ASAL USUL AZAZIL
`Azâzîl (Arab: عزازل ‘Azāzīl, Inggeris: Azazel, Izazil) merupakan nama asli daripada iblis yang merupakan ketua daripada bangsa jin sedangkan pendapat lain mengatakan bahawa nama asli bagi iblis adalah al-Harits. Menurut syariat Islam `Azâzîl adalah pemimpin kelompok syaitan dalam kalangan jin dan manusia.
Sebelum diciptakannya Adam, Azâzîl pernah menjadi imam para malaikat (Sayyid al-Malaikat) dan Khazin al-Jannah (Bendaharawan Syurga), selama beberapa puluh ribu tahun sebelum menderhaka kepada Allah. Nama Azazil dapat ditemui dalam beberapa kitab tafsir, diantaranya dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir, (Mujallad I-1/76 – 77), Tafsir Al- Khozin – Tafsir Al- Baghowi (I-1/48).
Azâzîl terdiri atas al-‘azâz yang bermaksud ‘hamba’ dan al-îl yang bermaksud ‘Allah’ . Perkataan al-‘azâz berasal daripada al-‘izzah yang bermaksud kebanggaan atau kesombongan atau dapat dimaksudkan sebagai mahluk yang membawa kesombongannya milik Allah. Dinamakan demikian kerana ia tercipta daripada api. Perkataan al-‘azâz (العزاز) terdiri daripada empat huruf, iaitu huruf ‘ain, zây, alif, dan zây yang kedua. Masing-masing huruf menunjukkan sepak terjang iblis, kerana setiap nama itu menunjukkan perbuatan pemiliknya.
Daripada huruf ‘ain muncul perkataan ‘ulluw ‘kesombongan’, daripada huruf zây muncul perkataan zuhw ‘sikap takabur’, daripada huruf alif muncul perkataan ibâ’ ‘penentangan’ dan istikbâr ‘sifat angkuh’. Kesombongan, sikap takabur, penentangan, dan sifat angkuh merupakan sifat-sifat yang dimiliki iblis. Inilah tafsir nama asli iblis iaitu Azâzîl.
KISAH AZAZIL
Diriwayatkan, bahawa Malaikat Israfil telah membaca tulisan di Luh Mahfuz tentang seorang hamba Allah yang telah beramal ibadat kepada Allah selama lapan puluh ribu tahun, tetapi ibadatnya itu ditolak dan dia dilaknat oleh Allah. Nama hamba Allah itu tidak dijelaskan dalam catatan tersebut. Oleh sebab itu, Israfil terlalu dukacita dan menangis kerana khuatirkan dirinya sendiri yang dimaksudkan dengan hamba Allah tersebut.
Para malaikat bertanya kepada Israfil untuk mengetahui kenapa dia menangis. Lalu Israfil menyatakan apa yang telah dilihatnya (dibacanya) di Luh Mahfuz itu. Para malaikat semuanya turut menangis. Masing-masing khuatir kalau-kalau keadaan yang amat malang itu akan berlaku ke atas diri mereka.
Dalam keadaan berdukacita itu, para malaikat itu tiba-tiba teringat kepada Azazil, hamba Allah yang terkenal dengan doanya yang paling mustajab. Lalu mereka mengambil keputusan untuk pergi meminta pertolongan kawan mereka yang bernama Azazil itu. Secara beramai-ramai mereka pergi menemui Azazil. Kepada Azazil mereka ceritakan masalah yang mereka hadapi itu dan seterusnya meminta Izazil berdoa supaya nasib yang malang itu tidak melibatkan mereka. Azazil pun berdoa untuk para malaikat itu, tetapi terlupa hendak mendoakan dirinya sendiri.
Sebenarnya, Azazil sendiri pernah melihat satu surat di atas pintu syurga yang mengisahkan tentang seorang hamba Allah, diantara hamba-hamba Allah yang Muqarrabin, yang enggan mematuhi satu perintah Allah. Lalu Azazil mengutuk hamba Allah yang ingkar itu, selepas memohon keizinan untuk berbuat demikian daripada Allah. Maka terlaknatlah hamba Allah itu selama seribu tahun. Tidak disangkanya, bahawa hamba Allah itu ialah dirinya sendiri.
Kedua-dua suratan yang tercatat di Luh Mahfuz dan di atas pintu syurga itu sebenarnya mengenai diri Azazil sendiri, yaitu apabila dia enggan mematuhi perintah Allah supaya sujud kepada Adam. Sejak itulah namanya diubah daripada “Azazil” kepada “Iblis”, dan seterusnya, Iblis atau Azazil ditolak dari pintu rahmat Allah untuk selama-lamanya.
Sejarah Azazil dan kisah fiksyen selanjutnya telah digarap secara terperinci oleh novelis Eqbal Mohaydeen di dalam karya genre seram beliau berjudul AZAZIL.
Sumber artikel: Wikipedia (Bahasa Melayu) / inarania.blogspot.com
Speak Your Mind