Bersalin Secara Czer: Ini Pro, Kontra Yang Perlu Para Ibu Hadam

APABILA penyanyi dan pelakon terkenal, Ayda Jebat menyuarakan hasrat untuk melahirkan cahaya mata sulung dengan kaedah pembedahan caesarean section (czer), dunia maya kecoh seketika.

Masakan tidak, warganet mempertikaikan keputusan tersebut kerana pendekatan sebegitu kononnya tidak menunjukkan pengorbanan seorang ibu yang sebenar.

Pun demikian, isteri kepada Nabil Maher itu menegaskan, beliau dan beberapa bakal ibu bersalin secara pembedahan adalah disebabkan oleh faktor kesihatan dan keselamatan bayi.

Ayda Jebat dan suami ketika mengumumkan kaedah kelahiran anak melalui czer.

Isu yang menjadi pendebatan hangat itu turut menarik perhatian beberapa artis yang tampil dengan hujah masing-masing.

Antaranya pelakon Shima Anuar yang berpendapat, pendekatan yang dipilih oleh Ayda semestinya mempunyai risiko tersendiri dan tidak patut diperlekehkan.

“Banyak mitos mengenai czer sebenarnya, tetapi untuk saya, alhamdulillah semua okey. Czer pun sakit juga,“ katanya.

Bagi mendapatkan pencerahan lanjut, SinarPlus mewawancara Pakar Perunding Perubatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pakar KPJ Kajang, Selangor, Dr Nurezwana Elias.

Dr Nurezwana.

Jelas Dr Nurezwana, prosedur czer biasannya dilakukan hanya melibatkan kes-kes kecemasan sahaja.

Sementara bersalin secara normal merujuk kepada prosedur pembedahan mengeluarkan bayi yang bermula dengan belahan pada abdomen bawah dan perlu melalui beberapa lapisan (abdomen) lain sebelum bayi dikeluarkan.

“Selepas proses kelahiran selesai, jahitan akan dilakukan pada bahagian kulit lapisan subdermis. Penting untuk diketahui, jahitan yang dilakukan doktor  tidak perlu dibuka. Setelah luka tersebut sembuh, benang yang digunakan akan larut dengan sendirinya pada kulit,“ jelasnya.

Risiko kecil

Mengulangi kata-katanya sebelum ini, beliau menegaskan, kelahiran secara pembedahan perlu dilaksanakan berdasarkan indikasi klinikal.

Ujarnya, pembedahan czer elektif boleh dilakukan sekiranya ibu tersebut pernah melalui proses pembedahan czer sekurang-kurangnya dua kali sebelum kelahiran yang terkini, saiz bayi yang besar atau kedudukan bayi songsang sewaktu di dalam rahim ibu.

“Bagi kes-kes pembedahan czer disebabkan oleh kecemasan pula seperti denyutan nadi bayi lemah, warna air ketuban bertukar warna hijau, bukaan pangkal rahim yang lambat dan beberapa faktor lain yang memerlukan proses pembedahan czer perlu dilakukan segera.

“Kaedah itu juga merangkumi ibu yang mengalami masalah tokophobia iaitu ketakutan berlebihan untuk bersalin secara normal sehingga boleh menyebabkan kegelisahan dan juga kemurungan,“ terangnya.

“Ingat, para ibu tidak boleh sesuka hati memilih cara ini. Lazimnya, mereka terlebih dahulu perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan nasihat selanjutnya berhubung kaedah kelahiran jenis itu,” katanya.

Semasa perbincangan dilakukan, pakar obstetrik dan ginekologi akan menerangkan kepada para ibu meliputi beberapa perkara penting.

Antaranya  berkenaan dengan prosedur, indikasi, kelebihan dan komplikasi yang mungkin akan berlaku sewaktu proses pembedahan berjalan, kongsi beliau.

Beritahu Dr Nurezwana, terdapat beberapa kerumitan yang bakal dihadapi. Antaranya seperti komplikasi pendarahan, jangkitan kuman dan darah beku.

Pun demikian, kaum wanita tidak perlu khuatir kerana risiko yang dinyatakan itu jarang berlaku iaitu antara 1 hingga 2 peratus sahaja.

“Hal itu sekali gus menunjukkan perkembangan teknologi moden dalam bidang perubatan telah membantu mengelakkan kes-kes komplikasi daripada terus berlaku,“ katanya.

Justeru, ujar pakar tersebut, perbincangan di antara ibu dengan doktor sangat penting kerana penerangan yang disampaikan bakal mempengaruhi keputusan untuk meneruskan kelahiran secara czer atau sebaliknya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

VBAC

Dalam pada itu, laman web perubatan tempatan, Hello Doktor berkata, kepada wanita yang sudah didiagnosis mempunyai risiko tertentu seperti preeklampsia dan diabetes gestasi, pelan untuk bersalin czer  atau prosedur czer elektif perlu dirancang lebih awal.

Sama seperti kata Dr Nurezwana, kategori czer kecemasan, kebiasaannya ia melibatkan situasi yang boleh mengancam nyawa bayi atau ibu.

Antara keadaan lain yang memerlukan pembedahan czer dilakukan adalah seperti berikut:

  • Bayi mempunyai masalah berkaitan tumbesaran.
  • Komplikasi kehamilan seperti diabetes gestasi dan preeklampsia.
  • Masalah kesihatan dialami oleh ibu seperti penyakit jantung tidak stabil dan darah tinggi tidak terkawal.
  • Kepala bayi terlalu besar dan tidak muat untuk melepasi pinggul ibu.
  • Masalah dengan plasenta seperti plasenta previa dan abruptio placenta.
  • Ibu mempunyai jangkitan herpes kelamin aktif.
  • Masalah dengan tali pusat bayi.
  • Bayi kekurangan oksigen atau lahir keluar bahu terlebih dulu.

Berdasarkan panduan yang dikeluarkan oleh The American College of Obstetricians and Gynecologists, mereka menggalakkan prosedur bersalin normal selepas czer atau VBAC.

Antara kebaikannya adalah tidak melibatkan pembedahan pada bahagian abdomen dan jangka masa pemulihan yang lebih pendek.

Pada masa sama, risiko jangkitan dan pendarahan juga berkurangan, selain kurang kecederaan pada organ lain.

Pun demikian, kata Hello Doktor, bukan semua wanita sesuai untuk melalui prosedur VBAC. Ia bergantung kepada jenis parut pada rahim kesan daripada pembedahan czer.

Parut yang berbeza mempunyai kebarangkalian berbeza dengan risikonya untuk pecah. Antaranya adalah:

  1. Potongan melintang pada bawah rahim: Ini merupakan teknik potongan paling lazim dilakukan. Risikonya untuk pecah adalah paling rendah (satu daripada 500 kelahiran).
  2. Potongan menegak pada bawah rahim: Mempunyai risiko untuk pecah yang lebih tinggi berbanding dengan potongan melintang pada bahagian bawah abdomen.
  3. Potongan menegak pada bahagian atas rahim atau parut klasik czer: Kebiasaannya dilakukan bagi kelahiran pramatang sebelum 32 minggu. Ia mempunyai risiko yang tinggi untuk pecah jika VBAC dijalankan.

“Jika berlaku komplikasi rahim pecah sewaktu VBAC, prosedur bersalin czer kecemasan akan dijalankan. Jika keadaan tersebut terlalu serius, pembedahan yang melibatkan pembuangan rahim akan dilakukan bagi menyelamatkan nyawa ibu.

“Ini bermakna, wanita tersebut tidak boleh hamil pada masa akan datang,“ kata Hello Doktor sambil menambah, mereka yang sudah bersalin czer lebih daripada dua kali, kebiasaannya tidak akan dibenarkan untuk melalui prosedur tersebut.

Pilihan terbaik

Sementara itu, Pakar Sakit Puan dan Perbidanan, Hospital Pakar SALAM Shah Alam, Selangor, Dr Nurul Azwa Hasny berkata, sekiranya seorang ibu itu langsung tidak mengalami sebarang masalah dan komplikasi, maka pada waktu itu kelahiran biasa atau natural birth adalah lebih baik.

Terlebih dulu ujarnya, jangka masa bersalin berbeza-beza bergantung kepada kondisi setiap ibu dan anak.

Sama seperti informasi yang dikongsi dalam MyHealth, wanita yang pertama kali hamil lazimnya akan mengambil masa lebih lama untuk melahirkan bayi.

Seterusnya, beritahu beliau, memasuki fasa akhir kehamilan iaitu pada trimester ketiga, doktor akan menasihati para ibu agar lebih berhati-hati dan peka terhadap tanda-tanda kelahiran.

Dalam pada itu, tambah pakar tersebut, tanda-tanda kelahiran normal bagi setiap wanita juga berbeza-beza antara satu sama lain. Antaranya:

  • Ketegangan perut atau berlaku tekanan pada ari-ari.
  • Sakit belakang yang semakin kerap dan kuat.
  • Cecair ketuban mula meleleh atau mengalir.
  • Anak kurang aktif.

Bercerita mengenai komplikasi kelahiran normal pula, maklum Dr Nurul Azwa, ia boleh berlaku semasa kelahiran dan boleh dibantu dengan penggunaan vakum atau forsep bayi sekiranya bukaan mencapai 10 sentimeter.

Oleh itu, kata beliau, setiap ibu diminta untuk berbincang dengan lebih mendalam dengan  doktor atau pakar masing-masing dalam menentukan pilihan terbaik untuk bersalin.

“Apa yang dicadangkan oleh doktor itu biasanya tepat demi keselamatan ibu dan bayi. Setiap doktor pastinya mahukan yang terbaik dan ingin menjamin keselamatan pesakit di bawah kendaliannya,“ ujarnya.

Speak Your Mind

*