Rancangan Nostalgia yang Menggamit Kenangan

Kita semua membesar dengan pelbagai elemen budaya pop mengikut generasi masing-masing. Bagi golongan yang berumur 50 tahun ke atas, mungkin hari-hari anda pernah diwarnai dengan fenomena filem Grease lakonan John Travolta dan Olivia Newton-John. Pengaruh filem ini sangat ketara, terutamanya di kalangan remaja ketika itu yang cuba meniru penampilan hero dan heroin filem tersebut — pelajar lelaki dengan rambut pomade gaya greaseball dan seluar ketat manakala pelajar perempuan pula dengan rambut gerbang yang juga menjadi ikutan para artis sehinggalah tahun 90-an.

Dekad 1990-an pula tidak kurang meriahnya dengan bermacam-macam trend dan budaya pop yang ditayangkan di kaca televisyen. Geng 90-an merupakan generasi yang paling bertuah kerana pertemuan era analog dan era digital membuahkan pelbagai jenis program TV yang menarik. Jom kita imbau kembali rancangan-rancangan yang pernah popular suatu ketika dahulu.

#1 Program bakat realiti

Pencarian bakat baru menerusi rancangan realiti memang mendapat sambutan sejak era 80-an lagi. Mesti ramai yang masih ingat penyingkiran Mas semasa beliau di AF2, saat Mawi menjadi kegilaan di Malaysia atau detik kegemilangan Jaclyn Victor di pusingan terakhir Malaysian Idol. Tapi berapa ramai antara kalian semua yang masih ingat Pujaan 10 Nescafe, sebuah program nyanyian yang cukup gah pada awal 90-an?

Pujaan 10 Nescafe merupakan rancangan radio terbitan RTM yang memaparkan 10 lagu terbaik setiap minggu. Banyak lagu ‘hit’ dan legend pernah menguasai carta ini, termasuklah “Kekasih Awal dan Akhir” dendangan Jamal Abdillah dan “Fiona” oleh 4U2C. Awie juga pernah memenangi persembahan solo terbaik dalam program ini dengan lagunya, “Tragedi Oktober”. Tonton di sini.

#2 Drama bersiri tempatan

Kalau bercakap tentang drama top zaman ini, anda mungkin akan menyebut Kampung People7 Hari Mencintaiku atau Pujaan Hati Kanda. Tapi masihkah anda ingat akan drama-drama TV yang menjadi perintis kepada drama-drama yang kita ketahui sekarang?

Antaranya Salam Taj Mahal yang dibintangi oleh M Nasir, Umie Aida, Erma Fatima dan Vanidah Imran. Waktu itu, drama-drama yang difilemkan di luar negara mendapat sambutan hebat di kalangan penonton setia di rumah, misalnya Cinta Antara Benua yang melonjakkan lagi nama Ahmad Idham pada era tersebut. Ramai juga penonton yang ‘sangkut’ dengan sebuah lagi drama Ahmad Idham yang bertajuk Cinderella, yang dibintangi oleh Haliza Misbun sebagai kekasihnya.

Walau zaman berubah, drama bersiri tetap meraih minat orang ramai. Kalau sekarang ini penonton gilakan Mira Filzah, Ben Amir dan Yuna Rahim, sebelum ini nama-nama seperti Rosyam Nor, Amy Mastura dan Ako Mustapha yang menjadi sebutan ramai. Mungkin drama-drama seperti ini mempunyai pengakhiran yang sama, tetapi jalan cerita yang baik, plot twist yang menarik serta barisan bintang-bintang yang berbakat membuatkan genre ini kekal popular.

#3 Drama bersiri antarabangsa

Selain drama tempatan, naskhah antarabangsa juga pernah menjadi fenomena, contohnya Winter Sonata yang juga popular dengan lagu temanya. Lagu tersebut sangat diminati ramai sehinggakan penyanyi balada Hazami tampil dengan versi Bahasa Melayu.

Di kalangan peminat drama Latin, semestinya drama bersiri Rosalinda masih diingat sehingga kini. Perjalanan hidup Rosalinda yang disulami peristiwa menyayat hati dan akhirnya bertemu bahagia menjadi ilham kepada banyak telenovela Malaysia yang diterbitkan pada awal 2000. Siri drama ini juga melahirkan pengikut drama Latin yang fanatik di Malaysia. Mereka ikut tertarik dengan drama Filipina yang banyak meminjam elemen dan plot drama Latin, antaranya Sana’y Wala Nang Wakas dan Kay Tagal Kang Hinintay.

Untuk drama bersiri bahasa Mandarin pula, The Forest Cat yang dibintangi oleh Kent Chang (nama yang juga glamour di kalangan pelajar sekolah) merupakan drama yang paling mendapat sambutan semua kaum di Malaysia. Drama yang mengisahkah Fei Mou, seorang lelaki OKU, benar-benar menyentuh hati ramai pengikut drama bersiri antarabangsa. Ada yang tertanya-tanya bagaimana keadaan Kent Chang sekarang? Beliau kini sudah menjadi pengarah yang berjaya dan pernah berlakon dalam filem Ip Man.

#4 Rancangan kanak-kanak tempatan

“Dia bagai seorang pahlawan!” merupakan lirik lagu OST yang paling digemari oleh kanak kanak era 1990-an. Siapa yang tidak kenal watak Keluang Man, Tiong Man dan Inspektor Sahab yang mewarnai segmen kartun di stesen RTM satu ketika dulu? Ketika stesen televisyen menyiarkan kartun dan filem antarabangsa seperti Dash! Yonkuro, Doraemon, Dragon Ball dan Power Rangers, kanak-kanak di Malaysia masih setia dengan kisah adiwira yang berasal dari Hospital Bahagia Tampoi, Keluang Man. Cerita ini boleh dikatakan antara cubaan yang berjaya untuk menghidupkan genre adiwira di Malaysia.

Sekiranya anda peminat sukan badminton, sudah pasti anda ingat lagi akan siri animasi Anak-Anak Sidek. Siri ini mengisahkan zaman kanak-kanak adik-beradik legenda Malaysia iaitu Misbun (Bun), Rashid, Razif, Jalani (Alan) dan Rahman (Aman) yang kemudiannya menjadi pemain-pemain badminton yang mewakili Malaysia ke arena antarabangsa. Rancangan ini dianggap rare kerana premisnya yang luar biasa ketika itu: sebuah autobiografi dalam bentuk kartun.

Tidak lupa juga animasi Kampung Boy dan Usop Sontorian yang ditonton oleh adik-adik (serta abang dan kakak juga) di waktu petang.

Artikel berkaitan: 5 Kartun Klasik Yang Mengembalikan Memori Zaman Kanak-Kanak

#5 Game show tempatan

Budaya game show ini asalnya dari budaya pop di Amerika tetapi bila Roda Impian diperkenalkan, rakyat Malaysia mula tertarik dengan konsepnya, lebih-lebih lagi dengan laungan “Saya putar, Halim!” dan “Wang besar!” yang dipopularkan oleh rancangan tersebut. Secara teknikalnya, rancangan ini hanyalah permainan crossword tetapi hadiah yang ditawarkan memang lumayan. Ada peserta yang menang wang tunai berjumlah ribuan ringgit dan ada juga yang berjaya membawa pulang sebuah kereta!

Game show yang lain seperti Troli Monopoli juga pernah menghiburkan rakyat Malaysia dengan penyertaan artis-artis terkenal.

#6 Rancangan komedi

Sebelum adanya Raja Lawak, Maharaja Lawak dan sebagainya, stesen televisyen tanah air pernah menyiarkan beberapa rancangan yang masih mampu membuat penonton tertawa. Contohnya, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang dibarisi pelakon-pelakon kontemporari 90-an seperti Imuda, Allahyarham Zami Ismail, Sabri Yunus, mendiang Accapan dan Angeline Tan. Siri ini amat ‘dekat’ di hati rakyat Malaysia kerana premisnya yang berjiwa rakyat dan jenakanya yang mencuit hati.

Permintaan terhadap siri komedi semakin hangat di akhir 90-an kerana scene komedi di Amerika Syarikat pada waktu itu sedang rancak dengan aksi bintang-bintang seperti Eddie Murphy, Dave Chappelle dan Jim Carey. Dengan itu lahirlah siri Senario yang diterajui oleh Wahid, Saiful Apek, Lan Pet-Pet, Yassin dan Azlee Jaafar. Sambutan yang memberangsangkan telah meyakinkan pelabur industri filem untuk menghasilkan beberapa buah filem yang diinspirasikan oleh nama kumpulan tersebut. Yang paling segar dalam ingatan adalah sketsa VCD cetak rompak dalam Lagi-Lagi Senario. Ingat lagi tak?

#7 Iklan TV tempatan

Iklan-iklan TV dulu bukan seperti sekarang, mungkin kerana hari ini tidak ramai yang menonton TV berbanding dengan 10 atau 20 tahun yang lalu. Jika kita di depan TV, apa-apa siaran atau iklan pun boleh buat kita terhibur. Antaranya iklan Tora yang bertujuan untuk memasarkan barang permainan kanak.

Bagi penggemar iklan raya pula, iklan-iklan tersohor arahan arwah Yasmin Ahmad wajib ditonton kerana hasil karyanya meninggalkan kesan yang mendalam di sanubari rakyat menjelang Aidilfitri. Iklan ‘Plastic Bowl’ atau ‘Mangkuk Plastik’ umpamanya menawarkan perspektif penjagaan warga emas dari lensa kanak-kanak yang penuh syahdu dan menyentuh perasaan, membuatkan ramai yang berlinang air mata.

Untuk iklan yang bertemakan muzik pula, iklan ‘Through My Window’ yang dipersembahkan oleh Bunkface di tengah-tengah Bukit Bintang berjaya mengumpulkan ratusan anak muda yang meminati muzik indie tanah air. Jika anda sertai gig tersebut, anda dianggap cool ketika itu! Kempen ‘Through My Window’ turut melibatkan Shila Amzah, Tomok, Modread dan band underground, Marionexxes.