Sebelum penularan wabak COVID-19 yang datang tanpa diduga, industri pelancongan di Malaysia telah berkembang dengan pesat. Rumah-rumah percutian muncul seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Aplikasi dalam talian seperti Airbnb telah memudahkan sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburi bidang pelancongan. Semenjak trend ini bermula, para pengendali rumah penginapan tampil menawarkan alternatif yang cukup selesa buat para pelancong yang ingin merasakan pengalaman yang berbeza. Selain menginap di hotel 5 bintang yang mendominasi kawasan-kawasan bandar dan pesisiran pantai, kaki melancong bebas memilih destinasi idaman di kota raya mahupun di desa.
Walau bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan kesan yang besar dan mendalam kepada industri ini. Contohnya, beberapa buah hotel yang terkenal di Ipoh sudah pun gulung tikar akibat ketiadaan pelancong semasa PKP dilaksanakan. Perkara yang sama juga berlaku kepada sebilangan syarikat perhotelan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kebanyakan hotel yang dimiliki oleh syarikat-syarikat yang mempunyai modal yang besar ini sepatutnya mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk menampung beberapa bulan tanpa pelanggan. Sekarang bayangkan senario yang sama turut dialami oleh pemilik rumah pelancongan yang kebanyakannya bekerja sendiri atau makan gaji dengan syarikat yang lain.
Encik Mohammad Ariff Bin Arbi, pemilik dan pengendali Mendung Escape di Sarawak, tidak menerima sebarang tempahan sewa bilik sepanjang PKP berlangsung.
“Kami tak terima apa-apa booking pun disebabkan oleh larangan merentas negeri,” jelas beliau. Kebanyakan pengunjung yang membuat tempahan di Mendung Escape datang dari luar Sarawak, sama ada dari bandar-bandar lain di Malaysia atau benua Eropah.
“Selalunya pelancong yang datang ke tempat kami berasal dari kota besar seperti Kuala Lumpur. Mereka ingin melarikan diri dari kesibukan bandar dan mencari ketenangan jauh di kawasan pergunungan.”
Pemandangan gunung-ganang dan landskap yang indah menjadi tarikan utama di Mendung Escape. Lokasinya yang unik di kawasan Bau perlu didaki selama 20 minit sebelum tiba di pekarangan tempat penginapan tersebut. Jadi bagi Encik Ariff Arbi, beliau bukan sahaja harus menunggu larangan merentas negeri dibatalkan tetapi juga larangan mendaki bukit atau gunung.
Keadaan rumah peranginan di Hulu Langat pula sedikit berbeza. Tanah Larwina merupakan sebuah rumah pelancongan mewah yang luar biasa, lagi-lagi untuk peminat staycation yang ingin bercuti tidak jauh dari Kuala Lumpur. Rumah ini bukan sahaja menawarkan pengalaman bermalam di hutan dengan suasana dan layanan 5 bintang, malah para pengunjung juga berpeluang meneroka sebuah dusun buah-buahan dan ladang haiwan untuk pencinta binatang.
“Dusun ini merupakan suatu hobi saya. Memang saya telah lama berminat dengan aktiviti pertanian, dengan tanaman dan binatang. Kalau sesetengah orang gemar bermain golf di hujung minggu, saya pula asyik ke sini. Keluarga saya juga boleh ikut serta ke sini,” kata Encik Faisol Hussain, pemilik Tanah Larwina.
Jika kita lihat usaha-usaha yang dilakukan oleh Encik Faisol Hussain, beliau benar-benar melabur wang yang banyak untuk menjadikan Tanah Larwina sebuah tarikan di Hulu Langat. Reka bentuk rumah, infrastruktur, logo, dan juga ekosistem kecil yang wujud di persekitarannya dihasilkan dengan penuh minat dan kesungguhan.
Disebabkan keistimewaan ini, ramai pelancong yang telah membuat tempahan untuk bermalam di rumah penginapan tersebut sebelum PKP tidak membatalkan tempahan mereka untuk menginap di sana. Pelancong-pelancong ini hanya mengalihkan tarikh dan waktu untuk berkunjung selepas arahan PKP dibatalkan.
Temasik Retreats di Port Dickson juga menghadapi situasi yang sama. Semestinya institusi ini diuruskan oleh sebuah syarikat yang lebih besar berbanding rumah pelancongan persendirian yang lain, jadi mereka mampu untuk bertahan dalam menghadapi krisis kesihatan dan kewangan.
“Pelanggan kami juga mengalihkan tarikh penginapan mereka ke akhir tahun. Premis kami tidak beroperasi semasa PKP, tetapi wang simpanan kami memainkan peranan yang besar dalam menampung perjalanan operasi ketika krisis pandemik.”
Temasek Retreats merupakan vila mewah yang dibina berhadapan dengan laut. Ia dilengkapi dengan kolam infiniti dan jakuzi yang mampu memuatkan sembilan orang. Vila pula boleh menampung sebanyak 25 orang dalam satu masa.
Sebagai persediaan untuk menerima pelanggan dalam masa yang terdekat, Temasek Retreats telah menyediakan garis panduan demi menjaga kepentingan dan keselamatan tetamu serta kakitangan mereka yang bekerja di sana.
“Kami hasilkan panduan kami berdasarkan garis panduan yang sudah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Keseluruhan vila kami akan dibersihkan sebelum ketibaan tetamu dan proses yang sama akan dilaksanakan sebaik saja mereka pulang. Cadar, selimut dan kain-kain yang telah digunakan akan dihantar kepada syarikat dobi yang profesional. Semestinya, sebelum tetamu masuk ke premis, suhu badan mereka akan diambil.”
Mungkin cara Mendung Escape dan Tanah Larwina sedikit berbeza daripada Temasek Retreats. Yang pentingnya mereka semua tetap mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Tidak dinafikan bahawa industri pelancongan kita tidak lagi sama seperti dahulu. Walaupun begitu, dengan adanya rumah-rumah pelancongan yang masih menawarkan pengalaman yang istimewa seperti di atas, harapan tetap ada untuk masa hadapan industri ini.
Usaha-usaha menguatkan ekonomi pelancongan bukanlah terletak di bahu kerajaan pusat atau negeri sahaja. Bagi memastikan industri pelancongan domestik kembali maju, pengendali rumah-rumah peranginan serta rakyat Malaysia harus melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memastikan keselamatan serta kesihatan sentiasa diutamakan.
Sambil bersiar-siar keliling Malaysia, janganlah lupa untuk memberi sokongan kepada peniaga-peniaga tempatan di seluruh tanah air! Untuk maklumat terkini tentang pelbagai perkhidmatan yang terdapat di kejiranan anda atau di mana-mana lokasi dalam negara, kunjungi Yellow Pages sekarang.