MASALAH gigi berlubang kadangkala sangat mengganggu kehidupan sehingga merencatkan aktiviti seharian kita.
Bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang tua, kemelut itu tidak terkecuali menyerang golongan yang masih muda remaja.
Pun demikian, jangan risau, SinarPlus ada cara untuk menanganinya.
Berikut beberapa bahan yang boleh digunakan untuk mengurangkan rasa sakit sekiranya berhadapan masalah gigi berlubang menurut Telegram Petua dan Kesihatan:
1) Kunyit
- Kesengsaraan itu sebenarnya boleh diatasi dengan cara cukup mudah, menggunakan bahan semula jadi iaitu kunyit.
- Kandungan utama kunyit yang bernama curcumin dapat menghalang pembiakan bakteria yang menjadi punca gigi berlubang.
- Selain itu, kunyit juga bermanfaat dalam meningkatkan daya ingatan, menyembuhkan selesema, hidung tersumbat dan sebagainya.
- Caranya, hanya berkumur dengan larutan air kunyit, sama ada kunyit hidup mahupun kunyit serbuk secara teratur. Ia merupakan salah satu petua untuk mencegah dan mengatasi pembusukan gigi (gigi berlubang).
2) Limau nipis
- Siapa kata limau nipis hanya boleh dijadikan bahan minuman, masakan dan cucian semata-mata?
- Selain daripada kegunaan-kegunaan tersebut, limau nipis juga boleh bertindak sebagai ubat!
- Caranya, potong limau nipis kepada bahagian-bahagian kecil lalu diperah jusnya ke dalam bekas. Kemudian, gunakan sudu kecil untuk mengambil jus tersebut, lalu titiskan sedikit demi sedikit ke atas bahagian gigi yang sakit.
- Selepas itu, berhenti seketika dan ulang lagi setelah 10 minit berlalu sehingga habis jus.
- Ini kerana Vitamin C yang terkandung di dalam limau nipis mampu hilangkan sakit gigi yang dialami.
3) Tuam dengan ais
- Akhir sekali, untuk menghilangkan sakit gigi di rumah, ambil beberapa ketul ais lalu masukkan ke dalam beg plastik.
- Kemudian, tuam pada pipi bahagian gigi yang sakit.
- Langkah itu bertindak seperti menggunakan ubat kebas dan mampu meredakan sakit buat sementara waktu.
“Di samping itu, jaga kebersihan gigi. Pastikan gigi digosok sekurang-kurangnya dua kali sehari setiap pagi dan sebelum tidur.
“Periksa tahap kesihatan gigi dengan melakukan pemeriksaan secara berkala setiap enam bulan sekali,” beritahu mereka.
Selamat mencuba!