Archives for December 23, 2021

Karavan, Camper Van Jadi Semakin Mendapat Tempat Di Malaysia. Jom Tinjau 5 ‘Rumah Bergerak’ Tercanggih

karavan, motorhome atau van perkhemahan (camper van)

SEJAK kebelakangan ini, kenderaan rekreasi (RV) semakin mendapat tempat di negara ini.

Beberapa orang kenamaan dan selebriti di Malaysia antara individu yang dilihat cenderung menggunakan karavan, motorhome atau van perkhemahan (camper van) untuk beriadah.

Di beberapa negara seperti di Amerika Syarikat, Eropah termasuk di Australia dan New Zealand, penggunaan RV sangat popular dan semakin berkembang sehingga mendorong jenama kenderaan global mempertingkatkan teknologi kenderaan mereka dari semasa ke semasa.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia dikatakan telah membuatkan ramai penduduk dunia terutama di Barat memilih untuk memiliki RV.

Pengembaraan eksklusif bersama ahli keluarga dari satu destinasi ke destinasi tanpa gangguan merupakan antara alasan popular mengapa permintaan terhadap kenderaan itu semakin tinggi.

Daripada pelbagai jenama automatif, SinarPlus senaraikan lima karavan terbaik yang disenaraikan pada tahun ini oleh newatlas.com. Harganya juga bukan calang-calang!

karavan, motorhome atau van perkhemahan (camper van)

SAIC Maxus Life Home V90 Villa Edition

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: China
  • Syarikat: SAIC Maxus
  • Harga: RM1.72 juta

Reka bentuk jentera canggih keluaran negara China itu tidak jauh bezanya dengan keluaran RV dari Jepun dan Korea Selatan. Namun, saiznya lebih besar dan bertingkat membuatkan jentera tersebut nampak istimewa.

Bukan sahaja lengkap dengan peralatan memasak, singki dan peti ais, sistem pintar kawalan Maxus’ X-Connect RV membuatkan jentera berkeluasan 20 meter persegi itu lebih keterhadapan berbanding RV sedia ada.

Dengan hanya menggunakan skrin sesentuh, segala jenis peranti mudah alih dihubung dan dikuasakan dengan mudah. Kenderaan itu dianggap  melengkapkan ciri sebuah ‘rumah pintar atas jalan’ yang paling hebat.

karavan, motorhome atau van perkhemahan (camper van)

Airstream Interstate 24X

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: Jerman
  • Syarikat: Mercedes-Benz
  • Harga bermula: RM889,402

Bagaikan memahami jiwa si pengembara, jenama popular keluaran Jerman itu menawarkan Airstream Interstate 24X yang dilengkapi Sistem Penyimpanan L-Track Aluminium Aircraft yang menjimatkan ruang untuk meletak basikal, kayak mahupun perkakas perkhemahan bersaiz besar.

Gaya ekstrem jentera dengan lapisan coating tahan lasak pada bahagian hadapan dan belakang membuatkan karavan berkenaan mampu beraksi cemerlang di dalam hutan. Paling menarik, ciri sistem lampu yang canggih akan melancarkan perjalanan pada waktu malam.

karavan, motorhome atau van perkhemahan (camper van)

LEVC e-Camper

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: United Kingdom
  • Syarikat: London Electric Vehicle Company (LEVC)
  • Harga bermula: RM357,421

Desain model kenderaan elektrik itu dikatakan yang pertama di dunia dan mempunyai simbol teksi ikonik London.

LEVC dilengkapi ciri baharu serba moden seperti bumbung jenis pop up yang menjadikan ruang dalaman lebih luas.

Jika dilihat dari luaran, siapa sangka jentera hibrid tersebut mempunyai kelengkapan katil boleh lipat, tempat duduk yang boleh dipusingkan sebanyak 180 darjah dan mampu bergerak sejauh 98 kilometer dalam mod elektrik.

karavan, motorhome atau van perkhemahan (camper van)

Citroen Jumper

  • Tahun: 2021
  • Keluaran: Republik Czech
  • Syarikat: WoodVans
  • Harga bermula: RM297,680

Citroen Jumper dikatakan antara model karavan yang lebih tahan lasak dan berkualiti tinggi keluaran Republik Czech.

Dengan tagline Hidup Di Mana Sahaja, jentera empat roda dengan kelengkapan penuh sebuah rumah itu dijamin memberi keselesaan kepada pemiliknya.

Paling mencuri tumpuan adalah pencahayaan LED RGB ekonomik yang menampilkan gaya moden. Di samping itu, rekaan dalaman membolehkan tangki berkapasiti 100 liter air disimpan. Menarik bukan?

karavan, motorhome atau van perkhemahan (camper van)

The Burstner Lyseo Gallery

  • Tahun: 2022
  • Keluaran: Jerman
  • Syarikat: Bürstner GmbH & Co KG
  • Harga: Belum diumumkan

Antara jentera yang bakal menggegarkan industri van perkhemahan dunia dan dikatakan mampu menyaingi SAIC Maxus, keluaran negara China.

Meskipun The Burstner Lyseo Gallery diumumkan akan dipasarkan menjelang tahun 2022, namun prototaip lengkap sudah viral di media sosial.

Cetusan desain yang diilhamkan daripada konsep The Burstner Harmony 3 (2018) itu dilihat mengetengahkan reka bentuk lebih moden yang mencakupi ruang dapur berciri mewah, laci elektrik dan ruangan tidur berskala besar.

Rona Warna, Perabot, Pencahayaan. 3 Elemen Buatkan Kediaman Menawan Walau Ruang Terhad

KEADAAN kediaman yang kemas dan teratur dapat memberikan suasana tenang kepada penghuninya.
Suasana akan lebih mendamaikan jika tiga elemen penting iaitu sumber pencahayaan semula jadi, warna dan pemilihan perabot yang dipilih sesuai dengan kediaman, kata seorang pereka hiasan dalaman, Aizul Marcello Ab. Rahim.

Kata Aizul Marcello lagi, daya kreativiti turut memainkan peranan penting. Penghuni ujarnya, perlu bijak mengoptimumkan setiap ruang, terutama apabila memiliki ruang yang terhad.

Pun begitu, hal tersebut bukanlah satu kekangan sehingga membataskan keinginan untuk memiliki dekorasi hiasan dalaman yang diimpikan.

Menurut Aizul Marcello, selain cat dinding, seleksi warna perabot sangat signifikan lantaran ia sangat mempengaruhi persekitaran ruang.

“Jika ingin menggunakan warna terang seperti merah, hitam atau hijau pucuk pisang, ia tidak menjadi masalah, tetapi tidak boleh digunakan secara praktik ke atas semua permukaan dinding. Cukup sekadar satu dinding sahaja sudah memadai.

“Pemilihan warna juga tidak hanya tertumpu kepada dinding semata-mata., tetapi untuk dengan perabot, perhiasan, langsir, kusyen dan sofa,“ terangnya kepada SinarPlus.

Ilusi ruang

Mengulas lanjut, pereka berpengalaman itu berkata, bagi memberikan kesan ilusi dan menampakkan sesuatu ruang lebih luas, warna pastel seperti coklat lembut dan putih merupakan idea terbaik.

Jenis perabot juga haruslah tidak terlalu besar dan memiliki pelbagai fungsi seperti ruang simpanan di bawah sofa atau meja yang boleh diubah mengikut keperluan.

Dalam pada itu, pesan Aizul Marcello, sebaiknya perhiasan kecil seperti bekas telur atau cenderahati yang sering diperoleh daripada menghadiri sesebuah acara sangat tidak digalakkan.

“Apa kata kumpul dan letakkan di dalam sebuah bekas untuk disimpan sebagai kenangan,“ katanya.
Mengulas mengenai pencahayaan, beliau berkata, perkara itu tidak akan menjadi isu sekiranya memiliki tingkap bersaiz besar atau pintu gelangsar.

Bagaimana pula kalau sebaliknya? Jawab beliau, hal tersebut boleh diselesaikan dengan menggunakan lampu mengikut kesesuaian warna dinding dan fungsi ruangan.

Sementara itu, bagi mengatasi saiz tingkap yang kecil pula, pemasangan langsir secara dinding penuh dengan cara memasak kepala langsir di bahagian siling, manakala bawahnya dibiarkan labuh mencecah lantai boleh dilakukan.

“Impaknya, kediaman akan kelihatan luas dan dinding pula akan nampak lebih tinggi. Pendekatan itu digelar sebagai ilusi optik,“ katanya.

Dalam keasyikan mendekorasi ruang tamu dan bilik tidur, jangan pula kita lupa dengan kemasan di dapur yang tidak kurang pentingnya.

Ujar Aizul Marcello, bagi individu yang gemarkan warna gelap seperti hitam, ia bukanlah satu kesalahan.
Pun demikian, ia boleh mengundang kesilapan besar kerana rona tersebut akan menampakkan ruang lebih sempit, kecil dan padat.

“Bagaimanapun, ia tidak menjadi halangan sekiranya memiliki saiz ruang yang luas dan terbuka. Satu lagi saya nak pesan, jangan terlalu penuhkan ruangan dapur dengan pelbagai barangan.

“Sebaliknya beri perhatian kepada aliran udara dan penggunaan lantai yang sesuai. Pilihan permukaan lantai yang kasar dapat mengelak berlakunya kemalangan kecil seperti terjatuh atau tergelincir,“ katanya.

Aizul Marcello turut berkongsi ilmu tentang teori rekaan dapur yang seharusnya dibina secara tiga segi yang mana kedudukan ruang memasak, sinki dan peti sejuk diletakkan di tiga posisi seperti segi tiga.

Konsep sebegitu ujar pakar dekorasi itu, lebih memudahkan pergerakan dan ia juga merupakan seni bina sebenar mengikut rekaan hiasan dalaman.

8 Juta Rakyat Malaysia Berdepan Dengan Masalah Jantung. Jangan Jadi Sebahagian Daripada Statistik Itu Lagi!

EKORAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan kemudian beralih kepada Pelan Pemulihan Negara, rakyat Malaysia terpaksa duduk di rumah bagi membendung wabak Covid-19 agar tidak terus menular.

Namun, siapa sangka tindakan itu telah memburukkan lagi pelbagai masalah kesihatan yang serius khususnya penyakit berkaitan dengan jantung.

Sebenarnya, penting untuk diketahui bahawa penjagaan kesihatan jantung adalah mustahak, lebih-lebih lagi sewaktu wabak membunuh itu bermaharajalela.

Perlu difahamai bahawa individu dengan penyakit itu lebih berisiko mengalami gejala atau komplikasi lebih buruk sekiranya dijangkiti Covid-19.

Menurut Persekutuan Jantung Sedunia, situasi tersebut berlaku kerana sistem imun penghidap penyakit jantung biasanya lebih lemah, menjadikan mereka lebih terdedah kepada komplikasi virus yang parah.

Semakin banyak kajian menunjukkan, ramai bekas pesakit Covid-19 mengalami kerosakan jantung, walaupun tiada sejarah penyakit jantung atau tidak dimasukkan ke hospital.

Buktinya, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati, kolesterol tinggi yang merupakan faktor risiko utama penyakit jantung.

Ia telah menjejaskan 8 juta atau 40 peratus orang dewasa di Malaysia.

Bukan itu sahaja, serangan jantung telah menjadi pembunuh utama negara kita selama lebih 15 tahun.

Mengakui hakikat itu, Pakar Kardiologi dari Institut Jantung Negara (IJN), Dr Rohith Stanislaus berkata, orang ramai dapat menyaksikan satu trend umum bahawa paras kolesterol di Malaysia semakin meningkat seiring kenaikan kadar penyakit arteri koroner dan serangan jantung.

Dr Rohith.

Kepada SinarPlus, pakar itu memaklumkan, penyakit jantung koronari berlaku apabila plak terdiri daripada kolesterol, lemak, kalsium dan sisa lain termendap pada saluran jantung.

“Pengumpulan plak inilah yang menjadi penyebab utama serangan jantung berlaku apabila saluran tersebut tersumbat sepenuhnya dan menyekat bekalan darah ke jantung,” terangnya dalam satu kenyataan.

Pun demikian, sebenarnya kita masih mampu mengawal beberapa faktor risiko utama penyakit jantung koronari.

Bagaimanapun, penjagaan kesihatan dan usaha mengubah gaya hidup sewaktu pandemik bukan semudah disangka, khususnya bagi mereka yang hidup dengan masalah jantung sedia ada.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil bagi meletakkan jantung agar kembali pada landasan yang betul.

DIET

Menurut Dr Rohith, diet yang seimbang, sihat dan terdiri daripada pelbagai kumpulan makanan utama dapat membantu mengekalkan kesihatan jantung.

“Kurangkan pengambilan gula diproses dan garam serta makanan yang tinggi lemak tepu dan lemak trans.

“Ia bukan sahaja satu langkah yang berkesan, tetapi juga mudah diamalkan di rumah,” katanya.

Selain itu, ujarnya, orang ramai perlu terapkan lebih pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan ke dalam diet.

“Ingat, makanan berasaskan tumbuhan mengandungi pelbagai bahan yang dapat membantu mencegah penyakit kardiovaskular.

“Jadi, tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran kerana ini dapat membantu mengurangkan pengambilan makanan berkalori tinggi,” sarannya.

Jelas sekali, Dr Rohith membuat kesimpulan bahawa amalan mengehadkan lemak tepu dan trans turut membantu mengurangkan paras kolesterol darah dan risiko penyakit arteri koronari.

Di samping itu, makanan yang kaya asid lemak omega-3 dapat membantu memerangi penyakit jantung.

“Antara (kaya asid lemak omega-3) ialah salmon, tuna, sardin dan ikan hering,” ungkapnya.

Bukan itu sahaja, pengambilan sterol tumbuhan yang mencukupi juga terbukti dapat merendahkan kolesterol secara berkesan iaitu sekurang-kurangnya 1.2 gram (g) sterol tumbuhan sehari.

Namun, bagi mendapatkan jumlah itu, seseorang perlu makan sekitar 255 biji tomato, 90 biji epal atau 126 batang lobak merah.

“Struktur sterol tumbuhan mirip kolesterol dalam badan kita. Selepas dimakan, ia akan bersaing dengan kolesterol dalam sistem penghadaman untuk diserap. Kesannya, penyerapan kolesterol tersekat dan menyebabkan paras kolesterol darah kita turun,” jelas Dr Rohith.

PENGAKUAN PESAKIT

Salah seorang pesakit jantung di IJN, Sokalingam Karuppiah, 57, berkata, beliau telah menjalani prosedur Intervensi Koronari Percutaneus dan Pintasan Graft Arteri Koronari bagi dua serangan jantung masing-masing pada tahun 2013 dan awal tahun ini.

Sokalingam Karuppiah.

Selepas itu, beliau terpaksa membuat perubahan drastik dari segi diet bagi menjaga kesihatannya.

“Sekarang saya makan lebih banyak ikan selain menyingkirkan makanan berminyak dari diet saya dengan meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya.

Sementara itu, Siah Peck Hwa, 41, ibu kepada dua cahaya mata berkata, NESTLÉ Omega Plus telah banyak membantu menguruskan paras kolesterolnya.

Peck Hwa.

“Saya mendapati kolesterol saya telah menurun apabila saya bermula mengambil susu ini. Kini, paras kolesterol saya jauh berbeza daripada sebelumnya,” ujarnya.

Mengulas mengenainya, Dr Rohith berkata, kuantiti makanan yang dimakan juga sama penting dengan jenis makanan yang diambil.

Tabiat negatif seperti makan sehingga terlalu kenyang, pengambilan karbohidrat dan protein yang tidak sihat dan menikmati ‘pusingan’ kedua makanan, dapat menyebabkan pengambilan kalori yang berlebihan.

Tegas beliau, amalan diet sihat merupakan kunci yang penting, senaman juga merupakan ‘ubat’ yang mujarab dalam menurunkan kolesterol dan menjaga kesihatan jantung.

“Mengemop lantai rumah atau aktiviti berkebun mungkin kurang menyeronokkan kalau dibandingkan dengan joging atau kelas zumba, tetapi aktiviti-aktiviti dan tugasan rumah sedemikian dapat membuatkan badan bergerak.

“Aktiviti semudah berjalan-jalan, menaiki tangga dan tugasan rumah dapat memanfaatkan jantung apabila dijadikan amalan rutin,” katanya sambil diakui oleh salah seorang pesakit jantung, Malek Mohamed.

Malek Mohamed.

Malek yang juga bapa kepada tiga cahaya mata itu menderita penyakit jantung sejak tahun 2006 dan perlu menelan 10 hingga 12 pil ubat setiap hari.

“Aktiviti seperti Walk A Million Miles sangat bermanfaat. Menyedari saya sedang melangkah ke satu misi yang dekat dengan hati saya, ia menjadi pembakar semangat saya untuk menyumbangkan langkah saya pada tahun ini,” katanya.

HINDARI TEKANAN

Dr Robith menambah, perubahan gaya hidup dan pemeriksaan kesihatan merupakan kunci utama kepada masalah jantung.

Ini kerana faktor risiko penyakit kardiovaskular terbahagi kepada dua kategori iaitu

i) Dapat diubah.
ii) Tidak dapat diubah.

“Faktor risiko penyakit kardiovaskular yang tidak dapat diubah berpunca daripada faktor genetik.

“Sementara faktor risiko penyakit kardiovaskular yang boleh diubah adalah faktor yang dapat dikurangkan atau dikawal melalui perubahan tingkah laku seperti tabiat alkohol dan merokok,” jelasnya.

Tidak pernah terlalu awal atau lambat untuk mengorak langkah menjaga kesihatan.

Paling penting, saringan awal perlu dilakukan untuk mereka yang menghadapi pelbagai faktor risiko dan mereka yang berusia 40 tahun ke atas, kata beliau.

“Harus diingatkan bahawa kepatuhan diet yang ketat, rutin senaman dan pemantauan kesihatan di rumah tidak boleh menggantikan pemeriksaan rutin.

“Oleh itu, disarankan untuk menggabungkan lawatan doktor serta ujian berkala dengan peralatan di rumah untuk menjamin bacaan yang betul,” pesannya.

Masalah Perut Buncit? Atasi Dengan 5 Langkah Ini

KEADAAN perut buncit bukan sahaja menjejaskan penampilan, malah keadaan itu juga mencerminkan keadaan tidak baik terhadap kesihatan.

Kandungan lemak pada bahagian perut atau visceral juga merupakan salah satu tanda obesiti, sakit jantung atau penyakit berisiko lain.

Selain amalan pemakanan yang sihat, aktiviti senaman juga boleh menghilangkan masalah perut buncit.

Beberapa cara mudah boleh dilakukan di rumah tanpa perlu berbelanja membayar yuran keahlian di gimnasium.

Berikut senaman yang boleh dilakukan:

1. Burpee

Senaman ini merupakan kombinasi empat jenis senaman yang lain iaitu lompatan, squat, plank dan push-up.

Melakukan senaman burpee sebanyak 10 set manakala setiap satu setnya selama 30 saat dapat meningkatkan kadar metabolisma sekali gus membangunkan otot perut.

2. Plank

Senaman plank ini dipercayai dapat membantu mengecilkan perut buncit dan memperbaiki keadaan fizikal badan.

Ini secara tidak langsung mengurangkan kesakitan pada bahagian pinggul dan membakar otot perut dengan lebih cepat.

3. Putaran Rusia (Russian twist)

Biarpun senaman ini kelihatan mudah dan menyenangkan, tetapi percaya atau tidak aktiviti russian twist ini menguatkan otot perut dan mengelakkan daripada mengalami masalah kembung perut.

Bagi peringkat permulaan, sebaiknya korang jangan menggunakan beban seperti dumbel. Mulakan secara perlahan-lahan agar tidak menyebabkan kecederaan pada bahagian otot.

4. Mendaki bukit (mountain climbers)

Senaman mendaki bukit atau mountain climbers merupakan salah satu aktiviti yang boleh mengecilkan otot pada bahagian perut.

Pada masa sama, senaman ini juga merupakan salah satu kaedah kardio yang turut menguatkan otot tangan dan paha.

Bagi yang masih baharu, senaman ini akan menyebabkan kecederaan pada bahagian otot sekiranya melakukan gerakan sebanyak 10 atau 15 kali dengan cepat tanpa henti.

5. Lying leg raises

Gerakan ini dapat melatih otot paha dan perut termasuk menguatkan kadar metabolisma tubuh.

Bagi mendapatkan hasil yang memuaskan, lakukan senaman ini sebanyak 3 tau 4 set dan kemudian ulang sebanyak 15 atau 20 kali.

Sebelum melakukan sebarang aktiviti senaman, korang terlebih dahulu perlu melakukan pergerakan memanaskan badan agar tidak berlaku sebarang kecederaan.

Semoga berjaya!

Teringin Aktiviti Berkhemah, Ini Panduan Bermanfaat Pilih ‘Tent’

Teringin aktiviti berkhemah, ini panduan bermanfaat pilih 'tent'
Teringin aktiviti berkhemah, ini panduan bermanfaat pilih 'tent'

AKTIVITI dan percutian luar seperti berkhemah dilihat semakin menjadi pilihan dalam masyarakat kita.

Selain memberi pendedahan percutian kepada alam semula jadi, ia juga secara tidak langsung dapat mempromosikan lokasi perkhemahan tersebut.

Perkhemahan juga menyeronokkan, tambah lagi bermakna jika ia terancang dengan sempurna.

Bagi korang yang teringin mencuba aktiviti sebegini tapi tidak tahu bagaimana untuk memilih khemah, ini perkongsian menarik yang boleh jadikan panduan.

Sebelum membeli khemah, lebih baiknya kenalilah jenis dan apa kegunaan korang sama ada untuk bawa keluarga, hiking dan muatan.

Untuk selesa, beli saiz khemah lebih dari jumlah orang. Sebagai contoh untuk empat orang, jika boleh beli saiz sekurang-kurangnya untuk lima orang supaya ada ruang untuk letak barang-barang.

Ada juga jenis khemah yang sediakan ruang khas untuk letak barang.

Khemah terbahagi kepada beberapa jenis iaitu;

1. Ridge Tent

  • Khemah ini jenis dulu-dulu, jarang nampak orang pakai. Kalau kaki survivor dan tak nak bawa banyak barang, bawa satu kanvas dan ikat kat pokok atau buat pancang, jadilah rupa khemah ini.
  • Jika grup keluarga tak sesuai untuk keselesaan kepada keluarga terutama anak kecil dan orang tua.

2. Dome Tent

  • Jenis ini paling banyak digunakan sekarang sebab mudah dibawa dan tak makan banyak ruang.
  • Sesuai untuk muatan satu hingga empat orang.
  • Jenis ini tak tinggi, nak masuk kena bongkok sikit dan kalau nak tukar baju tak boleh berdiri.
  • Jenis dome ini ada dua jenis single layer dengan double layer.
  • Single layer hanya ada satu lapisan sahaja khemah tiada layer atas dia, cuma kelemahan single layer ni kalau hujan memang cepat air masuk. Untuk iklim Malaysia yang jenis hujan lebat, lebih baik beli double layer, selamat sikit kalau hujan. Kata orang, biar keluar modal lebih sikit, boleh pakai lama.

3. Cabin Tent

  • Jenis ini semakin terkenal di kalangan kaki camping (campers) Malaysia.
  • Jenis ini boleh berdiri, jadi nak tukar baju, nak solat pun mudah dan selesa.
  • Cuma kalau arpenaz tu better pasang sekali fly sheet, sebab dia single layer, kalau ada flysheet best sikit, ada ruang untuk berehat depan khemah, selesa untuk nak masak-masak.
Teringin aktiviti berkhemah, ini panduan bermanfaat pilih 'tent'

4. Family Tent

  • Khemah ini besar dan ada dua bahagiaan biasanya, jadi bolehlah asingkan bahagian ibu bapa dan anak-anak.
  • Sangat selesa untuk bawa keluarga cuma harga dia agak ‘keras’, tapi jika ada bajet lebih dan untukkeselesaan keluarga apa salahnya, mereka gembira nanti senanglah nak ajak camping lagi.

5. Geodesic Tent

  • Khemah ini biasanya digunakan kaki hiking.
  • Jenis ini biasanya sangat ringan dan sangat sesuai untuk dibawa panjat gunung dan tidak makan ruang.
  • Harga juga tinggi, biasanya dua atau tiga kali ganda dari harga khemah dome biasa, harga dia mahal disebabkan jenis material yang digunakan adalah berkualiti.

6. Pop Up Tent

  • Khemah ini sebagai tambahan sahaja, bukan untuk tempat tidur.
  • Digunakan untuk memudahkan tukar baju, melepaskan hajat atau mandi.

Itu antara jenis-jenis khemah, jika dari segi material pula banyak jenis dan kebiasaannya digunakan orang ramai jenis nylon. Kalau boleh beli khemah yang PU dia tinggi.

PU ni adalah ketahanan dia menampung air, lagi besar nombor PU lagi tahanlah dia menampung air. Contoh, PU 2000, PU 3000.

Sama juga dengan flysheet, kalau boleh beli PU tinggi, kalau hujan lebat ia masih boleh bertahan.

Untuk bahagian lantai khemah pula, kalau jenis nylon nipis sahaja, lebih baik lapik ground sheet untuk elak basah jika hujan dan juga boleh elakkan terkena batu tajam atau kayu yang boleh membocorkan khemah korang sekali gus elak daripada membeli khemah yang baru.

Semoga bermanfaat.

Sumber: Mohd Alfishahrin via Facebook Family Camping Malaysia

136 Tahun Berdiri Gagah, Pokok Ikon Taman Tasik Taiping Disahkan Reput, Berikut 7 Info Mengenainya

TAMAN Tasik Taiping mempunyai pemandangan yang mempesonakan kerana dikelilingi pokok hujan-hujan atau nama saintifiknya Samanea Saman.

Pokok yang tumbuh sejak 136 tahun itu kelihatan seolah-olah tunduk merapati tasik memberikan pemandangan yang menakjubkan sehingga Taman Tasik Taiping menjadi lokasi wajib dilawati pelancong.

Kewujudan pokok ini juga sekali gus memberikan rasa nyaman kepada pengunjung. Baru-baru ini, sebatang pokok hujan-hujan disahkan reput dan mati setelah tumbang pada 20 Januari 2018

Perkara menimbulkan pelbagai reaksi warganet. Rata-rata sedih dan mengenang kembali momen mereka kala berkunjung ke tasik berkenaan.

– “ Lama pokok ni dari aku budak-budak lagi. Ratus-ratus tahun juga, harap ditanam semula anak pokok elok untuk ekosistem.”

– “Biar jasa jadi kenangan…”

– “Tempat jatuh lagikan dikenang.”

– “Sampai masa dah.”

– “Apakan daya… sudah 136 tahun umurnya”

-” Rest in peace pokok.”

Majlis Perbandaran Taiping turut memaklumkan keadaan terkini pokok hujan hujan yang bernombor JTT1079 berdekatan Jeti Taman Tasik Taiping yang tumbang ke arah jalan menghala tasik disebabkan kegagalan sistem akarnya atau disebut sebagai structural and anchor roots.

“Akar utama yang menguat dan menahan dirian pokok ini telah reput. Akar utama yang berada kira-kira 1.5 meter dari kolar akar telah reput dengan anggaran rongga berdiameter sekitar lapan inci.

“Pokok ini telah sekian lama ditegang-kuatkan oleh akar besar ini yang tumbuh ke arah parkir. Manakala sebahagian besar dari dahan-dahan utama serta batangnya pula tumbuh condong menghala kearah jalan dan tasik,” katanya.

Dalam pada itu dahan pokok berkenaan yang masih hidup juga akan mati masa setahun dan pelbagai usaha dilakukan untuk memanjangkan hayat pokok hujan hujan berkenaan termasuk memasang penyokong atau disebut proping.

“Laporan Pemeriksaan dan Penilaian Pokok Warisan di Taman Tasik Taiping yang dikeluarkan oleh Arboris Bertauliah pada tahun 2019 telah menyatakan bahawa kekuatan dahan pokok ini yang masih hidup djangkakan akan merosot dan mati beberapa bulan atau setahun lagi dan perlu dipantau segera.

“Tindakan memasang proping dan merawat pokok juga dibuat seperti yang dicadangkan pihak arboris,” katanya.

Sebagai langkah penggantian pokok yang mati, tindakan penanaman semula pokok hujan-hujan telah dilakukan pada tahun 2019. Sebanyak tiga batang pokok telah ditanam di kawasan berhampiran lokasi asal pokok tumbang atau mati.

Sebagai menghargai ikon Taiping itu, pokok yang mati akan dijadikan arca atau sculpture tree di taman berkenaan.

Tahukah korang daripada daripada 40 pokok ikonik di Taman Tasik Taiping, 38 daripadanya adalah pokok hujan-hujan manakala selebihnya melibatkan pokok brazillian night dan angsana.

Mungkin ramai yang sudah mengunjungi taman tasik yang terkenal dengan pokok yang rimbun dan rendang menghijau. SinarPlus menghimpunkan 10 fakta menarik mengenainya.

1.Taman Tasik Taiping merupakan kawasan rekreasi bekas lombong bijih timah yang tertua di Malaysia

2.Keluasan asal taman ini adalah 61.93 hektar serta diperbesarkan sehingga mencapai keluasan 96.44 hektar oleh Majlis Perbandaran Taiping.

3.Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia telah menganggarkan terdapat 113 pokok hujan-hujan dan 1,300 jenis pokok lain di dalamnya.

4.Pembangunan Taman Tasik Taiping ini telah dilaksanakan oleh Charles Compton Reade (1880–1933), yang mana beliau juga bertanggungjawab merancang untuk membina Taman Kuala Lumpur (sekarang    Taman Botani Kuala Lumpur) bersama dengan Lady Swettenham.

5.Taman Tasik Taiping dibangunkan secara asalnya mengikut konsep ‘Rolling Meadows’, iaitu konsep mengadaptasi kawasan hijau dan lapang berkontur dan pokok-pokok besar sebagai elemen utama serta tasik sebagai pelengkap lanskapnya.

6.Taman tasik ini mempunyai 10 buah kolam dan tasik kecil.

7.Pada 21 Disember 2018, Taiping telah tersenarai dalam 100 destinasi hijau terbaik dunia 2018 oleh Green Destination Award yang mana Taman Tasik Taiping adalah di antara kriteria yang termasuk dalam anugerah ini.

Sungguhpun Taman Tasik Taiping merupakan taman buatan manusia namun ia adalah sumber pembangunan yang amat bernilai dari segi estatik, warisan negara dan juga ekonomi.

Taman ini sewajarnya dikekalkan sebagai aset dan khazanah negara dalam bentuk asalnya dan dalam masa yang sama dinikmati oleh orang ramai sehingga generasi akan datang.

Ketumbit Bukan Sebab Skodeng, Kencing Lipas. Ini Punca Sebenar

Ketumbit bukan sebab skodeng, kencing lipas. Ini punca sebenar

KETUMBIT atau tembel adalah keradangan kelenjar pada kelopak mata atau pada akar bulu mata.

Menurut Pakar Kesihatan dan Perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, ia berlaku kerana jangkitan kuman atau salur kelenjar tersumbat dengan bendasing seperti debu, solekan dan sebagainya.

Katanya, “Bukan disebabkan kencing lipas, atau skodeng orang mandi tau!”

Terdapat beberapa jenis kelenjar pada kelopak mata, antaranya, kelenjar Sebasea (sebaceous) dan kelenjar Meibomian.

Keradangan pada kelenjar Sebasea menyebabkan ketumbit jenis Stye. Gejalanya adalah bintil merah pada tepi kelopak mata, bernanah dan sakit.

Keradangan pada kelenjar Meibomian pula menyebabkan ketumbit jenis Chalazion. Gejalanya adalah bengkak pada tengah kelopak mata tapi tak begitu sakit.

Jagalah kesihatan mata, perlukan ujian berkala

Rawatan kedua-dua jenis tembel ni hampir sama iaitu;

1. Tuam ketumbit beberapa kali sehari dengan tuaman suam. Bersihkan tepi kelopak mata dengan syampu bayi menggunakan putik kapas.

2. Sekiranya tidak sembuh selepas dituam dan dibersihkan beberapa hari, rawatan antibiotik dalam bentuk sapuan mungkin diperlukan.

3. Dalam kes yang lebih teruk chalazion dirawat dengan pembedahan kecil untuk mengeluarkan minyak yang terkumpul.

Jika tidak dirawat, keradangan boleh merebak ke seluruh kelopak mata (blepharitis) dan lapisan lemak di bawah kulit (cellulitis). Ia akan menyebabkan bengkak dan sakit yang teruk.

Untuk elakkan ketumbit, pastikan;

1. Solekan kelopak mata dibuang atau dibersihkan sebelum tidur.

2. Tangan bersih semasa memakai atau menanggalkan kanta sentuh.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

Gajet Antara Punca Anak Lambat Bercakap, Ini Solusinya

SEBELUM ini, selebriti jelita, Wawa Zainal pernah meluahkan kerisauan apabila cahaya mata sulungnya, Ahmad Fakhruddin Attar yang berusia enam tahun ketika itu lambat bercakap.

Kata Wawa, selepas diselidiki, rupa-rupanya masalah tersebut berpunca daripada sikap keluarganya yang terlalu mendedahkan Attar dengan gajet.

Kemudian, pelakon filem Longkai itu lega apabila anaknya sudah menunjukkan banyak perubahan selepas dihantar ke kelas terapi.

Kepada ibu bapa terutama yang baru dikurniakan zuriat, seandainya anak anda masih belum mampu mengungkapkan sepatah perkataan pada usia setahun, ia adalah satu perkara yang perlu dibimbangi.

Semakin lewat ibu bapa bertindak, isu lambat bercakap mungkin boleh berpanjangan.

Mengikut kajian antarabangsa, prevalen kanak-kanak yang mempunyai masalah kelewatan bahasa dan pertuturan mencecah 2.53 peratus bagi kumpulan usia satu hingga 12 tahun di India.

Di Amerika Syarikat, sebanyak 3.3 peratus individu yang berumur tiga hingga 17 tahun berdepa

Yong Ennie.

n isu yang sama.

Sementara di United Kingdom pula, lebih 10 peratus remaja berusia 18 tahun dan ke bawah menghadapi kesukaran untuk bertutur, berkomunikasi dan berbahasa dengan baik untuk jangka panjang.

Mengulas lanjut mengenainya, Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan), GENIUS Kurnia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Yong Ennie berkata, masalah pertuturan dalam kalangan kanak-kanak adalah merujuk kepada kejelasan dalam percakapan.

“Sementara (masalah) bahasa pula mempunyai kaitan dengan kefahaman dan penggunaan kosa kata dalam komunikasi harian si kecil. Kedua-dua elemen terbabit (pertuturan dan bahasa) terjadi disebabkan oleh beberapa faktor signifikan,“ katanya.

Berikut adalah sebab-sebabnya:

i) Gangguan pertuturan dan bahasa

Turut dipengaruhi oleh faktor utama lain iaitu pendengaran, autisme, neurologi dan genetik.

Seorang kanak-kanak yang dapat memahami dan berkomunikasi secara lisan, tetapi tidak dapat menyebut banyak perkataan seperti rakan sebayanya mungkin mengalami kelewatan bahasa dan pertuturan.

ii) Masalah pendengaran

Kanak-kanak kecil yang tidak dapat mendengar dengan baik akan cenderung mengalami kesukaran untuk membentuk kata-kata.

Salah satu simptom awal kehilangan pendengaran adalah mereka tidak menoleh apabila dipanggil atau menunjukkan reaksi kepada bunyi di sekeliling.

iii) Gangguan spektrum autisme

Masalah pertuturan dan bahasa sangat kerap dilihat akibat gangguan spektrum autisme.

Tanda-tanda lain mungkin termasuk mengulangi frasa (echolalia), gangguan dari segi komunikasi dan interaksi sosial, pertuturan termasuk regresi bahasa.

iv) Gangguan neurologi

Salah satu penyebab kelewatan pertuturan, bahasa dan perkembangan lain adalah jangkitan ketika dalam kandungan lagi atau selepas kelahiran, anak pramatang, pengambilan toksin seperti dadah, alkohol dan ubat yang membahayakan semasa tempoh kehamilan.

v) Genetik

Masalah tersebut turut dikaitkan. Bagaimanapun, penyebab anak lambat bercakap dalam kalangan kanak-kanak tidak diketahui walau kajian menyebut, faktor genetik merupakan salah satu punca utama.

Sekiranya seseorang mempunyai sejarah ahli keluarga yang lewat bertutur, generasi seterusnya mempunyai risiko lebih tinggi untuk berdepan dengan masalah sama sehingga memerlukan langkah intervensi atau terapi.

Justeru, bagaimana cari melatih agar anak kita cepat berbicara?

Menerusi portal perubatan, Hello Sehat dan Kids Health, terdapat beberapa kaedah yang boleh dipraktikkan. Antaranya:

1. Perhatikan gerak tangan anak.

  • Misalnya, anak yang berusia setahun mengerti banyak perkataan, namun belum mampu meluahkannya. Justeru, ibu bapa perlu memerhatikan gerak-gerik si anak.
  • Sebagai contoh, jika mereka menunjukkan sesuatu permainan, anda boleh berkata kepadanya: “Adik nak mainan yang mana? Warna merah atau biru?“

2. Gunakan kosa kata yang sebenarnya.

  • Elak bercakap menggunakan bahasa bayi. Misalnya, jangan sebut ‘mamam‘. Sila sebut: “Adik mahu makan?“

3. Sering bercerita dan bertanya.

  • Sentiasa bercerita, antaranya dengan membacakan buku cerita yang digemari anak.
  • Kemudian bertanya tentang perasaannya selepas mendengar cerita itu. Tanyalah soalan yang boleh ‘memancingnya‘ untuk lebih banyak bercakap.

4. Respons kepada kata-kata si kecil.

  • Jika ingin meningkatkan kemampuan anak bercakap, berikanlah reaksi balas. Misalnya, ketika anak mengucapkan: “Ba…Ba… Mungkin si ayah boleh berkata: “Baba mahu pergi kerja.“

5. Kurangkan penggunaan gajet.

  • The American Academy of Pediatrics mencadangkan kanak-kanak yang berusia dua tahun ke atas, hanya boleh menghadap gajet selama dua jam sehari. Hal ini kerana peralatan itu bukan permainan interaktif yang membuat si cilik aktif

Mahu Ketenangan, Kita Singgah Ke Kawasan Air Terjun. Perlukan Privasi, Jom Kita Glamping

glamping air terjun

APABILA kerajaan mengumumkan semua pusat pelancongan dan aktiviti merentas negeri dibolehkan dengan syarat vaksinasi dewasa sudah mencapai kadar 90 peratus, memang ramai yang teruja.

Maka, masing-masing mula merencana pelbagai agenda yang sudah lama tertangguh.

Selepas terlampau lama ‘berkelana‘ dalam rumah sendiri dengan gajet, apa kata kali ini kita memilih untuk beristirehat dan mendekatkan diri dengan flora dan fauna, sekali gus menyahkan aura negatif yang barangkali sudah lama terperuk.

glamping air terjun

Ya, berlibur di kawasan air terjun yang dikelilingi dengan pepohon menghijau mungkin merupakan pilihan yang terbaik.

Namun, jika mahu percutian lebih privasi lagi mewah, percutian berkonsepkan glamping sama ada di pinggir hutan atau di tepi laut yang yang jauh dari hiruk-pikuk kota juga merupakan idea yang gah.

Justeru, pada edisi kali ini, SinarPlus senaraikan beberapa destinasi yang jarang diketahui ramai untuk kawasan air terjun dan glamping.

1. IDEA GLAMPING

Glamping yang menyaksikan sebuah khemah yang dilengkapi dengan infrastruktur hotel lima bintang pastinya opsyen mereka yang mempunyai bajet lebih.

Tidak salah berbelanja sakan selepas lebih setahun tidak bersua muka dengan insan tersayang, bukan?

Bukan sahaja bertaraf eksklusif, percutian jenis ini sememangnya menjarakkan anda dengan orang ramai. Berikut destinasi glamping yang boleh diterokai bersama:

(i) La Hilir Tiny House

Jika kebanyakan kawasan glamping menawarkan khemah yang banyak, namun di La Hilir Tiny House di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, memang lain daripada yang lain.

Sebuah khemah mewah hanya ditawarkan untuk sebuah keluarga. Ini bermakna, anda menempah keseluruhan kawasan La Hilir Tiny House!

glamping air terjun

Selain dijamu dengan pemandangan hutan yang masih terpelihara, pengunjung pasti akan kagum dengan seni bina yang minimalis dengan dekorasi yang sederhana, tetapi sedap mata memandang.

Tidak perlu risau untuk mencari juadah pagi dan malam kerana sajian air tangan tuan rumah bakal membuatkan anda tersenyum lebar.

Seperti servis sebuah hotel, setiap sajian ala Barat akan dihantar terus ke depan pintu khemah.

Oh! Aktiviti barbeku juga dibenarkan dan pastinya ia menyemarakkan lagi suasana malam anda sekeluarga.

(ii) Buana Kita

Buana Kita yang terletak di Kampung Gaing Pedas, Rembau, Negeri Sembilan merupakan satu lagi lokasi yang tidak kurang hebatnya.

Mereka menyediakan lapan buah khemah dengan setiapnya dinamakan sempena 12 suku dalam adat Pepatih.

Pelbagai aktiviti menarik boleh dilaksanakan dalam tempoh dua hari satu malam di sana.

Selain mandi di sungai dan di kolam renang, pengunjung boleh berbarbeku, berbasikal, menaiki kenderaan bermotor ATV dan kereta api ATV khas untuk si cilik.

glamping air terjun

Menariknya lagi, pengusaha mengajak tetamunya mengimbau kenangan silam dengan menonton wayang pacak dan melawat kandang lembu, kerbau dan kambing.

Makanan yang disedikan juga enak belaka.

Untuk sarapan pagi, pengunjung akan dijamu dengan lempeng kelapa dan roti canai.

Set makanan tengah hari memang membangkitkan nostalgia apabila anda bakal dihidangkan dengan sajian masakan kampung lengkap dengan pinggan mangkuk klasik!

(iii) Castra by Colony

Barangkali ramai yang masih tidak tahu mengenai kewujudan Castra by Colony yang terletak di Star Boulevard, Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Khemah mewah ala Bohemian boleh disewa pada kadar bermula RM2,500 semalam. Berada di sana membolehkan pengunjung menikmati keindahan malam Segi Tiga Emas Kuala Lumpur secara jelas.

Percaturan pelancong memilih Castra by Colony dijamin berbaloi. Selain dekorasi mewah ala Mediterranean dengan ruang istirehat persendirian seluas lebih 4,000 kaki persegi.

glamping air terjun

Para pengunjung juga diberi kemudahan untuk mengakses hidangan barbeku bertaraf premium, khemah berhawa dingin, televisyen bersaiz gergasi, mandian organik dan internet tanpa had.

Dengar cerita, lokasi tersebut memang laku keras. Justeru, tempahlah lebih awal.

Selain tiga destinasi glamping tersebut, terdapat beberapa lagi opsyen.

Antaranya di Denai Kabus, Gerik, Perak; Dusun Bonda, Batang Kali, Selangor; The Stick Glamping, Kuala Kubu Bahru,Selangor; The Hooton Retreat, Kuala Klawang, Negeri Sembilan; Glamz at Genting, Genting Highlands, Pahang; Umea Glam Kundasang, Sabah dan Glamping Lost World Of Tambun, Perak.

2. PANAHAN AIR TERJUN

Kawasan air terjun merupakan salah satu tempat lokasi memburu ketenangan yang paling ideal.

Ya, SinarPlus memahami rungutan orang ramai yang tidak selesa apabila beberapa kawasan air terjun dibanjiri oleh pengunjung yang terlalu ramai sehingga ada di antara mereka yang melanggar prosedur operasi standard.

Sehubungan itu, kami mencadangkan destinasi yang masih tersembunyi dan belum dijelajahi secara meluas di Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan.

(i) Lata Dinding

Berada di dalam ‘jantung‘ Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan, para pendaki biasanya pasti akan singgah di kawasan air terjun di Lata Dinding selepas penat mendaki Gunung Besar Hantu setinggi 1,462 meter.

Menurut perkongsian asmarveller.blogspot.com, laluan trek yang bermula dari Kem Sungai Kering agak ekstrem dan pendaki dinasihatkan memanaskan badan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan, selain membawa bekalan air secukupnya.

glamping air terjun

Sebenarnya selain di Lata Dinding, hutan simpan tersebut juga memiliki pilihan tempat mandi-manda lain seperti Lata Kijang dan Jeram Berungut yang sangat cantik.

Terdapat juga kawasan gua yang boleh dilawati seperti di Gua Harimau dan Gua Batu Bulan termasuk perkampungan orang asli berdekatan.

Paling penting sekali, jangan lupa dapatkan permit terlebih dulu.

Sebelum terlupa, kepada anda yang berhasrat untuk bermalam di kawasan Taman Negeri Kenaboi, terdapat chalet dan tapak perkhemahan khas yang disediakan.

(ii) Air Terjun Jeram Pelangi

Di Pahang, Air Terjun Jeram Pelangi yang terletak di Kampung Kuala Sentul, Maran, Pahang dan berhampiran dengan Taman Rekreasi Che Minah Sayang Lubuk Ujid sangat popular dalam kalangan pelancong.

Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang dua jam dibantu oleh pemandu arah.

Seorang pengguna Facebook yang pernah menjejakkan di Air Terjun Jeram Pelangi mengatakan, keindahan pelangi yang menjadi ‘signatur‘ air terjun tersebut wajib dirakam sebagai tanda kenang-kenangan.

glamping air terjun

Jika pengunjung melihat terlalu ramai yang mengerumuni kawasan tersebut, anda boleh beralih di enam lokasi lain yang berdekatan iaitu Air Terjun Batu Hampar, Air Terjun Lubuk Kawah, Air Terjun Tebing Tinggi, Air Terjun Pelangi, Air Terjun Atas Pelangi dan Air Terjun Batu Tangga.

Jadi, tiada istilah berebut-rebut untuk bermandi-manda dan menghirup udara segar di sana. Kepada yang ingin berkhemah, terdapat beberapa tapak yang disediakan di Jeram Batu Hampar.

(iii) Air Terjun Gunung Reng

Bukan sahaja memiliki pemandangan yang cukup cantik, malah kejernihan air terjun dikatakan bak kristal bakal menggamit hati sesiapa sahaja.

Selain Air Terjun Gunung Reng yang terletak di Gunung Reng, Jeli, Kelantan, singgahan lain yang pasti membangkitkan keterujaan adalah seperti di Lata Mawo, Lata Turbo, Lata Janggut dan Lata Hujan.

Jangan risau, kesemua lokasi tidak jauh antara satu sama lain. Orang ramai juga dijemput untuk singgah di Kashmir Jeli yang terkenal dengan keindahan rumput menghijau dan air sungai yang jernih.

glamping air terjun

Gua Batu Kapur yang telah dibuka kepada umum juga mesti disenaraikan dalam itenari anda.

Bagi mereka yang tertanya-tanya di mana penginapan yang sesuai untuk didiami, Lalang‘s Chalet, Hotel Jeli, Istana Sangkut dan beberapa pilihan inap desa sedia menanti kehadiran ramai.

Sebagai tambah nilai, kebanyakan pengusaha akan menghidangkan tetamunya dengan juadah lokal yang digemari ramai seperti Laksa Telur Sarang, Akok Berdang, nasi kerabu dan mi celup.

Beberapa kawasan lain juga menjadi rekomendasi untuk dilawati.

Antaranya di Jeram Janggut dan Lata Berembun, Negeri Sembilan yang masih menyimpan tapak bangkai pesawat perang milik Tentera Udara British.

glamping air terjun

Destinasi riadah lain adalah di Air Terjun Semangkuk, Hulu Selangor; Lata Belantan, Jerteh, Terengganu; Air Terjun Gunung Pelepah, Kota Tinggi, Johor; Air Terjun Buaya Sangkut, Taman Negara Endau-Rompin, Pahang.

Jeram Tok Janggut, Melaka dan Air Terjun Teluk Mengkudu di Segari, Perak juga lokasi menarik untuk pergi bercuti.

‘Doktor, Boleh Tidurkan Saya Masa Operate?’ Fahami Proses Bius, 5 Risiko Ini Mungkin Berlaku

PEMBIUSAN umum atau “general anaesthesia” ialah proses di mana pesakit akan ditidurkan untuk pembedahan.

Semasa pembedahan sedang dilakukan, pesakit akan berada dalam keadaan tidak sedar (tidur) dan tidak merasa kesakitan.

Menurut Pakar Anestesiologi, Jabatan Anaesthesiologi dan Unit Rawatan Rapi, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Isqandar Adnan, dalam tatacara pengurusan pesakit untuk pembedahan, doktor bius akan dimaklumkan oleh doktor bedah tentang apakah jenis atau bentuk pembedahan yang akan dilakukan, jangka masa pembedahan dan pengurusan pesakit selepas pembedahan.

“Sebelum pembedahan dilakukan, doktor bius akan berjumpa dan memeriksa pesakit. Proses ini dinamakan pengurusan pra-pembedahan. Pesakit akan diperiksa dengan teliti samada sesuai atau tidak untuk diberi bius semasa proses pembedahan.

“Maklumat penyakit yang lengkap termasuk sejarah alahan atau alergi, pemeriksaan fizikal termasuk berat dan tinggi amat penting semasa proses pengurusan pra-pembedahan. Setiap pesakit mempunyai masalah perubatan yang berbeza dan ini akan menentukan perancangan pembiusan.

”Pada masa yang sama, pesakit berpeluang bertanyakan soalan dan kemusykilan yang ada. Soalan-soalan ini akan cuba dijawab sebaik mungkin oleh doktor bius,” katanya.

Pesakit atau waris akan diminta untuk menandatangani kebenaran untuk pembiusan. Seterusnya, pesakit akan diminta untuk berpuasa sekurang-kurangnya enam jam sebelum pembedahan dijalankan.

Selepas urusan pra-pembedahan dan berpuasa selesai, pesakit akan dibawa ke dewan bedah pada hari pembedahan. Di dalam dewan bedah, data pesakit akan disemak untuk memastikan semua maklumat yang diterima adalah betul. Selepas itu pesakit akan ditempatkan di atas meja pembedahan dan alat pemonitoran asas fisiologi disiapkan.

Jarum plastik (branula) akan dipasang di bahagian tangan untuk tujuan pemberian ubat bius, ubatan lain dan cecair badan. Doktor bius akan menyediakan ubat bius dan alat resusitasi yang bersesuaian dengan pesakit berdasarkan latar belakang perubatan dan berat badan. Mesin anaestesia, tiub endotrakea dan alatan pernafasan lain akan diperiksa sebelum proses pembiusan dimulakan.

Pemantauan monitor asas fisiologi lengkap semasa pembiusan merangkumi EKG (penjagaan denyutan jantung), Dinamap (tekanan darah), Oksimetri (saturasi oksigen) dan Kapnograf (paras karbon dioksida) direkodkan sepanjang proses pembiusan dan pembedahan. Selepas persediaan ini selesai dan keadaan pesakit stabil, proses pembiusan pesakit akan dimulakan.

Menurut Dr Isqandar, terdapat empat fasa secara amnya untuk pembiusan penuh.

Fasa 1

Pembiusan ialah fasa induksi pembiusan atau ‘induction anaesthesia’. Fasa ini bertujuan untuk memenuhkan paru-paru pesakit dengan oksigen. Ia dilakukan dengan pemberian oksigen melalui topeng muka pernafasan. Pesakit akan diminta bertenang dan bernafas seperti biasa.

Selepas itu, ubat bius intravena akan disuntik melalui jarum plastik (branula) dan pesakit akan tidur dalamasa 13 hingga 15 saat. Pada masa ini, pesakit terus mendapat oksigen dan gas bius (gas tidur) yang diberi menggunakan mesin anestesia.

Tiub endotrakea kemudiannya akan dimasukkan ke dalam salur pernafasan pesakit. Mesin anaestesia akan berterusan menyalurkan oksigen dan gas tidur kepada pesakit.

Fasa 2

Pembiusan pada fasa ini ialah fasa penyelenggaraan pembiusan atau ‘maintenance of anaesthesia’. Fasa ini merupakan fasa di mana doktor bius akan berada sepanjang masa bersama pesakit, memantau pemonitoran fisiologi dan memberi ubat dan cecair badan yang diperlukan semasda proses pembedahan.
Dalam fasa ini, keadaan pesakit boleh menjadi stabil atau sebaliknya. Denyutan jantung, tekanan darah, kadar saturasi oksigen terus dipantau dan dos gas tidur akan dikawal untuk memastikan ia mencukupi untuk pembiusan dan tidak diberi secara berlebihan.

Ubat bius lain yang diperlukan akan diberikan dalam fasa ini termasuk ubat loya atau ubat tahan muntah, pelbagai jenis ubat penahan sakit dan ubat relaksasi otot. Doktor bius mesti berada dengan pesakit sepanjang tempoh pembedahan sedang berjalan. Keselamatan semasa pembiusan dan pembedahan menjadi satu keutamaan yang sangat penting dalam menjaga nyawa pesakit.

Fasa 3

Fasa ini ialah pembalikan pembiusan atau ‘reversal of anaesthesia’. Selepas pembedahan selesai, pesakit akan melalui proses untuk disedarkan semula dari keadaan tidak sedar (tidur). Pemberian gas tidur akan dihentikan dan kadar aliran oksigen akan dinaikkan. Ini bertujuan untuk mempercepatkan gas tidur dibuang dari badan pesakit melalui paru paru dengan cepat.

Selepas itu, pesakit secara perlahan-lahan akan mula bernafas sendiri dan sedar sedikit demi sedikit. Ubat pembalikan relaksasi otot akan diberikan jika perlu. Pemantauan pemonitoran asas fisiologi terus direkodkan semasa proses penyedaran ini berlaku.

Perlahan-lahan pesakit akan semakin sedar dan boleh menurut arahan mudah seperti membuka mulut sendiri. Air liur di rongga mulut akan disedut keluar jika ada. Pesakit kemudiannya akan semakin sedar dan tiub endotrakea akan dicabut keluar. Pesakit akan dipastikan agar dapat bernafas sendiri, diberi oksigen menggunakan topeng muka. Pesakit akan dipindahkan ke bilik pemerhatian setelah sedar sepenuhnya.

Fasa 4

Fasa ini ialah proses pemulihan pembiusan atau ‘recovery from anaesthesia.’ Pesakit berada di bilik pemerhatian, dijaga oleh doktor bius dan jururawat. Pesakit akan diberi oksigen dan pemantauan denyutan jantung, tekanan darah dan saturasi oksigen diteruskan.

Sekiranya perlu, ubat tahan muntah dan penahan sakit boleh diberi. Pesakit akan dinilai dari segi tahap kesedaran diri dan pemeriksaan komplikasi pembiusan dan pembedahan (jika ada). Pesakit berada di bilik pemulihan selama sekurang-kurangnya 30 hingga 45 minit. Sekiraya keadaan stabil, pesakit akan dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan selanjutnya.

Seperti pembedahan, pembiusan umum juga mempunyai risiko yang tersendiri. Antara risiko yang biasa berlaku tetapi tidak memudaratkan pesakit ialah:

  1. Kesakitan atau bengkak di bahagian tangan iaitu kesan suntikan ubat melalui jarum plastik branula. Keadaan ini akan sembuh dengan sendirinya.
  2. Pesakit juga berisiko mengalami rasa loya dan muntah selepas pembiusan. Ia dapat dikurangkan dengan pemberian ubat tahan loya dan muntah.
  3. Pesakit juga boleh juga merasa tidak selesa atau sakit tekak akibat tiub endotrakea yang dimasukkan ke dalam saluran pernafasan, tetapi ini hanya bersifat sementara sahaja.
  4. Risiko pening dan sakit kepala boleh juga berlaku selepas pembiusan umum. Tiada rawatan khusus diberi, pesakit hanya perlu berehat beberapa jam, dan biasanya keadaan ini baik dengan sendirinya.
  5. Kecederaan kecil kepada tubuh badan seperti mata, gigi dan juga lidah mungkin boleh berlaku semasa proses induksi pembiusan. Ini satu keadaan yang boleh dielakkan iaitu dengan melakukan prosedur bius secara berhati-hati dan selamat.

Terdapat juga dalam rekod pembiusan tentang risiko pembiusan umum tentang kejadian alahan atau alergi atau ‘allergic reactions’ kepada ubat bius, sehingga boleh mengancam nyawa pesakit.

Dalam hal ini rekod sejarah alahan atau alergi terhadap ubatan adalah amat penting. Jika ia berlaku semasa pembiusan, rawatan segera akan diberi bagi mengelakkan komplikasi yang lebih buruk berlaku.

Ada juga beberapa risiko yang jarang tetapi boleh berlaku semasa pembiusan umum. Pesakit mungkin separuh sedar atau ‘awareness during anaesthesia’ (pesakit merasa sakit dan boleh mendengar) semasa pembiusan dan pembedahan berlangsung.

Untuk memastikan keadaan ini tidak berlaku, pemantauan denyutan jantung, tekanan darah, saturasi oksigen, kabon dioksida dan kadar dos gas tidur yang diberi menjadi amat penting.

Di negara-negara barat, terdapat satu komplikasi pembiusan yang sangat jarang berlaku di negara ini. Sindrom hiperthemia malignan atau ‘malignant hyperthermia syndrome’ berlaku kepada pesakit yang memang mempunyai sejarah penyakit otot skeletal.

Memang telah menjadi satu tradisi dan kewajipan, di sepanjang proses pembiusan, doktor bius dan jururawat bius akan sentiasa menjaga dan memantau keadaan pesakit semasa pembedahan. Sekiranya berlaku sesuatu kecemasan semasa pembiusan, bantuan serta merta dengan segera dapat dilakukan.

Seiring dengan jajaran masa, pembiusan umum menjadi semakin selamat dengan adanya perkembangan teknologi alat perubatan tercanggih dan penggunaan ubat bius baru yang lebih efektif dan selamat.

Walau bagaimanapun, fungsi doktor bius untuk menjaga dan memantau pesakit semasa pembiusan umum tidak boleh digantikan oleh teknologi alat perubatan itu sendiri.

Keselamatan dan nyawa pesakit adalah satu keutamaan mutlak dan hanya dapat dicapai dengan kerjasama dan perhatian penuh pasukan doktor bius dan doktor bedah dalam pengurusan pesakit.