Berlin jual tiket kereta api boleh dimakan

Tiket yang boleh dimakan ini ditaburkan dengan titisan minyak ganja. – DW.com

BERLIN – Rangkaian pengangkutan metro di Berlin menjual tiket kereta api yang dicampur dengan minyak ganja (hemp oil) yang boleh dimakan, bagi mengurangkan ‘tekanan’ dalam kalangan penumpang, lapor laman berita Wionews semalam.

Minyak ganja berasal daripada sejenis tanaman ganja yang digunakan dalam perubatan.

“Dengan cara ini, anda boleh mengembara tanpa kerumitan di sekitar Berlin sepanjang hari,” kata syarikat pengendali pengangkutan metro Berlin, BVG yang terkenal dengan aksi pemasaran yang unik.

Tiket berharga 8.80 euro (RM42)  itu diperbuat daripada kepingan kertas yang boleh dimakan. 

BVG berkata, kertas yang boleh dimakan itu telah ditaburkan dengan ‘tidak lebih daripada tiga titik’ minyak tersebut.

“Minyak ganja adalah 100 peratus diperbuat daripada sayuran dan merupakan kuah salad yang enak,” tambah syarikat itu.

Kerajaan baharu Jerman yang mengangkat sumpah minggu lalu telah bersetuju untuk menghalalkan penggunaan ganja secara rekreasi.

BVG bagaimanapun berkata pihaknya ‘menentang sebarang jenis penggunaan dadah sama ada dadah yang menyalahi undang-undang atau sah’. 

Speak Your Mind

*