TIDUR merupakan ruang waktu yang memberikan peluang kepada seseorang untuk berehat.
Selain menjadi sebahagian daripada rutin harian, memiliki kualiti tidur juga mampu untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental manusia.
Hal ini kerana apabila seseorang itu sedang tidur, organ seperti otak tetap berfungsi dan bersedia untuk memulakan hari pada keesokannya.
Tanpa waktu tidur yang cukup, seseorang itu berkemungkinan akan mengalami masalah untuk berkomunikasi, berfikir dengan rasional dan gagal memberikan hasil kerja yang maksimum.
Namun, tahukah anda bahawa terdapat beberapa tabiat yang sudah menjadi kebiasaan dilakukan sebaik sahaja seseorang bangun daripada tidur juga mampu menjejaskan kesihatan.
Perkara ini bahkan turut menyebabkan berlakunya peningkatan berat badan berlebihan.
Justeru, berikut SinarPlus kongsikan kesan akibat kebiasaan yang dilakukan sebaik sahaja bangun dari tidur menurut akaun Instagram, Fakta Info Kesehatan:
1.Bangun lewat atau kesiangan
Dianggarkan seseorang dewasa hanya memerlukan sekitar enam hingga lapan jam sehari untuk tidur.
Bagaimanapun, bagi mereka yang gemar menghabiskan masa dengan tidur berlebihan atau tidak proaktif sebaik sahaja bangun tidur dipercayai terdedah kepada risiko kegemukan.
Hal ini kerana mereka tidak melakukan sebarang aktiviti melibatkan fizikal selain akan meningkatkan selera makan berlebihan.
2. Lambat bersarapan
Bagi mereka tidak gemar bersarapan atau sengaja melewatkan waktu sarapan, anda tergolong dalam kumpulan yang kerap berasa lapar.
Peningkatan hormon stres juga akan berlaku terutama apabila kadar hormon kortisol meningkat dan menyebabkan anda mudah berasa cemas dan gelisah.
Tidak bersarapan juga akan menyebabkan anda mengambil hidangan makan tengah hari dengan jumlah yang banyak disebabkan berasa terlalu lapar.
3. Bilik tidur terlalu gelap
Dipetik daripada laman web popmama.com, membiarkan bilik berada dalam keadaan gelap dapat memberikan waktu tidur yang kualiti dan dapat mengurangkan tekanan.
Namun, membiarkan bilik berada dalam keadaan gelap selepas bangun tidur terutama apabila keadaan di luar telah cerah akan menyebabkan anda mengalami risiko kegemukan kerana berlakunya peningkatan selera makan.
Kerap menghabiskan masa di ruangan yang gelap tanpa mendapatkan cahaya matahari juga berpotensi mengakibatkan depresi atau gangguan emosi.
Melihat kepada tiga perkara berikut, tabiat atau kebiasaan yang dirasakan remeh itu juga dapat mengakibatkan berlaku pelbagai masalah kesihatan sekiranya tidak dibendung.
Oleh itu, penjagaan kesihatan tidak hanya melibatkan pengambilan diet atau aktiviti fizikal semata-mata, tetapi hal tersebut turut merangkumi tabiat yang dilakukan pada setiap hari.
Sekiranya anda gemar melakukan seperti perkara dinyatakan, ambil masa untuk mengubahnya secara perlahan-lahan agar dapat membentuk corak tabiat baharu yang lebih baik pada masa akan datang.
Speak Your Mind