MATI dihunus keris adalah mati yang menyeksakan.
Hang Jebat mati setelah beberapa hari menahan sakit kerana tusukan keris milik Hang Tuah. Tubuh badannya menjadi semakin lemah dan tidak bermaya, sehingga akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir kerana luka tersebut.
Ini kerana tikaman daripada sebilah keris tidak akan membunuh secara terus, sebaliknya akan mengambil masa berjam-jam, hari malah sehingga berbulan lamanya sebelum mangsa mengakhiri nyawanya.
Apa yang menjadikan senjata yang lahir dari alam Melayu Nusantara, keris sebagai sebilah besi yang cukup hebat?
Jawapannya, keris bukan sekadar besi. Ia memiliki jiwa dan karakter serta falsafah tersendiri. Daripada proses pembuatannya, sehinggalah kepada pemilikannya, keris lahir dari alam Melayu Nusantara yang memiliki keunikan dan misteri.
Pada mata masyarakat barat, senjata seperti keris memiliki nilai hanya apabila memiliki rupa bentuk dan fizikal yang cantik sahaja.
Namun, bagi dunia Melayu dan Nusantara, keris memiliki harga yang lebih tinggi. Makna sebilah keris bagi dunia Melayu terletak pada pemikiran, falsafah dan nilai kepercayaan yang ada pada ‘karya’ itu.
Justeru, memiliki keris bagi masyarakat di Nusantara bukan hanya memiliki sesuatu yang berfizikal cantik semata-mata. Ia adalah lambang dan simbol ketinggian masyarakat Melayu.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Seni dan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Drs. Izani Mat Il, pembuatan keris di Nusantara sering dikaitkan dengan kepercayaan, perasaan dan pancaindera masyarakat penggunanya.
“Masyarakat Nusantara zaman dahulu menggunakan perasaan dalam menilai keris. Mereka membezakan berbagai-bagai jenis besi dengan cara mengamati, mendengar bunyinya bila dijentik, dengan merabanya dan menggunakan perasaan hati. Oleh kerana itulah, ilmu besi tradisional ini sukar dipelajari dan sukar juga dibuat catatannya,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Izani berkata, jika dikaji pembuatan keris di Jawa, terdapat 17 bahan logam yang mempunyai ‘khasiat’ tersendiri terhadap pemakainya digunakan dalam proses pembuatan sebilah keris.
Sebagai contoh, Pulasani adalah besi yang mempunyai urat-urat seperti batu, berwarna hijau pekat dan mempunyai bunyi bergema apabila dijentik. Pemakai besi jenis ini dikatakan membawa rezeki dan darjat serta amat baik untuk dijadikan bahan pusaka.
Namun, perkara yang paling penting perlu ada pada sebilah keris adalah sejenis campuran besi yang dipanggil ‘pamor’. Pamor pada keris terhasil semasa proses pembuatan senjata itu. Ia terbentuk daripada perbezaan jenis besi yang digunakan dalam teknik pembuatan mata keris.
Beliau berkata, keris pada zaman dahulu kebiasaannya akan disalut dengan bahan arsenik atau digelar ‘warangan’ dalam bahasa Jawa. Bahan itulah yang akan menyebabkan lawan menderita bagi tempoh lama setelah terkena tusukan atau tikaman keris. Mengikut logik, itu apa yang berlaku pada Hang Jebat.
Kredit : http://www.utusan.com.my/rencana/utama/keris-jiwa-melayu-dan-nusantara-1.377802
Di dalam novel SETERU, ada ditonjolkan beberapa bilah keris seperti Keris Generasi dan Keris Puncak Berapi. Novel ini merupakan sebuah karya bergenre thriller fantasi. Elemen dendam dan permusuhan menjadi resepi dalam adunan karya ini. Membuatkan pembaca berasa teruja dan memberikan persoalan-persoalan yang memaksa pembaca untuk menyelak halaman seterusnya bagi mendapatkan jawapan, tetapi pada masa yang sama. Turut menyuntik nilai positif ke dalam perkara negatif. Ibarat tersesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan.