6 Jenama Malaysia yang Terkenal di Luar Negara

Ada dalam kalangan orang Malaysia pada suatu ketika dahulu sering memandang rendah terhadap barangan buatan tempatan. Tetapi sekarang, produk tempatan telah mendapat sambutan hebat di negara luar. Dalam meraikan semangat Merdeka pada bulan Ogos ini, kami berbangga untuk memaparkan kepada anda beberapa jenama Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Kawan Food

Jiran Kawan Food frozen paratha
Imej: Kawan Food

Bertapak di Shah Alam selama hampir 30 tahun, Kawan Food bermula sebagai pengeluar dan penjual kulit popia. Syarikat penghasilan makanan ini dikenali sebagai pencipta paratha sejuk beku pertama di dunia. Barisan produk Kawan Food bukan sahaja menjadi kegemaran orang Malaysia, malah ia juga telah berjaya memasuki pasaran Amerika Syarikat, Kanada, Eropah, Ireland, United Kingdom, Timur Tengah, Afrika, Asia dan Australasia.

Jimmy Choo

Jiran Jimmy Choo celebrities shoes
Imej: Wikipedia

Jimmy Choo merupakan anak kelahiran Pulau Pinang yang menjadi ikon fesyen di Hollywood. Selain mencipta nama di negara luar sebagai pereka kasut dan beg tangan, rekaan beliau juga menjadi tumpuan golongan selebriti di sana. Jenama mewah Jimmy Choo telah dijual kepada Michael Kors pada 2017 pada harga AS$1.2 bilion (RM5.09 bilion). Jenama yang diasaskan pada 1996 bersama rakannya, Tamara Mellon, mula menempa nama apabila kasut rekaan mereka menjadi pilihan mendiang Puteri Diana. 

BABA’S

Jiran BABA S imported spices
Imej: Facebook BABA’S

Siapa tidak kenal jenama rempah BABA’S? Jenama ini senang didapati dan menampilkan 30 produk rempah-ratus yang terdiri daripada Pure FlourStaple Food Mixes dan banyak lagi. BABA’S telah menembusi pasaran luar negara dan boleh didapati di Amerika Utara, Kanada, Eropah, Afrika Selatan, Australia dan hampir semua negara di Asia Tenggara.

Spritzer

Jiran Spritzer Malaysia made mineral water 1
Imej: Facebook Spritzer

Spritzer merupakan antara jenama pilihan ramai kerana rasa airnya yang segar dan kurang payau berbanding air mineral lain. Kualiti produk Kumpulan Spritzer dijaga dengan teliti supaya sumber air semula jadi yang terletak di Taiping, Perak kekal tulen dan bersih. Jenama ini terdiri daripada lapan buah anak syarikat yang memfokuskan kepakaran kepada pencarian, penghasilan serta pengedaran air mineral semula jadi, air suling, air perisa buah dan macam-macam lagi. Produk kegemaran rakyat tempatan ini turut dieksport ke Singapura, Brunei, China, Hong Kong, Taiwan dan Papua New Guinea.

Secret Recipe

Jiran Secret Recipe overseas
Imej: Secret Recipe

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Secret Recipe Cakes & Café Sdn Bhd, Datuk Steven Sim, membuka cawangan pertama Secret Recipe di SS2 Petaling Jaya bersama tiga anak saudaranya yang mempunyai kelayakan dalam pembuatan kek pada tahun 1997. Menunya yang terdiri daripada kek berkualiti tinggi menjadi tumpuan pelanggan. Syarikat ini kian berkembang dan selepas 20 tahun beroperasi, Secret Recipe mempunyai lebih 440 kafe di Malaysia dan luar negara termasuklah Singapura, Indonesia, Thailand dan New Zealand.

MAMEE

Jiran Mamee snack exporters
Imej: Facebook MAMEE

Jenama makanan ringan MAMEE memang digemari ramai tanpa mengira peringkat umur. MAMEE menawarkan pelbagai jenis produk seperti mi segera, biskut dan Mister Potato yang menjadi pilihan pengguna sejak 1992. Syarikat yang mencecah usia 50 tahun ini diasaskan oleh Datuk Pang Chin Hin di Melaka pada tahun 1971. Sejak diperkenalkan di pasaran Malaysia, ia berkembang dengan pantas. Kini, MAMEE menjadi pengilang antarabangsa yang diiktiraf dan muncul dengan lebih 50 produk di bawah 10 jenama di luar negara seperti Perancis dan Australia. 

Speak Your Mind

*