Disebabkan pandemik, amalan bekerja dari rumah memerlukan rakyat Malaysia menghabiskan sebahagian besar masa di kediaman masing-masing. Menghadap skrin komputer dan telefon pintar untuk jangka masa yang panjang boleh menjejaskan kesejahteraan mental kita, tambahan pula dengan kurangnya hubungan antara manusia seperti interaksi sesama rakan pejabat dan masyarakat sekeliling.
Hal ini amat membimbangkan terutamanya jika berlarutan dalam tempoh yang lama. Salah satu cara untuk meningkatkan mood anda dan mewujudkan suasana yang mendamaikan hati adalah dengan menambah unsur kehijauan flora di dalam rumah.
Di sini kami senaraikan beberapa jenis tumbuhan hiasan yang terdapat di Malaysia yang boleh digunakan untuk mencipta ketenangan di pelbagai ruang kediaman anda.
1. Lidah Jin
Antara tumbuhan yang paling senang dijaga, Lidah Jin hanya memerlukan penjagaan minimal tanpa penyiraman yang kerap dan pencahayaan yang banyak. Ia merupakan pokok hiasan dalam rumah yang mampu membersihkan udara daripada pencemaran.
2. Sukulen
Ingin menghias ruang dalaman dengan tumbuhan yang kecil dan comel? Hampir semua kaktus adalah dalam keluarga sukulen tetapi bukan semua sukulen adalah kaktus. Sukulen menjadi pilihan ramai kerana ia mudah dijaga. Anda hanya perlu menyiramnya seminggu sekali dan memastikan ia menerima pencahayaan yang sederhana.
3. Calathea
Daunnya yang dwiwarna merupakan ciri istimewa yang membuatkannya sesuai sebagai hiasan dalaman. Penjagaan tumbuhan ini amat mudah. Pastikan tanah sedikit lembap dan pokok mendapat cahaya sederhana. Gunakan pasu putih ataupun warna terang supaya daun nampak lebih menonjol.
1. Coleus
Tumbuhan ini boleh ditanam di tanah ataupun dalam pasu gelas kegemaran anda yang berisi air. Ia hanya memerlukan pencahayaan yang sederhana dan boleh ditanam semula selepas pemangkasan dilakukan.
2. Lucky Bamboo
Tanaman hidroponik yang boleh tumbuh di dalam air semata-mata tanpa ditanam dalam tanah. Cara penjagaannya pula amat mudah. Anda hanya perlu mengisi bekas dengan air bersama kerikil kecil yang berfungsi untuk memastikan batangnya tertanam di dalam bekas.
3. Wandering Jew
Daun dan batangnya yang berwarna hijau-merah menjadikannya tumbuhan hiasan dalaman idaman. Untuk penjagaan maksimum, jangan lakukan penyiraman terus ke atas mahkotanya bagi mengelakkan tumbuhan membusuk. Disebabkan kadar pertumbuhannya yang cepat, pemangkasan perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga minggu sekali.
1. Bunga Raya
Diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan pada tahun 1960, Bunga Raya merupakan pokok bunga yang tahan lasak. Ia boleh membesar sehingga dua hingga tiga meter. Oleh itu, pemangkasan perlu dilakukan dengan kerap. Selepas berbunga, kelopaknya boleh dikutip dan dikeringkan untuk dijadikan teh yang berkhasiat.
2. Wax Begonia
Spesies Begonia ini merupakan tumbuhan berbunga yang kecil molek dan sesuai sebagai hiasan rumah kerana ia serasi dengan iklim tropika. Anda cuma perlu memastikan tanah selalu lembap dan pencahayaan dilakukan dengan kerap.
3. Gardenia
Pokok bunga Gardenia sesuai untuk ditanam di dalam rumah kerana ia hanya memerlukan suhu yang sederhana dan pencahayaan yang cerah tetapi tidak terlalu terik. Ia mempunyai aroma yang luar biasa dan menenangkan. Keharuman baunya akan mengingatkan anda kepada bunga melati.
Ingin tahu lebih lanjut mengenai cara meningkatkan kualiti hidup anda? Ikutilah laman Facebook, Instagram ataupun Twitter Jiran untuk banyak lagi tip yang berguna!
Speak Your Mind