Kerja dan Servis yang Boleh Menguntungkan Anda Pasca PKP

Wabak COVID-19 telah memberikan kesan yang sangat mendalam kepada ekonomi Malaysia. Dianggarkan kadar pengangguran bakal meningkat dan ratusan ribu rakyat Malaysia akan kehilangan mata pencarian dalam masa yang terdekat.

Walaupun begitu, harus kita ingat, dalam setiap kesusahan pasti terselit kebaikan. Ada peluang-peluang yang tersembunyi di sebalik krisis ini untuk anda terus maju ke hadapan. Seelok-eloknya anda hendaklah mengenal pasti dan merebut semua peluang ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

Di sini kami cadangkan kerja-kerja dan servis yang boleh anda lakukan. Anda boleh mula beroperasi dari rumah dan seterusnya memperluaskan perniagaan di kawasan kejiranan anda!

1. Cikgu online

Khabarnya sekolah-sekolah di Malaysia bakal dibuka semula tidak lama lagi. Para ibu bapa akan mencari guru atau tutor sambilan yang boleh menolong anak-anak mereka mengulangkaji pelajaran, lebih-lebih lagi kalau ada yang ketinggalan ketika PKP berlangsung. Jika anda boleh (dan yakin) mengajar Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin ataupun Bahasa Arab, mungkin anda boleh menggunakan kemahiran anda dalam bahasa-bahasa tersebut untuk mendidik generasi yang akan datang.

Az Samad, seorang pemuzik yang popular dengan teknik gitar fingerstyle kini menawarkan kelas bermain gitar dan menjalankan apa saja bisnes yang berkaitan dengan muzik. Ini antara contoh terbaik bagaimana anda boleh menggunakan media sosial untuk mendidik pelajar yang ingin menimba ilmu dalam apa subjek sekalipun.

Image 1 1 5
Imej oleh Az Samad Official

2. Pekebun

Kenapa menceburi bidang pertanian? Ini kerana permintaan untuk makanan yang berkhasiat melonjak semenjak PKP dijalankan. Ramai dalam kalangan kita yang terpaksa beratur panjang di pintu masuk pasar raya hanya untuk membeli bahan-bahan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Untuk memenuhi kehendak semasa, ramai penduduk kota sudah mula bercucuk tanam sendiri dan menjual hasilnya!

Image 2 1 6
Imej oleh Get Your Guide

Jika anda up to date dengan kisah tular semasa, pasti anda pernah menonton video viral daripada Nuraishah, seorang pengusaha agro yang berkongsi pengalaman dan kehidupan seharian beliau. Nak tau bagaimana anda juga boleh menjadi usahawan tani seperti beliau? Boleh tonton dengan lebih lanjut di sini: [VIDEO] Bekas Pereka Grafik Tinggalkan Kota Untuk Mulakan Hidup Baru

Tip: Anda juga boleh join FacebookGroup ini jika anda mahu belajar bagaimana untuk menanam sayur-sayuran anda sendiri:

https://www.facebook.com/groups/jomtanamsendiri/

3. Penjual baju bundle

Di era 90-an hingga awal 2000 khususnya, industri fesyen arus perdana memandang rendah terhadap industri bundle atau barangan terpakai. Ketika itu, fast fashion atau fesyen ekspres menjadi trend. Pakaian dihasilkan untuk bertahan hanya setahun atau selama beberapa bulan saja. Zaman sudah berubah. Arus fesyen yang kini banyak dipengaruhi oleh keadaan ekonomi dunia beralih pula kepada industri barangan terpakai.

Image 3 1 5
Imej oleh Poskod

Di Malaysia juga sudah banyak jenama barang-barang terpakai yang telah menempa kejayaan dalam industri ini seperti JBR Bundle, Baden Baden Bundle, Jalan Jalan Japan dan Bandoru. Jenama-jenama ini kebanyakannya mendapatkan stok dari Jepun, Korea, China, USA dan Bangladesh. Tapi jangan risau, masih belum terlambat untuk anda mulakan perjalanan anda sebagai penjual baju bundle!

4. Abang dan kakak delivery

Bila dah ada pekebun-pekebun yang menjual hasil tanaman dan juga penjual baju bundle yang ingin menghantar produk mereka kepada pelanggan, semestinya khidmat penghantaran amat diperlukan.

Image 4 9
Imej oleh Shutterstock

Peluang di sektor servis penghantaran juga sedang meningkat kerana ketika PKP, kebanyakan pembelian hanya boleh dilakukan dalam talian. Jika anda tidak mahu mendaftar di platform yang sedia ada, mungkin juga anda boleh hasilkan platform anda sendiri untuk menghantar barang-barang di sekitar kawasan kejiranan anda.

Suka idea ini? Dah boleh hidupkan enjin!

5. Pengurus pemasaran

Dengan adanya perniagaan kecil-kecilan yang mula mendapat perhatian dalam talian ketika PKP tempoh hari, persaingan antara mereka pasti semakin sengit. Ini membuka peluang kepada anda untuk menawarkan perkhidmatan sebagai pengurus pemasaran.

Image 5 10
Imej oleh Shutterstock

Apabila permintaan melonjak, produksi juga akan meningkat dan persaingan bakal menjadi lebih hangat. Tugas seorang pengurus pemasaran adalah untuk mencari jalan kreatif bagi memasarkan sesuatu produk agar dapat melawan persaingan daripada bisnes-bisnes lain. Jika anda pernah belajar pengurusan perniagaan dan pemasaran digital di universiti dulu, inilah peluang anda!

6. Ejen insurans dan pengurus kewangan

Pandemik datang tidak diduga. Rakyat Malaysia perlukan pelan insurans yang bersesuaian dengan realiti pasca COVID-19. Oleh kerana ramai yang tidak mempunyai perlindungan insurans, permintaan untuk pelan insurans yang mampu milik bakal meningkat.

Image 6 3
Imej oleh Shutterstock

Sebagai ejen insurans yang juga berkhidmat sebagai penasihat kewangan, anda juga boleh menasihati pelanggan anda yang mempunyai wang simpanan untuk melaburkan sebahagian daripada simpanan mereka agar kehidupan mereka lebih terjamin di saat-saat kemelesetan ekonomi seperti sekarang. 

Pekerjaan-pekerjaan di atas boleh dilakukan di rumah dan keuntungannya dapat dimaksimumkan. Jika dirancang dengan bijak, anda berupaya memperluaskan servis anda ke kawasan kejiranan berdekatan. Mungkin masa depan kita nampak sedikit muram dalam masa yang terdekat ini, tapi teruslah cekal dan gigih berusaha. Tak mustahil untuk kita atasi apa jua halangan. Semoga kita terus kuat untuk menghadapi cabaran!

Speak Your Mind

*