BAYANGKAN ketika memakai kasut atau stokin, mata terpandang kuku jari kaki yang dijangkiti kulat, pasti menjijikkan.
Lebih memalukan apabila bentuk dan warna kuku berubah, tumbuh tidak cantik, terangkat daripada lantai kuku menyebabkan berasa sakit dan berbau busuk.
Keadaan itu sebenarnya disebabkan jangkitan kulat kuku iaitu Onychomycosis.
Jangkitan bukan sahaja mengubah struktur asal kuku, malah menjadikannya rapuh, kasar, kulit dikeliling kuku mudah terkopek dan kehilangan bentuk asal.
Menurut Pakar Kesihatan dan Perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan tanda-tanda jangkitan kulat pada kuku adalah;
- Kuning gelap atau hitam
- Menggerutu dan tebal
- Melengkung ke atas
- Tertanggal dari isi
- Rapuh dan bergerigi
- Berbau busuk
Katanya, jangkitan kulat pada kuku ni berlaku atas beberapa sebab antaranya kerana terdapat kecederaan pada kuku, masalah kebersihan, imuniti rendah, kencing manis dan lain-lain.
Menurut Dr Kamarul, rawatan jangkitan kuku tersebut tidaklah sukar namun ramai tidak sanggup untuk turuti saranan doktor kerana;
Ubat anti-kulat (antifungal) topikal disapu atau dititiskan pada kuku pada setiap hari, selama 4-6 bulan atau sehingga kuku baru yang bebas jangkitan tumbuh sepenuhnya. Ia perlukan disiplin tinggi.
- Ubat anti-kulat oral (pil) dimakan setiap hari selama 2-4 bulan. Pil ini tak sesuai jika mereka ada masalah hati. Jika diberi pil ini, kadangkala doktor perlu pantau fungsi hati.
- Kombinasi ubat anti-kulat topikal dan oral. Gabungan dua jenis ubat ini boleh menambahkan keberkesanan rawatan, namun lazimnya masih perlukan masa berbulan-bulan.
- Cabut kuku yang dijangkiti kulat dan menyapu ubat anti-kulat pada isi di bawah kuku yang dicabut tadi. Prosedur ini biasa dilakukan untuk kes jangkitan kulat pada kuku yang agak parah.
- Laser atau rawatan cahaya. Ia jenis rawatan yang masih baharu dan belum tersedia di kebanyakan fasiliti kesihatan di Malaysia. Biasanya terdapat di pusat rawatan pakar kulit.
- Rawatannya memakan masa yang lama dan perlukan keazaman yang tinggi.
Jadi, adalah lebih elok jika kita cegah jangkitan kulat pada kuku dengan cara;
- Jaga kebersihan, pastikan kuku sentiasa dipotong pendek dan dicuci bersih setiap kali mandi. Gunakan pemgetip kuku yang bersih ketika memotong kuku.
- Jaga kuku, elakkan risiko kecederaan kuku dengan memakai sarungan tangan dan kasut yang sesuai ketika melakukan aktiviti lasak.
- Jaga kesihatan, penghidap kencing manis atau apa-apa penyakit yang mengakibatkan imuniti menurun akan meninggikan risiko jangkitan kulat.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Speak Your Mind