Archives for December 20, 2021

Ketahui 5 Manfaat Jalan Kaki. Jangan Terkejut Fakta Nombor Dua Ramai Yang Tidak Sedar

Bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh badan, malah terdapat juga kebaikan lain yang mungkin ramai tidak sedar.

Justeru, berikut penjelasan lima kebaikan berjalan kaki:

1. Panjang hayat usia

Berdasarkan satu kajian, dianggarkan seseorang yang menghabiskan masa sekitar 10 hingga 59 minit berjalan cepat setiap minggu dapat mengurangkan 18 peratus risiko kematian akibat masalah kesihatan.

Sementara itu, bagi mereka yang menghabiskan masa sekitar 150 minit berjalan cepat pula memiliki 31 peratus kadar kematian lebih rendah.

Berjalan laju ini juga menjadi salah satu punca masyarakat di negara luar seperti Jepun memiliki jangka hayat yang panjang.

2. Mood ceria

Mungkin ada yang mempersoalkan;”Apa menariknya berjalan kaki? Sudahlah penat, berpeluh lagi.”

Bagaimanapun, sedarkah sebenarnya berjalan kaki juga mampu membaiki mood seseorang terutamanya saat galau fikirannya.

Habiskan masa sekurang-kurangnya 10 minit di taman atau persekitaran yang dihiasi dengan pepohon hijau dapat memberi rangsangan positif kepada emosi.

3. Daya pemikiran

Bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh badan, malah berjalan kaki atau berjalan cepat juga mampu meningkatkan daya pemikiran.

Memetik suara.com, satu kajian mendapati individu yang berjalan sekitar 1 jam sebanyak tiga kali seminggu mampu merangsang otak untuk berfikir lebih efisyen dan kreatif.

Sementara itu, kanak-kanak yang menghabiskan masa 20 minit berjalan di atas treadmill dapat meningkatkan tahap pemikiran mereka sekali gus meningkatkan aliran darah ke otak dengan baik.

4. Lancarkan pencernaan

Menjadikan rutin berjalan kaki pada waktu pagi dikatakan mampu memudahkan proses pencernaan. Hal ini kerana otot perut banyak digunakan sewaktu berjalan kaki.

5. Waktu tidur

Apa sahaja perkara dilakukan secara teratur akan menunjukkan hasil yang baik. Bak kata pepatah, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Begitu juga sekiranya amalan berjalan kaki jika dilakukan secara sistematik dan teratur.

Selepas melakukan aktiviti olahraga atau berjalan kaki, kadar hormon melatonin akan meningkat. Ini membuatkan mereka tidur lebih nyenyak pada waktu malam.

Gusar Kerana Sembelit. Berikut Antara Langkah Untuk Mencegahnya

GANGGUAN untuk membuang air besar atau dipanggil sembelit bukanlah dikategorikan sebagai satu penyakit.

Boleh dikatakan sebilangan besar individu antara kita pernah mengalami situasi sebegini.

Memetik perkongsian myhealth.gov.my, gejala sembelit berlaku apabila kesukaran untuk membuang najis setelah beberapa hari.

Keadaan perut kembung, kejang, kurang selera makan dan gigi mengetap.

TIDAK dinafikan idea kreatif sering timbul sewaktu berada di dalam tandas, tetapi sembelit bukan satu alasan yang terbaik.

Secara sains, makanan yang bergerak menerusi usus besar atau kolon akan menyerap air daripada makanan sekali gus membentuk najis.

Sembelit berlaku apabila kolon menyerap terlalu banyak air hingga otot kolon mengecut secara perlahan menyebabkan najis mengeras dan kering.

Situasi itu berlaku antaranya disebabkan oleh kurang serat dalam diet, susu, kekurangan air, gangguan usus atau penggunaan ubat.

Namun, berikut ada penyelesaian bagi membantu mengelakkan perkara tersebut berlaku:

1. Air putih

Kurang minum air putih boleh mengakibatkan usus menjadi kering. Oleh itu, kita disarankan untuk sekurang-kurangnya minum lapan gelas air putih sehari.

Lakukan secara sedikit demi sedikit, tetapi kerap. Air melicinkan usus dan merangsang otot untuk berfungsi dengan baik.

2. Bersenam

Melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 30 minit atau lebih dapat merangsang otot usus untuk berfungsi dengan lebih baik.

Senaman juga mampu membuatkan dapat mengurangkan jumlah masa yang diperlukan untuk makanan dihadam melalui usus dan ini akan membuat najis menjadi tidak terlalu keras.

3. Makanan serat

Makanan yang mempunyai banyak serat antaranya seperti bijirin termasuk roti, buah-buahan dan sayur-sayuran. Sebaiknya tambahkan hidangan hijau dalam menu setiap hari bagi mengelakkan perkara ini berlaku.

4. Probiotik

Pengambilan ubat tambahan yang mengandungi probiotik antara salah satu kaedah untuk mengelak daripada berlakunya sembelit. Probiotik dipercayai dapat membantu menyeimbangkan kandungan bakteria dalam usus agar seimbang.

5. Tekanan

Tekanan turut dikaitkan menjadi punca kepada berlakunya sembelit. Oleh itu cuba kawal tekanan dan pastikan jadual pengambilan makanan tidak terganggu.

Usus juga dapat dipengaruhi oleh tekanan dan apabila seseorang yang mengalami tekanan sering cenderung kurang mengamalkan diet seimbang atau melakukan aktiviti fizikal.

Sukar Tidur Malam? Berikut Tanda-Tanda Lain Tubuh Memberi Isyarat Keletihan

SETIAP daripada kita mempunyai tanggungjawab dan tugas masing-masing untuk dilaksanakan setiap hari.

Bagaimanapun sedarkah bahawa tubuh badan memerlukan masa untuk berehat setelah penat memerah tenaga.

LUANGKAN masa untuk berehat seketika jika sudah berasa keletihan.

Terdapat beberapa petanda menunjukkan badan sudah tidak mampu untuk bekerja atau kehabisan tenaga.

Gangguan tidur pada waktu malam juga antara isyarat yang ditunjukkan bahawa badan sedang letih.

Berikut antara petanda lain yang tubuh tunjukkan bagi memberitahu bahawa kita sudah keletihan:

1. Kaki kejang

Gangguan kaki kejang ini kadangkala berlaku sebelum tidur. Bagi mengatasi masalah ini, cuba amalkan makanan yang mengandungi magnesium dan potasium seperti sayur bayam dan pisang.

2. Makanan manis

Tiba-tiba berasa ingin menikmati hidangan manis boleh menjadi antara petunjuk kepada keletihan dan stres. Hal ini disebabkan tubuh memberi isyarat kekurangan glukosa dalam badan.

Bagaimanapun, jangan terlalu kerap mengambil hidangan manis dalam kuantiti yang banyak. Bimbang ini tabiat itu akan mengakibatkan gangguan berat badan, obesiti dan diabetes.

3. Ais

Selain mempunyai keinginan untuk makan makanan manis, tabiat memakan ais juga antara membuktikan tubuh mengalami anemia dan kekurangan zat besi. Antara cara terbaik mengatasi masalah ini ialah dengan makan daging, telur dan sayuran hijau tua.

4. Gusi berdarah

Situasi gusi berdarah secara tiba-tiba atau sewaktu menggosok gigi membuktikan kekurangan kandungan vitamin C. Oleh itu, ambil makanan seperti bayam, tomato dan brokoli selain buah oren.

Sebaiknya jaga kesihatan sebelum keadaan menjadi buruk lebih-lebih lagi apabila tubuh mula memberikan isyarat keletihan.

Paling utama berbincang dengan doktor untuk mendapatan rawatan sekiranya mengalami masalah kesihatan.

Petua ‘Ceraikan’ Anak Dengan Botol Susu Seawal Usia 6 Bulan

MEMISAHKAN anak kecil dengan botol susu sebenarnya bukan satu kerja mudah.

Tanyalah ibu-ibu di luar sana, pasti ramai mengaku bergelut dengan situasi itu dan menggunakan pelbagai macam cara untuk menyelesaikan isu tersebut.

Jika tidak bernasib baik, adakalanya mengambil masa yang agak lama untuk mengatasi permasalahan itu.

Kadangkala usia sudah enam tahun, terdapat kanak-kanak yang masih ‘berdegil’ minum menggunakan botol.

Namun, ibu bapa atau penjaga perlu tahu bahawa penggunaan botol susu mempunyai tempoh masa kerana jika melebihi hadnya, ia akan menimbulkan isu kesihatan kepada si kecil.

Pernyataan itu bukan sembarangan kerana menurut laman web howtoadult.com, terdapat beberapa impak buruk yang bakal dihadapi kanak-kanak.

Antaranya seperti:

i) Berisiko mempunyai berat badan yang berlebihan atau obesiti.

ii) Menjejaskan pertumbuhan gigi dan menyebabkan kaviti.

iii) Boleh menghadapi masalah pertuturan.

iv) Kurang berminat kepada makanan bernutrisi.

v) Kekurangan zat besi (anemia).

Untuk mengupas lebih lanjut mengenai topik botol susu dan anak-anak, SinarPlus mendapatkan pandangan Jurupulih Cara Kerja, GymCademy, Melaka, Siti Aisyah Rozalli.

Siti Aisyah.

Katanya, Akademi Pediatrik Amerika Syarikat mengesyorkan agar golongan kanak-kanak berhenti minum susu menggunakan botol sebelum usia mereka mencecah 18 bulan.

“Jika diikutkan perkembangan kanak-kanak yang normal, sebaik memasuki usia enam bulan, bayi sudah boleh mula dilatih menggunakan cawan dengan bantuan ibu dan ayah.

“Namun demikian, di negara ini, budaya masyarakat kita melihat penggunaan botol susu dalam kalangan anak-anak berusia lebih kurang tiga tahun adalah perkara biasa.

“Bagi saya, paling penting sekali, jangan sesekali membiarkan anak menggunakan botol melepasi usia empat tahun,” katanya baru-baru ini. Teknik Jadi, apakah teknik teknik-teknik yang boleh diguna pakai untuk memujuk anak kecil meninggalkan botol susu mereka?

Menjawab kepada soalan itu, Siti Aisyah mencadangkan agar botol susu digantikan dengan cawan ataupun botol minuman berstraw.

Jika ibu bapa memilih cawan, berikut panduan yang disarankan:

i) Sediakan cawan plastik khusus untuk anak. Pastikan cawan yang digunakan tidak terlalu tinggi.

ii) Tuang sedikit air ke dalam cawan anak. Sukatannya adalah lebih kurang seteguk untuk anak yang baru belajar minum. Ini bagi memastikan cecair tidak melimpah sehingga menyebabkan anak kecil terkejut jika air masuk ke dalam hidung.

iii) Biasakan untuk anak minum menggunakan cawan semasa waktu makan.

iv) Sediakan juga cawan plastik untuk digunakan si manja untuk bermain. Ia juga adalah salah satu teknik merangsang mereka dengan cawan.

Beritahu Siti Aisyah lagi, jika anak-anak yang sudah dibiasakan menyusu botol pada waktu malam, teknik-teknik pemujukan perlu dimulakan secara perlahan-lahan.

“Maksud saya, mula dengan menghentikan penggunaan botol susu pada siang hari dan hanya berikan sebelum tidur waktu malam sahaja.

“Selain itu, apa kata ahli keluarga luangkan masa untuk supper time dan pada waktu tersebut, ajak sekali si kecil minum menggunakan cawan khasnya. Apabila bersama keluarga, anak akan lebih teruja,” katanya.

Untuk menggalakkan mereka menggunakan botol dengan straw juga, pendekatannya lebih kurang sama.

“Cuba ajak anak bermain tea party menggunakan cawan bersama anak-anak patungnya, pasti ia sesuatu yang menyeronokkan baginya dan secara tak langsung, mempengaruhinya untuk melupakan botol susunya,” ungkapnya.

Ujar Siti Aisyah, anak-anak yang dilatih untuk minum menggunakan cawan atau menggunakan botol minuman lazimnya akan mempunyai perkembangan otot mulut dan leher yang baik, sekali gus mendidiknya untuk mengurus diri sendiri termasuk dalam proses untuk makan dan minum.

ANEKDOT

TIP lain bagi menarik perhatian anak meninggalkan botol susu:

  1. Puji anak setiap kali mereka minum menggunakan cawan.
  2. Sediakan anak botol air minuman setiap kali anak haus.
  3. Perbanyakkan jenis dan tekstur makanan. Pastikan anak makan makanan berkhasiat supaya anak tidak bergantung kepada susu semata-mata.
  4. Ikut milestone perkembangan anak dan dedahkan anak dengan alatan minum yang sesuai mengikut usia mereka seperti berikut:
  • Dua hingga lima bulan: Menyentuh botol atau payudara ibu semasa menyusu.
  • Enam hingga sembilan bulan: Memegang botol susu dengan menggunakan kedua belah tangan sendiri (masih perlukan pantauan keselamatan dan menggunakan cawan dengan pemegang dengan bantuan ibu ayah).
  • 10 hingga 14 bulan: Memegang cawan dengan kedua-dua belah tangan sendiri dan boleh minum daripada cawan beberapa teguk secara sendiri.
  • 15 hingga 18 bulan: Mula pandai menggunakan straw.
  • 18 bulan hingga 3 tahun: Minum daripada cawan tanpa penutup dan tidak menumpahkannya.

Sumber Jurupulih Cara Kerja, GymCademy, Melaka, Siti Aisyah Rozalli

Kuih Buah Tanjung, Pemanis Mulut Jarang Jumpa. Istimewa Ketika Majlis Bertunang, Hantaran Kahwin

SELAIN kuih akok dan nekbat, kuih buah tanjung juga merupakan salah satu jenis kuih tradisional Melayu yang popular di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Pun demikian, disebabkan tidak ramai yang boleh membikinnya, sajian klasik berkenaan sukar ditemui di Kelantan, lebih-lebih di negeri-negeri lain.

SinarPlus bertuah kerana dapat menemubual seorang peniaga yang sudah lebih 20 tahun menjual kuih itu, Zanita Mat Ali selepas sekian lama melakukan pencarian.

Zanita.

Ujar Zanita, kuih buah tajung merupakan sejenis pemanis mulut yang menggunakan telur lalu dicampurkan dengan tepung dan disira dalam air gula.

“Meskipun hanya menggunakan empat bahan sahaja, cara penyediaannya sedikit rumit dan cerewet. Itu sebab kuih buah tanjong ini kurang dijual secara meluas seperti kuih-kuih lain,” katanya yang mempelajari kulinari tersebut daripada ibunya sejak dibangku sekolah lagi.

Ujar ibu kepada lapan anak itu, kebiasaannya kudapan istimewa berkenaan disajikan pada majlis tertentu seperti meraikan mempelai atau dijadikan hantaran.

Bercerita lanjut, Zanita berkata, terdapat dua jenis warna yang ditawarkan kepada pelanggan bagi menikmati kuih buah tanjung iaitu oren dan kuning.

“Jika warna oren, keseluruhan telur itik (kuning dan putih) digunakan, manakala bagi warna kuning pula, saya hanya menggunakan bahagian yang berwarna kuning sahaja,” maklumnya.

Untuk menghasilkan kuih berkenaan, tiada sebarang acuan digunakan.

“Saya hanya membentuk adunan dengan menggunakan jari sahaja. Apabila bentuknya sudah menyamai buah tanjung sebenar dan saya berpuas hati, segalanya selesai,” katanya sambil tertawa kecil

Wanita itu menambah, beliau sebenarnya tidak membuka sebarang premis perniagaan, sebaliknya menjual kepada pengusaha kedai di sekitar Pasir Pekan, selain turut mempromosikannya di media-media sosial hasil bantuan anak dan menantunya.

“Memang saya tak nafikan, kuih buah tanjung antara juadah yang sangat laku. Saya hanya menjualnya pada harga RM3 untuk 15 biji untuk satu bekas. Harganya sangat berpatutaan.

“Selain kuih istimewa yang jarang ditemui itu, saya turut berniaga kuih-muih lain seperti kuih jala mas, tahi itik dan sekaya. Setiap hari, saya akan akan menggunakan hampir 300 biji telur untuk menyiapkan semua menu itu,” katanya.

Wanita gigih tersebut turut menerima tempahan kuih bagi hantaran bagi majlis perkahwinan dengan saiz tertentu.

PROFIL

  • Nama: Zanita Mat Ali
  • Umur: 48 tahun
  • Asal: Kota Bharu, Kelantan
  • Menetap: Tumpat, Kelantan

RESIPI KUIH BUAH TANJUNG

Bahan-bahan

  • 10 biji kuning telur itik
  • 1 kilogram tepung beras
  • 1 kilogram gula
  • 500 mililiter air

Cara penyediaan:

  1. Masak gula bersama air sehingga mendidih.
  2. Kemudian, kisar kuning telur hingga kembang lalu masukkan ke dalam tepung dan uli menjadi doh yang lembut.
  3. Cubit adunan menggunakan tiga hujung jari dan bentukkan seperti buah tanjung.
  4. Kemudian, masukkan ke dalam air gula sehingga meresap barulah di angkat.

Sumber Zanita Mat Ali

Pening, Muntah Selepas Makan Ubi Kayu? Itu Bukan Tanda Alahan Atau Masuk Angin Tetapi…

MUNGKIN sesetengah orang akan rasa pening atau muntah selepas makan ubi kayu.

Sesetengah orang berpendapat, hal itu terjadi mungkin kerana orang itu mengalami alahan atau perut sudah masuk angin.

Sebenarnya, menurut Facebook Public Health Malaysia, gejala itu boleh berpunca daripada sejenis toksin yang dikenali sebagai linamarin.

Untuk pengetahuan orang ramai, toksin berkenaan merupakan sebahagian daripada mekanisme pertahanan tumbuhan terutamanya melibatkan serangan binatang dan serangga.

“Linamarin adalah sejenis toksin semula jadi yang terkandung dalam tumbuhan pokok ubi kayu.

“Toksin ini akan membebaskan hidrogen sianida yang boleh menghalang penggunaan oksigen di dalam sel badan lalu menyebabkan toksin kepada manusia,” beritahu mereka.

Jadi, bagaimana cara untuk membuang bahan toksin berbahaya tersebut?

Berikut perinciannya:

i) Buang kulit ubi kayu (kulit ubi kayu paling bertoksin).

  • Ini dapat mengurangkan 50 peratus toksin itu.

ii) Rendam ubi kayu semalaman.

  • Ini dapat mengurangkan 90 peratus toksin linamarin.

iii) Potong ubi dengan saiz yang kecil.

  • Dalam kuantiti yang banyak, bahan toksin tersebut boleh menyebabkan masalah saraf, lumpuh dan kematian.
  • Bagi mereka yang mempunyai masalah hati, ubi kayu perlu diproses dengan betul untuk mengelakkan mudarat.

Secara umumnya, perkongsian ini bukanlah untuk mengatakan ubi kayu makanan yang beracun.

Sebaliknya, sebagai salah satu pendidikan mengenai cara memasak ubi kayu yang betul untuk mengelakkan keracunan.

Semoga maklumat ini bermanfaat kepada semua.

Lelaki Juga Alami ‘Menopaus’, Ia Dikenali Sebagai Andropaus

SEMPENA HARI LELAKI SEDUNIA

APABILA menyebut perkataan menopaus, selalunya kaum wanita sahaja akan dikaitkan dengan situasi itu.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa golongan lelaki juga melalui fasa sama, tetapi ia dikenali sebagai andropaus.

Andropaus merujuk kepada peringkat kemerosotan hormon testosteron yang biasanya berlaku apabila usia seseorang semakin meningkat.

Seorang pekerja kilang, Suhairil Ali (bukan nama sebenar) mengakui, sebaik umurnya melangkau ke angka 40-an, beliau menjadi semakin cepat lesu, tidak bertenaga, sifat marahnya juga semakin membuak-buak dan lebih teruk, kemurungannya seolah-oleh sukar untuk diatasi.

“Melihat situasi itu, saya rasa tidak sedap hati, lalu berjumpa dengan pakar. Mereka maklumkan saya sedang mengalami gejala andropaus dan sememangnya istilah itu saya tak pernah dengar, ia juga agak aneh bagi saya,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagi mendapatkan pencerahan lebih lanjut, SinarPlus mewawancara Doktor Perubatan Am, Seksual dan Reproduktif, U.n.i KLINIK Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Dr Ahmad Ramdan Zainordin.

Dr Ahmad.

Katanya Dr Ahmad Ramdan, andropaus merupakan satu keadaan atau sindrom melibatkan seorang lelaki berumur yang  mengalami gejala penurunan hormon androgen (ADAM) khususnya testosteron.

“Konsep penurunan hormon ini sama seperti menopaus bagi wanita, akan tetapi menopaus wanita lebih diketahui umum kerana ciri-cirinya yang lebih jelas seperti terputusnya kitaran haid dalam lingkungan usia 45 hingga 55 tahun.

“Bagi andropaus pula, prosesnya lebih perlahan tanpa lingkungan umur yang khusus. Lazimnya lelaki yang berusia 40 tahun dan ke atas akan mula mengalami penurunan hormon testosteron pada kadar 1 hingga 2 peratus setiap tahun,“ terangnya.

Ujian darah & terapi gantian

Memperincikan lebih mendalam, ujar Dr Ahmad Ramdan, terdapat beberapa jenis hormon androgen, namun yang paling utama ialah testosteron.

Beliau memaklumkan, hormon testosteron membawa fungsi kepada tiga domain utama seseorang lelaki iaitu:

  • Fizikal: Testosteron berperanan untuk jisim dan kekuatan otot, ketumpatan tulang, pertumbuhan bulu dan minyak (sebum) pada kulit dan kesihatan sistem kardiovaskular iaitu jantung.
  • Seksual: Peranan testosteron adalah untuk dorongan seks (libido), ereksi dan saiz zakar, penghasilan benih sperma serta isipadu ejakulasi.
  • Psikologikal: Testosteron berfungsi untuk daya ingatan dan fokus.

Ujar pakar tersebut, ciri-ciri lelaki yang berdepan dengan isu andropaus biasanya akan menunjukkan mereka mengalami kekurangan dorongan melakukan hubungan intim, ereksi zakar yang lemah, kurang stamina untuk bersukan, mudah letih dan marah, peningkatan lemak pada badan, penurunan kualiti kerja serta fokus, termasuklah berdepan dengan tekanan.

“Mereka yang mengalami gejala-gejala seperti ini perlu menjalani ujian darah paras hormon testosteron dan hormon-hormon lain mengikut nasihat doktor,“ katanya sambil memberitahu, bukan semua lelaki akan mengalami andropaus.

Sindrom itu juga boleh berlaku disebabkan masalah kesihatan lain dan bukannya disebabkan kekurangan testosteron semata-mata, ujar beliau.

“Setiap lelaki boleh menilai sendiri ciri-ciri andropaus atau kekurangan testosteron melalui soal selidik dari St Louis University ADAM Questionaire,“ katanya.

ADAM Questionnare atau Androgen Deficiency in Aging Males merupakan ujian untuk mengetahui gejala penurunan hormon testosteron lelaki.

Hasilnya nanti akan menentukan adakah seseorang lelaki perlu untuk berkonsultasi dengan doktor tentang andropaus dengan lebih mendalam atau sebaliknya?

Dari segi perubatan moden, apakah yang akan dilakukan sekiranya seseorang lelaki memiliki tanda-tanda andropaus dan kekurangan hormon testosteron selepas dibuktikan melalui ujian darah? Jawab Dr Ahmad Ramdan, rawatan dengan terapi gantian hormon testosteron akan dipertimbangkan.

“Sudah tentu tidak semua lelaki memerlukan rawatan ini. Keperluan untuk memulakan terapi gantian hormon ini memerlukan timbang tara yang betul bagi memastikan kebaikan mengatasi risikonya.

“Namun, kaedah itu boleh diberi dalam pelbagai bentuk seperti suntikan, pil, gel sapuan dan pelekat tampalan yang mengandungi hormon testosteron.

“Rawatan ini sememangnya berkesan mengatasi gejala-gejala andropaus seawal tiga hingga enam minggu. Semestinya mereka perlu dipantau oleh doktor secara berkala selepas semua prosedur dilakukan.“

Menurut Myhealth, lelaki yang mempunyai kanser payudara dan prostat tidak sesuai untuk terapi tersebut. Mengapa? Ini disebabkan testosteron akan menyebabkan barah lebih cepat membesar, kata portal kesihatan itu.

Pun demikian, terdapat beberapa implikasi lain yang boleh dihadapi apabila melakukan terapi gantian hormon. Antaranya seperti:

  • Bengkak pada kaki.
  • Boleh memburukkan lagi tekanan darah tinggi.
  • Boleh tercetusnya masalah hati.
  • Lelaki yang mengikuti rawatan itu berisiko mengalami masalah kesuburan (pengeluaran sperma berkurangan).
  • Kesukaran untuk tidur (pernafasan yang berhenti untuk jangka masa lama semasa tidur).
  • Pembesaran payudara.
  • Peningkatan kepekatan sel darah merah.
  • Saiz prostat semakin membesar.

Justeru, kata Dr Ahmad Ramdan, pencegahan paling ampuh dan langkah utama untuk menangani gejala andropaus adalah mengubah corak gaya hidup.

“Kekalkan berat badan yang unggul, berhenti merokok dan elak minuman beralkohol. Peri pentingnya, semua ini dilakukan secara konsisten,“ pesannya.

Berbeza bagi setiap lelaki

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia, Dr Zubaidi Ahmad turut berkongsi pandangannya.

Dr Zubaidi.

Beritahu beliau, berdasarkan satu kajian sahih, 40 peratus lelaki yang berusia 45 tahun ke atas mengalami masalah kekurangan hormon.

Kata penceramah kesihatan dan pemakanan itu lagi, tahap  testosteron yang mencukupi sangat penting bagi seseorang lelaki dewasa.

“Ini kerana peranannya bukan sekadar untuk menyebabkan perasaan ingin melakukan hubungan intim bersama isteri sahaja, malah merangsang kepada penghasilan tenaga, pembentukan otot pada tubuh dan minda yang positif,“ katanya.

Ujar beliau, tahap testosteron boleh diukur melalui pemeriksaan darah. Bacaan yang normal adalah di antara 300 hingga 1,000 nanogram per desiliter (ng/dL).

Mengulas lanjut, doktor perubatan terkenal tersebut menjelaskan, isu andropaus berbeza di antara seorang lelaki dengan lelaki yang lain.

Berikut antara spesifikasi masalah-masalah yang boleh dilalui:

  • Tahap tenaga yang rendah.
  • Rasa diri keseorangan.
  • Rasa kurang motavasi.
  • Sukar memberi fokus.
  • Insomnia atau rasa sukar tidur.
  • Peningkatan lemak pada tubuh.
  • Kekurangan otot pada tubuh.
  • Pembentukan payudara pada dada.
  • Kerapuhan otot.
  • Masalah mati pucuk.
  • Masalah kesuburan.
  • Saiz zakar yang semakin mengecil.
  • Kehilangan bulu pada tubuh.
  • Rasa panas badan terutama waktu malam.

Anak muda juga terkesan

Beritahu Dr Ahmad Zabidi, terdapat juga segelintir anak muda yang turut mengalami penurunan tahap testosteron.

“Namun, acap kali ia dikaitkan dengan masalah diabetes, hipertensi, tahap kolesterol yang tinggi dan masalah kesuburan,“ ujarnya.

Pernyataan pakar tempatan itu selari dengan pandangan Pakar Urologi dari Amerika Syarikat, Dr Geovanni Espinosa.

Bercakap kepada CNN News, beliau berkata, banyak lelaki muda berusia 20 hingga 40 tahun sudah mula mengalami ‘menopaus‘.

“Hal tersebut ditandai dengan munculnya beberapa masalah seperti penurunan nafsu, gangguan pada ereksi, insomnia, kenaikan berat badan, penurunan kepadatan otot dan tulang hingga berlaku agitasi dan depresi,“ katanya.

Dalam pada itu, Dr Zubaidi berkata, penting untuk diketahui bahawa masalah kekurangan hormon adalah suatu yang normal bagi seorang lelaki apabila semakin meningkat usia.

“Cuma jika ia menyebabkan masalah tertentu atau ia berlaku pada usia yang lebih muda (kurang dari 50-an) seseorang individu perlu mencari rawatan yang sesuai,“ katanya.

Justeru, simptom kekurangannya dapat diuruskan dengan baik jika pengurusan rutin harian dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. Pendekatan itu berupaya membantu meningkatkan semula tahap hormon selari dengan peningkatan umur.

“Namun, bagi sesetengah lelaki terutama yang masih muda pula, pengambilan suplemen herbal, vitamin dan mineral mungkin membantu.

“Apa-apapun, pengambilan hormon sintetik haruslah menjadi pilihan yang terakhir dan diambil dalam jangka masa yang pendek,“ katanya.

Cadangan yang sama turut diketengahkan oleh Healthline yang menasihatkan lelaki tidak mengira umur wajib bersenam, memiliki cukup yang tidur (kebanyakan testosteron diproduksi pada jam 5 hingga 7 pagi) dan kurangkan tekanan dalam diri.

Tak Beli Supplemen Tak Apa, Ini Senarai Sayur, Buah Tinggi Vitamin C

Tak beli supplemen tak apa, ini senarai sayur, buah tinggi Vitamin C

UMUM maklum ramai pakar perubatan mencadangkan pengambilan vitamin C yang bertujuan meningkatkan sistem pertahanan tubuh.

Selain ambil daripada suplemen, vitamin C juga dapat diperolehi daripada pengambilan makanan sayuran dan buah-buahan.

Seperti yang dikongsi oleh seorang doktor apabila hampir setiap hari mendapat pertanyaan daripada pesakit berkaitan apa supplemen vitamin C paling bagus.

Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, apabila diberi cadangan vitamin C paling terbaik, ada pesakit macam tak boleh terima dan mungkin sebahagian orang ramai juga begitu.

Katanya, satu hari tubuh kita perlukan sekitar 70 hingga 90 miligram (mg) vitamin C. Itu sahaja yang diperlukan oleh tubuh yang sihat.

“Jika kita ambil lebih, tubuh kita akan buang semula melalui air kencing.

“Kebanyakan tablet vitamin C yang dijual di pasaran, mengandungi 500-1000 mg vitamin C dalam sebiji tablet. Jauh lebih tinggi daripada keperluan harian. Sekitar 7-10 kali ganda.

“Tak salah untuk kalian ambil tablet vitamin C, namun sebenarnya kita boleh dapatkan vitamin ini dari sumber alami yang murah dan mudah dimasukkan dalam diet harian,” ulasnya.

Vitamin C baik untuk tingkatkan sistem daya tahan badan, awas jika berlebihan

Kata Dr Kamarul Ariffin, ini senarai hidangan 100 gram (g) sayur-sayuran yang mengandungi jumlah vitamin C yang cukup untuk keperluan harian tubuh, seperti;

1. Pucuk ubi = 192mg

2. Cekur manis = 136mg

3. Lada Benggala = 112mg

4. Kailan = 107mg

5. Sawi = 89mg

6. Brokoli = 85mg

Khasiat buah betik

Ulasnya lanjut, jika mahukan lebih banyak vitamin C, boleh makan buah-buahan. 100g buah-buahan ini mengandungi jumlah vitamin C seperti berikut:

1. Jambu batu = 152mg

2. Longan = 72mg

3. Betik = 71mg

4. Oren = 53mg

“Sayur dan buah juga garam mineral dan serat yang diperlukan oleh tubuh. Malah boleh disediakan dalam pelbagai bentuk hidangan yang lazat.

Baca juga Remaja tertelan jarum peniti, gara-gara nak bersihkan gigi. “Sikit lagi nak masuk salur pernafasan…”

“Ia juga tidak mahal dan mudah didapati di pasaran tempatan. Sayur dan buah ini ada dijual di gerai, kedai runcit, pasar, dan pasar raya di sekitar kita.

Jadi, apa supplemen vitamin C yang bagus? Betul! Sayur dan buah!

Sumber: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

5 Akaun Instagram Dekor Jadi Pilihan Ramai, Boleh Jana Ilham Naikkan Seri Rumah Idaman

ilham dekor
ilham dekor
ilham dekor
ilham dekor
ilham dekor
ilham dekor

HUJUNG minggu lalu, penulis sempat membelek beberapa halaman media sosial, antaranya Instagram untuk mencari idea segar mendekorasi kediaman dan seleksi barangan perhiasan yang sesuai.

Maklum sajalah, norma baharu yang terpaksa dilalui kini membuatkan segala pembelian lebih banyak dilakukan secara dalam talian berbanding mendapatkannya di stor fizikal.

Selepas membuat penilaian, penulis mendapati terdapat beberapa akaun Instagram yang menarik, sesuai dengan selera penulis dan mungkin pembaca SinarPlus.

Bukan disebabkan keunikan dan kecantikan produk sahaja, tetapi harga yang ditawarkan juga murah dan berpatutan.

ilham dekor

Sebagai contoh, perkakas comel atau bunga yang sering dijadikan perhiasan di atas meja mempunyai pelbagai pilihan.

Jika anda seorang penggemar item vintaj atau berkonsepkan scandinavia mahupun minimalis, semuanya boleh didapati dengan hanya membeli secara online.

Selain itu, variasi barang perhiasan di dapur, kamar mandi, bilik tidur dan ruang tamu lengkap turut diketengahkan.

Baca juga Rona warna, perabot, pencahayaan. 3 elemen buatkan kediaman menawan walau ruang terhad

Kepada yang mempunyai lebih bajet, terdapat pemilik Instagram yang mengetengahkan opsyen beberapa perabot eksklusif yang boleh menghidupkan aura rumah anda.

Berikut lima akaun Instagram yang menawarkan produk dekorasi yang boleh menaikkan seri ruang kediaman.


Ommo Home

  • Instagram: @Ommohome.my
  • Jumlah pengikut: 184,000
  • Lokasi: No4, 1F, Jalan Setia Perdana AY U13/AY, Bandar Setia Alam, Shah Alam, Selangor dan Jalan Sierra 10/3, Bandar 16 Sierra, Puchong, Selangor

Menjengah ke akaun Instagram @ommohome.my, penulis terpukau dengan kepelbagaian produk yang popular dalam pasaran terutama bekas simpanan makanan disertakan dengan label.

Kebanyakan produk yang ditawarkan lebih memfokuskan kepada barangan dapur pelbagai corak, bentuk dan kegunaan.

Terdapat juga pilihan alas meja, cermin dan kertas dinding tiga dimensi yang sesuai untuk dipasang di dapur atau di tandas.

Bagi yang gemarkan gaya ala kafe hipster atau ingin bereksprerimen dengan konsep minimalis, boleh mendapatkan barangan Ommo Home di Instagram, laman web atau di platform Shopee.IKLAN

Home living

  • Instagram: @homeliving.my
  • Jumlah pengikut: 212,000
  • Lokasi: No 21-1, Jalan Elektron G U16/G, E-Boulevard, Denai Alam, Shah Alam, Selangor

Sekiranya masih ragu-ragu dalam soal pemilihan konsep hiasan dalam rumah, Home Living dapat membantu.

Bukan sahaja menjual pelbagai jenis perkakas dapur, mereka juga mempunyai variasi perabot dengan rekaan moden dan mengikut gaya terkini.

Seni rekaan Home Living bertemakan scandinavia dan moden juga boleh didapati bermula daripada kusyen kecil, permaidani sehinggalah perabot.

Jika sebelum ini fokus khalayak lebih memilih jenama terkenal seperti Ikea atau SSF, rasanya kini anda sudah boleh bertukar angin.

Trendy Deko

  • Instagram: @trendydeko
  • Jumlah pengikut: 41,700

Merupakan sebuah perniagaan dalam talian, Trendy Deko lebih memberi penekanan terhadap perabot seperti meja sisi, meja kopi, rak, sofa, cermin dinding dan karpet.

Pelbagai kelengkapan lain turut boleh didapati seperti pokok dan bakul untuk simpanan barangan termasuk beberapa item lain.IKLAN

Bukan sekadar barangan kelengkapan rumah, Trendy Deko turut kongsikan contoh susun atur perabot agar dapat dijadikan inspirasi oleh pelayarnya.

Selain mendapatkan info produk di Instagram dan Facebook, pelanggan juga boleh membeli kebanyakan produk mereka menerusi platform Shopee.

Deko Chantek

  • Instagram: @dekochantek
  • Jumlah pengikut: 121,000
  • Lokasi: 11, Jalan TU 40, 75450 Ayer Keroh, Melaka

Premisnya yang terletak di Ayer Keroh, Melaka antara lain menawarkan seleksi pilihan produk terutama bagi yang gemarkan gaya dapur moden.

Antara yang dijual adalah seperti pinggan mangkuk, pisau, kuali leper, sudu garfu dan bekas simpanan makanan.

Selain itu, terdapat juga permaidani, sofa, cermin hiasan dan pelbagai jenis barangan lagi.

Sekiranya terdapat kekangan untuk ke premis Deko Chantek, jangan khuatir kerana anda boleh pembelian terus di Instagram atau Shopee.

Apa yang SinarPlus boleh katakan, anda pasti berpuas hati dengan harga setiap barangan.

Ruma Home

  • Instagram: @ruma_home
  • Jumlah pengikut: 86,600 pengikut
  • Lokasi: Atria Shopping Gallery, Jalan SS 22/23, Damansara Jaya, Petaling Jaya, Selangor dan MesaMall, Nilai, Negeri Sembilan

Ruma Home antara lokasi kegemaran ramai. Ia merupakan salah satu platform yang sentiasa aktif memuat naik ilham dekorasi terkini.

Menyedari kecenderungan rakyat Malaysia yang menyukai rekaan scandivania, mereka nampaknya memberi lebih tumpuan kepada perkakasan dan perabot bercirikan konsep berkenaan.

Paling menarik perhatian penulis adalah sebuah meja bulat rotan dan kerusi yang menggunakan kain perca yang berwarna-warni.

Memang ideal untuk ditempatkan di satu sudut ruang rumah.

Penulis sendiri pernah membeli di Ruma Home. Minimalis dan berkualiti!

Oleh NURUL FADILA AWALUDIN

Trend Memakai, Membeli Pendakap Gigi Tiruan Dari Pasaran Gelap Masih Berlaku. Ini Implikasi Buruk Yang Boleh Dihadapi

pendakap gigi tiruan
pendakap gigi tiruan
pendakap gigi tiruan

BERSAMA Doktor Gigi di Avisienna Dental Care, Dr Siti Syazwani Fickry

(Beliau diundang menjadi panel dalam program DNA yang membicarakan topik Bahana Fake Braces! Bukan Fesyen Atau Trend baru-baru ini)


SOALAN 1

DOKTOR, terdapat laporan akhbar yang mengatakan pendakap gigi tiruan terkandung bahan kimia berbahaya seperti plumbum. Justeru, apakah implikasinya kepada kesihatan? Adakah ia sampai peringkat boleh meragut nyawa seseorang?

JAWAPAN:

Pertama sekali, apabila kita tidak tahu daripada sumber mana mereka membeli barangan untuk pemakaian pendakap gigi, sudah pastinya kandungan penghasilannya diragui.

Tidak dapat dinafikan, besi yang digunakan mengandungi plumbum (di dalamnya) sehingga boleh mendatangkan kesan kepada pengguna.

pendakap gigi tiruan

Bagaimanapun, secara umum, terdapat satu kebimbangan dalam kalangan para doktor bertauliah dan pengamal pergigian. Tidak lain tidak bukan adalah tahap kebersihan dan keselamatan barang-barang yang digunakan itu.

Penting untuk orang ramai tahu, selepas proses pemasangan dibuat, keseluruhan kawasan di dalam mulut akan dicuci dan disteril dengan mesin khas. Alat itu (mesin) juga perlu memiliki lesen yang dibenarkan.

Jika seseorang individu bertindak mendapatkan khidmat daripada doktor yang tidak bertauliah atau melakukannya sendiri, mereka tidak akan melalui teknik dan proses pembersihan seperti yang dilakukan oleh pengamal perubatan yang sebenar.

Lebih merisaukan, peralatan yang sama mungkin digunakan ke atas pesakit yang mempunyai penyakit berjangkit seperti virus kurang imun (HIV) dan hepatitis B.IKLAN

Oleh itu, apabila alatan tidak dibersihkan secara betul, ia mempunyai kebarangkalian untuk kuman-kuman atau bakteria kekal berada pada instrumen-instrumen tersebut.

Baca juga Risiko jangkitan HIV, akibat fake veneer. Jangan percaya penunggang kecantikan

Mengenai risiko sehingga meragut nyawa, sehingga kini masih belum direkodkan, melainkan terdapat jangkitan tertentu yang boleh memudaratkan kesihatan.

Semua alatan pendakap gigi perlu lesen khas yang diiktiraf

SOALAN 2

DOKTOR, populariti pemakaian pendakap gigi telah menyebabkan munculnya pelbagai jenis pendakap tiruan. Bukan satu rahsia lagi, isu ini telah banyak dilaporkan di media. Jadi, boleh doktor terangkan apakah maksud pendakap gigi tiruan (fake braces) dan benarkah ia banyak dipasang oleh pengamal yang tidak bertauliah di beberapa klinik swasta di negara ini?

JAWAPAN:

Penting untuk diketahui, setiap pengamal pergigian memerlukan Sijil Pengamalan Tahunan yang perlu diperbaharui dan mereka juga wajib memenuhi beberapa kriteria tertentu yang telah ditetapkan.IKLAN

Kalau diikutkan memang terdapat banyak kes pemasangan pendakap gigi tiruan di hotel-hotel atau di rumah-rumah tertentu. Kebanyakan mereka yang melakukan kerja ini hanya mempelajari teknik-tekniknya melalui laman YouTube.

pendakap gigi tiruan

Selain itu, dari segi alatan seperti pendakap juga, ia boleh dibeli secara dalam talian dengan mudah.

Ingin saya tegaskan di sini, orang ramai sama sekali ditegah memakai pendakap gigi secara sendiri atau merujuk individu yang tidak bertauliah.

Mengapa? Ini kerana kita tidak pasti tahap kebersihan barang-barang yang digunakan termasuklah kondisi penghasilan alatan berkenaan.

Kelazimannya, para pembekal yang menawarkan perkhidmatan keperluan pendakap gigi memerlukan lesen khas yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan beberapa badan-badan bertanggungjawab lain yang terlibat.

Sudah pasti, setiap barang atau bekalan yang dibekalkan terjamin kebersihannya dan selamat untuk digunakan, berbanding yang diambil daripada sumber yang tidak dikenal pasti.