Kajang: Sejarah, Sate dan Seribu Satu Tarikan

Imej muka depan oleh Wikimedia

Setiap daerah di Malaysia mempunyai banyak cerita yang unik. Jika Shah Alam popular dengan Masjid Biru, jumlah roundabout yang banyak dan rumah berhantu Mona Fandey, Kajang pula terkenal sebagai bandar penuh sejarah yang dapat menyaingi Klang dan Georgetown.

Mana datangnya nama Kajang?

Ada bermacam-macam versi mengenai asal usul nama Kajang. Mengikut Harith Faruqi Sidek, seorang pustakawan di Universiti Kebangsaan Malaysia, nama ‘Kajang’ dizahirkan apabila ketua orang asli yang bernama Batin Berchanggi Besi dan rombongannya yang sedang dalam perjalanan pulang dari Johor berhenti di kawasan tersebut. Mereka membina pondok untuk berteduh sementara menunggu hujan berhenti. Bahan yang digunakan untuk membuat atap pondok tersebut dipanggil ‘kajang’.

kajang image 2

Imej oleh Erena

Petikan dari laman web Majlis Perbandaran Kajang ada mengatakan bahawa kawasan ini memang dahulunya didiami oleh suku kaum Temuan yang diketuai oleh Batin Seri Alam, iaitu bapa kepada Batin Berchanggi Besi. Majoriti penduduk di sini pada asalnya terdiri daripada orang asli.

kajang image 3

Imej oleh Erena

Terdapat banyak lagi cerita tentang asal usul nama Kajang ini. Antaranya, selepas rombongan Raja Alang yang berketurunan Mandailing tiba di sini melalui jalan air iaitu Sungai Langat, mereka terus meneroka dan membuka kawasan ini. Nama ‘Kajang’ diberikan berdasarkan tempat mereka ‘berkajang’ atau nama lainnya ‘berpondok’ ketika itu.

Pelopor juadah sate

Kajang dikenali sebagai Bandar Sate kerana ia pernah menjadi tempat bertapaknya empayar sate legend, Sate Kajang Haji Samuri. Allahyarham Datuk Haji Samuri Juraimi merupakan tauke sate yang tersohor di Malaysia. Beliau meninggalkan kerjayanya di sebuah syarikat telekomunikasi untuk menerajui perniagaan ini yang diwarisi daripada bapa saudaranya, Haji Tasmin.

kajang image 4

Imej oleh Erena

Jenama Sate Haji Samuri sangatlah popular pada era 90-an ke awal tahun 2000. Anda boleh menikmati hidangan ini di pelbagai lokasi termasuklah di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam yang menjadi tarikan pengunjung ketika itu. Sate menjadi sinonim dengan Kajang — seakan-akan hidangan ini dicipta di sana. Kejayaan Sate Haji Samuri juga telah membuka peluang kepada ramai pengusaha makanan untuk menempa nama dalam industri ini. Anda juga mungkin mahu mencuba sate jenama lain seperti Sate King, Sate Pemadam dan yang paling top, Sate Willy. Fuhhh, laparnya!

Leftenan Adnan, Nora Danish dan K-Town Clan

kajang image 5

Imej oleh Mothership

Antara anak jati Kajang yang anda pasti kenal adalah Leftenan Adnan Saidi, wira yang berjuang dalam pertempuran Pasir Panjang. Beliau dilahirkan pada tahun 1915 di Sungai Ramal, kawasan kelahiran yang sama dengan Allahyarham Haji Samuri. Nama pahlawan ini bukan sahaja menghiasi buku teks sekolah, malah pengorbanan beliau pernah diadaptasi menjadi filem yang dibintangi oleh Hairie Othman.

Selain itu, beberapa artis terkenal juga berasal dari Kajang. Antaranya Ning Baizura yang pernah popular dengan lagu ‘Awan Yang Terpilu’, kumpulan hip-hop K-Town Clan (Kajang-Town Clan) dan aktres Nora Danish.

“Hello Jiran, saya di Kajang ni. Mana lokasi menarik untuk saya kunjungi ya?”

kajang image 6

Imej oleh Erena

Jika anda berada di Kajang, bolehlah singgah ke Pusat Warisan Kajang. Menurut pengarahnya Lee Kim Sin, Pusat Warisan Kajang menyimpan lebih 300 artifak termasuklah buku-buku, perabot lama dan juga peralatan melombong bijih timah. Ala, macam dulu-dulu gitu!

Speak Your Mind

*