Jangan Amal Minum Jus Buah-Buahan Secara Berlebihan. Ini Penemuan Terbaharu Saintis Yang Mengejutkan

JIKA sebelum ini kita mengetahui hanya minuman yang ditambah gula seperti teh tarik atau air bergas sahaja didapati menjadi punca kepada penyakit diabetes.

Namun, penemuan terbaharu yang diumumkan baru-baru ini mungkin mengejutkan kita semua.

Kajian terbaharu yang dilakukan para saintis dari Harvard T.H Chan School of Public Health, Boston, Amerika Syarikat telah mendapati bahawa pengambilan jus buah (walaupun ia buah yang segar) secara berlebihan boleh menyebabkan peningkatan risiko penyakit diabetes.

Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Diabetes Care itu juga menyebut bahawa jus buah-buahan juga boleh menyumbang kepada masalah kesihatan yang kronik itu.

Ketua Saintis dalam kajian tersebut, Dr Jean Philippe Drouin-Chartier memberitahu, minuman manis termasuk jus buah-buahan segar sememangnya boleh menyebabkan penyakit kencing manis.

“Sebaiknya kita menggantinya dengan minuman yang lebih sihat seperti air putih, teh atau dan kopi tanpa gula,” katanya.

Mengulas mengenai hasil kajian itu, Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad berkongsi beberapa fakta yang perlu diketahui tentang pengambilan jus buah.

Dr Zubaidi Ahmad.

Berikut perinciannya:

i) Pengambilan jus buah-buahan boleh diambil dengan syarat serat buah-buahan tidak dipisahkan bersama dengan jusnya.

  • Perbuatan mengasingkan serat daripada jusnya akan meningkatkan kadar penyerapan gula ke dalam darah.

ii) Tidak mengambil jus buah-buahan secara berlebihan.

  • Bagi kanak-kanak yang berusia kurang dari enam tahun, American Academy of Pediatrics menyarankan hanya mengambil jus buah-buahan sebanyak 100 hingga 170 gram setiap hari.
  • Sementara itu, kanak-kanak yang berusia 7 hingga 18 tahun, boleh mengambil antara 200 hingga 350 gram dalam sehari.
  • Untuk orang dewasa pula , pengambilan jus buah-buahan tidak melebihi dua hingga tiga gelas dalam sehari.

iii) Tidak menambah gula dalam jus buah-buahan itu yang akan meningkatkan tahap karbohidrat dan kalori dalam minuman.

iv) Tidak minum jus buah-buahan pada waktu pagi ketika perut kosong jika kita alahan terhadap buah tersebut.

  • Sebagai contoh, jus nanas yang mungkin akan menyebabkan rasa kembung perut.

v) Tidak menyimpan jus buah-buahan yang telah disiapkan terlalu dalam dalam peti sejuk.

  • Sebaiknya habiskan jus tersebut dalam masa empat jam setelah disediakan.

vi) Beberapa jenis buah seperti mangga, alvokado, nangka atau durian mempunyai tahap karbohidrat yang tinggi.

  • Seeloknya jus buah-buahan yang tinggi karbohidratnya tidak diambil bersama dengan makanan yang berat contohnya makan tengah hari.

“Saya sendiri berpendapat bahawa pengambilan jus buah-buahan tidak akan berbahaya jika diambil dengan sederhana dan tidak memisahkan jus dari seratnya.

“Pengambilannya secara berlebihan terutamanya jus buah yang mempunyai nilai karbohidrat yang tinggi sudah tentu memberikan kemudaratan kepada peminumannya terutama pesakit diabetes,” ujarnya.

Oleh itu, kawal pemakanan anda kerana setiap yang berlebihan pasti akan memberi kesan tidak baik kepada tubuh badan.

#kitajagakita

Speak Your Mind

*