MENIKMATI juadah sarapan pagi dengan pemandangan indah sawah padi terbentang luas, ditambah dengan gunung-ganang yang masih diselaputi kabus, memang impian ramai orang terutamanya mereka yang duduk di bandar besar.
Pengalaman akan menjadi lebih bermakna jika berpeluang menjamu pelbagai sajian tradisional yang jarang dapat ditemui.
Jika pembaca SinarPlus mengimpikan suasana sebegitu, Warung Tepi Sawah yang terletak di Jalan Wang Ulu, Bintong, Perlis antara salah satu premis yang memenuhi semua kriteria yang dinyatakan.
Populariti warung berkenaan juga bukan calang-calang kerana beberapa orang kenamaan dan artis tempatan turut singgah makan di situ, selalu memuat naik foto kenang-kenangan mereka.
Jika ditinjau komentar di platform laman sosial, rata-rata pengunjung yang pernah hadir akan memberi markah lima bintang.
Kata mereka, bukan sahaja makanan dan minuman yang disajikan lazat, tetapi suasana sekeliling membuatkan kunjungan mereka di sana sangat berharga.
Berkongsi cerita mengenai warung yang dibuka sejak tahun 2017 itu, pemiliknya, Munira Kamis, 38, tidak menyangka idea untuk berjualan pelbagai jenis juadah sarapan pagi di tapak tersebut telah membuka rezeki lebih luas buat dirinya sekeluarga.
“Asalnya, tanah milik keluarga ini kosong dan saya usahakan sebagai tapak kedai untuk berjualan kecil-kecilan. Alhamdulillah, sambutan cukup menggalakkan dan bermula dengan hanya empat meja makan, kini sudah semakin bertambah.
“Selain dekorasi buaian dan papan tanda menarik untuk bergambar, pelanggan yang datang juga mudah untuk meletakkan kenderaan tanpa mengganggu lalu lintas,” katanya.
Bekas kerani sekolah itu tidak menafikan, warungnya yang terletak di tepi sawah padi, ditambah pemandangan Banjaran Nakawan telah menjadi magnet utama menarik ramai pelanggan datang bertandang.
“Mereka suka makan di sini kerana panorama di sini yang cantik. Sebab itu, bila ada modal, saya bercadang mahu tambah baik ruang makan dua tingkat dan atas air pula selepas ini,” kata wanita itu yang dibantu suami tercinta, Mohd Khairi Karia, 41.
Selain pakej keindahan alam semula jadi yang cukup memukau, lebih 30 menu santapan pagi ditawarkan pada harga cukup murah.
“Di Warung Tepi Sawah, biasanya menu yang paling dicari-cari adalah peknga (lempeng kelapa) yang dimakan bersama kuah kari ikan kembung seekor (dijual pada RM3 sahaja).
“Ramai juga meminati hidangan pulut ikan gelama masin, selain ubi rebus dimakan bersama gula melaka dan kelapa. Memang mengimbau nostalgia silam.
“Saya seronok apabila pelanggan puas makan pelbagai menu bersama keluarga mereka. Maaflah jika ada yang tidak terlayan disebabkan jumlah pelanggan yang ramai terutamanya pada hujung minggu,” katanya.
Warung Tepi Sawah
- Alamat: Jalan Wang Ulu, Bintong, Perlis
- Waktu operasi: 7 pagi hingga 12 tengah hari (Isnin tutup)
- Menu signatur: Peknga ikan seekor, roti bakar telur gedik dan pulut ikan masin
- Harga: Bermula RM1 hingga RM8
- Facebook: Warung Tepi Sawah 769
Perlis yang berkeluasan cuma 810 kilometer persegi itu kini semakin menjadi tumpuan para pemburu makanan.
Bukan sahaja menjadi salah satu destinasi pelancongan yang diminati ramai, negeri yang mempunyai titik paling panas dalam negara itu juga memiliki keunikan menu istimewa yang wajib dicuba.
Jika Warung Tepi Sawah berjaya menarik kedatangan pelanggan dengan bonus pemandangan yang cantik, terdapat beberapa lagi premis yang tidak kurang hebatnya.
Berikut, SinarPlus kongsikan empat lagi persinggahan popular yang boleh dipertimbangkan untuk dikunjungi jika anda bercadang ke Perlis suatu hari nanti.
Nyiru Klasik Ikan Bakar
- Alamat: Jalan Kuala Perlis, Perlis
- Waktu operasi: 3 petang hingga 11.30 malam
- Menu signatur: Shellout buttermilk, ikan bakar dan siakap kerabu mangga
- Harga: Set bermula RM30 hingga RM150
- Facebook: Nyiru Klasik Ikan Bakar
Warung Bang Teh
- Alamat: Jalan Padang Nyu, Kampung Gial, Perlis
- Waktu operasi: 10 pagi hingga 9 malam
- Kawasan penghantaran: Seluruh Perlis
- Menu signatur: Somtam, kuetiau sup Thai dan pulut ayam
- Harga: Set bermula RM10
- Facebook: Warung Bang Teh
Kak Su Laksa Beras
- Alamat: No 97, Jalan Siakap 1, Kuala Perlis, Perlis
- Waktu operasi: 10 pagi hingga 7.30 malam
- Menu signatur: Laksa beras asli
- Harga: Bermula RM4
- Facebook: Kak Su Laksa Beras Asli & Segar
Restoran Anjung Keli
- Alamat: Jalan Padang Behor, Behor Pulai, Kampung Guar Syed Alwi, Perlis
- Waktu operasi: 11 pagi hingga 4 petang
- Menu signatur: Keli masak lemak dan keli masak tiga rasa
- Harga: Bermula RM3.50
- Facebook: AnjungKeli
Speak Your Mind