Archives for December 20, 2021

Jerawat Tumbuh Di Bahagian Muka, Jom Kenali Apa Puncanya

MASALAH jerawat terutama di bahagian muka secara tidak langsung akan menyebabkan seseorang mudah berasa rendah diri.

Merasakan diri mereka mempunyai kekurangan berbanding individu lain yang tidak mengalami sebarang masalah tersebut.

Namun, korang tahu apa puncanya berlaku pertumbuhan jerawat terutama pada bahagian wajah.

Justeru, berikut merupakan penjelasannya yang dipetik daripada akaun Instagram, Yuk Info Kesehatan:

1. Jerawat di dahi

Hal ini berlaku kerana dipercayai bahagian anak rambut atau sebahagian rambut yang menutupi bahagian dahi.

Disebabkan peluh atau kotoran asap menyebabkan rambut tersebut tidak bersih telah menutup ruang pori-pori sehingga menyebabkan tumbuhnya jerawat.

2. Jerawat di hidung

Selain kebersihan, pemakanan juga antara perkara yang perlu diambil kira.

Difahamkan, pertumbuhan jerawat pada bahagian hidung dikatakan berpunca kerana pengambilan daging atau makanan pedas terlalu banyak.

3. Jerawat di atas kening

Sekali lagi dikaitkan dengan pemakanan seimbang, kehadiran jerawat pada bahagian kening dikatakan kerana terlalu kerap makan makanan segera.

Tidak salah sesekali untuk melepaskan ‘kerinduan’ untuk makan makanan segera, tetapi harus berpada-pada.

4. Jerawat di telinga

Bukan sahaja makanan, pengambilan minuman juga boleh menyebabkan pertumbuhan jerawat.

Hal ini terkait dengan kehadiran jerawat di telinga atau cuping telinga yang dipercayai berpunca daripada pengambilan minuman kafein dan minuman bergas.

Oleh itu, sebaiknya bersihkan muka sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu selepas dan sebelum tidur.

Bukan sahaja mencegah kotoran di wajah, bahkan pemakanan dan amalan gaya hidup sihat seperti bersenam juga antara perkara penting untuk kesihatan.

Usia Masih Muda Tapi Cepat Lupa, 5 Makanan Mampu Tingkatkan Daya Ingatan

DEMENSIA merupakan satu keadaan apabila tahap kemampuan minda seseorang semakin menyusut dan mengklasifikasikan hal itu sebagai salah satu proses penuaan semula jadi.

Dalam kata lain penyakit ini menyebabkan seseorang akan mengalami lemah daya ingatan dan kemampuan untuk berfikir dengan baik. Lebih merumitkan apabila pesakit tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri dan bersosial.

Demensia turut kerap berlaku dalam kalangan pesakit Alzheimer.

Bagaimanapun, ada pihak mendakwa demensia berlaku disebabkan sel-sel otak atau neuron yang mati.  Paling merbahaya, penyakit itu tidak menunjukkan sebarang tanda gangguan kesihatan fizikal mahupun kaedah rawatan khusus.

Antara perkara yang boleh dilakukan bagi pencegahan awal dan rangsangan sel otak seperti bermain permainan catur dan membaca.

Tetapi, korang semua jangan cepat gelabah. Selain melakukan beberapa aktiviti berikut, korang boleh amalkan pengambilan lima jenis makanan bagi memastikan ingatan korang kekal sihat.

Berikut merupakan senarai makanan yang mampu untuk menguatkan daya ingatan dan kecerdasan otak menurut portal berita CNN Indonesia:

1. Sayur-sayuran

Bagi yang liat untuk makan sayur, sekarang masanya korang fikirkan balik. Kandungan sayuran seperti bayam, kangkung dan sawi dipercayai dapat membantu memberikan ingatan yang baik.

2. Kekacang

Kekacang merupakan antara makanan ringan yang baik untuk kesihatan. Selain mampu memberikan tenaga dan mengenyangkan, pengambil kekacang seperti walnut juga baik untuk menguatkan daya ingatan.

3. Beri

Tidak hanya kekacang, tumbuhan seperti beri turut dipercayai dapat memberi manfaat pada kesihatan otak. Mengukuhkan ingatan, beri seperti beri biru dan strawberi dikatakan mampu memelihara fungsi otak dengan baik dan melambatkan proses Alzheimer.

4. Minyak zaitun

Boleh digunakan sebagai bahan memasak, minyak zaitun juga boleh dicampurkan ke dalam hidangan. Namun, korang perlu tahu terdapat perbezaan antara penggunaan minyak zaitun dalam masakan.

Berikut ini perbezaan minyak zaitun atau olive oil bersama kegunaannya:

  • Extra virgin olive oil – Campuran dalam makanan dan tidak boleh dimasak
  • Virgin olive oil – Boleh dimasak dan hidangan bergoreng
  • Pure olive – Boleh dicampurkan sebagai sos dan memasak
  • Extra Light atau light olive oil – Boleh digunakan untuk memasak, tumis, menggoreng dan memanggang.
  • Olive pomace oil – Memasak, menggoreng dan memanggang.

5. Protein

Ambil makanan yang tinggi protein dan rendah lemak bagi membantu untuk mengelakkan daripada terkena penyanyi demensia. Disarankan, ambil hidangan berasaskan ikan sebanyak sekali seminggu manakala daging merah dua kali seminggu.

Perkara utama, korang perlu menjaga kesihatan dengan baik terutama penggambilan makanan seimbang. Bukan sahaja baik untuk tubuh badan, tetapi ingatan juga perlu diberi penekanan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

5 Rahsia Bayi Tidur Lebih Lena Tanpa Rengekan. Mak Ayah Wajib Hadam Tip Pakar Ini

TIDUR merupakan aspek penting buat semua orang termasuk bayi.

Pastinya, ibu bapa bayi perlu memastikan anak mereka cukup tidur.

Mungkin perkara itu kedengaran agak ‘berat’ apatah lagi tangan sudah lenguh mendukung bayi.

Prihatin dengan keadaan itu, Pakar Kanak-kanak Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dr Muhammad Salehuddin Sulaiman tampil berkongsi cara terbaiknya.

Tulisnya dalam Facebook, tidur sangat penting untuk bayi.

“Ini kerana semasa tidur, hormon tumbesaran (growth hormone) dikeluarkan untuk merangsang tumbesaran bayi.

“Sebab itu, dalam tiga bulan pertama, ALLAH jadikan bayi banyak tidur. Mereka tidur sekitar 16 hingga 17 jam (atau lebih) sehari dan hormon paling banyak dikeluarkan ketika mereka tidur lena (jika melebihi satu jam),” terangnya.

bayi

Dalam pada itu, katanya, terdapat satu kajian yang telah dijalankan mendapati tidur yang cukup semasa bayi juga menentukan kecerdasan mereka kelak.

Jadi, pesan beliau, ibu bapa wajib pastikan bayi anda tidur dalam tempoh yang secukupnya.

“Selepas empat bulan pula, keperluan tidur mereka adalah sekitar 14 hingga 15 jam dan pada umur enam bulan pula antara 13 hingga 14 jam sehari,” kongsinya.

Oleh itu, berikut lima tip yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak kecil dapat tidur dengan lena, menurut Dr Muhammad Salehuddin:

1. Selepas menyusu, riba atau pangku anak sehingga mereka betul-betul tidur dengan nyenyak sebelum meletakkan mereka di lokasi lain. Jika perlu, bendung si manja anda dengan kemas.

2. Pastikan suhu yang sesuai dan agak rendah. Buka kipas atau pendingin hawa semasa musim panas.

3. Kurangkan bunyi bising (persekitaran) semasa bayi sedang tidur.

4. Apabila bayi mula terjaga dan selepas 30 minit hingga satu jam, pastikan si ayah yang mengangkat untuk tidurkan mereka semula. Jika si ibu yang mengangkat, anak akan tetap mahu menyusu meskipun sudah kenyang.

“Sebenarnya, bayi tersebut bukan hendak menyusu pun, tetapi mahu ‘mengempeng’ atau dipeluk sahaja,” terangnya.

5. Jika bayi sudah tidur lena, tidak perlu kejutkan sama ada untuk menukar lampin atau memberi susu.

“Sekiranya bayi yang berusia dua minggu, kadangkala mereka akan kuat tidur.

“Jadi, untuk kes-kes sebegitu, ibu ayah boleh kejutkan untuk penyusuan setiap 2 jam (susu badan) dan 3 jam (susu formula),” pesannya.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada ibu ayah di luar sana.

Bersalin Secara Czer: Ini Pro, Kontra Yang Perlu Para Ibu Hadam

APABILA penyanyi dan pelakon terkenal, Ayda Jebat menyuarakan hasrat untuk melahirkan cahaya mata sulung dengan kaedah pembedahan caesarean section (czer), dunia maya kecoh seketika.

Masakan tidak, warganet mempertikaikan keputusan tersebut kerana pendekatan sebegitu kononnya tidak menunjukkan pengorbanan seorang ibu yang sebenar.

Pun demikian, isteri kepada Nabil Maher itu menegaskan, beliau dan beberapa bakal ibu bersalin secara pembedahan adalah disebabkan oleh faktor kesihatan dan keselamatan bayi.

Ayda Jebat dan suami ketika mengumumkan kaedah kelahiran anak melalui czer.

Isu yang menjadi pendebatan hangat itu turut menarik perhatian beberapa artis yang tampil dengan hujah masing-masing.

Antaranya pelakon Shima Anuar yang berpendapat, pendekatan yang dipilih oleh Ayda semestinya mempunyai risiko tersendiri dan tidak patut diperlekehkan.

“Banyak mitos mengenai czer sebenarnya, tetapi untuk saya, alhamdulillah semua okey. Czer pun sakit juga,“ katanya.

Bagi mendapatkan pencerahan lanjut, SinarPlus mewawancara Pakar Perunding Perubatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pakar KPJ Kajang, Selangor, Dr Nurezwana Elias.

Dr Nurezwana.

Jelas Dr Nurezwana, prosedur czer biasannya dilakukan hanya melibatkan kes-kes kecemasan sahaja.

Sementara bersalin secara normal merujuk kepada prosedur pembedahan mengeluarkan bayi yang bermula dengan belahan pada abdomen bawah dan perlu melalui beberapa lapisan (abdomen) lain sebelum bayi dikeluarkan.

“Selepas proses kelahiran selesai, jahitan akan dilakukan pada bahagian kulit lapisan subdermis. Penting untuk diketahui, jahitan yang dilakukan doktor  tidak perlu dibuka. Setelah luka tersebut sembuh, benang yang digunakan akan larut dengan sendirinya pada kulit,“ jelasnya.

Risiko kecil

Mengulangi kata-katanya sebelum ini, beliau menegaskan, kelahiran secara pembedahan perlu dilaksanakan berdasarkan indikasi klinikal.

Ujarnya, pembedahan czer elektif boleh dilakukan sekiranya ibu tersebut pernah melalui proses pembedahan czer sekurang-kurangnya dua kali sebelum kelahiran yang terkini, saiz bayi yang besar atau kedudukan bayi songsang sewaktu di dalam rahim ibu.

“Bagi kes-kes pembedahan czer disebabkan oleh kecemasan pula seperti denyutan nadi bayi lemah, warna air ketuban bertukar warna hijau, bukaan pangkal rahim yang lambat dan beberapa faktor lain yang memerlukan proses pembedahan czer perlu dilakukan segera.

“Kaedah itu juga merangkumi ibu yang mengalami masalah tokophobia iaitu ketakutan berlebihan untuk bersalin secara normal sehingga boleh menyebabkan kegelisahan dan juga kemurungan,“ terangnya.

“Ingat, para ibu tidak boleh sesuka hati memilih cara ini. Lazimnya, mereka terlebih dahulu perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan nasihat selanjutnya berhubung kaedah kelahiran jenis itu,” katanya.

Semasa perbincangan dilakukan, pakar obstetrik dan ginekologi akan menerangkan kepada para ibu meliputi beberapa perkara penting.

Antaranya  berkenaan dengan prosedur, indikasi, kelebihan dan komplikasi yang mungkin akan berlaku sewaktu proses pembedahan berjalan, kongsi beliau.

Beritahu Dr Nurezwana, terdapat beberapa kerumitan yang bakal dihadapi. Antaranya seperti komplikasi pendarahan, jangkitan kuman dan darah beku.

Pun demikian, kaum wanita tidak perlu khuatir kerana risiko yang dinyatakan itu jarang berlaku iaitu antara 1 hingga 2 peratus sahaja.

“Hal itu sekali gus menunjukkan perkembangan teknologi moden dalam bidang perubatan telah membantu mengelakkan kes-kes komplikasi daripada terus berlaku,“ katanya.

Justeru, ujar pakar tersebut, perbincangan di antara ibu dengan doktor sangat penting kerana penerangan yang disampaikan bakal mempengaruhi keputusan untuk meneruskan kelahiran secara czer atau sebaliknya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

VBAC

Dalam pada itu, laman web perubatan tempatan, Hello Doktor berkata, kepada wanita yang sudah didiagnosis mempunyai risiko tertentu seperti preeklampsia dan diabetes gestasi, pelan untuk bersalin czer  atau prosedur czer elektif perlu dirancang lebih awal.

Sama seperti kata Dr Nurezwana, kategori czer kecemasan, kebiasaannya ia melibatkan situasi yang boleh mengancam nyawa bayi atau ibu.

Antara keadaan lain yang memerlukan pembedahan czer dilakukan adalah seperti berikut:

  • Bayi mempunyai masalah berkaitan tumbesaran.
  • Komplikasi kehamilan seperti diabetes gestasi dan preeklampsia.
  • Masalah kesihatan dialami oleh ibu seperti penyakit jantung tidak stabil dan darah tinggi tidak terkawal.
  • Kepala bayi terlalu besar dan tidak muat untuk melepasi pinggul ibu.
  • Masalah dengan plasenta seperti plasenta previa dan abruptio placenta.
  • Ibu mempunyai jangkitan herpes kelamin aktif.
  • Masalah dengan tali pusat bayi.
  • Bayi kekurangan oksigen atau lahir keluar bahu terlebih dulu.

Berdasarkan panduan yang dikeluarkan oleh The American College of Obstetricians and Gynecologists, mereka menggalakkan prosedur bersalin normal selepas czer atau VBAC.

Antara kebaikannya adalah tidak melibatkan pembedahan pada bahagian abdomen dan jangka masa pemulihan yang lebih pendek.

Pada masa sama, risiko jangkitan dan pendarahan juga berkurangan, selain kurang kecederaan pada organ lain.

Pun demikian, kata Hello Doktor, bukan semua wanita sesuai untuk melalui prosedur VBAC. Ia bergantung kepada jenis parut pada rahim kesan daripada pembedahan czer.

Parut yang berbeza mempunyai kebarangkalian berbeza dengan risikonya untuk pecah. Antaranya adalah:

  1. Potongan melintang pada bawah rahim: Ini merupakan teknik potongan paling lazim dilakukan. Risikonya untuk pecah adalah paling rendah (satu daripada 500 kelahiran).
  2. Potongan menegak pada bawah rahim: Mempunyai risiko untuk pecah yang lebih tinggi berbanding dengan potongan melintang pada bahagian bawah abdomen.
  3. Potongan menegak pada bahagian atas rahim atau parut klasik czer: Kebiasaannya dilakukan bagi kelahiran pramatang sebelum 32 minggu. Ia mempunyai risiko yang tinggi untuk pecah jika VBAC dijalankan.

“Jika berlaku komplikasi rahim pecah sewaktu VBAC, prosedur bersalin czer kecemasan akan dijalankan. Jika keadaan tersebut terlalu serius, pembedahan yang melibatkan pembuangan rahim akan dilakukan bagi menyelamatkan nyawa ibu.

“Ini bermakna, wanita tersebut tidak boleh hamil pada masa akan datang,“ kata Hello Doktor sambil menambah, mereka yang sudah bersalin czer lebih daripada dua kali, kebiasaannya tidak akan dibenarkan untuk melalui prosedur tersebut.

Pilihan terbaik

Sementara itu, Pakar Sakit Puan dan Perbidanan, Hospital Pakar SALAM Shah Alam, Selangor, Dr Nurul Azwa Hasny berkata, sekiranya seorang ibu itu langsung tidak mengalami sebarang masalah dan komplikasi, maka pada waktu itu kelahiran biasa atau natural birth adalah lebih baik.

Terlebih dulu ujarnya, jangka masa bersalin berbeza-beza bergantung kepada kondisi setiap ibu dan anak.

Sama seperti informasi yang dikongsi dalam MyHealth, wanita yang pertama kali hamil lazimnya akan mengambil masa lebih lama untuk melahirkan bayi.

Seterusnya, beritahu beliau, memasuki fasa akhir kehamilan iaitu pada trimester ketiga, doktor akan menasihati para ibu agar lebih berhati-hati dan peka terhadap tanda-tanda kelahiran.

Dalam pada itu, tambah pakar tersebut, tanda-tanda kelahiran normal bagi setiap wanita juga berbeza-beza antara satu sama lain. Antaranya:

  • Ketegangan perut atau berlaku tekanan pada ari-ari.
  • Sakit belakang yang semakin kerap dan kuat.
  • Cecair ketuban mula meleleh atau mengalir.
  • Anak kurang aktif.

Bercerita mengenai komplikasi kelahiran normal pula, maklum Dr Nurul Azwa, ia boleh berlaku semasa kelahiran dan boleh dibantu dengan penggunaan vakum atau forsep bayi sekiranya bukaan mencapai 10 sentimeter.

Oleh itu, kata beliau, setiap ibu diminta untuk berbincang dengan lebih mendalam dengan  doktor atau pakar masing-masing dalam menentukan pilihan terbaik untuk bersalin.

“Apa yang dicadangkan oleh doktor itu biasanya tepat demi keselamatan ibu dan bayi. Setiap doktor pastinya mahukan yang terbaik dan ingin menjamin keselamatan pesakit di bawah kendaliannya,“ ujarnya.

Pening Kepala Rambut Selalu Gugur? Jom Kenali Punca Dan Kaedah Rawatan

MASALAH rambut gugur sering dikaitkan dengan wanita. Lihat sahaja lambakkan iklan di kaca teleisyen yang turut mengaitkan masalah tersebut dengan golongan Hawa.

Namun, sedarkah bahawa perkara tersebut turut dialami oleh golongan lelaki seiring dengan peningkatan usia.

TEKANAN atau stres antara punca berlakunya keguguran rambut.

Mungkin masalah tersebut tidak terlalu ketawa seperti wanita kerana lelaki tidak mempunyai masalah untuk membotakkan kepala sekiranya mengalami masalah rambut.

Terdapat pelbagai punca yang boleh dikaitkan dengan perkara ini. Antaranya penipisan rambut secara berperingkat disebabkan peningkatan umur.
Gangguan lebihan vitamin A juga dipercayai antara punca hal ini boleh terjadi.

Bagi mengetahui lebih lanjut, jom semak lima punca rambut gugur dan kenali kaedah rawatan bagi mencegah agar tidak berulang:

MASALAH rambut gugur turut dialami oleh kaum Adam.

Punca

1. Tekanan

Setiap daripada kita mempunyai masalah dalam hidup masing-masing. Sama ada melibatkan hal kerja, kewangan, keluarga atau apa sahaja isu yang boleh menyebabkan tekanan lebih-lebih lagi gangguan emosi.
Berbeza dengan tekanan fizikal, masalah emosi dipercayai akan memudaratkan diri termasuk menyebabkan lebih banyak rambut gugur.

2. Kurang protein

Pengambilan protein bukan sahaja baik untuk individu yang ingin membina otot badan. Tetapi, kandungan enzim dan hormon yang ada dalam protein turut dikatakan mampu memelihara sistem imun, mengekalkan tenaga dan stamina.
Tidak hanya itu, kekurangan protein dalam diet pemakanan turut dikhuatiri akan menyebabkan proses pertumbuhan rambut perlahan atau berhenti.

3. Gaya berlebihan

Memastikan diri sentiasa berada dalam landasan trend semasa agak memenatkan dan memerlukan pengorbanan tenaga dan wang ringgit.
Begitu juga dengan penggayaan rambut yang menggunakan bahan kimia terlalu tinggi atau kerap. Tidak salah untuk melakukan rawatan rambut atau ingin menggayakan, tetapi harus diingat kesan dikemudian hari.

4. Penuaan

Situasi ini tidak dapat dielakkan oleh sesiapa. Seiring dengan peningkatan usia, kemampuan, tenaga dan tahap kesihatan tubuh turun akan terkesan.
Tidak mengira sama ada lelaki atau wanita, apabila sampai satu masa hal ini pasti akan berlaku.

5. Masalah Hypothyroidism

Gangguan Hypothyroidism dipercayai berpunca akibat perubatan kelenjar tiroid yang tidak aktif. Kelenjar tersebut berada di bahagian leher.
Fungsinya bagi memastikan kadar metabolisme. Disebabkan itu, jika seseorang mengalami masalah Hypothyroidism, mereka akan berhadapan dengan masalah keguguran rambut.

Kaedah rawatan

DAPATKAN nasihat pakar sekiranya mengalami masalah rambut gugur berterusan.

1. Rawatan

Sekiranya hal ini berlanjutan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah hentikan segala penggunaan sebarang produk dan terus mendapatkan nasihat daripada pakar.  Setelah mengenalpasti masalah yang dihadapi, doktor akan menasihatkan tentang kaedah rawatan sesuai termasuk cara mengatasinya.

2. Anti kulat

Jangkitan kulat pada bahagian rambut turut dipercayai mampu mengakibatkan rambut gugur. Oleh itu, cuba dapatkan ubat anti kulat bagi mencegah masalah tersebut.

3. Bahan semula jadi

Sejak zaman turut temurun, penggunaan minyak kelapa dikatakan bahan semula jadi yang paling mujarab bagi merawat masalah rambut. Kandungan nutrisi minyak kelapa juga boleh melebatkan, mengilatkan dan mencegah rambut gugur. Caranya lumur minyak kelapa pada rambut sehingga mengenai kulit kepala. Urut seketika dan bilas dengan air bersih. Amalkan beberapa kali dan lihat hasilnya.

Selain minyak kelapa, lidah buaya juga bagus untuk mengekalkan kesihatan rambut. Selain baik untuk mengekalkan kelembapan kulit badan, ia juga bagus untuk rambut. Caranya, potong pokok lidah buaya dan ambil lendirnya kemudian lumurkan pada rambut. Sapukan sehingga rata dan urut perlahan-lahan sebelum membilas dengan air.

Daun inai juga mampu memainkan peranan yang sama pada rambut. Caranya dengan ambil segenggam daun inai untuk ditumbuk lumat dan campur dengan sedikit air untuk dijadikan pes. Kemudian, ratakan di bahagian rambut dan kemudian biarkan selama tiga jam. Seterusnya bilas dengan air bersih dan juga lakukan kaedah ini sebanyak dua kali seminggu.

Terlampau Berfikir Mampu Jejas Kesihatan Jiwa, Kenali 4 Cara Atasi Masalah

ORANG kata sebaiknya sediakan payungkan sebelum hujan. Maknanya kita sudah siap sedia berdepan segala kemungkinan. Tetapi, terlalu memikirkan juga boleh menyebabkan seseorang berasa tertekan sehingga mencetuskan kebimbangan melampau.

Situasi ini turut menyebabkan seseorang itu berasa tertekan lebih-lebih lagi apabila terlalu memikirkan perkara yang belum terjadi.

Menurut pakar kesihatan psikologi, Jovita Ferliana, terlalu berfikir boleh mengundang pelbagai reaksi baik atau tidak.

TERLAMPAU berfikir boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.

Sikap sebegini turut akan memacu pemikiran seseorang sehingga mampu bertindak di luar kawalan disebabkan taksub dengan pandangan mereka atau mudah berasa takut.

Bagaimanapun, berikut merupakan empat cara yang boleh dilakukan bagi individu yang sering mengalami masalah berfikir secara berlebihan:

TEKANAN berpunca daripada terlampau berfikir menyebabkan seseorang bertindak di luar jangkaan.

1. Alih pandangan

Memang benar kita tidak boleh sentiasa mengharapkan hal yang indah akan berlaku setiap hari. Namun, jangan terlalu membebankan diri dengan memikirkan perkara yang bukan-bukan.

Sebaiknya, jika hal itu berlaku jangan terlalu memberi fokus kepada perkara buruk. Didik diri untuk berfikiran positif dan berusaha untuk menerima setiap perkara yang berlaku dengan hati terbuka.

2. Fokus

Menguruskan banyak hal dalam satu masa bukan satu tugas mudah. Oleh itu cuba senaraikan mengikut keperluan agar tidak membebankan diri.
Begitu juga dengan memikirkan sesuatu perkara agar tidak berfikiran secara berlebihan. Sebaiknya fokus pada hal semasa supaya mampu berfikiran rasional.

3. Jurnal

Boleh belajar meluahkan perasaan dengan cara menulis dalam buku atau jurnal. Cara ini dipercayai dapat mengurangkan tekanan yang dirasai dan mengelak daripada memikirkan hal tersebut terlalu lama.

Selain meluahkan kebimbangan kepada orang lain, cuba korang bercerita dengan diri sendiri menerusi penulisan jurnal.

4. Nasihat pakar

Jangan terlalu hidup dengan stigma negatif atau takut untuk mendapatkan rawatan sekiranya mengalami masalah gangguan jiwa atau mental. Sikap masyarakat yang suka melabel ini perlu dihapuskan demi kelestarian generasi akan datang.

Cuba cari jalan keluar dengan cara mendapatkan nasihat daripada baik merupakan kaedah terbaik bagi mengetahui tahap kesihatan mental dan emosi.

Ingat! Jangan malu atau takut untuk mendapatkan rawatan kerana sekiranya hal ini tidak dibendung dengan baik bimbang ia akan menjejaskan kualiti hidup kelak.

Rumah Tradisi 200 Tahun Menjadi Tumpuan Dunia, Padanlah Vila Warisan Ini Tersenarai Destinasi Wajib Singgah Di Langkawi

Kunang-Kunang Heritage Villas

APABILA ingin berlibur, pastinya kita akan mencari kelainan dari segi lokasi atau pun tempat penginapan. Bukan apa, kita mahukan percutian yang singkat membawa seribu erti.

Kepada yang rindukan suasana desa sebenar dan teringin menghuni rumah tradisional Melayu, Kunang-Kunang Heritage Villas yang terletak berdekatan dengan Pantai Cenang, Langkawi, Kedah antara pilihan terbaik.

Vila warisan yang berusia hampir 200 tahun dengan 20 buah teratak itu sebenarnya adalah milik pereka fesyen tersohor tanah air, Datuk Radzuan Radziwill.

Kunang-Kunang Heritage Villas

Bertemu empat mata dengannya pada Program Ekspresi Media Langkawi 2021 anjuran Tourism Malaysia baru-baru ini, Radzuan berkata, keunikan seni ukiran dan reka bentuk rumah yang diwariskan turun-temurun itu telah menarik perhatian bukan saja pelancong lokal, malah dari luar negara terutama dari Perancis, Dubai dan Jepun.

Baca juga Mahu ketenangan, kita singgah ke kawasan air terjun. Perlukan privasi, jom kita glamping

“Kebanyakan rumah tradisi asli ini didatangkan khas dari kampung yang terletak di Kuala Kangsar, Perak. Antaranya di Teriang, Utai, Ulu, Kati dan Sayong. Malah, setiap satunya dinamakan sempena nama kampung tersebut.

“Saya juga berjaya dapatkan enam buah rumah tradisional lain di pulau ini yang dipasang dan diperbaiki semula seperti Rumah Mahsuri, Temoyong, Cheh dan Chandekura,” katanya.

Kunang-Kunang Heritage Villas

Personaliti berusia 51 tahun itu memberitahu SinarPlus, idea membangunkan vila terbabit adalah didorong daripada permintaan beberapa kenalan antarabangsanya ketika mereka bersama-sama menyertai pameran fesyen di luar negara.

“Kebanyakan mereka yang datang ke Malaysia mencari-cari keunikan budaya dan seni Melayu terutamanya rumah kampung yang kaya dengan seni ukiran kayu. Bermula dari detik itu, saya terpanggil untuk mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Kunang-Kunang Heritage Villas
Kunang-Kunang Heritage Villas

Selain menitikberatkan sentuhan artistik dari segi ukiran bumbung, atap, dinding dan segala macam jenis peralatan, pemilihan perabot lama serta pemeliharaan kayu-kayan ratusan tahun penuh teliti, Radzuan turut menerapkan elemen gaya kontemporari seperti rekaan dalaman bilik air yang luas dan selesa.

Bagi penulis, kunjungan di sana seolah-olah berada di sebuah perkampungan yang sentosa, ditambah dengan pemandangan tasik yang dipenuhi bunga teratai yang sungguh mendamaikan.

Kunang-Kunang Heritage Villas

Menariknya lagi tentang destinasi berkenaan, pelancong turut disajikan dengan sajian istimewa masakan autentik Melayu tanpa perlu pergi jauh.

Sebagai tambah nilai, pelbagai aktiviti riadah boleh dilakukan bersama keluarga tercinta.

Jika mahu berenang, terdapat kolam yang terbentang luas disediakan. Jika tidak, pengunjung diajak berbasikal atau menunggang beca. Pasti seronok bukan?

Kunang Kunang Heritage Villas

  • Alamat: Lot 1947 A, Jalan Pantai Cenang, Kampung Gelam, Pulau Langkawi, Kedah
  • Harga: Bermula RM250 hingga RM360
  • Aktiviti: Berbasikal, menunggang beca dan mandi kolam
  • Facebook: Kunang Kunang Heritage Villas Langkawi
  • Instagram: @kunangkunangheritagevilla
Kunang-Kunang Heritage Villas

Pada pandangan pelancong luar, reka bentuk rumah warisan Melayu yang penuh estetik sentiasa menggamit pandangan mereka.

Justeru, tidak hairanlah, jumlah tempahan tempat penginapan yang menerapkan konsep desa sering menjadi perhatian ramai.

Baca juga Terjah hidden gem Pulau Langkawi, rupa-rupanya terdapat port yang masih ramai belum tahu

Ia akan bertambah bernilai sekiranya pengusaha menyediakan sajian masakan tradisional seperti sambal belacan, tempoyak, rendang dan macam-macam kepada pengunjungnya.

Selain Kunang Kunang Heritage Villas, SinarPlus menemui beberapa lagi destinasi yang masih berkonsepkan inap desa. Antaranya adalah seperti berikut:

terrapuri

Terrapuri

  • Alamat: Jalan Pantai Penarik, Kampung Penarik, Terengganu
  • Harga: Bermula RM429 hingga RM529 (promosi hingga Disember 2021)
  • Aktiviti: Pakej bulan madu, spa terapi, snorkeling dan menyelam, Floating Art of Langkasuka dan terokai kelip-kelip dan Setiu Wetlands
  • Facebook: Terrapuri
  • Instagram: @terrapuri
  • Laman web: www.terrapuri.com

selepas hujan

Selepas Hujan

  • Alamat: 43A, Pantai, Negeri Sembilan
  • Harga: Bermula RM1,457
  • Aktiviti: Memancing, yoga
  • Facebook: Selepas Hujan

kuang kampung retreat

Kuang Kampung Retreat

  • Alamat: Lorong Orkid Kuang, Sungai Buloh, Selangor
  • Harga: Bermula RM1,097
  • Aktiviti: Hari keluarga
  • Facebook: Kuang Kampung Retreat

warisan pahlawan

Warisan Pahlawan Resort

  • Alamat: Kampung Pauh, Mukim Jenagor, Kuala Berang, Terengganu
  • Harga: Bermula rm60 hingga RM800
  • Aktiviti: Hari keluarga
  • Facebook: Warisan Pahlawan Resort, Terengganu
  • Instagram: @warisanpahlawanresortofficial

Waspada, Kanak-Kanak 10 Tahun Kini Sudah Derita Diabetes Angkara Obesiti

Awas! Kerja dari rumah jangan sampai obesiti


DR AZRI FIKRI@FICKRY

PAKAR PEDIATRIK, PUTRA SPECIALIST HOSPITAL MELAKA

(Beliau diundang menjadi panel dalam program DNA yang membicarakan topik Comel Atau Obes: Adakah Salah Ibu Bapa? baru-baru ini)

SOALAN 1

Apabila seseorang obes, banyak impak buruk dari segi kesihatan boleh berlaku lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak. Boleh doktor jelaskan, apakah antara kesan buruk atau penyakit yang boleh seseorang kanak-kanak itu bakal hadapi termasuklah risiko jangka masa panjang?

JAWAPAN:

MERUJUK kepada soalan yang diajukan, terdapat kajian yang boleh dikongsikan. Sejak tahun 1975 sehingga kini, kadar obesiti telah meningkat tiga hingga empat kali ganda.

Jika ia berlaku kepada orang dewasa, misalnya mereka menghidap diabetes atau kencing manis, banyak ubat-ubatan yang boleh membantu.

Mengikut pengalaman peribadi saya di klinik, ubat yang sama pernah diberikan kepada kanak-kanak yang berumur 10 dan 11 tahun selepas mereka didiagnos dengan masalah obesiti ditambah dengan kencing manis.

Lihat, hal-hal yang sebelum ini hanya dilihat berlaku dalam kalangan kelompok dewasa, tetapi kini turut menjadi igauan kepada kanak-kanak.

Selain kencing manis, si kecil yang obes juga sudah mula dikesan berdepan dengan penyakit jantung, gangguan tidur yang serius dan kemelut pernafasan sempit.

IMBAS kod QR ini untuk menonton video DNA secara penuh.

Apabila menjengah ke alam dewasa, kanak-kanak itu tadi akan membawa sama penyakitnya.

Tidak hanya itu, terdapat lebih banyak risiko lain yang memungkinkan dua hingga lima kali ganda seseorang itu mendapat pelbagai penyakit lain. Antaranya seperti Alzheimer iaitu salah satu krisis kesihatan yang biasa berlarutan dalam jangka masa yang panjang.

Kumur Air Kunyit Bantu Tangani Masalah Gigi Berlubang. Wajib Cuba Tip Ini

MASALAH gigi berlubang kadangkala sangat mengganggu kehidupan sehingga merencatkan aktiviti seharian kita.

Bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang tua, kemelut itu tidak terkecuali menyerang golongan yang masih muda remaja.

Pun demikian, jangan risau, SinarPlus ada cara untuk menanganinya.

Berikut beberapa bahan yang boleh digunakan untuk mengurangkan rasa sakit sekiranya berhadapan masalah gigi berlubang menurut Telegram Petua dan Kesihatan:

1) Kunyit

  • Kesengsaraan itu sebenarnya boleh diatasi dengan cara cukup mudah, menggunakan bahan semula jadi iaitu kunyit.
  • Kandungan utama kunyit yang bernama curcumin dapat menghalang pembiakan bakteria yang menjadi punca gigi berlubang.
  • Selain itu, kunyit juga bermanfaat dalam meningkatkan daya ingatan, menyembuhkan selesema, hidung tersumbat dan sebagainya.
  • Caranya, hanya berkumur dengan larutan air kunyit, sama ada kunyit hidup mahupun kunyit serbuk secara teratur. Ia merupakan salah satu petua untuk mencegah dan mengatasi pembusukan gigi (gigi berlubang).

2) Limau nipis

  • Siapa kata limau nipis hanya boleh dijadikan bahan minuman, masakan dan cucian semata-mata?
  • Selain daripada kegunaan-kegunaan tersebut, limau nipis juga boleh bertindak sebagai ubat!
  • Caranya, potong limau nipis kepada bahagian-bahagian kecil lalu diperah jusnya ke dalam bekas. Kemudian, gunakan sudu kecil untuk mengambil jus tersebut, lalu titiskan sedikit demi sedikit ke atas bahagian gigi yang sakit.
  • Selepas itu, berhenti seketika dan ulang lagi setelah 10 minit berlalu sehingga habis jus.
  • Ini kerana Vitamin C yang terkandung di dalam limau nipis mampu hilangkan sakit gigi yang dialami.

3) Tuam dengan ais

  • Akhir sekali, untuk menghilangkan sakit gigi di rumah, ambil beberapa ketul ais lalu masukkan ke dalam beg plastik.
  • Kemudian, tuam pada pipi bahagian gigi yang sakit.
  • Langkah itu bertindak seperti menggunakan ubat kebas dan mampu meredakan sakit buat sementara waktu.

“Di samping itu, jaga kebersihan gigi. Pastikan gigi digosok sekurang-kurangnya dua kali sehari setiap pagi dan sebelum tidur.

“Periksa tahap kesihatan gigi dengan melakukan pemeriksaan secara berkala setiap enam bulan sekali,” beritahu mereka.

Selamat mencuba!

Siakap Masak Kengsom Padu, Cukup Masam, Manis Dan Pedas

Siakap masak kengsom padu, cukup masam, manis dan pedas

BILA sebut sahaja ikan siakap yang juga dikenali ikan Kakap Putih pasti ramai yang terbayangkan isinya yang lembut dan sedap.

Macam-macam menu yang kita boleh masak dengan ikan siakap ni seperti asam pedas, kari, bakar, goreng bercili, stim dan sebagainya.

Selain itu, ia juga enak dimasak kengsom. Mudah dibuat, rasa dan baunya juga sangat menyelerakan.

Resipi ini merupakan masakan Thailand, sudah pasti rasanya sangat padu ada masam, manis dan pedas.

Menu ini juga sihat dan sesuai untuk orang yang sedang diet kerana tidak menggunakan setitik minyak, orang bujang pun dijamin boleh membuatnya.

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan siakap
  • 1/2 biji nenas
  • Kangkung
  • 2 batang serai diketuk
  • 1 biji limau nipis
  • Garam
  • Gula
Ikan siakap Pla Neung Manao enak dengan hanya 3 langkah mudah

Bahan kisar:

  • 2 tangkai cili merah
  • 8 tangkai cili padi
  • 1 biji bawang besar – sederhana besar
  • 6 ulas bawang putih
  • Sedikit belacan
  • 1 inci kunyit hidup

Cara cara membuatnya:

1. Masukkan bahan kisar dan air secukupnya ke dalam periuk. Masak hingga mendidih.

2. Masukkan nenas dan serai. Masak hingga mendidih seketika, sebelum dimasukkan ikan.

3. Setelah ikan masak, masukkan garam dan gula.

4. Tutup api dan masukkan kangkung kerana mahu kangkung yang masih rangup.

5. Masukkan perahan jus limau. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba.

Sumber: Azie Kitchen