Muzium biasanya adalah tempat yang seronok untuk dikunjungi tetapi terdapat juga sesetengah muzium yang pada asalnya diciptakan untuk tujuan kajian dan penyelidikan tetapi kemudiannya bertukar menjadi tempat yang sangat menakutkan.
Ada muzium yang memelihara mayat dengan baik semata-mata untuk dipamerkan kepada orang ramai. Bahkan, juga ada yang menyimpan pelbagai artifak purba yang mengandungi sejarah seram lagi menakutkan. Berikut adalah senarai 10 muzium yang paling menakutkan di dunia dan berbaloi untuk dilawati walaupun hanya sekali seumur hidup.
10. Muzium Parasitologi Meguro
Adakah anda seorang yang takutkan parasit? Jika ya, maka muzium ini bukanlah untuk anda. Muzium Parasitologi Meguro yang terletak di tengah bandar raya Tokyo ini kelihatan agak pelik kerana dipenuhi dengan pelbagai spesimen parasit. Ia ditubuhkan pada tahun 1953 oleh Dr. Satoru Kamegai dan menyimpan lebih 300 spesimen parasit untuk paparan pengunjung.
Bagi sesetengah orang, barang pameran itu mungkin kelihatan biasa sahaja namun bagi mereka yang gemarkan keunikan, ia mungkin salah satu perkara yang menarik. Di Jepun, muzium ini merupakan salah satu muzium tarikan pelancong dan menerima kunjungan lebih daripada 50,000 orang pelawat setiap tahun.
9. Muzium penyeksaan zaman pertengahan
Muzium penyeksaan zaman pertengahan ini adalah seakan-akan sama seperti London Dungeon Museum. Ia memaparkan situasi sadis yang dihadapi oleh masyarakat zaman pertengahan atau Medieval di Eropah. Terdapat banyak muzium seperti ini di serata Eropah. Salah satu muzium seperti ini di Itali mempunyai koleksi yang mungkin boleh membuatkan anda berasa sedih dan menangis.
Anda akan terfikir betapa buruknya layanan tidak berperikemanusiaan yang berlaku ketika itu. Antara alatan yang digunakan untuk menyeksa adalah “Labah-labah Sepanyol” yang digunakan untuk memotong payudara wanita, “Sangkar Keranda” untuk membunuh banduan secara perlahan-lahan dan “Serampang Bidaah” yang digunakan agar mangsa tidak tertidur.
Ia sememangnya amat mengerikan untuk membayangkan apa yang berlaku terhadap orang yang hidup di zaman itu. Kesedihan yang menyelubungi muzium ini akan memberikan anda sedikit keinsafan dan peluang untuk anda menghargai betapa beruntungnya anda hidup pada zaman kini yang lebih maju dan aman walaupun adakalanya dilanda nasib yang malang.
8. London Dungeon
Jika anda merancang untuk pergi ke muzium ini, ingatlah apa yang anda akan lalui di sana akan mengingatkan anda bagaimana keadaan dan perasaan yang dialami oleh banduan semasa zaman pertengahan. London Dungeon adalah salah satu muzium yang akan membuatkan anda berasa demikian.
Muzium ini mempunyai pelbagai peralatan yang digunakan untuk menyeksa banduan dengan kejam dan bagaimana hukuman dilaksanakan pada suatu masa dahulu namun kini ia menjadi daya tarikan ramai pelancong untuk datang melawat. Kebanyakan pengunjung yang hadir pasti akan berasa sedih setelah menghabiskan lawatan di muzium ini.
7. Muzium Musee Dupuytren
Muzium Musee Duputren ini adalah muzium mengerikan yang menampilkan pelbagai jenis spesimen anatomi yang mempunyai kecacatan akibat penyakit. Muzium yang terletak di Paris, Perancis ini mempunyai lebih daripada 6,000 buah spesimen.
Muzium ini diasaskan oleh seorang ahli kimia Perancis iaitu Mathieu Orfila pada tahun 1835 dengan usaha yang gigih namun kerana kurangnya penjagaan, terdapat banyak kes kerosakan dan kehilangan spesimen.
Walau bagaimanapun, pada tahun 1967, muzium itu telah diubahsuai dan ditambah baik untuk mengekalkan daya penariknya. Sejujurnya, muzium ini akan menarik minat bagi sesiapa yang sukakan bidang sains dan perubatan tetapi spesimen yang dipamerkan itu juga dapat menimbulkan ketakutan bagi sebahagian pengunjung yang lain.
6. Muzium Antropologi Jenayah Lombroso
Muzium Antropologi Jenayah Lombroso ialah sebuah muzium yang terletak di Itali yang diasaskan oleh seorang penjenayah bernama “Cesare Lombroso”. Apa yang paling mengejutkan di muzium ini adalah koleksi tengkorak dan juga kepala manusia yang dijadikan bahan pameran.
Terdapat lebih 400 tengkorak manusia yang dikumpul oleh Lombroso termasuklah tengkorak orang awam, tentera dan juga penjenayah lain. Mungkin tempat ini tidak sesuai kepada mereka yang bencikan perbuatan Lombroso yang kejam. Namun begitu, benda yang paling pelik terdapat di muzium ini adalah kepala Lombroso sendiri yang tersimpan rapi dalam sebuah balang.
5. Muzium Mutter
Muzium Mutter yang terletak di Pennsylvania ini merupakan salah satu muzium yang paling menakutkan untuk dikunjungi. Muzium ini mempunyai koleksi model yang diperbuat daripada lilin, spesimen anatomi dan juga koleksi keadaan penyakit yang jarang ditemui.
Idea asal penubuhan muzium ini pada tahun 1858 adalah untuk tujuan penyelidikan biomedikal bagi kajian dan pendidikan perubatan. Di sini terdapat lebih 20,000 spesimen yang dipaparkan dan antaranya adalah alat-alat menakutkan yang digunakan untuk pembelajaran perubatan.
Selain itu, terdapat pelbagai sista dan ketumbuhan daripada badan pesakit disimpan dalam balang khas untuk pameran yang dikumpulkan sejak kurun ke-19 hingga kurun ke-21. Bagi mereka yang lemah semangat, pemandangan spesimen di sini mungkin akan kekal dalam minda separa sedar mereka.
4. Muzium Vent Haven
Muzium Vent Haven yang terletak di Cincinnati, Amerika Syarikat ini menjadi tempat simpanan dan pameran pelbagai jenis boneka ventrilokis. Boneka ini secara umumnya memang sudah kelihatan agak menakutkan, tambahan pula ia mempunyai wajah seakan-akan manusia sebenar.
Akan tetapi, adalah lebih menakutkan lagi sekiranya anda melawat ke lokasi yang mempunyai koleksi lebih 900 buah boneka ventrilokis ini. Salah sebuah boneka tanpa mata di muzium ini kelihatan seakan-akan menyerupai patung yang digunakan dalam filem seram “Dead Silence” menambahkan lagi perasaan takut pengunjung.
Muzium ini merupakan satu-satunya tempat yang menyimpan begitu banyak patung ventrilokis di dunia. Sekilas pandang menoleh pada patung yang banyak itu, anda akan merasakan seolah ada mata-mata jahat yang sedang memerhati anda.
3. Muzium Psikiatrik Glore
Perasaan gerun pasti akan timbul setiap kali membicarakan bagaimana keadaan sebenar di rumah sakit jiwa. Salah sebuah tempat yang mempamerkan koleksi keadaan rumah sakit jiwa adalah muzium psikiatrik Glore yang terletak di Missouri, Amerika Syarikat.
Muzium ini menyimpan pelbagai artifak, gambar dan juga peralatan yang digunakan sebagai rawatan untuk pesakit mental. Muzium ini ditubuhkan pada tahun 1967 dan dianggap sebagai salah satu muzium yang luar biasa di Amerika Syarikat.
Di sini, anda boleh mengetahui bagaimana pesakit mental dirawat dan ada rawatan menggunakan kaedah yang sangat dahsyat. Antara barangan yang tersimpan di muzium ini adalah “Kotak Gila” di mana ia digunakan untuk mengurung pesakit yang tidak terkawal di dalamnya sehingga pesakit itu menjadi tenang.
2. Muzium kematian Palermo
Muzium Kematian yang juga dikenali dengan nama “Catacombs of Palermo” ini boleh dipertimbangkan sebagai salah satu tempat dalam senarai untuk dikunjungi jika anda berkunjung ke selatan Itali. Sebelum tempat ini dijadikan muzium, ia merupakan tapak perkuburan besar pada kurun ke-16.
Sebahagian mayat di muzium ini terjaga rapi melalui proses mumifikasi dan juga persekitaran kubur ini yang sangat terpelihara. Sebahagian mumia di sini disusun seolah-olah mereka sedang tidur seperti manusia yang masih hidup.
Pemuliharaan mayat dan penyelenggaraan kubur ini dibiayai oleh si mati ketika hidup dan juga ahli keluarga mereka yang lain. Bagi mayat yang tidak dibiayai mereka akan diasingkan dari ruangan utama sehingga dana yang cukup diperolehi.
1. Muzium Purgatory
Muzium Purgatory setakat ini merupakan muzium paling menakutkan di dunia dengan banyak cerita mistik yang menyelubunginya. Purgatory atau neraka sementara ini bermaksud lokasi penyucian jiwa atau roh setelah kematian fizikal seseorang itu sehingga ia masuk ke dalam syurga.
Dipercayai bahawa terdapat roh yang diciptakan telah memiliki beberapa dosa yang perlu disucikan sebelum bertemu tuhan di syurga. Walaupun proses penyucian ini kedengaran biasa, namun ianya tidaklah seperti apa yang anda sangkakan apabila memasuki Muzium Purgatory ini.
Beberapa barangan yang dipamerkan di muzium ini terdiri daripada tanda dan bekas pada buku, baju dan kertas. Pada pandangan pertama, barangan ini kelihatan seperti biasa tetapi apabila anda membaca sejarah yang tertulis bagi setiap barangan, pasti anda akan berasa seram.
Salah satu barang yang paling mengejutkan ialah sebuah buku dengan tapak tangan manusia ketika rohnya dibakar. Penganut Kristian percaya hal ini berlaku apabila seseorang itu ingin membuang dosanya dan ini adalah salah satu hukuman yang perlu dilalui individu itu sebagai proses penyucian diri.
Sumber : https://iluminasi.com/
Speak Your Mind