Mengapa Barista Starbucks Kerap ‘Tersalah’ Eja Nama Pada Cawan Pelanggan

Buat para penggemar kopi, sudah pasti Starbucks antara jenama minuman kopi yang menjadi pilihan. Memiliki keunikan rasa kopinya tersendiri membuatkan ramai yang mahu mencuba minuman baru yang diperkenalkan oleh Starbucks.

Selain nama saiz cawannya yang pelik untuk disebut, menulis nama pelanggan pada bekas minuman merupakan sebuah keunikkan setiap kali memesan minuman di Starbucks. Barista selaku individu yang menghasilkan kopi di Starbucks akan memanggil nama pelanggan apabila minuman yang dipesan sudah siap.

Namun, ada kalanya barista Starbucks tersalah eja nama pelanggan sekaligus menyebabkan pelanggan berasa kecewa kerana asyik tertunggu-tunggu giliran nama mereka disebut. Menjadi persoalan, adakah barista Starbucks ini sengaja tersalah eja nama pada cawan pelanggan mereka ?

Menerusi sebuah video di TikTok, lelaki ini telah berbincang satu teori yang mendakwa barista Starbucks sebenarnya sengaja tersalah eja nama pelanggan yang ditulis pada cawan Starbucks demi viral marketing untuk meluaskan pemasaran Starbucks tanpa perlu siaran iklan komersial.

“Pernah tak menonton iklan Starbucks?” tanya lelaki yang memakai baju Guess.

“Langsung tak pernah tonton iklan Starbucks sepanjang hidup saya,” balas lelaki yang memakai topi.

“Starbucks tak perlu iklan, kita sendiri yang hasilkan iklan untuk mereka.

“Biasanya pelanggan Starbucks akan memuat naik foto cawan Starbucks yang bertulis nama mereka di media sosial. Jika tersalah eja nama mereka pada bekas minuman tersebut, ia akan mencetuskan isu dan pelanggan akan meluah rasa kekecewaan itu  menerusi media sosial.

“Susulan foto tersebut mulai tersebar, individu lain juga akan terpanggil untuk mencuba nasib, siapa tahu, tuah milik mereka. Barista Starbucks tidak tersalah pula eja nama mereka. Itu dipanggil strategi pemasaran viral secara percuma bagi Starbucks,” jelas lelaki yang berbaju Guess.

Dalam pada itu, teori lelaki tersebut telah dibidas oleh jurucakap Starbucks yang mengatakan bahawa Starbucks tidak pernah mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak untuk sengaja menyalah eja nama pelanggan tanpa sebab.

“Menulis nama pelanggan pada bekas minuman merupakan tradisi yang paling menyeronokkan kerana disebabkan itulah hubungan para pelanggan dengan pekerja kami bertambah erat.

“Namun, kami tidak pernah arahkan mana-mana pihak untuk sengaja menyalah eja nama pelanggan. Barista kami akan sentiasa melakukan yang terbaik setiap kali menulis nama pelanggan yang ada kalanya nama mereka agak rumit untuk dieja,” katanya seperti dilaporkan oleh portal Insider.

Susulan isu ini menjadi perbualan hangat, beberapa orang barista Starbucks di Amerika Syarikat turut tampil menjelaskan perkara yang sebenar mengapa terdapat sesetengah barista Starbucks tersalah eja nama pelanggan, lapor Insider.

“Kami tiada masa mengeja nama pelanggan dengan betul. Ikut kata hati kami, ada kalanya betul dan salah eja. Situasi tersebut sebenarnya bergantung kepada kepekaan barista yang bekerja pada hari tersebut,” luah Tim, barista Starbucks di Nashville.

“Pelanggan juga selalu complain yang kami ini lambat siapkan minuman terutamanya waktu pagi. Jadi, kami terburu-buru siapkan minuman sampai tersalah eja nama pelanggan.

Akan tetapi, terpulang kepada anda, mahu kopi disiapkan dalam satu ke dua minit atau ejaan nama anda yang lagi penting,” kata Lisa, barista Starbucks di Dallas. Adakah anda pernah mengalami situasi ini? Kongsikan di ruangan komen