Istinjak dengan menggunakan tisu basah menurut kaedah istinjak selain air mutlak berdasarkan Mazhab Syafi’e tidak menepati syarat yang sempurna. Jika sesuatu proses menghilangkan najis tidak menepati syarat-syaratnya, maka proses itu tidak sah. Maksudnya seseorang itu masih lagi dikira sebagai menanggung najis.
Ini kerana tisu itu bersifat basah sedangkan antara syarat sah menggunakan bahan selain air untuk istinjak seperti bahan-bahan kesat (batu), ia mestilah kering sebagaimana yang disebut dalam kitab Nihayatul az-Zein fi Irsyad al-Mubtadi’in:
“Manakala syarat-syaratnya (istinjak dengan batu atau seumpamanya) menurut keadaan zatnya mestilah ia (batu atau bahan kesat) dalam bentuk pepejal (jamid), suci, mampu menanggalkan (objek najis), tidak dihormati dan tidak basah. Manakala bahan yang dihormati ialah makanan manusia atau jin.”
Imam Nawawi dalam kitab Raudah at-Tolibin menjelaskan bahawa beristinjak dengan bahan yang lembap atau basah tidak sah hukum penyucian itu:
“Jika seseorang itu beristinjak dengan batu yang lembap atau selainnya, maka ia tidak sah menurut pendapat yang sahih.”
Meskipun pada zahirnya nampak najis itu hilang, namun hakikatnya ia masih lagi kekal dan bercampur dengan bahan yang basah itu sedangkan bahan yang bercampur dengan najis tidak boleh menyucikan najis. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Ramli dalam kitab Nihayah al-Muhtaj:
“Jika seseorang beristinjak dengan batu yang basah, maka tidak sah istinjak itu kerana basahan itu menjadi najis dengan najis yang pada tempat (keluar najis), kemudian batu menajiskan tempat itu, maka hendaklah menggunakan air.”
Hukum fiqh dikeluarkan oleh para ulama melalui nas-nas syarak sama ada daripada al-Quran mahupun Sunnah, bukan melalui logik akal semata-mata. Jika merujuk kepada amalan-amalan Rasulullah SAW dalam beristinjak dengan batu, tiada riwayat yang menunjukkan baginda beristinjak dengan bahan pepejal yang basah. Jika ia akan menghilangkan ain (objek) najis, sudah tentu baginda akan mempraktikkan cara itu seperti membasahkan batu atau kain.
Sumber buku: 99 Soal Jawab Viral Netizen