APABILA ingin berlibur, pastinya kita akan mencari kelainan dari segi lokasi atau pun tempat penginapan. Bukan apa, kita mahukan percutian yang singkat membawa seribu erti.
Kepada yang rindukan suasana desa sebenar dan teringin menghuni rumah tradisional Melayu, Kunang-Kunang Heritage Villas yang terletak berdekatan dengan Pantai Cenang, Langkawi, Kedah antara pilihan terbaik.
Vila warisan yang berusia hampir 200 tahun dengan 20 buah teratak itu sebenarnya adalah milik pereka fesyen tersohor tanah air, Datuk Radzuan Radziwill.
Bertemu empat mata dengannya pada Program Ekspresi Media Langkawi 2021 anjuran Tourism Malaysia baru-baru ini, Radzuan berkata, keunikan seni ukiran dan reka bentuk rumah yang diwariskan turun-temurun itu telah menarik perhatian bukan saja pelancong lokal, malah dari luar negara terutama dari Perancis, Dubai dan Jepun.
Baca juga Mahu ketenangan, kita singgah ke kawasan air terjun. Perlukan privasi, jom kita glamping
“Kebanyakan rumah tradisi asli ini didatangkan khas dari kampung yang terletak di Kuala Kangsar, Perak. Antaranya di Teriang, Utai, Ulu, Kati dan Sayong. Malah, setiap satunya dinamakan sempena nama kampung tersebut.
“Saya juga berjaya dapatkan enam buah rumah tradisional lain di pulau ini yang dipasang dan diperbaiki semula seperti Rumah Mahsuri, Temoyong, Cheh dan Chandekura,” katanya.
Personaliti berusia 51 tahun itu memberitahu SinarPlus, idea membangunkan vila terbabit adalah didorong daripada permintaan beberapa kenalan antarabangsanya ketika mereka bersama-sama menyertai pameran fesyen di luar negara.
“Kebanyakan mereka yang datang ke Malaysia mencari-cari keunikan budaya dan seni Melayu terutamanya rumah kampung yang kaya dengan seni ukiran kayu. Bermula dari detik itu, saya terpanggil untuk mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.
Selain menitikberatkan sentuhan artistik dari segi ukiran bumbung, atap, dinding dan segala macam jenis peralatan, pemilihan perabot lama serta pemeliharaan kayu-kayan ratusan tahun penuh teliti, Radzuan turut menerapkan elemen gaya kontemporari seperti rekaan dalaman bilik air yang luas dan selesa.
Bagi penulis, kunjungan di sana seolah-olah berada di sebuah perkampungan yang sentosa, ditambah dengan pemandangan tasik yang dipenuhi bunga teratai yang sungguh mendamaikan.
Menariknya lagi tentang destinasi berkenaan, pelancong turut disajikan dengan sajian istimewa masakan autentik Melayu tanpa perlu pergi jauh.
Sebagai tambah nilai, pelbagai aktiviti riadah boleh dilakukan bersama keluarga tercinta.
Jika mahu berenang, terdapat kolam yang terbentang luas disediakan. Jika tidak, pengunjung diajak berbasikal atau menunggang beca. Pasti seronok bukan?
Kunang Kunang Heritage Villas
- Alamat: Lot 1947 A, Jalan Pantai Cenang, Kampung Gelam, Pulau Langkawi, Kedah
- Harga: Bermula RM250 hingga RM360
- Aktiviti: Berbasikal, menunggang beca dan mandi kolam
- Facebook: Kunang Kunang Heritage Villas Langkawi
- Instagram: @kunangkunangheritagevilla
Pada pandangan pelancong luar, reka bentuk rumah warisan Melayu yang penuh estetik sentiasa menggamit pandangan mereka.
Justeru, tidak hairanlah, jumlah tempahan tempat penginapan yang menerapkan konsep desa sering menjadi perhatian ramai.
Baca juga Terjah hidden gem Pulau Langkawi, rupa-rupanya terdapat port yang masih ramai belum tahu
Ia akan bertambah bernilai sekiranya pengusaha menyediakan sajian masakan tradisional seperti sambal belacan, tempoyak, rendang dan macam-macam kepada pengunjungnya.
Selain Kunang Kunang Heritage Villas, SinarPlus menemui beberapa lagi destinasi yang masih berkonsepkan inap desa. Antaranya adalah seperti berikut:
Terrapuri
- Alamat: Jalan Pantai Penarik, Kampung Penarik, Terengganu
- Harga: Bermula RM429 hingga RM529 (promosi hingga Disember 2021)
- Aktiviti: Pakej bulan madu, spa terapi, snorkeling dan menyelam, Floating Art of Langkasuka dan terokai kelip-kelip dan Setiu Wetlands
- Facebook: Terrapuri
- Instagram: @terrapuri
- Laman web: www.terrapuri.com
Selepas Hujan
- Alamat: 43A, Pantai, Negeri Sembilan
- Harga: Bermula RM1,457
- Aktiviti: Memancing, yoga
- Facebook: Selepas Hujan
Kuang Kampung Retreat
- Alamat: Lorong Orkid Kuang, Sungai Buloh, Selangor
- Harga: Bermula RM1,097
- Aktiviti: Hari keluarga
- Facebook: Kuang Kampung Retreat
Warisan Pahlawan Resort
- Alamat: Kampung Pauh, Mukim Jenagor, Kuala Berang, Terengganu
- Harga: Bermula rm60 hingga RM800
- Aktiviti: Hari keluarga
- Facebook: Warisan Pahlawan Resort, Terengganu
- Instagram: @warisanpahlawanresortofficial