Asal Usul Peranakan Baba dan Nyonya
Baba dan Nyonya adalah segolongan keturunan kaum Cina yang unik kedudukannya di kalangan kaum Cina yang terdapat di Negeri-negeri selat, Tanah Melayu (kini Malaysia), khususnya di negeri Melaka.
Mereka memanggil diri mereka sebagai ‘Baba’ atau ‘Peranakan’ kerana kebudayaan mereka, yang berasal daripada warisan tradisi Cina, mempunyai unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu. Penyesuaian dan resapan budaya mereka terhadap suasana sosio-budaya di persekitaran mereka di zaman silam, iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku di antara kaum-kaum Cina dan Melayu, adalah punca utama mengapa generasi-generasi seterusnya memanggil mereka sebagai ‘Baba’. Dari segi anutan, kebanyakannya masih mengekalkan agama tradisional Cina dan Buddha, namun telah ramai yang memeluk agama lain seperti Kristian yang amat popular dalam kalangan remaja.
Budaya
Budaya Baba berasal dari Melaka tetapi apabila Pulau Pinang dan Singapura berkembang dan dimajukan, banyak juga di antara mereka yang berpindah ke kedua-dua negeri ini, terutamanya Singapura. Kaum Baba yang wujud pada hari ini bertutur di dalam bahasa Baba iaitu sejenis dialek Melayu yang dapat difahami oleh kebanyakan orang Melayu. Cara masakan mereka kebanyakannya diresapi oleh cara masakan Melayu dan adalah menjadi satu kebiasaan bagi mereka makan dengan menggunakan tangan sebagaimana juga orang-orang Melayu. Generasi Nyonya (Baba perempuan) yang terdahulu masih memakai pakaian kebaya dan kain sarung sebagaimana yang dipakai oleh orang-orang Melayu.
Pakaian
Pakaian Nyonya serupa dengan pakaian tradisi Melayu, iaitu terdiri daripada baju kebaya (baju panjang dan batik sarung) dan kerongsang.
Kasut manek ialah alas kaki buatan tangan yang memerlukan kemahiran dan kesabaran tinggi untuk menghasilkannya dari jalinan manik kaca bersegi-segi halus yang dijahit pada kain terpal. Pada mulanya, manik-manik yang diperlukan untuk menghiasi kasut manek berasal dari Eropah, tetapi lama-kelamaan banyak diperoleh dari Jepun.
Rekaan kasut manek tradisional sering memperlihatkan motif bunga Eropah dan warnanya dipengaruhi oleh tembikar Peranakan dan sarung batik. Mulai 1930-an, kasut manek menjalani perubahan dengan diberi rekaan moden dan ditambah tumit.
Perkahwinan
Majlis perkahwinan Peranakan yang banyak mengetengahkan tradisi Cina merupakan antara perkahwinan tradisi yang paling berwarna-warni di Malaysia dan Singapura. Majlis diserikan dengan lagu berima spontan dondang sayang yang dinyanyi di dalam bahasa Melayu dan ditari oleh para hadirin di jamuan. Dondang sayang memerlukan kemahiran berjenaka dan bertikam balas, siapa yang bijak berdondang maka dialah yang meraih gelak ketawa dan tepukan tangan ramai-ramai. Pelat loghat dan cara berbahasa Baba dan Nyonya serta kepandaian menyerikan lagi persembahan.
Sekiranya anda membaca novel Sumpah Setia karya Aisya Sofea yang terbaharu, pasti anda memahami sedikit sebanyak tentang budaya Peranakan Baba dan Nyonya ini, kerana watak utama iaitu Elias Lim adalah seorang jejaka yang berketurunan Baba Nyonya! Terdapat banyak elemen Baba dan Nyonya yang diselitkan di dalam novel ini. Jadi, mungkin novel novel ini menepati cita rasa anda di luar sana!
Sumber artikel dan gambar: Wikipedia dan Google