AMALAN SYIRIK, KHURAFAT, TAHYUL DALAM PERUBATAN

Februari 13, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Soalan:

Saya ingin mengutarakan satu soalan di mana soalan ini adalah berkaitan budaya biasa masyarakat setempat. Saya rujuk kepada kaedah perubatan di mana insan itu apabila diduga oleh Allah SWT dengan kesakitan, amalan masyarakat setempat adalah di antara hukum syirik, khurafat, tahayul dan bid’ah. Di antara empat perkara ini, ada atau tidak ruang yang boleh membawa kepada niat doa dan usaha serta ikhtiar manusia. Mohon penjelasan ustaz.

https://5acf725257244e85b8f2a2d10db362ca.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

 

JAWAPAN:

Berkenaan dengan sikap masyarakat setempat yang seringkali mengamalkan kaedah rawatan yang dirujuk sebagai rawatan alternatif; seperti bertemu dengan bomoh, dukun, dan terlibat dengan perkara-perkara syirik, khurafat, tahyul, sihir, dan hal-hal yang seumpama dengannya.

Kita kena tahu bahawasanya rawatan di dalam Islam terbahagi kepada dua jenis. Pertama, rawatan hasil daripada kajian saintifik seperti yang diamalkan doktor-doktor pakar dan sebagainya. Itu rawatan yang diiktiraf oleh Islam. Kita jangan kata itu bukan rawatan Islam atau itu rawatan kafir. Sabda Nabi SAW di dalam hadis,

“Barangsiapa yang mengubati orang (menjadi doktor) dan dia tidak mengetahui ilmu kedoktoran, maka dia bertanggungjawab (atas akibat yang berlaku kepada pesakit).” (riwayat Abu Dawud, an-Nasa-i dan Ibnu Majah. Hadits hasan. Lihat Silsilah al-Ahadits ash-Shahihah)

Ini bermakna Islam mengiktiraf ilmu perubatan, dan ilmu perubatan yang terhasil daripada kajian adalah diiktiraf di dalam Islam. Bukan mengubati secara semberono atau rasa-rasa. Sabda Nabi di dalam hadis,

“Sesungguhnya Allah menciptakan penyakit dan ubat, maka berubatlah dan jangan kamu berubat dengan yang haram.”  (riwayat Ad-Daulabi dalam Al-Kuna, dari sahabat Abu Dardaa. Sanadnya hasan, dihasankan oleh Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah)

Itu rawatan Islam yang pertama, yang berasaskan kajian saintifik.

Kedua, rawatan yang disebut sebagai ruqyah (jampi). Ya, Islam ada mengajar jampi. Jampi yang dimaksudkan adalah bacaan-bacaan yang diajar oleh Nabi SAW dan para sahabat. Antara yang masyhur adalah hadis dari Abu Said Al-Khudri RA dalam Sahih Imam Al-Bukhari apabila beliau menjampi seorang ketua kampung yang dipatuk oleh haiwan berbisa; ada yang mengatakan dipatuk oleh ular, ada yang mengatakan disengat oleh kala jengking.

Maka beliau membaca surah Al-Fatihah dan kemudian seolah-olah meludah kepada air. Air tersebut diberikan kepada ketua kampung tadi dan dengan izin Allah SWT, sembuh sakitnya. Itu yang dipanggil ruqyah. Nabi SAW mengiktiraf hal ini dan baginda turut mengajar kita meruqyah orang.

 

PRINSIP RUQYAH

Cumanya, ruqyah ini ada prinsip-prinsipnya. Pertama, kita perlu lihat kepada orang yang sakit. Katakanlah si fulan sedang sakit. Yang terbaik baginya adalah dia meruqyah dirinya sendiri, iaitu membaca ayat-ayat ruqyah yang diajar di dalam hadis untuk mengubati dirinya sendiri.

Tentang apa bacaan-bacaanya, harus baginya belajar dan bertanya. Sabda Nabi di dalam hadis, antara ciri-ciri orang yang masuk syurga tanpa hisab adalah orang yang tidak meminta dirinya dijampi. Bukan bererti orang yang meminta orang lain menjampinya tidak boleh masuk syurga, boleh masuk tetapi dia akan dihisab. Hisab maksudnya dihitung amalan baik dan buruknya. Tetapi jika dia tidak minta dirinya dijampi, kata Nabi di dalam hadis bahawa ini merupakan ciri-ciri orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Kedua, jika dia tidak tahu cara menjampi (ruqyah), dia boleh merujuk orang yang pandai meruqyah. Dia perlu lihat siapa orang yang dia pilih. Kalau dia pergi kepada orang yang pakaiannya pun tidak sempurna, memakai benda-benda yang diharamkan seperti rantai, memakai banyak cincin (bagi lelaki), tidak memakai baju, bagaimana kita hendak jadikan dia orang kepercayaan kita untuk meruqyah kita. Nabi SAW cuma memakai satu cincin, baginda tidak pernah berada dalam keadaan terbuka pakaiannya, Nabi menutup aurat dan baginda sentiasa memakai dua kain; rida’ dan izar yakni kain yang menutup bahagian bahu (badan) dan kain yang menutup bahagian bawah.

Satu masalah dalam minda kita, kita menganggap setelah dijampi mestilah sembuh. Sembuh bukan syarat jampinya itu benar. Sembuh itu datang dari ketentuan Allah SWT, bukan daripada orang yang menjampi. Allah menguji manusia dengan kesembuhan, adakah kita bersyukur kepada Allah ataupun kita berterima kasih kepada orang yang menjampi.

Kalau kita baca betul-betul ayat Al-Quran untuk menjampi tetapi tidak sembuh sakitnya, bukan bererti ayat-ayat tersebut tidak mujarab dan tidak mustajab. Mungkin Allah SWT hendak menguji kita, sejauh mana keyakinan kita dengan ajaran Allah dan Rasul. Itu ujian bagi kita.

Sabda Nabi SAW di dalam hadis,

“Barangsiapa mendatangi dukun atau tukang sihir lalu mempercayai apa yang dikatakannya; maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.” (riwayat Al-Bazzar)

Ini hukuman yang berat, bukan hukuman yang ringan. Jadi kita perlu pilih orang yang hendak meruqyah kita. Orang itu mestilah orang yang saleh, shalat berjamaah, orang itu kaki masjid, ahli ibadah.

Ketiga, pastikan bacaan yang dibaca itu merupakan bacaan dari Al-Quran ataupun As-Sunnah serta dibaca di dalam bahasa Arab. Kita tidak boleh membaca terjemahan Al-Quran ataupun hadis. Ia mesti dibaca di dalam bahasa arab. Adapun doa kita sendiri untuk meminta secara khusus, tidak ada masalah di dalam bahasa selain Arab.

Imam Ibnu Hajar telah menyenaraikan syarat-syaratnya; doa mesti daripada Al-Quran dan As-Sunnah, dan ia tidak boleh berbentuk serapah. Tidak boleh serapah maksudnya mulutnya tidak boleh berkumat-kamit, sebaliknya bacaan setiap perkataan mestilah jelas.

Itu barulah ruqyah yang diterima di dalam Islam. Dan tidak perlu meletakkan limau, kemenyan, atau sebagainya. Semua ini tidak perlu. Islam mengajar ruqyah hanya dengan air sahaja.

Islam mengajar semua ini kerana bimbang kepada syirik yang akan membatalkan semua amalan. Rugi shalat, puasa, zikir, sadakah, semuanya habis apabila seseorang mensyirikkan Allah, kerana dia meletakkan kepercayaan kepada bomoh itu lebih tinggi atau setara dengan kepercayaannya kepada Allah. Kemudian dia pandai menjawab, mengatakan itu ikhtiar, kita sekadar mencuba.

Ini bukan soal mencuba, ini soal cara yang kita lakukan itu bertepatan atau tidak dengan prinsip-prinsip akidah Islam. Ini kerana Islam adalah agama amalan, bukan agama simbolik.

Saya ingin membawa contoh mudah. Syaitan bukan takut dengan mushaf atau lembaran Al-Quran, sebaliknya syaitan takut dengan pengamal dan pembaca Al-Quran. Sebab itu di dalam masjid pun orang boleh mencuri tabung masjid. Di dalam masjid pun orang boleh berzina sedangkan beratus-ratus Al-Quran ada di dalam masjid. Kalau syaitan tidak masuk masjid sebab takut Al-Quran, tidak akan ada kecurian di dalam masjid. Masjid tidak perlu dikunci pintu.

Jika di dalam agama kristian mereka meletakkan tanda salib, ada sesetengah orang di dalam Islam yang meletakkan Al-Quran untuk menghalau syaitan, sedangkan syaitan bukan takut dengan Al-Quran. Bahkan syaitan sendiri pernah mengajarkan Abu Hurairah RA ayatul Kursiy. Dia mengajar Abu Hurairah agar membaca ayat ini supaya syaitan tidak mengganggunya daripada malam sampai bangun tidur. Syaitan membacanya dari mula sehingga akhir. Sehinggakan Nabi SAW berkata kepada Abu Hurairah,

 

“Sesungguhnya dia telah jujur kepadamu, padahal dia adalah pendusta.” (riwayat Al-Bukhari)

Jadi Islam mengajar perbezaan daripada agama-agama lain. Islam bukan agama simbolik yang bergantung kepada kepercayaan-kepercayaan seperti menggantung ayat kursiy untuk takutkan hantu, letak Quran bawah bantal, letak itu, tampal ini. Tidak, ia bergantung kepada orang tersebut apakah dia beramal atau tidak dengan ayat-ayat Al-Quran. Begitulah ajaran Islam.

Wallaahua’lam.