Buli bukan lagi gurauan

MENURUT Persatuan Psikologi Amerika Syarikat, buli adalah kelakuan agresif di mana seseorang secara sengaja dan berulang kali menyebabkan orang lain cedera atau tidak tenteram.

BULI adalah perbuatan yang berniat menunjukkan kekuatan, menggertak atau mencederakan orang yang dilihat berkeadaan lebih lemah daripada si pelaku.

Buli bukan lagi mainan dan gurauan. Sebab itu gejala ini perlu ditangani secara bersama. Hal ini kerana kes-kes buli saban hari semakin bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan dan tidak terkawal.

Menurut Persatuan Psikologi Amerika Syarikat, buli adalah kelakuan agresif di mana seseorang secara sengaja dan berulang kali menyebabkan orang lain cedera atau tidak tenteram.

Buli boleh terjadi secara ­fizikal, dalam bentuk perkataan atau secara lebih halus. Mangsa buli kebiasaannya tidak dapat mempertahankan diri dan dalam masa sama tidak melakukan apa-apa yang menjadikan sebab dirinya dibuli.

Menurut perspektif Islam, perbuatan buli tidak boleh dilakukan kerana ia bertentangan dengan agama dan nilai kemanusiaan. Ia juga bertentangan dengan Islam sebagai satu agama yang memelihara karamah insaniah atau kemuliaan insan.

Jika masalah ini tidak dibendung dari awal, ia akan meninggalkan kesan negatif kepada mangsa buli. Antaranya masalah kesihatan berkaitan mental, mengalami kecederaan anggota badan dek dipukul pembuli, ponteng sekolah kerana takut dengan pembuli dan pencapaian akademik merosot kerana hilang fokus dalam pelajaran.

Oleh itu, perbuatan buli harus dibendung sebelum ia menjadi tidak terkawal dan sewajarnya diberi perhatian penuh oleh semua lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda.

Semua pihak mempunyai peranan mereka masing-masing bagi membendung perbuatan buli. Jika perbuatan ini tidak dibendung, ia akan merosakkan generasi muda dan generasi akan datang.

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Pepatah menyebut, tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.