ORANGE, FLORIDA – Sekumpulan saintis menggesa agar definisi ‘planet’ dikaji semula dalam langkah yang bakal menyaksikan Pluto kembali diklasifikasikan sebagai planet, lapor laman berita RT kelmarin.
Pada 2006, Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) menurunkan taraf Pluto kepada ‘planet kerdil’ selepas menemui beberapa objek bersaiz sama di sekeliling lingkaran Kuiper di cakerawala.
Lingkaran Kuiper terletak pada orbit Planet Neptun, di mana Pluto ditemui pada lingkaran tersebut pada tahun 1930 dan kemudian diiktiraf sebagai planet kesembilan dalam sistem solar.
Status Pluto bagaimanapun diturun taraf kerana orbitnya bersilang dengan Neptun selain ia turut berkongsi kawasan orbit dengan objek-objek lain dalam lingkaran tersebut.
IAU turut mengeluarkan definisi baharu bagi planet yang menyatakan bahawa sebuah planet itu perlu mengorbit Matahari, mempunyai bentuk hampir bulat dan dominan secara graviti serta mampu mengosongkan orbitnya sendiri.
Susulan itu, kumpulan saintis dari Institut Angkasa Lepas Florida membuat penyelidikan melibatkan kajian-kajian lepas sejak 400 tahun lalu.
Kumpulan penyelidik itu dalam kertas kajian bertajuk Moons Are Planets bersetuju agar definisi yang diperkenalkan oleh Galileo Galilei pada era 1,600-an digunakan semula. Definisi tersebut adalah planet hanya perlu aktif secara geologi di angkasa lepas.
“Kita perlu mengubah (definisi planet) sekarang sebelum kita pergi lebih jauh dalam revolusi eksoplanet,” kata salah seorang penyelidik berkenaan, Philip Metzger.
Susulan itu, Metzger dan pasukannya menggesa agar Pluto dinamakan semula sebagai planet dengan beberapa objek angkasa lain turut dijangka menyertai senarai itu.
Speak Your Mind