31 OGOS bakal menjelang. Setiap kali tibanya tarikh keramat ini, layar minda saya akan menayangkan paparan aktiviti yang saya lalui di zaman persekolahan di bandar Mersing pada tahun-tahun 60-an.
2. Hari Merdeka adalah hari di mana saya dan rakan-rakan sekolah akan berbaris di padang majlis daerah untuk menyanyikan lagu Negaraku, dan lagu Bangsa Johor yang kemudiannya diikuti dengan lagu patriotik seperti Malaysia Berjaya.
3. Setelah itu, wakil rakyat akan berucap. Sebaik sahaja majlis sambutan itu tamat, kami akan berlari beramai-ramai ke panggung wayang kira-kira setengah kilometer daripada padang majlis daerah.
4. Pada hari merdeka akan ada tayangan wayang percuma. Biasanya filem Hollywood seperti Tarzan atau filem peperangan seperti Guns of Navarone.
5. Sebaik sahaja tayangan tamat, kami akan berlari semula ke padang majlis bandaran untuk menyaksikan sukan rakyat. Ada juga lumba basikal dan lumba beca. Di sungai pula akan ada perlumbaan perahu atau bot.
6. Pada sebelah malam pula saya dan ibubapa akan berjalan dari Kampung Sri Lalang kira-kira satu kilometer dari bandar Mersing untuk menyaksikan pula perarakan kereta berhias.
6. Kadangkala, ada pula wayang pacak di tengah padang majlis daerah yang menayangkan filem Melayu seperti cerita Ali Baba Bujang Lapok arahan seniman P. Ramlee.
7. Bagi saya, 31 Ogos adalah tarikh yang punyai erti tersendiri. Radio akan memainkan lagu-lagu patriotik. Televisyen pula menayangkan montaj Tunku Abdul Rahman yang melaung ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!’ di stadium.
8. Sebagai kanak-kanak, itulah erti kemerdekaan. Ia adalah hari cuti, hari berseronok dan hari di mana banyak sekali Jalur Gemilang dikibarkan. Lurus dan simple sahaja pemahaman saya mengenai apa itu merdeka.
9. Namun, persepsi yang mudah itu mula berubah apabila Malaysia berdepan dengan konfrantasi dengan Indonesia. Hari-hari, bersama keluarga, saya mendengar berita radio mengenai ancaman negara Indonesia terhadap Malaysia.
10. Kadangkala abang dapat memutar ke stesyen Radio Kalimantan. Maka laungan perang psikologi Indonesia terhadap Malaysia akan kedengaran. Frasa ‘ganyang Malaysia,’ kerap disebut-sebut juruhebah Indonesia.
11. Rasa takut dan ngeri mula terasa. Bagaimana jika Indonesia dapat menawan Malaysia? Ayah kata, kita semua akan lari ke hutan. Kita akan berpakaian compang-camping dan hanya makan ubi kayu seperti di zaman Jepun. ‘Teruknya hidup jika kita hilang kemerdekaan,’ begitu detik hati saya.
12. Apabila tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 berikutan rasa tidak puashati di antara kaum selepas Pilihanraya Umum ke-3, saya semakin risau. Bagaimana saya hendak hidup dan membesar sekiranya rakyat asyik bergaduh sesama sendiri?
13. Keadaan ketika itu begitu mencemaskan. Saban hari ada sahaja berita yang mendukacitakan berlaku di sepanjang tempoh itu. Mujur saya tinggal di Mersing, sebuah daerah yang aman dan jauh dari kekecohan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.
14. Keadaan mula kendur apabila para pemimpin politik memainkan peranan untuk meredakan ketegangan ras utama Melayu, Cina dan India. Semua pihak berkuasa tempatan, jabatan dan sekolah disaran untuk menganjurkan majlis beramah mesra di antara ras yang dikenali sebagai Majlis Muhibbah.
15. Dua noda hitam dalam sejarah negara itu meninggalkan kesan kepada saya akan betapa pentingnya kita menjaga keamanan agar ia akan melestarikan kemerdekaan. Kerana pernah diancam kebimbangan itu, boleh dikatakan bulu roma saya akan merinding apabila melihat Jalur Gemilang berkibar.
16. Di panggung wayang, saya tidak akan toleh kiri kanan untuk berdiri apabila lagu Negaraku dimainkan. Apa nak malu dengan Negaraku? Bangga lagi, adalah!
17. Kadangkala, apabila memikirkan itu, saya boleh mengerti mengapa generasi muda pada hari ini tidak dapat menghayati erti kemerdekaan. Bagi mereka, kemerdekaan itu perbarisan yang mereka tonton sambil terbaring di depan TV, pertunjukan bunga api, konsert dan pesta-pestaan. Jalur Gemilang hanyalah bendera yang dikibar ‘di musim kemerdekaan.’
18. Rasa bangga terhadap negara hanya akan terasa apabila Lee Chong Wei memasuki pertanding akhir Sukan Olimpik. Sukan. Itulah satu-satunya situasi yang akan mencetuskan fenomena rasa bangga kepada negara.
19. Maaf cakap, lain-lain tidak ada. Kerana apa? Kerana kita tidak punyai apa-apa yang hendak dibanggakan secara bersama-sama.
20. Generasi ibu bapa saya yang hidup di zaman pemerintahan Jepun dan zaman ancaman komunis lebih punyai rasa sayangkan negara daripada generasi saya. Nyawa mereka di hujung senjata. Kerana itu generasi tua, tidak kira Melayu, Cina dan India amat menghargai kemerdekaan negara.
21. Kita sanggup bercekau dan hidup penuh dengan prasangka walaupun dah berpuluh tahun hidup bersama. Apakah kita perlu alami kehidupan yang merempat di tanahair sendiri apabila dijajah kuasa besar, baharulah kita sedar betapa tingginya harga sebuah kemerdekaan?
Norden Mohamed
Maaf Cakap
Speak Your Mind