat Sebelum Parah

DARIPADA empat adik beradik, Azman Hilal, 23, paling cerewet bab kebersihan. Setiap kali pulang ke kampung, beliau akan membersihkan seluruh rumah neneknya dengan menggunakan vakum dari ruang tamu, dapur termasuk bilik yang bakal menjadi tempat tidurnya.

Sikap Azman memang bertempat. Masakan tidak, sejak kecil lagi, pelajar jurusan Ijazah Komputer Kejuruteraan di sebuah universiti swasta itu sering mengalami kegatalan pada kulitnya. Puncanya bukan pada makanan atau minum, tetapi disebabkan oleh habuk.

Salah satu pendekatan terkini yang digunakan oleh pemuda itu untuk mengelak kulitnya menjadi gatal dan berbintik-bintik merah pada leher, tengan, kaki dan muka, beliau telah membeli dua buah pembersih udara (air purifier).

“Saya sebenarnya mengalami ekzema sejak kecil, jadi sejak zaman bayi hingga sekarang, saya akan mengelakkan diri berada di kawasan yang terdedah kepada pencemaran stesen bas atau kawasan sesak dengan kenderaan.

“Memang benar, saya juga agak pasif. Tatkala rakan-rakan pergi berjoging atau bersukan, saya terpaksa memencilkan diri. Bukan apa, saya tak mahu menyusahkan ibu yang akan risau sekiranya melihat kulit saya bermasalah dan ia pernah terjadi banyak kali sebelum ini.

“Seperkara yang saya ingin kongsi, saya juga seorang penghidap asma dan tidak boleh menyentuh sejenis jenama mandian kerana badan saya akan gatal-gatal,” katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Bercerita mengenai ekzema, Pakar Perunding Dermatologi, Hospital KPJ Sentosa Kuala Lumpur, Dr Moonyza Akmal mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam mengenainya.

DR Moonyza Akmal.

Ujar Dr Moonyza, ekzema bukan sahaja boleh terjadi kepada golongan dewasa, malah kepada kanak-kanak mahupun bayi.

Ekzema yang juga dikenali sebagai atopik dermatitis pada asasnya memperlihatkan satu keadaan radang pada kulit disertai dengan gatal dan ruam merah.

“Jika ingin tahu seseorang mengalami ekzema, kegatalan pada kulit inilah yang mengesahkan mereka mengalami ekzema. Jika tidak gatal, ia bukanlah ekzema,” jelas beliau.

Tidak berjangkit

Memperincikan lebih lanjut, Dr Moonyza memberitahu, ekzema selalunya terdapat pada kawasan muka (di sekeliling mata atau bibir), leher, pelipat siku dan pelipat lutut. Jika teruk ia boleh melibatkan keseluruhan kulit.

Memberi gambaran mudah, ekzema akan menyebabkan kulit seseorang menjadi seakan-akan berkerak, bersisik dan kadangkala akan berair.

“Ekzema juga dikaitkan dengan masalah alahan. Oleh yang demikian, seseorang yang mempunyai ekzema akan mudah juga untuk mendapat penyakit alahan yang lain seperti asma, konjungtivitis alergi, resdung (allergic rhinitis), alahan pada makanan dan sebagainya,” katanya.

Dr Moonyza turut memberi pencerahan kepada kekeliruan masyarakat tentang ekzema.

Katanya, ekzema merupakan penyakit keturunan (genetik) yang diwarisi. Pun demikian, ia tidak berjangkit.

DR Moonyza turut memberi pencerahan kepada kekeliruan masyarakat tentang penyakit tidak berjangkit itu.

“Namun demikian, terdapat pencetus lain yang boleh menyebabkan masalah ekzema. Antaranya infeksi virus, bahan kimia atau perangsang seperti sabun, pembersih dan pewangi,” beritahu beliau.

Penerangan Dr Moonyza itu sekali gus mewajarkan situasi yang dialami oleh Azman tadi.

Pemuda itu bukan sahaja mengalami kegatalan, malah turut berdepan dengan penyakit asma dan ‘alergi’ kepada sejenis sabun.

Pakar berkenaan menambah, masalah ekzema yang berlarutan akan memberi  menyebabkan kulit menjadi pedih apabila luka digaru.

KEGATALAN akan membuat pesakit merasa ingin menggaru dan tindak itu akan menyebabkan kulit luka dan berdarah.

Lebih parah, seseorang yang berdepan dengan hal itu akan sukar untuk tidur lena dek kerana kegatalan tersebut.

“Bagi bayi pula, mereka akan kerap menangis dan murung kerana tidak selesa dengan keadaan sedemikian,” ujar beliau.

Kesesuaian pelembap

Adakah ekzema boleh diatasi? Menjawab persoalan itu, Dr Moonyza berkata, sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk merawat ekzema dengan baik meskipun tiada ubat penyembuh.

“Ingat, masalah ekzema ini boleh berulang-ulang. Biasanya rawatan akan diberikan mengikut tahap yang dialami oleh pesakit itu sendiri sama ada tahap ringan, sederhana atau sangat teruk,” katanya.

Ujar beliau, bagi mereka yang mempunyai masalah kulit sensitif, kering dan cenderung mengalami kondisi kulit seperti ekzema, penggunaan sodium laureth sulfate, sodium lauryl sulfate, bahan pewangi dan pengawet sama sekali tidak digalakkan.

Bagaimana pula dengan penggunaan pelembap? Dr Moonyza menjelaskan, pelembap yang ada di pasaran terdapat dalam pelbagai bentuk iaitu dalam bentuk cecair atau losyen, krim, oilmen atau penyembur (spray).

DR Moonyza Akmal (kiri) menerangkan mengenai bahan kandungan yang sepatutnya ada dalam pelembap yang bagus.

Pelembap katanya, bergantung kepada tahap kekeringan kulit, cuaca dan kesesuaian diri pesakit. Lazimnya, ia mengikut bahan-bahan yang digunakan dalam isi kandungan pelembap berkenaan.

“Kulit ekzema adalah kering dan perlukan pelembap dengan kuantiti yang mencukupi untuk seluruh kawasan yang mengalami kegatalan. Pelembap harus disapu dengan kerap apabila kulit menjadi kering semula.

“Jadi saya sarankan, pilih jenis pelembap mengikut kesesuaian diri masing-masing. Contohnya, pelembap yang mempunyai ceramide dan menthol yang boleh memelihara kelembapan kulit dan mengurangkan kegatalan,” terangnya.

Pada masa sama, beritahu Dr Moonyza, terdapat juga ubat sapuan yang direka khas khusus untuk seseorang pesakit ekzema.

Ubat itu katanya, hanya boleh diberikan kepada pesakit setelah menerima lampu hijau dan nasihat daripada doktor.

“Justeru, sekali lagi saya ingatkan kepada pesakit ekzema, anda haruslah menggunakan pelembap yang sesuai kerana dengan penggunaan pelembap yang betul, ia dapat menghindari ekzema berulang semula.

“Anda juga perlu memastikan sapuan pelembap pada bahagian kulit yang bermasalah dijadikan sebagai satu rutin harian selepas mandi,” kata Dr Moonyza.

ANEKDOT

CARA menangani masalah ekzema:

i) Pencegahan awal dengan menggunakan pembersih yang sesuai dengan kulit pesakit ekzema.

ii) Mempraktikkan cara mandi yang disarankan iaitu sekurang-kurangnya dua kali sehari.

iii) Memakai pelembap seusai mandi iaitu ketika kulit masih segar selepas mandi.

iv) Dapatkan nasihat doktor sebelum mencuba apa-apa jenis produk atau ubat sapuan di pasaran.

v) Sentiasa berhubung dengan doktor agar masalah ekzema dapat dikawal dan dikurangkan.

Sumber: Pakar Perunding Dermatologi, Hospital KPJ Sentosa Kuala Lumpur, Dr Moonyza Akmal.

Resipi Tersendiri Rojak Sotong Gergasi Milik Pasangan Suami Isteri Ini Viral Satu Malaysia

rojak

WARUNG Hijau Rojak Sotong yang terletak Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka memang istimewa.

Kreativiti mereka yang memberi tambah nilai kepada hidangan rojak yang menjadi signatur makanan di warung itu telah mendapat perhatian ramai sehingga tular di media sosial.

Ramai yang teruja untuk merasai sotong berskala jumbo yang ditawarkan. Faktor itu menjadi penyebab mengapa penggemar rojak datang bertali arus dan sanggup beratur panjang.

rojak

Mereka  bukan sahaja dalam kalangan penduduk Melaka, malah dari Lembah Klang termasuk Johor, Pulau Pinang dan lain-lain negeri.

Penyelia Warung Hijau Rojak Sotong, Amir Ahmadiah Razali berkata, selain sotong, kuah rojak yang dihasilkan oleh pasangan suami isteri yang juga pemilik warung berkenaan, Firdaus Osman dan Zainon Mohd Isa juga antara sebab gerai tepi jalan tersebut diserbu pelanggan.

“Alhamdulillah, sotong yang kami sajikan saiznya bukan biasa-biasa, memang besar. Sotong itu bukan jenis sejuk beku, sebaliknya sotong segar yang ditempah dengan nelayan setempat.

“Apabila sotong segar kami dibakar dan disapu dengan kuah rojak, memang menambah lagi umphhh,“ kata pemuda berusia 26 tahun itu.

rojak

Ditanya tentang penghasilan kuah rojak di warung itu, Amir Ahmadiah enggan meleraikan secara menyeluruh resipi warisan keluarga itu.

Katanya, perkara yang paling penting ketika memasak kuih rojak tersebut adalah tempoh masa yang diambil.

“Dengan ramuan tersendiri kami, kuah tersebut diadun dalam jangan masa lebih kurang empat jam bagi mendapatkan rasa dan warna yang menarik. Sotong memang jadi tarikan, tetapi kuah juga memainkan peranan penting dan penentu keenakan rojak itu,“ katanya.

Meneruskan perbualan, Amir Ahmadiah berkata, Warung Hijau Rojak Sotong baru sahaja memperkenalkan menu baharu iaitu Udang Galah Jumbo dan Jumbo Kahwin.

“Kali ini rojak boleh ditambah dengan udang galah sahaja atau rojak dengan gandingan sotong gergasi dan isi udang galah. Pilihlah mana yang berkenan,“ katanya.

Harga yang dikenakan adalah bergantung kepada saiz sotong.

Selain itu, terdapat juga sajian lain yang ditawarkan seperti mi, char kuetiau, bihun  dengan campuran sayur-sayuran dan hasil laut segar yang melimpah-ruah.

rojak

Warung Hijau Rojak Sotong

  • Alamat: Batu 19 3/4, Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka
  • Waktu operasi: 2.30 petang hingga 9 malam (Selasa hingga Ahad) dan 3 petang hingga 9.30 malam (Jumaat)
  • Facebook: Warung Hijau Rojak Sotong

Bimbang mahu keluar rumah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan? Jangan bimbang kerana ramai pengusaha rojak menyediakan perkhidmatan penghantaran terus ke rumah.

Kepada yang teringin merasa keenakan sajian ringkas tetapi enak itu, boleh mempertimbangkan untuk membuat pesanan di dua premis berkenaan:

rojak

Rojak Ayam Warisan Tok

  • Lokasi: Bukit Besi, Jerangau, Dungun, Terengganu
  • Waktu operasi: 7.30 pagi hingga 4 petang
  • Facebook: Warung Warisan Tok
rojak

Rojak Dulang Daun Pisang Putrajaya

  • Lokasi: Wilayah Persekutuan Putrajaya
  • Harga: Bermula RM 5 hingga RM75
  • Facebook: Ahonnaa Delivery

Rekomendasi 5 Basikal Elektrik Terbaik, Trend Terbaharu Gaya Hidup Sihat Masyarakat Dunia

BASIKAL ELEKTRIK

TREND berbasikal kini menjadi semakin popular bukan sahaja di Malaysia, tetapi hampir seantero dunia.

Untuk itu, kita dapat melihat variasi reka bentuk dan warna yang dibuat bukan sahaja khusus untuk orang dewasa, malah untuk kanak-kanak juga.

Jadi, tidak hairanlah wujudnya geng berbasikal di merata-rata tempat. Ada yang memilih untuk menjalani aktiviti di atas jalan raya, tidak kurang pula yang memilih lokasi yang lebih mencabar seperti dalam hutan.

Demi amalan gaya hidup sihat dan aktif, ramai yang sanggup melabur beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan sebuah basikal yang harganya lebih mahal berbanding sebuah motosikal atau kereta. Malah, ada yang membuat pinjaman bank.

basikal elektrik

Melihat kepada situasi berkenaan, beberapa jenama kenderaan terkemuka nampaknya mengikut kecenderungan selera penduduk dunia.

Mereka bukan sahaja mencipta basikal yang mempunyai spesifikasi canggih dan menyokong kelestarian alam, malah melancarkan basikal elektrik.

basikal elektrik

Kerancakan perlumbaan jenama-jenama itu telah menarik perhatian penggemarnya dan dunia automatif kini semakin berwarna-warni. Sehubungan itu, pada minggu ini Turbo berkongsi lima jenama basikal elektrik yang mungkin ada boleh miliki.

BMW Active Hybrid e-Bike

  • Harga: RM15,031.36
  • Buatan: Jerman
  • Keluaran: BMW

Model basikal elektrik versi terbaharu yang didatangkan dengan kapasiti bateri 600 watt yang lebih besar berbanding model sedia ada, bahkan fitur baharu itu ditambah baik dengan ciri canggih termasuk rekaan lebih moden.

basikal elektrik

Desain yang lebih stailo dengan pek bateri disimpan di bingkai aluminium hidroform, selain dilengkap dengan brek cakera hidraulik di bahagian depan dan belakang.

Tempat duduknya bukan sahaja selesa untuk ditunggang, malah direka khas dengan lebih ergonomik.

E-Traverse

  • Harga: RM5,656.66 hingga RM10,905.31
  • Buatan: Jepun
  • Keluaran: Fuji Bikes

Antara model dengan kualiti premium yang sudah melakar sejarahnya sendiri sejak tahun 1899. Jenama itu juga cukup gah dalam setiap trek perlumbaan berbasikal dunia.

basikal elektrik

E-Traverse juga menjadi salah satu fitur basikal elektrik dwisukan yang boleh melalui jalan tidak berturap dan cemerlang memacu di kawasan bandar dengan sistem bantuan pedal bermotor yang mampu memecut sehingga 125 kilometer (km).

Lengkap dengan brek cakera hidraulik dan kapasiti bateri 250 watt, pemanduan cemerlang dengan model itu memang tidak dinafikan cukup memberikan kelainan dengan bingkai aluminium cukup ringan.

IO

  • Harga: RM3,297.72
  • Buatan: Indonesia
  • Keluaran: United Bike

Basikal boleh lipat tersebut lebih ringan dan mudah dibawa ke mana-mana. Salah satu koleksi e-Series yang lengkap dengan enjin 250 watt dan mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 35km perjam sekali cas.

basikal elektrik

Rangka dengan kualiti magnesium yang nampak lebih moden dan tahan lasak telah membuatkan basikal elektrik tersebut menjadi pilihan ramai, bahkan ada kelebihan pada brek cakeranya.

Verve+ 2

  • Harga: RM2,222.23
  • Buatan: Amerika Syarikat
  • Keluaran: Trek Bicycle

Model terbaharu tahun 2021 ini memang menarik. Antara basikal hibrid elektrik yang cukup praktikal dengan sistem bantuan pedal Bosch yang mampu memecut kelajuan sehingga 32 km/perjam, selain ciri keselamatan yang dipertingkatkan. Harga pun tidak terlalu mahal.

basikal elektrik

Selain memiliki reka bentuk yang fleksibel, tayarnya lebih lebar demi kestabilan penunggang.

Terdapat kemudahan lampu pada bahagian depan dan belakang dan model dengan kapasiti bateri 250 watt itu sesuai untuk kawasan berbukit.

Star Hopper Hybrid

  • Harga: RM2,099
  • Buatan: Malaysia
  • Keluaran: Star Wheels Electronic

Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Difahamkan, basikal hibrid itu antara pilihan paling laris dalam negara sehingga dikatakan sering kehabisan stok. Ia hanya seberat 15 kilogram.

basikal elektrik

Ia dilengkapi brek cakera di bahagian depan dan belakang, selain paparan skrin LED.

Ada dua pilihan yang ditawarkan iaitu mod elektrik yang mampu bergerak sejauh 40km, manakala mod hibrid pula sejauh 70km.

Apa yang lebih menarik, tahap kelajuan basikal elektrik berkenaan boleh dipertingkatkan secara automatik ketika berada kawasan berbukit. Kapasiti penunggang pula sehingga 100 kilogram.

Tip Pemakanan Selepas Pembedahan Buang Hempedu, Jangan Langgar Pantang

kesihatan

BAGI pesakit yang selesai menjalani pembedahan membuang pundi hempedu, rutin harian seperti keluar bekerja, berniaga ataupun menghadiri kuliah boleh dilakukan seperti biasa, asalkan luka jahitan sembuh sepenuhnya.

Namun begitu, mereka perlu mengambil perhatian dari segi corak pemakanan memandangkan diet untuk golongan tiada hempedu berbeza dengan mereka yang sempurna organ dalamannya.

Memetik kenyataan healthline.com, pesakit yang tidak lagi mempunyai pundi hempedu perlu mengelakkan beberapa kategori makanan bagi mengatasi masalah kesihatan lain.

Jika tidak mengawal pemakanan pesakit bukan sahaja berisiko mengalami cirit-birit, malah berdepan reaksi angin melampau dalam perut dan perut kembung.

Justeru, apakah pemakanan yang perlu dielak dan diamalkan? Pakar Pemakanan, Hospital Pantai Laguna, Merbok, Kedah, Norhamizah Sohaimi ada jawapannya.

kesihatan hempedu
JELAS Norhamizah, makanan bergoreng, berminyak dan bersantan harus dielakkan memandangkan badan pesakit tidak lagi mempunyai hempedu yang berfungsi menyerap dan mencerna lemak.

Menurut Norhamizah, pesakit tanpa hempedu perlu mengelak makanan berminyak, berlemak dan bersantan dalam menu harian berikutan badan sudah kehilangan hempedu iaitu organ yang berfungsi menyerap dan mencerna lemak.

“Secara asasnya, terdapat dua fasa pemakanan yang mana dalam tempoh seminggu selepas pembedahan (fasa pertama) pesakit harus elak makanan berminyak dan berlemak, sebaliknya mengamalkan diet sihat dan seimbang.

“Antaranya mempelbanyakkan sumber makanan yang tinggi serat larut seperti oat, barli dan kekacang serta elak sayur berdaun hijau. Langkah ini adalah untuk mengatasi masalah cirit-birit berlarutan.

“Ini disebabkan pada minggu pertama selepas pembedahan, pesakit akan mengalami simptom cirit-birit, maka jika tidak mengawal pemakanan yang betul bimbang ia lebih memudaratkan,“ katanya.

diet sayur

Norhamizah menambah, fasa kedua pula iaitu memasuki minggu kedua, ketiga dan seterusnya, mereka dibenarkan menikmati hidangan berasaskan sayur-sayuran, karbohidrat dan protein mengikut konsep suku suku separuh.

“Walaupun sudah boleh makan seperti biasa tetapi minyak dan santan harus dielakkan. Sebaik-baiknya pastikan ikan atau daging ayam yang menjadi pilihan dimasak secara rebus, bakar atau stim sahaja.

“Namun begitu, penggunaan minyak dalam kuantiti sedikit ketika membakar ayam misalnya, adalah dibolehkan memandangkan tubuh badan kita tetap memerlukan lemak dan minyak.

“Bagi penggemar menu bersantan seperti kuah kari, disarankan menggantikan santan dengan susu rendah lemak atau hasilkan kari tanpa lemak mengikut resipi masyarakat India,“ terang beliau.

Kepada yang melanggar ‘pantang‘ seperti yang digariskan, Norhamizah berkata, tindakan terbabit dikhuatiri akan menganggu jantung dan usus pada kemudian hari.

Foto: Canva dan Freepik

Jangan Tahan Bersin, Boleh Cederakan Organ Dan Saluran Darah

in itu bagus atau sebenarnya ia memudaratkan?

Bercakap mengenai bersin, terdapat satu kes berkenaan dengan perkara itu seperti yang dilaporkan dalam kebanyakan portal antarabangsa.

Baru-baru ini, seorang lelaki berusia 34 tahun di England telah dimasukkan ke wad kecemasan di Leceister Royal Infirmary Hospital selepas beliau tanpa sedar, telah memecahkan saluran pernafasan sendiri.

Ia berlaku hanya kerana lelaki tersebut cuba menahan bersin.

Media antarabangsa juga melaporkan, lelaki itu seperti terasa letupan kecil pada bahagian tekaknya, disusuli dengan rasa kesakitan yang mendalam selepas dirinya menahan bersin.

Rentetan daripada situasi itu, lelaki berkenaan mengadu mengalami kesukaran untuk menelan atau bercakap.

Pemeriksaan lanjut doktor mendapati terdapat kesan bengkak yang ketara pada bahagian tekak dan lehernya.

Lebih parah, imbasan X-ray menunjukkan tekaknya telah pecah dan angin yang disedut telah melepasi rekahan pada saluran pernafasan dan terus ke tisu berhampiran.

Disebabkan situasi itu, lelaki tersebut terpaksa makan dan minum melalui tiub bagi membolehkan tisu yang terjejas kembali pulih.

Pakar kesihatan di hospital itu berkata, tindakan menahan bersin dengan cara menutup hidung adalah sesuatu yang sangat merbahaya dan perlu dielakkan.

Tutup mulut, guna sapu tangan

Dalam pada itu, kejadian yang menimpa lelaki berkenaan turut mendapat perhatian Public Health Malaysia (PHM).

Menurut PHM, berdasarkan kajian, semasa bersin kita akan mengeluarkan lebih banyak titisan air liur iaitu sebanyak 40,000 berbanding semasa batuk (dianggarkan sebanyak 3,000 titisan air liur dikeluarkan).

“Bersin adalah satu mekanisme tubuh untuk menyingkirkan habuk, kuman atau apabila ada iritasi pada hidung dan ia melibatkan tekanan di dalam dada yang sangat kuat dan laju.

“Apabila ditahan dengan sengaja, tekanan itu akan merosakkan saluran darah pada otak, mencederakan organ dan saluran pernafasan,” tulis PHM dalam entri mereka.

Bukan itu sahaja, antara kesan lain apabila seseorang itu menahan bersin adalah gegendang telinga akan pecah, berlaku jangkitan pada telinga, risiko patah tulang rusuk dan mencederakan diafragma dan tekak.

SEORANG lelaki berusia 34 tahun telah dimasukkan ke wad kecemasan selepas dia tanpa sedar, telah memecahkan saluran…

Posted by Public Health Malaysia on Friday, January 15, 2021

Oleh itu, jika anda ingin bersin, jangan tahan, bersin pada lengan atau manfaatkan peranan sapu tangan. Semoga perkongsian di atas bermanfaat kepada pembaca.

ANEKDOT

Etika batuk dan bersin yang betul:

1. Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan ketika batuk dan bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah dengan serta-merta. Kuman pada tisu boleh terus hidup untuk beberapa jam.
2. Jika tidak ada tisu atau sapu tangan, gunakan lengan untuk menutup hidung serta mulut apabila bersin atau batuk.
3. Cuci tangan dengan sabun dan air bersih untuk menghalang penyebaran bakteria.
4. Pakai pelitup mulut dan hidung (facemask), terutamanya jika anda menghidap sebarang penyakit berjangkit.
5. Elakkan berada di tempat awam jika anda menghidap sebarang penyakit berjangkit.
6. Gunakan cecair pembasmi kuman jika tidak dapat membasuh tangan dengan sabun dan air.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/

Kayap Ular Apabila Bersambung Sekeliling Badan, Boleh Bawa Maut. Ini Penjelasan Pakar

RATA-RATA daripada kita pasti pernah terdengar cakap-cakap yang mengatakan bahawa kayap ular apabila sudah bersambung di sekeliling badan boleh menyebabkan kematian.

Persoalannya, adakah ia benar atau sebaliknya?

Bagi memperincikan lebih mendalam mengenai penyakit itu, pakar kesihatan dan perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ada jawapannya.

Tulisnya melalui entri Facebook semalam, kayap (herpes zoster) adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Varicella Zoster Virus (VSV) iaitu virus yang sama yang menyebabkan cacar air (chicken pox).

Untuk pengetahuan semua, sebenarnya, kayap merupakan penyakit susulan daripada penyakit cacar air.

“Apabila seseorang dijangkiti VSV, maka beliau akan mendapat simptom masalah cacar air pula.

PENYAKIT cacar air atau chicken pox.

“Kemudian selepas masalah cacar air itu pulih, virus tersebut tidak mati, sebaliknya ia akan duduk diam-diam di dalam akar saraf dan aktif semua jika sistem imun individu menurun,” beritahu beliau.

“Oleh kerana virus ini duduk dalam akar saraf, apabila ia bertukar menjadi aktif semula, ia akan menjangkiti saraf berkenaan di sepanjang laluan (dermatome) saraf.

“Pada peringkat awal, pesakit akan rasa pedih seolah-olah jalur saraf seperti sedang ‘dibakar’ dan kemudiannya, lepuhan-lepuhan berair akan muncul di kawasan berkenaan,” tambah Dr Kamarul Ariffin.

Keadaan itu ada yang memanggilnya sebagai kayap ular.

Memberi gambaran mudah, Dr Kamarul Ariffin menjelaskan, jalur saraf tersebut secara fizikalnya akan memanjang. Jika di bahagian badan, ia akan terjadi di sepanjang tulang rusuk.

“Biasanya ia akan berlaku pada sebelah bahagian badan, leher, muka dan beberapa bahagian lain.

“Memandangkan ruam dan lepuhan tersebut muncul pada jalur yang panjang, ia mirip ular yang melingkar,” tulisnya lagi.

Sebenarnya, amat jarang sekali kayap melingkar sekeliling badan, tetapi perkara tersebut tidak mustahil boleh berlaku.

Jika ia berlaku lazimnya kerana pertahanan imun tubuh pesakit itu terlalu rendah.

Jangkitan kayap yang teruk boleh menyebabkan beberapa komplikasi lain, antaranya:

i) Postherpetic.
Ia merupakan kesakitan pada jalur saraf, walaupun ruam sudah tiada. Ada pesakit yang masih sakit pada jalur itu walaupun sudah berbulan-bulan lamanya.

ii) Buta dan pekak.
Jika terkena pada saraf muka dan mata, muka boleh lumpuh dan mata boleh buta.
Sekiranta terkena pada saraf telinga, boleh pekak.

iii) Radang otak dan selaput otak.
Ia jarang tercetus tetapi jika ia berlaku, jangkitan itu sesuatu yang amat serius. Jika tidak dirawat, boleh undang maut tau!

Pendek kata, penyakit kayap boleh menyebabkan kematian kerana faktor komplikasi yang serius lebih-lebih lagi kalau seseorang mempunyai imuniti rendah, bukan kerana ia melingkar di sekeliling badan.

Walaupun ada pesakit yang boleh pulih sendiri tanpa rawatan, doktor biasanya akan memberi ubat antiviral, salap (sapuan) dan ubat tahan sakit untuk mengurangkan ketidakselesaan pesakit serta membantu memendekkan tempoh pemulihan.

Jadi, diharapkan perkongsian yang diberikan itu jelas.

Tolong jangan lagi momokkan orang ramai kematian akibat kayap berlaku gara-gara ia sudah mengelilingi badan ya…

Semoga ilmu yang dikongsi memberi manfaat kepada pembaca.

Sumber: Facebook Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan