CINTA AGUNG DI ARAFAH

CINTA AGUNG DI ARAFAH

Gunung Arafah atau Gunung Arafat (Bahasa Arab: جبل عرفات‎; bahasa Arab Jabal ‘Arafāt) ialah sebuah bukit berbatu yang terletak di sebelah timur Makkah al-Mukarramah. Ia juga dikenali sebagai Gunung Rahmat (Jabal ar-Rahmah). Jemaah haji wajib berhenti seketika di sini pada 9 Zulhijjah sebelum masuk waktu maghrib, jika tidak batal hajinya.

Di Arafah merupakan tempat simbolik yang sesuai bagi mengenang semula kisah percintaan Adam dan Hawa setelah diturunkan dari syurga. Dikatakan mereka terpisah, Hawa di tempatkan di Jeddah, manakala Nabi Adam pula terdampar di India. Mereka hidup berjauhan selama 40 tahun dan akhirnya di pertemukan semula di Arafah. Disebabkan itu maka ramailah bagi jemaah yang bujang berdoa untuk dipertemukan jodoh atau bagi yang sudah berkahwin pula mendoakan agar jodoh mereka diperteguhkan sebagaimana seteguhnya cinta Adam dan Hawa. Namun begitu kisah ini tidak dapat disahihkan sepenuhnya oleh para ulama disebabkan tiada riwayat yang muktabar sepenuhnya. Di sisi lain pula Ibnu Kathir menyebutkan Nabi Adam diturunkan di Safa manakala Hawa diturunkan di Marwah. (Rujuk buku Kisah 12 Isteri Para Rasul).

Selain itu yang nyata lagi sahih ialah khutbah terakhir baginda Nabi Muhammad SAW yang juga berlaku di lembah Uranah di Arafah. Setelah 10 tahun berhijrah ke Madinah, menurut riwayat Rasullullah SAW tidak pernah mengerjakan haji kecuali dalam di waktu terakhirnya iaitu dalam peristiwa Haji Wida’ sebelum baginda wafat. Antara kandungan khutbah baginda.

“Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Pada hari ini juga umat islam yang tidak berpeluang mengerjakan haji disarankan berpuasa sunat dan memperbanyakkan doa. Rasulullah ketika ditanya tentang puasa pada hari Arafah ber­sabda: “Diampunkan dosa setahun lalu dan setahun akan datang.” (Riwayat Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi).

Ritual di Arafah berakhir saat masuknya waktu maghrib, menandakan masuknya 10 Zulhijjah dan para jemaah haji bolehlah berangkat ke tempat seterusnya iaitu di Mudzalifah.

Speak Your Mind

*