PERNIAGAAN dalam talian amat popular dan digemari oleh masyarakat pada masa kini. Kaedah perniagaan ini mudah dimulakan dan dijalankan dengan modal yang rendah.
Risikonya juga lebih rendah dan peniaga dapat menguruskan sendiri perniagaan mereka tanpa perlu mengupah ramai pekerja.
Kos untuk memulakan sesebuah perniagaan konvensional biasanya lebih tinggi tetapi kos sewa kedai, ubah suai bangunan, upah pekerja dan lain-lain dapat dikurangkan melalui perniagaan dalam talian.
Perniagaan ini juga berisiko rendah berbanding dengan perniagaan biasa. Peniaga tidak perlu mengeluarkan wang yang lebih untuk membeli atau menyewa aset seperti bangunan, peralatan dan kelengkapan lain.
Penjimatan itu boleh digunakan untuk membeli stok, kos reka cipta laman web dan sebagainya.
Perniagaan dalam talian turut memberi peluang kepada peniaga beroperasi selama 24 jam setiap hari. Teknologi yang canggih kini membolehkan pengguna internet membeli-belah dalam talian pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Pelanggan bagi perniagaan dalam talian juga tidak terhad kepada kawasan setempat malahan mampu mencapai pelanggan di seluruh dunia.
Peniaga tidak perlu memantau urusan tempahan sepanjang masa kerana cuma perlu menyediakan sistem tempahan automatik untuk kemudahan pengguna seterusnya menguruskan urusan penghantaran tempahan sebaik sahaja pejabat pos dibuka.
Justeru peniaga yang memilih kaedah perniagaan ini dapat menikmati kebebasan atau fleksibiliti waktu kerja tanpa menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Ramai muda-mudi kini tidak gemar untuk bekerja makan gaji dengan waktu kerja tetap. Mereka mula menceburi perniagaan dalam talian kerana lebih mengutamakan waktu kerja yang lebih bebas.
Namun, mereka yang sudah memiliki pekerjaan tetap juga boleh membuka perniagaan dalam talian secara sambilan.
Mereka hanya perlu memeriksa tempahan pelanggan pada waktu rehat atau selepas waktu kerja dan menguruskan penghantaran pada keesokan hari mahupun meminta posmen mengambil barang tempahan di rumah.
Peniaga juga dapat menikmati kebebasan tempat bekerja kerana hanya perlu mengawal segala urus niaga melalui komputer dari mana-mana tempat seperti di rumah, restoran atau dalam perjalanan ke sesuatu tempat mahupun ketika sedang melancong di dalam atau luar negara asalkan mempunyai akses internet .
Perniagaan dalam talian tidak dapat menggantikan sepenuhnya perniagaan konvensional tetapi dalam tempoh singkat perkembangan industri ini sudah berjaya mengatasi perniagaan biasa.
Pendek kata, tiada had masa mahupun kekangan jika seseorang berminat memulakan satu perusahaan dalam talian. Kecil atau besar, sambilan atau sepenuh masa, semuanya terletak di tangan sendiri.
Masyarakat kini kadangkala terlalu sibuk dengan pekerjaan sehingga tiada masa untuk membeli-belah walaupun pada hujung minggu.
Perkembangan ini bukan sahaja telah mewujudkan industri penghantar barang (runner) malahan beberapa pasar raya utama telah mewujudkan kemudahan tempahan barang keperluan secara dalam talian dengan penghantaran percuma.
Kemudahan kepada pengguna yang tidak perlu meninggalkan rumah atau pejabat di samping menjimatkan minyak dan masa perjalanan ke kedai menjadi antara tarikan utama perniagaan dalam talian terus menjadi pilihan ramai, cuma tempah dan tunggu barang tersebut sampai di depan pintu.
Selain barang mahupun makanan, perniagaan dalam talian juga memudahkan tempahan perkhidmatan seperti mencuci, memindah barang, menyelenggara peralatan elektrik dan banyak lagi.
Kesimpulannya, perniagaan dalam talian mempermudahkan urus niaga bukan sahaja untuk pelanggan malahan kepada peniaga sendiri. Dengan bantuan dan pemantauan kerajaan, perniagaan dalam talian dapat melahirkan lebih ramai jutawan dan memudahkan urusan harian rakyat di seluruh negara.
Kredit artikel: Utusan Online