Covid-19: Hati-Hati, Pejabat Dengan Ruang Tertutup, Penghawa Dingin Mudahkan Virus Merebak Dengan Mudah

SEJAK Mac lepas hingga sekarang, kluster tempat kerja kekal menjadi penyumbang utama peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

Tiada siapa boleh menidakkannya kerana Kementerian Kesihatan telah melaporkan bahawa hingga Ogos lepas, kluster tempat kerja mewakili 53.2 peratus atau 1,549 daripada keseluruhan kluster.

Keadaan tempat kerja terutamanya di dalam bangunan tertutup dikenal pasti berisiko tinggi menjadi ‘sarang’ penularan virus seperti Covid-19.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah menyatakan sebelum ini bahawa risiko penularan Covid-19 di dalam bangunan tertutup dengan sistem pengudaraan yang tidak baik adalah lebih tinggi berbanding di luar bangunan.

KAJIAN PENYELIDIK TEMPATAN

Perkara tersebut turut dibuktikan oleh kajian penyelidik tempatan yang menunjukkan virus maut itu mampu terampai lama di udara dan tersebar sejauh lebih dua meter, malah boleh melangkaui 6 meter dalam ruang tertutup tanpa pengaliran udara segar.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia yang diketuai Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir mendapati, ruang tertutup dan operasi pendingin hawa yang mengitar semula udara akan memudahkan penyebaran virus dalam udara melalui aerosol.

Dr Mohd Shahrul.

Kajian kedua oleh pakar simulasi udara dalaman dari Universiti Tuanku Abdul Rahman, Prof Madya Dr Bernard Saw Lip Huat dan Pakar Toksikologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Leo Bey Fen pula mendapati, virus Covid-19 sukar dikawal penyebarannya kerana zarah virus itu boleh berada di udara selama lebih lapan jam.

“Oleh itu, sangat penting mempunyai pengudaraan yang baik dengan membuka tingkap dan pintu di rumah atau pejabat bagi membolehkan udara segar masuk. Bagaimanapun, bagi pejabat atau kilang tertutup yang tingkapnya tidak boleh dibuka, penyenggaraan pendingin hawa dan sistem pengudaraan sangat penting.

“Pengabaian pengudaraan yang baik serta ketiadaan penyenggaraan pendingin hawa membawa kebarangkalian tinggi untuk mencetuskan kluster tempat kerja sekiranya ada pesakit Covid-19 datang ke pejabat.

“Ini kerana individu itu berisiko tinggi menyebarkan virus kepada rakan sekerja lain melalui bawaan udara,” jelas Mohd Shahrul kepada Bernama.

KLUSTER TEMPAT KERJA

Hasil kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal tersohor Nature Scientific Reports pada Januari lepas, tidak boleh dipandang remeh, sementelah melihat trend kadar jangkitan di tempat kerja yang membimbangkan sekarang.

Di sebalik kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang semakin menghampiri imuniti kelompok, keadaan semasa pandemik boleh bertambah buruk sekiranya majikan mengabaikan aspek sistem pengudaraan dan prosedur operasi standard (SOP) lain, lebih-lebih lagi pelbagai sektor ekonomi sudah dibenarkan kembali beroperasi.

Ini kerana mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19 dan juga boleh menjangkiti orang lain.

Namun yang dibimbangi adalah masih ada golongan yang belum menerima vaksin dan mereka berisiko mendapat kesan yang lebih teruk jika dijangkiti.

“Kajian saya di hospital sebelum ini mendapati jururawat yang telah divaksinasi positif Covid-19 sebanyak dua kali. Cuma kesan jangkitan virus itu lebih minimum, antara kategori 1 dan 2 sahaja berbanding mereka yang tidak mendapat vaksin, berisiko untuk sampai ke peringkat 3 hingga 5.

“Berdasarkan kajian kami yang meneliti pergerakan virus itu di dalam bangunan, SOP seperti kerap membasuh tangan dan menjaga jarak tidak cukup untuk memberi perlindungan terhadap titisan zarah mikro pernafasan yang membawa virus yang disebarkan ke udara oleh orang dijangkiti. SOP itu harus dibantu dengan sistem pengudaraan yang baik,” katanya.

LEBIH BAHAYA

Mengulas lanjut mengenai keberadaan virus menerusi udara, beliau berkata, keadaan itu berlaku apabila titisan cairan, sama ada melalui bersin, bercakap atau batuk, daripada seseorang yang positif Covid-19 melekat pada zarah (habuk) terutama yang bersaiz 1 mikrometer.

“Sekiranya tidak ada pengaruhan aliran udara, virus tersebut yang melekat pada zarah akan terampai selama lapan jam, namun bagi zarah virus Covid-19 yang lebih halus, kurang daripada satu mikrometer, ia boleh berada lebih lapan jam di udara,” katanya.

Sementara itu, Dr Bernard dalam kajiannya selama tiga bulan bermula Ogos hingga Oktober tahun lepas (2020), mendapati kira-kira 50 peratus virus Covid-19 tersebar dalam lingkungan diameter 1 meter, manakala sebahagian lagi melangkaui 2 hingga 6 meter (m).

Kajian itu dilakukan ke atas seorang pesakit Covid-19 yang ditempatkan di dalam sebuah wad di hospital.

“Wad sepanjang 6m ini menggunakan pendingin hawa jenis ‘cassette air conditioner’ yang hanya mengitar semula udara dan tidak ada kemasukan udara luar. Berdasarkan kajian yang dilakukan menggunakan pengiraan dinamik bendalir, didapati virus SARS-CoV-2 tidak keluar dari wad tersebut.

“Ia berada di dalam bilik berkenaan dan boleh terampai di udara di mana-mana sahaja kerana tidak ada pengaliran udara segar untuk membersihkan virus tersebut,” katanya.

SANITASI?

Mengulas lebih lanjut, Dr Bernard berkata, tahap risiko seseorang itu boleh dijangkiti melalui bawaan udara bergantung pada jumlah virus yang tersebar di dalam sesebuah bangunan tertutup.

Jika virus itu yang tersebar melalui bersin, bercakap dan bernafas adalah banyak, maka ada kemungkinan seseorang yang dijangkiti akan mengalami jangkitan teruk.

Lebih membimbangkan sekarang adalah kehadiran varian baharu virus SARS-CoV-2 iaitu varian Afrika Selatan, United Kingdom, India dan Nigeria dengan kadar kebolehjangkitan lebih tinggi seperti varian Delta yang mampu menjangkiti dalam tempoh 15 saat sahaja, selain peningkatan kes sporadik oleh mereka yang positif Covid-19 tetapi tidak bergejala.

Setakat 17 Ogos lalu, negara merekodkan 710 kes VOI (varian yang perlu diperhatikan) dan varian yang membimbangkan (VOC) dan daripada jumlah itu, 467 adalah kes varian Delta (VOC).

“Tidak ada cara lain lagi. Kepentingan kualiti udara dalaman wajar diambil perhatian jitu oleh majikan. Sebenarnya, pihak majikan yang kebanyakannya menggunakan sistem pendingin hawa berpusat, boleh membenarkan udara segar masuk ke dalam sesebuah bangunan mereka secara berkala.

“Ini dilakukan di China iaitu tiga kali sehari, lebih kurang 30 minit. Mereka melakukannya dengan cara mengawal sistem pendingin hawa untuk membenarkan kemasukan udara segar ke dalam bangunan tertutup bagi proses ‘flushing’ udara.

Sanitasi di rumah untuk elak Covid-19 perlu atau tidak? Ini apa kata pakar

“Namun, tidak ramai majikan yang mahu membuatnya kerana melibatkan kos. Bil elektrik akan tinggi apabila mereka melakukan fungsi ini kerana kompresor pendingin hawa akan bekerja lebih banyak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, amalan sanitasi pejabat tanpa penyenggaraan pendingin hawa juga tidak membawa manfaat kerana risiko penyebaran tetap wujud sekiranya individu positif Covid-19 datang ke pejabat selepas dua hari tempat kerja disanitasi.

Ini kerana katanya, sanitasi hanya membersihkan virus tersebut pada hari berkenaan sahaja dan tidak berkekalan hingga hari-hari seterusnya.

Justeru, beliau berpandangan penggunaan pembersih udara yang mempunyai penapis udara HEPA (sejenis penapis udara mekanikal yang berfungsi dengan memaksa udara melalui jaringan halus yang memerangkap zarah berbahaya seperti kuman dan sebagainya) antara alternatif yang boleh dilakukan majikan bagi meningkatkan kualiti pengudaraan dalaman.

BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN

Hakikatnya, ancaman Covid-19 bawaan udara di dalam bangunan tidak dipandang remeh oleh kerajaan apabila Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan membangunkan satu Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman (IAQ) bagi membantu mengurangkan penularan virus tersebut melalui udara.

Objektif panduan itu adalah memaklumkan kepada masyarakat mengenai kaedah bagi menambah baik pengudaraan dan kualiti udara dalaman di tempat kerja, kemudahan kesihatan, kediaman dan tempat awam dengan tujuan mengurangkan risiko penularan Covid-19 melalui udara.

Panduan tersebut yang perlu dirujuk bersama SOP terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan langkah kawalan lain dalam mengurangkan penularan wabak, menyarankan peningkatan kadar pengudaraan, mengurangkan jumlah penduduk di dalam bangunan, membuka tingkap atau pintu, menggunakan pembersih udara boleh alih dan meningkatkan kemasukan udara segar dari luar bangunan.

Mengulas mengenai isu itu, Timbalan Presiden I Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Mohamad Aliasman Morshidi berkata, selain panduan IAQ, majikan juga sebenarnya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 sekiranya gagal menyediakan tempat kerja yang selamat dan ini termasuk kualiti pengudaraan di dalam bangunan.

Mohamad Aliasman.

“Secara umumnya terdapat beberapa peruntukan dalam AKKP 1994 seperti Seksyen 15 dan Seksyen 17 yang menerangkan kewajipan majikan untuk memastikan mereka menyediakan tempat kerja yang selamat dan tanpa risiko kesihatan kepada pekerja.

“Di sinilah pihak majikan mesti membuktikan mereka telah mengambil langkah terbaik dalam mengurangkan jangkitan Covid-19 di tempat kerja dengan melakukan penaksiran risiko dengan betul dan meletakkan langkah kawalan yang efektif dengan merujuk kepada SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Sekiranya majikan atau pemilik bangunan gagal mematuhi ICOP IAQ atau Kod Tataamalan Industri bagi Kualiti Udara Dalaman 2010, mereka memang boleh didakwa di bawah AKKP 1994,” katanya.

Menyedari akan kepentingan majikan menyediakan pengaliran udara dalaman yang baik, beliau berkata MSOSH sebagai persatuan yang aktif dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia, telah menganjurkan pelbagai program kesedaran mengenainya.

Ini penting memandangkan lebih ramai yang akan kembali bekerja di pejabat, kilang dan sebagainya apabila lebih banyak sektor dibuka kelak berikutan negara juga dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 pada penghujung Oktober ini selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin.

“Banyak perkara positif yang kita boleh belajar daripada pandemik Covid-19. Selain isu berkaitan kesihatan awam, isu berkaitan KKP (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) di tempat kerja menjadi perhatian utama selepas kita dapat melihat kenaikan kes wabak berkenaan berpunca daripada kluster tempat kerja.

“Di sinilah (pentingnya) peranan proaktif pihak majikan (yang) bertanggungjawab dalam memastikan risiko jangkitan Covid-19 diurus dengan baik, efektif mengikut tahap risiko di tempat kerja dan juga dari segi pematuhan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Speak Your Mind

*