Pagi ini terbaca catatan Puan Asmah Hashim di dalam FB beliau Asmah Hashim Hashim tentang kemunculan Dajjal. Termenung seketika setelah membacanya. Dajjal datang dengan bergunung-gunung roti? Allahuakbar!
Sekarang ini kita diuji dengan kekurangan bekalan roti terutama sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan. Masing-masing meluahkan perasaan tidak puas hati di Facebook kerana sudah seminggu tidak berjumpa dengan roti. Roti begitu cepat habis di kedai. Apakah kita sedang melalui zaman di mana makanan dan minuman tiada? Sedangkan dugaan seperti ini kita sudah goyah. Bagaimana jika kebuluran dan ketika itu dajjal datang menjanjikan kekenyangkan? Ya Allah, kuatkan iman kami dan peliharalah syahadah kami. Janganlah jadikan kami pengikut dajjal yang dilaknat Allah.
Baca catatan Puan Asmah Hashim ni tentang Dajjal.
Hari pertama Dajjal turun, tidak ada makanan dan tidak ada air kerana tujuh bulan hujan tidak turun.
Berlaku perang sesama manusia kerana berebut makanan dan minuman.
1 hari Dajjal berada di bumi bersamaan satu tahun.
Hari kedua bersamaan sebulan.
Hari ketiga bersamaan seminggu.
Hari keempat baharulah kembali pada hari-hari yang biasa.
Ketika Dajjal datang dari satu tempat ke satu tempat, Dajjal akan bawa bersama bergunung-gunung roti, sesiapa yang mahukan makanan, manusia harus mengaku Dajjal sebagai tuhan. Ketika itulah hilang iman dan takwah kepada Allah SWT.
Selama 400 hari Dajjal berada di bumi, orang beriman dan bertakwa tidak akan makan dan minum. Makanan orang beriman hanyalah zikir, tahmid dan takbir. Mereka sanggup berlapar demi pertahankan keimanan dn ketakwaan kepada Allah SWT.
Dajjal itu manusia, punya dua mata, tetapi sebelah matanya buta. Di dahinya akan tertulis ‘Kafir’, tulisan itu tidak boleh dibaca oleh orang yang fasik dan munafik.
Tulisan itu hanya boleh dilihat oleh orang-orang yang beriman berkat hidayah daripada Allah SWT. Jika terlihat Dajjal larilah daripadanya.
Antara mereka yang mudah terpengaruh adalah wanita. Kerana Dajjal datang bersama kemewahan. Akan ramai orang yang mengikutnya.
Adakah kita sudah bersedia menghadapinya?
Sedangkan ketika disuruh berkurung di rumah pun kita sudah seperti cacing kepanasan!
Berdoalah, semoga kita tidak bertemu dengan zaman ketika Dajjal berkuasa.
Melihat keadaan kita hari ini… Mampukah kita mempertahankan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah dan Rasul-Nya?
Masih ada saat getir dan susah yang perlu kita dan anak cucu kita lalui.
Bayangkan bagaimana di saat anak cucu kita kelaparan adakah kita mampu bertahan agar tidak tergadai keimanan dan ketakwaan kita kepada Dajjal hanya kerana hendak memenuhi tuntutan isi perut ahli keluarga kita?
Allahuakbar! Sesungguhnya hanya kepada Allah kita bersandar!
Marilah kita muhasabah diri di saat ujian wabak virus ini menyerang dengan menjadi orang yang bersabar. Supaya ketika datangnya Dajjal kita sudah bersedia menghadapinya.
WaAllahu’alam
Kekallah di rumah. Keluar ketika perlu sahaja.
#MaahadazzeinAlmakki
#muhasabahdiri
#berdoalah
p/s: Terima kasih Puan Asmah atas perkongsian artikel yang sangat menarik ini.