MEMISAHKAN anak kecil dengan botol susu sebenarnya bukan satu kerja mudah.
Tanyalah ibu-ibu di luar sana, pasti ramai mengaku bergelut dengan situasi itu dan menggunakan pelbagai macam cara untuk menyelesaikan isu tersebut.
Jika tidak bernasib baik, adakalanya mengambil masa yang agak lama untuk mengatasi permasalahan itu.
Kadangkala usia sudah enam tahun, terdapat kanak-kanak yang masih ‘berdegil’ minum menggunakan botol.
Namun, ibu bapa atau penjaga perlu tahu bahawa penggunaan botol susu mempunyai tempoh masa kerana jika melebihi hadnya, ia akan menimbulkan isu kesihatan kepada si kecil.
Pernyataan itu bukan sembarangan kerana menurut laman web howtoadult.com, terdapat beberapa impak buruk yang bakal dihadapi kanak-kanak.
Antaranya seperti:
i) Berisiko mempunyai berat badan yang berlebihan atau obesiti.
ii) Menjejaskan pertumbuhan gigi dan menyebabkan kaviti.
iii) Boleh menghadapi masalah pertuturan.
iv) Kurang berminat kepada makanan bernutrisi.
v) Kekurangan zat besi (anemia).
Untuk mengupas lebih lanjut mengenai topik botol susu dan anak-anak, SinarPlus mendapatkan pandangan Jurupulih Cara Kerja, GymCademy, Melaka, Siti Aisyah Rozalli.
Katanya, Akademi Pediatrik Amerika Syarikat mengesyorkan agar golongan kanak-kanak berhenti minum susu menggunakan botol sebelum usia mereka mencecah 18 bulan.
“Jika diikutkan perkembangan kanak-kanak yang normal, sebaik memasuki usia enam bulan, bayi sudah boleh mula dilatih menggunakan cawan dengan bantuan ibu dan ayah.
“Namun demikian, di negara ini, budaya masyarakat kita melihat penggunaan botol susu dalam kalangan anak-anak berusia lebih kurang tiga tahun adalah perkara biasa.
“Bagi saya, paling penting sekali, jangan sesekali membiarkan anak menggunakan botol melepasi usia empat tahun,” katanya baru-baru ini. Teknik Jadi, apakah teknik teknik-teknik yang boleh diguna pakai untuk memujuk anak kecil meninggalkan botol susu mereka?
Menjawab kepada soalan itu, Siti Aisyah mencadangkan agar botol susu digantikan dengan cawan ataupun botol minuman berstraw.
Jika ibu bapa memilih cawan, berikut panduan yang disarankan:
i) Sediakan cawan plastik khusus untuk anak. Pastikan cawan yang digunakan tidak terlalu tinggi.
ii) Tuang sedikit air ke dalam cawan anak. Sukatannya adalah lebih kurang seteguk untuk anak yang baru belajar minum. Ini bagi memastikan cecair tidak melimpah sehingga menyebabkan anak kecil terkejut jika air masuk ke dalam hidung.
iii) Biasakan untuk anak minum menggunakan cawan semasa waktu makan.
iv) Sediakan juga cawan plastik untuk digunakan si manja untuk bermain. Ia juga adalah salah satu teknik merangsang mereka dengan cawan.
Beritahu Siti Aisyah lagi, jika anak-anak yang sudah dibiasakan menyusu botol pada waktu malam, teknik-teknik pemujukan perlu dimulakan secara perlahan-lahan.
“Maksud saya, mula dengan menghentikan penggunaan botol susu pada siang hari dan hanya berikan sebelum tidur waktu malam sahaja.
“Selain itu, apa kata ahli keluarga luangkan masa untuk supper time dan pada waktu tersebut, ajak sekali si kecil minum menggunakan cawan khasnya. Apabila bersama keluarga, anak akan lebih teruja,” katanya.
Untuk menggalakkan mereka menggunakan botol dengan straw juga, pendekatannya lebih kurang sama.
“Cuba ajak anak bermain tea party menggunakan cawan bersama anak-anak patungnya, pasti ia sesuatu yang menyeronokkan baginya dan secara tak langsung, mempengaruhinya untuk melupakan botol susunya,” ungkapnya.
Ujar Siti Aisyah, anak-anak yang dilatih untuk minum menggunakan cawan atau menggunakan botol minuman lazimnya akan mempunyai perkembangan otot mulut dan leher yang baik, sekali gus mendidiknya untuk mengurus diri sendiri termasuk dalam proses untuk makan dan minum.
ANEKDOT
TIP lain bagi menarik perhatian anak meninggalkan botol susu:
- Puji anak setiap kali mereka minum menggunakan cawan.
- Sediakan anak botol air minuman setiap kali anak haus.
- Perbanyakkan jenis dan tekstur makanan. Pastikan anak makan makanan berkhasiat supaya anak tidak bergantung kepada susu semata-mata.
- Ikut milestone perkembangan anak dan dedahkan anak dengan alatan minum yang sesuai mengikut usia mereka seperti berikut:
- Dua hingga lima bulan: Menyentuh botol atau payudara ibu semasa menyusu.
- Enam hingga sembilan bulan: Memegang botol susu dengan menggunakan kedua belah tangan sendiri (masih perlukan pantauan keselamatan dan menggunakan cawan dengan pemegang dengan bantuan ibu ayah).
- 10 hingga 14 bulan: Memegang cawan dengan kedua-dua belah tangan sendiri dan boleh minum daripada cawan beberapa teguk secara sendiri.
- 15 hingga 18 bulan: Mula pandai menggunakan straw.
- 18 bulan hingga 3 tahun: Minum daripada cawan tanpa penutup dan tidak menumpahkannya.
Sumber Jurupulih Cara Kerja, GymCademy, Melaka, Siti Aisyah Rozalli