Kembali Bekerja: Inisiatif Pasca PKP yang Anda Perlu Tahu

Imej muka depan oleh Vincent Loy

Malaysia akhirnya sudah ‘dibuka’ kembali. Jalan raya mula dipenuhi dengan kenderaan, banyak pejabat sudah menerima kehadiran pekerja dan gerai-gerai juga kini beroperasi untuk menyediakan juadah kepada lunch crowd.

Walapun keadaan dilihat semakin stabil, hakikatnya COVID-19 telah menetapkan norma baharu dalam kehidupan kita. Penjarakan sosial masih dipraktikkan dan suhu badan tetap diperiksa sebelum masuk ke mana-mana premis perniagaan. Persediaan untuk kita kembali bekerja dan mengamalkan budaya hidup pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) haruslah dilaksanakan dengan lengkap dan sempurna.

Kami sentiasa mahukan yang terbaik untuk anda. Oleh itu, kami telah menyediakan senarai inisiatif yang anda boleh manfaatkan bermula bulan ini.

1. Program MY30 oleh RapidKL

Bagi para pekerja yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke pejabat atau tempat kerja, ‘MY30 Pass’ ialah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Ditawarkan dengan harga tetap sebanyak RM30, ‘MY30 Pass’ merupakan inisiatif yang berupaya meringankan beban rakyat Malaysia yang bekerja di kota. Pas tersebut membolehkan anda menikmati penggunaan tanpa batas untuk Bas Rapid dan komuter di bawah pengurusan RapidKL.

Orang kita memanggil pas ini sebagai barang panas. Lebih 21,000 unit telah terjual pada hari pertama. Anda sudah beli ke belum?

2. Kredit e-dompet RM50 oleh PENJANA

Ketika Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dibentangkan, antara pengumuman yang mencuri tumpuan masyarakat ialah kredit RM50 yang bakal dimasukkan ke dalam akaun e-dompet pengguna. Kredit ini turut didatangkan dengan pelbagai tawaran yang lain seperti tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun daripada syarikat khidmat e-dompet.

Selain bertujuan untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, inisiatif ini juga berfungsi untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk berjinak-jinak dengan konsep pembayaran secara dalam talian atau e-dompet.

Jika anda sudah menerima RM50 ini, apa lagi? Gunakanlah sebaiknya.

3. Sokongan psikososial COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Mercy Malaysia

COVID-19 bukan saja telah meragut ratusan nyawa, malah ramai di antara kita yang hilang punca pendapatan. Ini disebabkan oleh gangguan rangkaian bekalan yang telah merugikan pengusaha-pengusaha bisnes sehinggakan ramai yang terpaksa diberhentikan kerja. Dijangkakan kadar kemurungan bakal meningkat akibat impak wabak ini kepada ekonomi negara.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Mercy Malaysia berganding bahu dalam menyediakan bantuan sokongan psikososial khas buat rakyat Malaysia yang terkesan dengan implikasi wabak COVID-19.

Perkhidmatan ini dikendalikan oleh petugas psikologi KKM bersama ahli sukarelawan Mercy Malaysia. Jika anda ingin berkongsi sebarang masalah, sila rujuk poster di bawah.

4. 1GB data percuma buat pengguna Internet

Kebanyakan tenaga kerja tanah air terpaksa bekerja dari rumah ketika PKP dijalankan dan ini menyumbang kepada kadar penggunaan Internet yang tinggi. Pihak kerajaan telahpun memberikan perkhidmatan Internet percuma dalam tempoh tersebut. Memandangkan ramai warga kerja bakal pulang ke tempat kerja masing-masing, kerajaan telah menyediakan sebuah lagi inisiatif untuk meringankan beban pengguna Internet.

Bagi rakyat Malaysia yang menggunakan Internet dalam pekerjaan masing-masing, mulai bulan ini, anda boleh mendapatkan data percuma sebanyak 1GB daripada pengendali telekomunikasi anda. Kini, semua pelanggan aktif pengendali pasca bayar dan prabayar akan dapat menikmati Internet percuma 1GB setiap hari untuk tujuan penggunaan yang bermanfaat seperti pekerjaan, pembelajaran dan alat produktiviti. Aktiviti-aktiviti lain seperti penggunaan media sosial, penstriman video dan muzik, dan permainan video dikecualikan kerana 1GB ini untuk kerja, bukan PUBG, okay?

5. Insentif pengaturan kerja fleksibel oleh PERKESO

Pelan ini dirangka untuk memperkukuhkan ekosistem yang dapat membantu golongan pekerja kembali bertugas dan menyesuaikan diri dengan norma baru pasca PKP. Antara insentif yang diberikan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah potongan cukai tambahan kepada majikan yang menyediakan suasana yang bersih, selamat dan fleksibel untuk warga kerja mereka.

Bagi pekerja pula, pengecualian cukai sehingga RM5,000 diberikan kepada pekerja yang menerima manfaat dalam bentuk telefon bimbit, komputer dan tablet daripada majikan. Insentif ini sedia untuk dimanfaatkan oleh ribuan tenaga kerja sejak 1 Julai lalu.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang diskaun-diskaun pasca PKP daripada perniagaan-perniagaan yang prihatin, gunakan khidmat yellowpages.my sebagai sumber informasi anda.

Speak Your Mind

*