Jangan Suka Tahan Kalau Nak Buang Air Besar, Ini Derita Yang Bakal Menimpa Anda!

LAZIMNYA, kesukaran untuk membuang air besar akan dikaitkan dengan gejala sembelit.

Hal itu memang menjadi dilema bagi kebanyakan orang tanpa mengira peringkat usia.

Menurut laman web myhealth.gov.my, sembelit berlaku apabila kekerapan untuk membuang air besar berkurangan dan kesukaran untuk membuang najis.

Namun, penting untuk diketahui bahawa ia merupakan satu gejala, bukannya satu penyakit.

Apa yang pasti, setiap orang pernah mengalami sembelit dan selalunya berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak baik.

Menurut statistik, 15 hingga 23 peratus wanita mengalami kemelut itu, manakala bagi golongan lelaki pula, hanya 11 peratus sahaja yang terlibat.

Secara nisbahnya pula, satu daripada lima orang akan mengalami gejala sembelit.

Membincangkan tentang masalah kesihatan itu, Telegram Petua dan Kesihatan turut mendedahkan faktor-faktor yang mengundang kepada masalah sembelit.

“Selain tabiat makan yang tidak menentu, gaya hidup dan tekanan juga boleh menyumbang kepada sembelit.

“Bukan itu sahaja, pengambilan ubat untuk mengatasi darah tinggi, kurang bersenam, kehamilan dan tempat baharu yang dikunjungi juga akan menyukarkan seseorang itu untuk membuang air besar,” beritahu mereka.

Jadi, bagaimana ingin mengatasinya?

Berikut beberapa kaedah terbaik untuk menangani gejala itu:

i) Makan sayur-sayuran dan buah-buahan dengan kuantiti yang disarankan iaitu 25gram serat sehari.
ii) Kurangkan pengambilan makanan yang diproses seperti daging dan sosej.
iii) Makan makanan yang segar.
iv) Minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
v) Kerap bersenam.
vi) Jangan tahan jika terasa ingin membuang air besar.

Sebenarnya apa yang akan berlaku jika menangguhkan masa untuk membuang air besar?

Ini fakta penting yang perlu orang ramai ambil tahu:

1. Dua jam pertama – Perut terasa keras.
2. Enam jam berikutnya – Perut akan memulas-mulas dan gejala sembelit akan muncul.
3. Setelah 12 jam – Perut semakin buncit dan semakin suka untuk mengeluarkan najis.
4. Sudah terlalu lama – Najis bertukar keras dan berisiko kepada beberapa penyakit kronik lain.

Oleh itu, SinarPlus ingin ingatkan perkara utama dalam merawat sembelit adalah memastikan kita makan makanan berserat dan minum air secukupnya.

Tindakan itu akan membantu najis bergerak menerusi usus dengan meningkatkan ketebalan najis dan menjadikannya lebih lembut.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca.

Speak Your Mind

*