Archives for December 23, 2021

Jangan Keliru Lagi, Ada Beza Di Antara Dos Ketiga Dan Dos Penggalak. Ini Fakta Tepat Yang Dikongsikan KKM

SEJAK akhir-akhir ini, isu penggunaan dos ketiga dan dos penggalak (booster) semakin hangat diperkatakan.

Terbaharu, kerajaan membenarkan penggunaan kaedah heterologi bagi pemberian suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 yang dijadual bermula bulan ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu telah dipersetujui dalam perbincangan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 pada minggu lalu.

Jadi, apakah itu dos penggalak?

Berikut sembilan fakta terkini yang perlu kita ketahui dan ambil maklum:

1. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada 8 Oktober telah memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak keluaran Pfizer.

2. Dos penggalak ini diberikan kepada orang dewasa 18 tahun dan ke atas sekurang-kurangnya enam bulan selepas suntikan dos kedua.

3. Dos penggalak atau booster shot ini akan ditawarkan tetapi tidak wajib diambil.

4. Walaupun dos penggalak boleh diambil oleh semua populasi, ia hanya akan diberikan kepada kumpulan-kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, berkomorbid dan petugas barisan hadapan kerana keberkesanan vaksin semakin berkurang selepas enam bulan.

vaksin

5. Vaksin keluaran Pfizer ialah vaksin Covid-19 pertama diluluskan untuk kegunaan dos penggalak di negara ini.

6. Pemberian dos penggalak menggunakan kaedah campuran vaksin berbeza (heterologi) iaitu bukan vaksin yang sama seperti dos pertama dan kedua.

Sebagai contoh, jika dos pertama dan kedua Sinovac atau AstraZeneca, dos penggalak ialah Pfizer.

7. Dos ketiga dan dos penggalak adalah berbeza. Dos ketiga akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi yang mana dos kedua didapati tidak cukup untuk meningkatkan tindak balas imuniti terhadap jangkitan Covid-19.

8. Dos penggalak pula boleh diambil semua orang untuk meningkatkan tahap imuniti yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

Perancis henti gaji, tak benarkan frontliners belum suntik vaksin bertugas

Jadi, dengan perkongsian fakta di atas, diharapkan agar tiada lagi kekeliruan yang timbul mengenai dos ketiga dan dos penggalak.

Jaga diri dan jangan lupa patuhi prosedur operasi standard ya!

Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Minyak Masak Recycle Sesuai Dijadikan Bahan Bakar, Bukan Untuk Memasak Lagi

Jangan guna minyak masak berulang kali, ini bahaya!

SUSAH sebenarnya untuk mengelak daripada makan makanan bergoreng. Ke mana sahaja kita pergi, hidangan seperti itulah yang menambat selera.

Secara logiknya, jika singgah ke mana-mana kedai, restoran, waima gerai di tepi jalan, mana mungkin kita berani untuk bertanya berapa kali minyak yang digunakan telah dikitar semula?

Namun, persoalannya, sejauhmana penggunaan minyak seperti itu selamat digunakan dan tidak mengganggu kesihatan kita?

Merujuk kepada satu kajian melibatkan 19 jenama minyak masak yang telah dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2007, hampir 98 peratus kandungan vitamin E dalam minyak akan musnah selepas lima kali digunakan.

Mengulas lanjut mengenainya, Doktor Perubatan Swasta, Klinik Hijraa Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu, Dr Ahmad Samhan Awang tampil berkongsi pandangannya.

Dr Ahmad Samhan.

Ujarnya, minyak masak yang digunakan dalam kapasiti berulang kali boleh mengundang risiko penyakit atherosclerosis yang akan menyebabkan salur darah seseorang akan tersumbat.

Selain itu, jika tidak bernasib baik, seseorang boleh berdepan dengan masalah hati, jantung, alzheimer, parkinson dan barah.

“Begini, semasa menggoreng, minyak masak akan melepaskan sisa toksik dipanggil aldehydes yang tertinggal di dalam minyak.

“Jadi, makanan yang digoreng menggunakan minyak yang diguna semula akan menyerap sisa toksik aldehydes tersebut.

“Kebanyakan pengguna biasanya tidak akan membuang minyak yang telah digunakan dan sering memakai semula beberapa kali sebelum dibuang,” katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Memperincikan lebih lanjut, pegawai perubatan itu memberitahu, minyak yang dikitar semula sememangnya tidak sesuai untuk memasak.

“Minyak jenis itu sebenarnya hanya sesuai dijadikan biodiesel untuk bahan bakar, bukan untuk masak makanan. Saya sendiri hanya menggunakan minyak masak sekali sahaja,” beritahunya.

Dr Ahmad Samhan turut berkongsi fakta penting mengenai minyak masak yang perlu diperlu diberi perhatian. Antaranya adalah:

1. Sebaik-baiknya, minyak masak hanya digunakan maksimum dua hingga tiga kali sahaja.

Jika minyak berkenaan telah bertukar warna menjadi perang kehitaman, cecair berkenaan perlu dibuang.

2. Minyak sisa menggoreng haiwan yang berdarah seperti ayam, ikan atau daging seelok-eloknya tidak diguna semula dan terus dinyahkan.

Ini kerana darah haiwan akan meningkatkan kandungan karbon dan mengubah struktur asid lemaknya yang berbahaya kepada kesihatan.

3. Waspada penggunaan minyak masak dalam peket.

Terdapat kajian menunjukkan minyak dalam peket 1 kilogram tidak sihat mengikut piawaian yang ditetapkan.

4. Elakkan daripada membeli minyak yang tidak dapat dipastikan pengeluarnya, walaupun harganya sangat murah.

5. Kurangkan tabiat makan makanan yang digoreng di luar rumah.

Ini kerana dibimbangi para peniaga di luar sana menggunakan minyak masak yang dikitar semula demi mengurangkan kos.

6. Guna minyak yang mendapat pengesahan daripada SIRIM sahaja untuk menjamin kesihatan kita.

Minyak yang dikitar semula sebenarnya hanya sesuai dijadikan biodiesel untuk bahan bakar, bukan untuk masak

Awas! Kopi Bukan Untuk Anak-Anak Kecil, Boleh Beri Kesan Jangka Panjang

DI SEBALIK kebaikan kopi, satu perkara yang perlu diketahui, minuman tersebut tidak bagus untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

Menurut Healthline, kopi adalah satu bentuk ‘ketagihan‘ yang adakalanya sukar diawasi.

“Kopi mengandungi kafein yang merupakan perangsang. Di Amerika Syarikat, ia menjadi satu hal yang sangat pelik untuk memberi anak-anak minuman yang berkafein. Di Kanada pula, pengambilan kafein mempunyai had maksimum iaitu 45 miligram sahaja dalam sehari untuk si kecil,“ kata laman web kesihatan berkenaan.

Terdapat beberapa alasan mengapa kopi tidak sesuai untuk diteguk oleh si cilik. Berikut perincian yang dikongsikan oleh HelloDoktor:

i) Mempengaruhi pembentukan kaviti.

Minum kopi dalam kuantiti yang banyak akan mengakibatkan kaviti pada gigi kanak-kanak kesan daripada tahap keasidan kopi.

Asid dalam kopi lebih mudah untuk merosakkan enamel gigi, sekali gus akan meningkatkan risiko berlakunya kaviti.

ii) Menjadi hiperaktif.

Selain itu, kanak-kanak yang minum kopi juga akan berhadapan dengan masalah dalam memberi penumpuan terhadap sesuatu dan akan sering mengalami kegelisahan.

Kesan kafein daripada kopi akan bertahan berjam-jam lamanya. Oleh itu, ia menyebabkan kanak-kanak yang minum kopi ketika berada di sekolah akan mengalami kesan negatif terhadap pembelajarannya.

iii) Punca insomnia.

Kanak-kanak yang berusia lima hingga 12 tahun memerlukan sekurang-kurangnya 11 jam sehari untuk tidur.

Namun demikian, tidak ramai kanak-kanak mendapat masa tidur secukupnya akibat kepadatan jadual seharian mereka. Perkara berkenaan akan mengundang gejala kurang tidur lebih-lebih lagi jika mereka minum kopi.

iv) Hilang selera makan.

Perlu diketahui bahawa otak kanak-kanak sebenarnya jauh lebih sensitif terhadap kafein berbanding otak individu dewasa.

Kafein akan bertindak balas dengan sistem saraf pusat dan boleh menyebabkan kehilangan selera makan.

Sekiranya anak-anak sudah mula ketagih kafein, hal itu mungkin akan menjejaskan tumbesaran mereka kelak.

v) Punca tekanan darah menjadi tinggi.

Kafein yang terkandung dalam kopi akan menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan. Pastinya, jika diambil pada amaun yang sedikit, kopi dapat meningkatkan daya tumpuan.

Jika sebaliknya, kafein akan menyebabkan ketegangan, kegelisahan, pening kepala dan peningkatan tekanan darah.

vi) Tulang kanak-kanak merosot.

Minum berkafein tidak mempunyai sebarang kalori yang mendatangkan apa-apa nutrien.

Kanak-kanak yang minum kopi tidak akan mendapat vitamin dan mineral yang diperlukan untuk tumbesaran, lalu menyebabkan mereka lebih berisiko mengalami kondisi kekurangan nutrien.

Bukan itu sahaja, kopi juga bersifat diuretik. Ia bermaksud minuman itu akan melajukan proses urinasi yang akan menyebabkan kehilangan kalsium daripada badan, sekali gus menyebabkan kemerosotan pada tulang.

Justeru, kepada ibu bapa, kawallah pengambilan kopi anak-anak yang masih kecil. Bukan tidak boleh minum langsung, tetapi biarlah pada kadar sederhana.

“Sekilas Pandang Serius Tak Nampak…” Renjer Hutan Kongsi Sebab Perlu Guna Trek Tersedia, Jika Tidak Bahaya Menanti

KESELAMATAN adalah salah satu faktor penting ketika melakukan aktiviti rekreasi. Berada di ‘kediaman’ haiwan berbisa dan buas, kita tidak seharusnya bertindak sesuka hati.

Aktiviti rekreasi seperti mendaki, perkhemahan dan kembara hutan (jungle tracking) adalah yang semakin popular sejak peralihan fasa pemulihan negara.

Perkongsian daripada seorang Renjer Hutan yang juga pengguna TikTok @p.sharon.j ini amat berguna bagi korang yang merancang melakukan aktiviti di hutan.

Sharon

Menurut Sharon, ketika melakukan aktiviti di hutan dan taman rekreasi, penting bagi pengunjung untuk menggunakan trek yang disediakan.

“Saiz standard trail bersih dan luas. Jika didepakan tangan, kamu tidak akan tersentuh mana-mana tumbuhan. Lain tempat, lain standardnya. Ini adalah saiz standard di tempat kami.

“Bila ada trek, pastikan kamu berjalan pada trek setiap masa untuk mengelakkan terkena duri, disengat tebuan dan haiwan berbisa seperti ular.

“Kalau dilihat sekilas pandang memang tidak akan perasan ular berkenaan. Ia sebenarnya tidak jauh daripada laluan yang disediakan,” katanya sambil menunjukkan seekor ular kapak berwarna hijau pada dahan pokok.

Dalam pada itu, Sharon turut mengingatkan kepada mereka yang tidak biasa di hutan agar tidak sesuka hati melalui jalan sendiri (off track) untuk mengelakkan kemudaratan.

Rata-rata warganet memuji aksi berani Sharon berdiri berdekatan ular kapak, bahkan tidak gentar menudingkan jari kepada ular berkenaan.

Selain itu ramai yang menghargai penerangan tersebut yang disifatkan sebagai ilmu hutan yang sangat berguna.

Untuk pengetahuan korang, ular kapak hijau atau ‘Green Tree Pit Viper’ mudah dijumpai di atas pokok di kebun getah, ladang, kampung dan hutan.

Justeru, kita disarankan memakai kasut yang menutup kaki dan seluar panjang semasa berjalan di kawasan semak dan hutan.

Pakej Lengkap Banjaran Nakawan Dan Harga Murah, Padanlah Warung Tepi Sawah Jadi Tumpuan VVIP Dan Selebriti

perlis warung tepi sawah

MENIKMATI juadah sarapan pagi dengan pemandangan indah sawah padi terbentang luas, ditambah dengan gunung-ganang yang masih diselaputi kabus, memang impian ramai orang terutamanya mereka yang duduk di bandar besar.

Pengalaman akan menjadi lebih bermakna jika berpeluang menjamu pelbagai sajian tradisional yang jarang dapat ditemui.

Jika pembaca SinarPlus mengimpikan suasana sebegitu, Warung Tepi Sawah yang terletak di Jalan Wang Ulu, Bintong, Perlis antara salah satu premis yang memenuhi semua kriteria yang dinyatakan.

perlis warung tepi sawah

Populariti warung berkenaan juga bukan calang-calang kerana beberapa orang kenamaan dan artis tempatan turut singgah makan di situ, selalu memuat naik foto kenang-kenangan mereka.

Jika ditinjau komentar di platform laman sosial, rata-rata pengunjung yang pernah hadir akan memberi markah lima bintang.

Kata mereka, bukan sahaja makanan dan minuman yang disajikan lazat, tetapi suasana sekeliling membuatkan kunjungan mereka di sana sangat berharga.

Berkongsi cerita mengenai warung yang dibuka sejak tahun 2017 itu, pemiliknya, Munira Kamis, 38, tidak menyangka idea untuk berjualan pelbagai jenis juadah sarapan pagi di tapak tersebut telah membuka rezeki lebih luas buat dirinya sekeluarga.

perlis warung tepi sawah

“Asalnya, tanah milik keluarga ini kosong dan saya usahakan sebagai tapak kedai untuk berjualan kecil-kecilan. Alhamdulillah, sambutan cukup menggalakkan dan bermula dengan hanya empat meja makan, kini sudah semakin bertambah.

“Selain dekorasi buaian dan papan tanda menarik untuk bergambar, pelanggan yang datang juga mudah untuk meletakkan kenderaan tanpa mengganggu lalu lintas,” katanya.

Bekas kerani sekolah itu tidak menafikan, warungnya yang terletak di tepi sawah padi, ditambah pemandangan Banjaran Nakawan telah menjadi magnet utama menarik ramai pelanggan datang bertandang.

“Mereka suka makan di sini kerana panorama di sini yang cantik. Sebab itu, bila ada modal, saya bercadang mahu tambah baik ruang makan dua tingkat dan atas air pula selepas ini,” kata wanita itu yang dibantu suami tercinta, Mohd Khairi Karia, 41.

perlis warung tepi sawah

Selain pakej keindahan alam semula jadi yang cukup memukau, lebih 30 menu santapan pagi ditawarkan pada harga cukup murah.

“Di Warung Tepi Sawah, biasanya menu yang paling dicari-cari adalah peknga (lempeng kelapa) yang dimakan bersama kuah kari ikan kembung seekor (dijual pada RM3 sahaja).

“Ramai juga meminati hidangan pulut ikan gelama masin, selain ubi rebus dimakan bersama gula melaka dan kelapa. Memang mengimbau nostalgia silam.

perlis warung tepi sawah

“Saya seronok apabila pelanggan puas makan pelbagai menu bersama keluarga mereka. Maaflah jika ada yang tidak terlayan disebabkan jumlah pelanggan yang ramai terutamanya pada hujung minggu,” katanya.

Warung Tepi Sawah

  • Alamat: Jalan Wang Ulu, Bintong, Perlis
  • Waktu operasi: 7 pagi hingga 12 tengah hari (Isnin tutup)
  • Menu signatur: Peknga ikan seekor, roti bakar telur gedik dan pulut ikan masin
  • Harga: Bermula RM1 hingga RM8
  • Facebook: Warung Tepi Sawah 769
perlis warung tepi sawah

Perlis yang berkeluasan cuma 810 kilometer persegi itu kini semakin menjadi tumpuan para pemburu makanan.

Bukan sahaja menjadi salah satu destinasi pelancongan yang diminati ramai, negeri yang mempunyai titik paling panas dalam negara itu juga memiliki keunikan menu istimewa yang wajib dicuba.

Jika Warung Tepi Sawah berjaya menarik kedatangan pelanggan dengan bonus pemandangan yang cantik, terdapat beberapa lagi premis yang tidak kurang hebatnya.

Berikut, SinarPlus kongsikan empat lagi persinggahan popular yang boleh dipertimbangkan untuk dikunjungi jika anda bercadang ke Perlis suatu hari nanti.

Nyiru Klasik Ikan Bakar

  • Alamat: Jalan Kuala Perlis, Perlis
  • Waktu operasi: 3 petang hingga 11.30 malam
  • Menu signatur: Shellout buttermilk, ikan bakar dan siakap kerabu mangga
  • Harga: Set bermula RM30 hingga RM150
  • Facebook: Nyiru Klasik Ikan Bakar

perlis warung tepi sawah

Warung Bang Teh

  • Alamat: Jalan Padang Nyu, Kampung Gial, Perlis
  • Waktu operasi: 10 pagi hingga 9 malam
  • Kawasan penghantaran: Seluruh Perlis
  • Menu signatur: Somtam, kuetiau sup Thai dan pulut ayam
  • Harga: Set bermula RM10
  • Facebook: Warung Bang Teh

perlis warung tepi sawah

Kak Su Laksa Beras

  • Alamat: No 97, Jalan Siakap 1, Kuala Perlis, Perlis
  • Waktu operasi: 10 pagi hingga 7.30 malam
  • Menu signatur: Laksa beras asli
  • Harga: Bermula RM4
  • Facebook: Kak Su Laksa Beras Asli & Segar

perlis warung tepi sawah

Restoran Anjung Keli

  • Alamat: Jalan Padang Behor, Behor Pulai, Kampung Guar Syed Alwi, Perlis
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 4 petang
  • Menu signatur: Keli masak lemak dan keli masak tiga rasa
  • Harga: Bermula RM3.50
  • Facebook: AnjungKeli

Pasang Telinga, Jangan Hukum Mereka Yang Sedang Hadapi Tekanan

NDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

Bersama

DR FARIDZATUL AZNA SARONI

PEGAWAI PERUBATAN, PUSAT PERUBATAN KAJANG PLAZA

(Beliau diundang menjadi panel dalam program DNA yang membicarakan topik Covid-19: Kemurungan Sampai Tahap Hendak Bunuh Diri baru-baru ini)

SOALAN 1

DOKTOR, sebenarnya apakah tindakan yang boleh dilakukan sekiranya diri sendiri atau terdapat rakan, adik beradik atau kenalan yang hendak membantu mereka yang sedang bergelut dengan kemurungan tetapi memungkinkan mereka mengambil tindakan yang terburu-buru? Mohon penjelasan daripada doktor.

Jawapan:

Apabila bercakap tentang masalah kesihatan mental ini, ia merupakan perkara yang sangat sensitif kerana seseorang itu memerlukan kemahiran untuk meluahkan perasaan.

Jadi, misalnya diri kita sendiri yang mengalami masalah mental (emosi), terdapat beberapa tindakan yang boleh dilakukan iaitu:

i) Meluahkan perasaan kepada orang yang dipercayai.

  • Carilah individu yang sesuai untuk menceritakan masalah atau bebanan yang sedang dihadapi. Sesetengah pesakit, mereka akan selesa dengan individu yang rapat seperti keluarga terdekat dan sahabat baik. Namun, sebahagian daripada pesakit merasakan lebih mudah mereka meluahkan kepada individu yang tidak dikenali, contohnya kaunselor, doktor dan petugas kesihatan.

ii) Mendengar tanpa menghakimi.

  • Mudah sahaja, apabila seseorang itu (pesakit) sudah membuat keputusan untuk meluahkan, individu yang ingin membantu perlu bersedia menadah telinga tanpa menilai situasi yang sedang dilaluinya itu. Ini kerana setiap orang mempunyai kapasiti bebanan dan ketahanan yang berbeza untuk berdepan dengan dilema itu. Oleh itu, sangat penting untuk seseorang itu mencari dan memanfaatkan sistem sokongan sekeliling sebaik-baiknya.

Jika ia gagal dilakukan, maka pada waktu itulah pesakit akan mula rasa bersendirian dan terus menyerap semua energi negatif secara sendiri yang akan memberi kesan yang tidak baik kepada mental.

Bangga! Dua Cef Selebriti Kelahiran Malaysia Kendali Program Masakan Antarabangsa Di Australia

JIKA anda seorang peminat tegar dengan program masakan antarabangsa, nama anak Malaysia kelahiran Kuala Lumpur yang kini memilih untuk menetap di Australia, Poh Ling Yeow memang tidak asing lagi lagi.

Kulinari yang diketengahkannya yang bercirikan Malaysia bukan sahaja menambat hati kita sebagai rakyat Malaysia, malah dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Terkini, Ling Yeow bergabung tenaga dengan seorang lagi rakannya yang juga rakyat Malaysia dari Pulau Pinang, Adam Liaw akan muncul dalam Adam & Poh’s Malaysia in Australia.

Rancangan yang sudah bersiaran pada 7 Oktober lalu sebanyak enam episod di saluran SBS Food dan SBS On Demand itu merupakan salah satu inisiatif Australia Now in Malaysia.

Pada sidang akhbar yang diadakan secara maya baru-baru ini, Duta Australia di Malaysia, Dr Justin Lee berkata, Australia Now in Malaysia antara lain mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan negara itu dari aspek ekonomi, pendidikan, saintifik dan budaya.

Australia Now in Malaysia Australia menyenaraikan 3 tema utama iaitu:

Exchanging Creativity and Culture: Melibatkan komuniti untuk meneroka isu-isu kepentingan budaya masa lalu, masa kini dan masa depan. Menggunakan platform digital dan masa nyata untuk mencipta pengalaman bersama.

Engaging People and Potential: Memanfaatkan hubungan peribadi yang mendalam untuk mengembangkan platform digital yang menghubungkan pemimpin, pencipta dan pembuat perubahan untuk memperkukuhkan kolaboratif dan penglibatan.

Exploring Taste and Technology: Mewujudkan peluang unik untuk orang berhubung melalui makanan, sains dan inovasi.

Berbalik kepada program Adam & Poh’s Malaysia in Australia, kedua-dua rakan itu akan membawakan kepada penonton resipi warisan Malaysia dan Australia.

Rancangan itu bertambah menarik apabila pasangan tersebut akan mengajak penonton bersama-sama ‘mencari’ Tasmania Abalone dan Western rock lobster.

Pada masa sama, anda akan melihat bagaimana kedua-dua cef selebriti itu ‘merenovasi’ semula rendang daging dan roti canai.

Memetik Media Week, Ling Yeow dan Adam juga akan menggali petua daripada petani-petani tempatan, ekspatriat Malaysia, bahkan superstar Hollywood dalam menyajikan hidangan Malaysia yang lazat dengan sentuhan Aussie yang unik.

Adam yang turut sama dalam sidang akhbar itu berkata, Adam & Poh’s Malaysia in Australia merupakan kolaboratif pertama beliau bersama Ling Yeow.

“Ini satu pengalaman yang cukup mengujakan apabila kami bersama-sama menyoroti hubungan antara Australia dan Malaysia iaitu dua negara yang sangat istimewa bagi kami berdua,” katanya.

Adam & Poh’s Malaysia in Australia turut diterjemahkan kepada beberapa bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Cina, Vietnam dan Korea.

Ayuh Fahami Makna Sebenar Kemurungan, Stres Dan Cemas. Ada Beza Tau!

ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

Bersama

DR FARIDZATUL AZNA SARONI

PEGAWAI PERUBATAN, PUSAT PERUBATAN KAJANG PLAZA

(Beliau diundang menjadi panel dalam program DNA yang membicarakan topik Covid-19: Kemurungan Sampai Tahap Hendak Bunuh Diri baru-baru ini)

SOALAN 2

DOKTOR, bolehkah doktor jelaskan apa itu kemurungan, kebimbangan, stres dan perasaan cemas kerana masih ramai keliru akan definisi setiap perkataan tersebut. Selain itu, bagaimanakah seseorang itu boleh tahu dirinya mempunyai masalah kemurungan? Apakah antara tanda-tanda atau gejala utama yang jelas pesakit yang sedang berhadapan dengan masalah itu?

Jawapan:

Sebenarnya, masalah kesihatan mental sangat banyak dan luas. Namun, terdapat beberapa pengelasan kemelut itu yang sangat biasa dihadapi oleh pesakit yang boleh dikatakan bermula dengan gangguan emosi.

Penting untuk diketahui, kesemua masalah itu merupakan gangguan emosi yang melibatkan tiga komponen terbesar iaitu stres, kemurungan dan kebimbangan.

Dalam pada itu, tanda-tanda yang akan dihadapi oleh pesakit tidak banyak perbezaan, tetapi punca dan cara mengatasi menjadi penentu terpenting bagi mereka.

Selain itu, stres pula adalah perkara yang normal dalam kehidupan kerana sememangnya terdapat tekanan.

Pun demikian, istilah stres itu menjadi bebanan apabila ia berlaku lalu seseorang itu tidak dapat untuk menguruskannya dengan baik.

Jadi, apabila situasi tersebut tidak dapat diadaptasi dan kekal berterusan, ia boleh menimbulkan masalah tambahan lain iaitu kemurungan dan kebimbangan melampau.

Kesannya, apabila pesakit sudah menjengah ke kancah cemas secara keterlaluan itu, pesakit akan merasakan serba-serbi kerisauan, menyebabkan jantung berdebar dan takut sehingga memberi impak paling bahaya iaitu menganggap diri tidak berguna.

Secara ringkasnya, kesemua hal itu sangat berkait rapat dan seseorang itu perlu tahu gejala dan simptom utama yang dihadapi olehnya.

Penggunaan Aluminium Foil Boleh Jejaskan Kesihatan? Ini Penjelasan Pensyarah Sains

SEJAK kebelakangan ini, isu penggunaan kertas aluminum (aluminium foil) kembali diperkatakan.

Ramai yang membuat kesimpulan tentang bahayanya jika kerap menggunakan bahan itu ketika memasak.

Namun, adakah desas-desus itu benar?

Menjawab persoalan itu, pensyarah sains di sebuah kolej swasta, Dr Magaret Sivapragasam tampil berkongsi hujahnya.

Tulisnya di Facebook, aluminium adalah sejenis logam yang berwarna putih keperakan dan merupakan salah satu unsur yang banyak didapati di bumi.

“Sebenarnya, logam aluminium dicairkan dan dilembarkan menerusi proses penggilinggan sehingga sesuatu ketebalan yang diinginkan untuk menghasilkan aluminium foil,” terangnya.

Pada masa dulu, produk isi rumah tersebut telah dicipta pada tahun 1910 bertujuan menghalang cahaya, kelembapan dan aroma serta menjadikannya sesuai untuk memelihara dan memasak makanan.

Justeru katanya dan pada masa sama disokong dengan fakta sains, memasak menggunakan aluminium foil tidaklah begitu selamat disebabkan kontak rapat aluminium foil itu dengan makanan.

“Lebih-lebih lagi melibatkan makanan berasid, masin atau panas kerana ia boleh bertindak balas dengan aluminium yang menyebabkan logam tersebut mencucuh keluar ke dalam makanan.

“Apabila reaksi itu berlaku, kepekatan aluminium dalam makanan meningkat dan mungkin melepasi had yang disyorkan iaitu tidak lebih daripada 40 miligram bagi setiap kilogram berat badan sehari untuk orang dewasa. Namun, masih tiada lagi kajian yang konklusif yang menyatakan kesannya terhadap kesihatan manusia,” jelasnya.

Jika diamati dengan lebih terperinci, aluminium banyak didapati daripada sumber lain seperti air, penggunaan kosmetik, makanan terproses dan sebagainya.

“Badan manusia berfungsi secara semula jadi menyingkirkan aluminium dan beberapa toksin lain daripada sistem kita melalui kencing dan najis,” maklumnya.

Bagaimanapun, beritahu Dr Magaret, aluminium foil selamat untuk digunakan untuk makanan sejuk.

Antaranya termasuklah membalut sandwich, kek dan sebagainya.

Dalam pada itu, ujarnya, penyelidikan lebih banyak perlu dilakukan untuk memahami sepenuhnya bagaimana logam dapat merosakkan tubuh manusia.

“Jadi, sebaik-baiknya elak menggunakan aluminium foil ketika memasak,” pesannya.

Sakit Jantung: Orang Muda Tidak Terkecuali

BERDASARKAN data Pertubuhan Kesihatan Dunia, sebanyak 17.9 juta manusia di muka bumi ini maut akibat penyakit jantung setiap tahun.

Berita buruknya, kemelut kesihatan tersebut kini tidak hanya tertumpu kepada individu berusia, malah kini didominasi oleh golongan muda.

Pernyataan itu bukan sekadar cakap kosong. Buktinya, Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat melaporkan, 4 hingga 10 peratus kes dilaporkan terjadi dalam kalangan mereka yang berusia 45 tahun ke bawah dan kaum lelaki menguasai carta.

Sebenarnya, apa faktor yang mendorong kepada peningkatan serangan jantung? Adakah stres yang menjadi penyebab utama?

Bagi menjawab pertanyaan itu, SinarPlus mengundang Pakar Kardiologi, KPJ Rawang, Dr Abdul Wahab Undok untuk berbincang secara terperinci mengenai penyakit jantung dalam kalangan orang muda dalam program DNA yang disiarkan baru-baru ini.

Dr Abdul Wahab

Membuka bicara, Dr Abdul Wahab berkata, penyakit jantung kekal menjadi penyebab utama kematian di Malaysia. Secara purata, majoriti umur pesakit adalah 58 tahun.

“Jika dibandingkan dengan negara-negara maju yang lain, pesakit di negara kita 10 tahun lebih muda berbanding mereka, sekitar usia 68 tahun,“ jelasnya yang menyifatkan perkembangan itu satu petanda yang tidak baik.

Ujar pakar berkenaan, sejak dua dekad kebelakangan ini, serangan jantung dilihat semakin banyak melibatkan individu yang masih muda.

“Berdasarkan pengalaman peribadi, pesakit jantung termuda yang pernah menerima rawatan dengan saya berumur bawah 30 tahun. Jelas sekali, keadaan itu tercetus kerana perubahan dari segi demografi dan gaya hidup masa kini,“ tambah beliau.

Ancaman perokok tegar

Berkongsi lanjut, Dr Abdul Wahab berkata, terdapat sesetengah pesakitnya yang begitu mengambil berat soal pemakanan, selain gemar bersukan dan beriadah, namun masih mempunyai penyakit kronik itu.

“Bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini, kebanyakan mereka adalah perokok tegar.

“Fahamilah bahawa tabiat merokok adalah penyebab paling dominan seseorang dihidapi sakit jantung. Ini kerana apabila mereka merokok, akan berlaku keradangan (kecederaan) pada salur darah di jantung mereka,“ jelasnya.

Jika pesakit masih muda, akan berlaku penyumbatan yang terlampau sedikit. Situasi itu terangnya, tidak akan menyebabkan tanda-tanda serangan.

Covid-19 : Perokok lebih berisiko tinggi maut!

Namun, akan berlaku ketidakstabilan pada plak yang boleh membuatkan ia mudah pecah, lalu berlaku penyempitan atau penyumbatan pembuluh darah jantung.

Plak atau aterosklerosis umumnya terbentuk daripada kolesterol, lemak, kalsium, sisa metabolisme dan bahan pembekuan darah bernama fibrin.

Antara alasan popular lain penyakit jantung adalah disebabkan stres. Fakta itu diperakui oleh Dr Abdul Wahab, tetapi dari sudut perubatan, ia sebenarnya bukanlah sebab utamanya.

Ungkap beliau, seandainya seseorang terlalu stres, senario berkenaan akan turut mengundang kepada keradangan pada salur darah jantung, selain menjadi pemangkin kepada beberapa penyakit kronik lain seperti darah tinggi dan kencing manis.

“Sekali sahaja keradangan itu berlaku, ia terus akan menyerang salur darah sehingga terjadinya proses penyumbatan dan pengumpulan plak,“ beritahunya.

Semestinya pemakanan memainkan faktor penting dalam merawat atau memulihkan sebarang penyakit. Bagi jantung, terdapat saranan khusus yang disyorkan oleh Dr Abdul Wahab.

Antaranya adalah seperti berikut:

  • Makan mengikut waktu dan keperluan.
  • Pilih menu dengan kaedah memasak seperti mengukus, merebus dan membakar.
  • Nikmati makanan dan kunyah secara perlahan-lahan.
  • Makan makanan yang bernutrisi dan seimbang.

“Jangan terlalu tertumpu kepada sesuatu unsur makanan sahaja seperti hanya makan makanan yang tinggi karbohidrat sahaja.

“Lagi satu, jangan sesekali memandang mudah aspek pengambilan makanan tinggi serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran,“ ujarnya.

Impak bersukan Dr Abdul Wahab turut menarik perhatian apabila memaklumkan, seseorang yang aktif bersukan dan kerap beriadah tidak semestinya boleh membuatkan mereka terhindar daripada mengalami serangan jantung.

Hal itu dibuktikan dengan beberapa kejadian yang menyaksikan individu muda yang bermain badminton atau futsal turut terdedah kepada penyakit berkenaan.

Kenyataan beliau itu selari dengan pandangan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia, Dr Zubaidi Ahmad yang lebih cenderung mengulas mengenai trend bersukan terutama pada waktu malam.

Ujar beliau, beraktiviti selepas bekerja menyebabkan badan menjadi lesu kerana tubuh dipaksa bekerja keras dan banyak tenaga akan dikeluarkan.

Apabila keadaan sebegitu berlaku, ia boleh mengakibatkan tekanan darah seseorang meningkat naik, sekali gus boleh menyebabkan masalah darah tinggi dan jantung.

SinarPlus turut memetik kenyataan Pakar Kardiologi Hospital Mount Elizabeth Singapura, Dr Paul Chiam yang disiarkan di laman web heartvascularcentre.com.

Dr Paul menjelaskan, serangan jantung ketika bersenam disebabkan berlakunya degupan (jantung) yang tidak normal.

“Otot jantung akan menebal (kardiomiopati hipertrofik) sehingga mengganggu kadar degupan dan situasi begini kerap berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita,“ ujarnya.

Dalam pada itu, laman web perubatan antarabangsa, Healthline menyenaraikan beberapa petanda awal serangan jantung boleh berlaku ketika seseorang sedang galak bersukan:

1. Ketidakselesaan pada dada.

  • Kebanyakan serangan jantung mungkin bermula dengan tanda tersebut, tetapi dalam kebanyakan kes akan terbit perasaan tidak selesa atau sesak pada bahagian tengah dada. Rasa nyeri itu boleh menjadi ‘sangat ringan‘. Mungkin ia datang dan berlalu pergi. Jika keadaan begitu berlaku, segera hentikan sebarang aktiviti fizikal. Dapatkan rawatan perubatan jika gejala berlanjutan lebih beberapa minit.

2. Tiba-tiba rasa sesak nafas.

  • Perasaan sesak nafas yang tidak biasa dan biasanya disertai dengan ketidakselesaan pada dada. Keadaan seperti itu sering berlaku dan menjadi ‘perintis‘ kepada serangan jantung.

3. Pening atau sakit kepala.

  • Walaupun aktiviti fizikal boleh membuat seseorang berasa letih terutamanya kepada individu yang tidak terbiasa dengannya, rasa pening atau pusing ketika bersenam adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Jadi, awasi tanda amaran tersebut dengan serius dan segera berhenti dan berehat.

4. Kelainan ritma jantung.

  • Degupan jantung ketika melompat atau berdebar-debar boleh memberi petunjuk kepada masalah yang berkaitan dengan jantung. Dapatkan rawatan perubatan jika berlaku perubahan (pada ritma jantung). Anda sendiri dapat ‘membaca‘ perubahan pada diri sendiri.

5. Sakit menular pada beberapa anggota badan lain.

  • Selain dada, gejala itu boleh dirasakan pada leher, belakang badan, perut, rahang atau berlaku tekanan pada lengan. Kadangkala seseorang akan berasa tidak sedap badan yang berpunca daripada satu bahagian badan ke bahagian lain. Contohnya, sakit dada kemudian ‘menjalar’ ke dada atau dari leher ke bahu.

6. Peluh yang luar biasa.

  • Walaupun berpeluh semasa bersenam adalah satu perkara normal, ia juga mungkin satu amaran kepada krisis jantung. Sebilangan pesakit mengadu, mereka diserang sakit jantung selepas berpeluh secara berlebihan.

Seperti kata Dr Abdul Wahab, tiada cara lain untuk menjadi seorang yang sihat selagi tidak mempraktikkan amalan gaya hidup sihat setiap hari.

“Lakukanlah senaman secara bersederhana, pilih diet yang sihat, antaranya makanan yang kurang karbohidrat, gula dan garam serta tinggi serat selain hentikan tabiat merokok.

“Bagi mereka yang sudah sejak sekian lama mengalami sakit jantung pula, makan ubat dan patuhi tempoh rawatan susulan yang dirancang,“ nasihatnya.