SEEKOR jaguar memburu buaya di kawasan tanah paya Pantanal, Brazil pada 5 September lalu. – AFP
RIO DE JANEIRO – Saintis-saintis di Brazil menganggarkan sejumlah 17 juta haiwan mempunyai tulang belakang termasuk reptilia, burung dan primat terbunuh dalam kebakaran besar yang memusnahkan tanah paya Pantanal pada 2020, lapor Perbadanan Penyiaran Britain kelmarin.
Pantanal merupakan kawasan paya tropika terbesar dunia dan terletak di negeri Mato Grosso, Brazil hingga ke wilayah Bolivia serta Paraguay seluas hampir 195,000 kilometer persegi.
Kebakaran hutan yang marak antara Januari hingga November 2020 itu mengakibatkan 30 peratus kawasan tanah paya itu musnah.
Kajian berhubung kerugian yang berlaku itu disiarkan dalam jurnal Scientific Reports.
“Pada tahun lalu, terdapat 22,000 kejadian kebakaran hutan yang berasingan di Pantanal,” kata ketua saintis Tabung Hidupan Liar Sedunia cawangan Brazil, Dr. Mariana Napolitano Ferreira.
Menurutnya, kajian tersebut mengetengahkan betapa pentingnya untuk menghidari bencana serupa di masa hadapan.
Saintis-saintis berupaya sampai ke tanah paya itu dalam tempoh 48 jam selepas kebakaran dapat dipadamkan. Mereka melalui beberapa laluan dan memeriksa setiap haiwan mati yang ditemui.
Pasukan saintis itu mengenal pasti 300 spesies bangkai haiwan sebelum melakukan eksplorasi dan membuat anggaran bilangan haiwan yang mati secara keseluruhan. – Agensi
Speak Your Mind