Kanser payudara merupakan antara kanser utama yang menyerang wanita di Malaysia. Secara purata, dianggarkan satu daripada 19 wanita di Malaysia berisiko menghidapinya. Walaupun kita sering mendengar kes kanser payudara dalam kalangan wanita, sebenarnya lelaki juga berisiko untuk menghidap kanser ini.
Payudara wanita terdiri daripada sel-sel kelenjar lobul (lobules) yang menghasilkan susu. Saluran ini membawa susu ke bahagian saluran puting (ducts), saluran darah dan limfa selain lemak dan tisu pengantara. Kanser payudara kebiasaannya bermula dari sel yang melapisi bahagian saluran (ductal cancer). Terdapat juga kes yang bermula di kelenjar lobul (lobular cancer) dan lain-lain.
Simptom-simptom kanser payudara
1. Ketulan pada bahagian payudara
Simptom terawal kanser payudara biasanya adalah ketulan pada bahagian payudara. Dengan melakukan pemeriksaan secara kendiri, anda boleh memeriksa sama ada anda mempunyai ketulan yang tidak normal pada kawasan payudara.
2. Sakit pada bahagian payudara
Kanser payudara yang membengkak akan menyebabkan pesakit mengalami rasa sakit pada bahagian payudara. Sakit akan menyebabkan kulit payudara menjadi kemerah-merahan.
3. Perubahan sekitar kulit dan puting payudara
Terdapat beberapa perubahan pada kulit dan puting payudara bergantung kepada jenis kanser. Ada pesakit yang mengalami rasa gatal yang berpanjangan di sekitar payudara, diikuti dengan kemunculan ruam seakan-akan gigitan serangga. Kawasan ini kemudian akan terasa panas dan bengkak.
Ada pula yang akan berasa sakit pada bahagian puting. Barah jenis ini akan menyebabkan puting menjadi bersisik, gatal dan kemerah-merahan. Selain itu, ada pesakit kanser payudara yang mengalami perubahan pada kulit disebabkan oleh ulser. Luka ini boleh dijangkiti kuman dan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan jika rawatan lanjut tidak dibuat.
4. Perhatikan perubahan bentuk payudara
Kebiasaannya apabila wanita mencapai akil baligh, datang bulan atau mengandung, mereka akan merasakan perubahan pada bentuk payudara. Namun begitu, jika saiz payudara anda membesar secara tiba-tiba dan kulit di sekitar payudara terasa tegang, segeralah berjumpa doktor.
Bagaimana untuk mengesan kanser payudara
1. Pemeriksaan sendiri payudara
Wanita berusia 20 tahun ke atas digalakkan untuk menjalankan pemeriksaan sendiri payudara (breast self-examination) setiap bulan. Cara pemeriksaan boleh dipelajari daripada jururawat atau doktor. Sekiranya terdapat ketulan, segeralah berjumpa dengan doktor.
2. Mamogram
Mamogram merupakan ujian sinar X atau X-ray yang dijalankan untuk memeriksa sama ada pesakit mempunyai sebarang perubahan pada payudara. Ujian ini boleh membantu mengesan sebarang pertumbuhan yang tidak normal pada bahagian payudara.
3. Ultrabunyi
Pemeriksaan ultrabunyi atau ultrasound sering dilakukan untuk mengenal pasti ketulan pada payudara. Ia membantu doktor dalam menentukan sama ada ketulan yang terdapat di dalam payudara itu bersifat pepejal atau cecair (sista). Selain itu, ultrabunyi juga digunakan untuk membantu proses biopsi atau mengeluarkan cecair.
4. Biopsi
Biopsi adalah proses mengambil sejumlah kecil tisu daripada tubuh untuk diuji di makmal. Hasil daripada ujian inilah yang akan menentukan sama ada kanser wujud atau tidak dalam badan seseorang.
Jenis-jenis rawatan untuk kanser payudara
Mereka yang disahkan menghidap kanser payudara akan diberikan rawatan selepas penilaian lengkap dibuat oleh doktor. Jenis rawatan pula adalah berbeza-beza mengikut jenis, tahap kanser dan keadaan pesakit.
1. Pembedahan
Terdapat beberapa jenis pembedahan untuk kanser payudara, contohnya wide local excision yang bertujuan untuk menyelamatkan seberapa banyak payudara dengan membuang ketulan dan kawasan sekitar tisu normal.
Mastektomi pula merupakan pembuangan semua tisu payudara dan kadangkala tisu lain yang berdekatan. Mastektomi kebiasaannya dilakukan sekiranya keadaan kanser tersebut telah merebak.
Pembedahan nodus limfa di bahagian bawah lengan pula selalunya dijalankan untuk membuang nodus di peringkat I dan II.
2. Terapi
Terapi terbahagi kepada tiga iaitu kemoterapi, radioterapi dan terapi hormon. Kemoterapi menggunakan ubat-ubatan bertoksik untuk membunuh sel kanser. Kemoterapi boleh diberikan dalam bentuk suntikan atau diambil dalam bentuk pil atau cecair. Ubat ini boleh membunuh sel kanser, namun ia memberikan kesan sampingan kerana turut boleh merosakkan sebahagian sel normal.
Radioterapi atau terapi radiasi biasanya digunakan untuk membunuh sel tumor sekiranya ada yang masih tertinggal selepas pembedahan. Terapi ini biasanya diberikan lima hari seminggu selama lima hingga enam minggu. Ia tidak menyakitkan dan kurang memberikan kesan sampingan.
Terapi hormon digunakan untuk menurunkan kadar kemungkinan kanser untuk berulang. Ia biasanya digunakan untuk merawat pesakit yang sensitif terhadap hormon estrogen dan progesteron. Terapi hormon juga bertindak mengecutkan kanser selain mengawalnya daripada merebak.
Ramai antara kita yang masih teragak-agak untuk berjumpa dengan doktor kerana perasaan malu. Namun, jika anda merasakan sesuatu yang tidak normal pada payudara anda, segeralah mendapatkan nasihat pakar kerana lebih awal kanser dikesan, kebarangkalian untuk sembuh adalah lebih tinggi. Sayangilah tubuh anda dan lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.