488 wartawan dipenjarakan di seluruh dunia

PEGAWAI-PEGAWAI RSF menunjukkan foto wartawan yang ditahan oleh kerajaan Belarus di Salcininkai, Lithuania pada 27 Mei lalu. – AFP

PARIS – Terdapat kira-kira 488 profesional media yang menjalani hukuman penjara di seluruh dunia, angka tertinggi sejak Pemberita Tanpa Sempadan (RSF) mula melakukan catatan lebih 25 tahun lalu, kata badan bukan kerajaan(NGO) tersebut hari ini.

Sebagai perbezaan, bilangan wartawan yang dibunuh pada tahun ini iaitu 46 orang adalah terendah sejak RSF mula melakukan pengiraan tahunan tersebut. Penurunan kematian itu antara lain,  berikutan situasi yang lebih stabil di Asia Barat.

“Bilangan wartawan yang dipenjarakan kerana pekerjaan mereka tidak pernah setinggi ini sejak RSF mula menyiarkan laporan tahunannya pada tahun 1995,” kata NGO yang memperjuangkan kebebasan media itu dalam satu kenyataan.

Angka penahanan pada tahun ini meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu. Ia disebabkan oleh operasi pihak berkuasa terhadap media di Myanmar, Belarus dan Hong Kong.

RSF berkata, pihaknya juga tidak pernah melihat sebegitu ramai wartawan wanita ditahan pada 2021  iaitu 60 orang atau satu pertiga lebih ramai berbanding 2020.

China berada di tempat pertama dengan memenjarakan 127 wartawan diikuti Myanmar (53), Vietnam (43), Belarus (32) dan Arab Saudi (31).

Dalam perkembangan berkaitan, kebanyakan daripada 46 pembunuhan wartawan atau 65 peratus adalah pembunuhan yang dirancang.

Mexico dan Afghanistan sekali lagi muncul sebagai negara paling berbahaya kepada wartawan dengan masing-masing merekodkan tujuh serta enam kematian. 

RSF turut merekodkan seramai 65 wartawan dan petugas media lain dijadikan tebusan di seluruh dunia termasuk 44 orang di Syria, 11 di Iraq dan sembilan di Yemen.