Awas! Beguk Bukan Penyakit Sembarangan, Boleh Merebak Melalui Udara Dan Titisan Cecair Dengan Mudah

beguk bukan penyakit sembarangan

TIGA tahun lalu, negara kita dikejutkan dengan penutupan dua buah sekolah di Kajang dan Gombak, Selangor gara-gara kluster beguk.

Pada ketika itu, tindakan kawalan dan pencegahan telah dijalankan kerajaan dengan melaksanakan proses pengasingan pelajar.

Walaupun arahan telah dikeluarkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan jangkitan masih berlaku akibat pergaulan pelajar yang berterusan.

beguk bukan penyakit sembarangan

Justeru, tiada pendekatan lain yang lebih berkesan dapat dilaksanakan selain mengarahkan penutupan sekolah demi memutuskan rangkaian jangkitan beguk.

Hasilnya, semua pelajar yang terlibat dari kedua-dua sekolah itu berada dalam keadaan stabil dan terkawal.

Mengulas tentang beguk, sebenarnya ramai yang masih kurang arif bagaimana masalah itu berlaku dan apakah cara untuk mencegah krisis kesihatan berkenaan?

Justeru, bagi mengupas lanjut mengenainya, SinarPlus mewawancara Pegawai Perubatan Telinga, Hidung dan Tekak, Persatuan Alumni Perubatan Universiti Teknologi Mara Malaysia, Dr Nur Islam Zahari.

Dr Nur Islam menjelaskan, beguk merupakan satu infeksi virus dikenali sebagai paramyxovirus. Ia menyerang kelenjar air liur (salivary gland) yang terletak berhampiran dengan telinga atau disebut sebagai parotid pada bahagian pipi.

beguk bukan penyakit sembarangan

Jangan sesekali kita melihat beguk merupakan satu penyakit biasa.

Berdasarkan informasi yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 20 Oktober 2018, sebanyak 75 kluster beguk telah dilaporkan di seluruh Malaysia, berbanding 64 kluster pada tahun sebelumnya.

Daripada 75 kluster, sebanyak 59 kluster (78.7 peratus) berlaku di sekolah.

Mudah berjangkit

Berdasarkan maklumat tersebut, Dr Nur Islam berkata, beguk memang merupakan satu penyakit yang sangat mudah berjangkit daripada satu individu kepada individu lain.

“Beguk boleh tersebar kepada sesiapa sahaja melalui udara, antaranya melalui percakapan,“ ujarnya.
Selain itu, ia juga boleh merebak melalui titisan air yang terhasil ketika seseorang itu bersin ataupun batuk.

Seperkara yang menakutkan daripada fakta yang dikongsikan pakar terbabit adalah tentang bahaya amalan berkongsi peralatan makanan seperti sudu dan cawan atau barangan peribadi lain.

beguk bukan penyakit sembarangan

“Perilaku itu boleh meningkatkan lagi risiko seseorang untuk mendapat jangkitan. Kekurangan penjagaan kebersihan yang baik seperti tidak mencuci tangan dengan betul pun dapat meningkatkan penyebaran virus paramyxovirus itu,” beritahunya.

Kepada SinarPlus, pegawai perubatan itu berkata, beguk sangat mudah menjangkiti golongan kanak-kanak berbanding dewasa.

Baca juga Jangan malu periksa organ seksual, kaum lelaki disaran buat pemeriksaan segera

“Tanda-tanda atau gejala beguk pada mereka biasanya dapat dikesan antara 12 hingga 25 hari selepas dijangkiti. Namun, terdapat juga sesetengah pesakit yang tidak menunjukkan langsung simptom pada peringkat awal,” katanya.

Berikut antara gejala yang mungkin dialami oleh pesakit:

  • Bengkak dan rasa sakit pada satu atau kedua-dua belah pipi.
  • Mengalami demam.
  • Pesakit akan sakit kepala.
  • Sakit otot tiba-tiba sahaja berlaku.
  • Berdepan dengan keletihan yang melampau.
  • Pesakit juga akan berdepan dengan masalah hilang selera makan.

Dalam beberapa keadaan tertentu, sesetengah pesakit lelaki akan mengalami bengkak dan sakit pada bahagian kelamin.

“Jadi, apabila terdapat kesemua gejala yang saya nyatakan tadi berlaku, saya nasihatkan pesakit segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut agar rawatan yang sesuai dapat diberikan,” katanya.

Speak Your Mind

*