KEADAAN kediaman yang kemas dan teratur dapat memberikan suasana tenang kepada penghuninya.
Suasana akan lebih mendamaikan jika tiga elemen penting iaitu sumber pencahayaan semula jadi, warna dan pemilihan perabot yang dipilih sesuai dengan kediaman, kata seorang pereka hiasan dalaman, Aizul Marcello Ab. Rahim.
Kata Aizul Marcello lagi, daya kreativiti turut memainkan peranan penting. Penghuni ujarnya, perlu bijak mengoptimumkan setiap ruang, terutama apabila memiliki ruang yang terhad.
Pun begitu, hal tersebut bukanlah satu kekangan sehingga membataskan keinginan untuk memiliki dekorasi hiasan dalaman yang diimpikan.
Menurut Aizul Marcello, selain cat dinding, seleksi warna perabot sangat signifikan lantaran ia sangat mempengaruhi persekitaran ruang.
“Jika ingin menggunakan warna terang seperti merah, hitam atau hijau pucuk pisang, ia tidak menjadi masalah, tetapi tidak boleh digunakan secara praktik ke atas semua permukaan dinding. Cukup sekadar satu dinding sahaja sudah memadai.
“Pemilihan warna juga tidak hanya tertumpu kepada dinding semata-mata., tetapi untuk dengan perabot, perhiasan, langsir, kusyen dan sofa,“ terangnya kepada SinarPlus.
Ilusi ruang
Mengulas lanjut, pereka berpengalaman itu berkata, bagi memberikan kesan ilusi dan menampakkan sesuatu ruang lebih luas, warna pastel seperti coklat lembut dan putih merupakan idea terbaik.
Jenis perabot juga haruslah tidak terlalu besar dan memiliki pelbagai fungsi seperti ruang simpanan di bawah sofa atau meja yang boleh diubah mengikut keperluan.
Dalam pada itu, pesan Aizul Marcello, sebaiknya perhiasan kecil seperti bekas telur atau cenderahati yang sering diperoleh daripada menghadiri sesebuah acara sangat tidak digalakkan.
“Apa kata kumpul dan letakkan di dalam sebuah bekas untuk disimpan sebagai kenangan,“ katanya.
Mengulas mengenai pencahayaan, beliau berkata, perkara itu tidak akan menjadi isu sekiranya memiliki tingkap bersaiz besar atau pintu gelangsar.
Bagaimana pula kalau sebaliknya? Jawab beliau, hal tersebut boleh diselesaikan dengan menggunakan lampu mengikut kesesuaian warna dinding dan fungsi ruangan.
Sementara itu, bagi mengatasi saiz tingkap yang kecil pula, pemasangan langsir secara dinding penuh dengan cara memasak kepala langsir di bahagian siling, manakala bawahnya dibiarkan labuh mencecah lantai boleh dilakukan.
“Impaknya, kediaman akan kelihatan luas dan dinding pula akan nampak lebih tinggi. Pendekatan itu digelar sebagai ilusi optik,“ katanya.
Dalam keasyikan mendekorasi ruang tamu dan bilik tidur, jangan pula kita lupa dengan kemasan di dapur yang tidak kurang pentingnya.
Ujar Aizul Marcello, bagi individu yang gemarkan warna gelap seperti hitam, ia bukanlah satu kesalahan.
Pun demikian, ia boleh mengundang kesilapan besar kerana rona tersebut akan menampakkan ruang lebih sempit, kecil dan padat.
“Bagaimanapun, ia tidak menjadi halangan sekiranya memiliki saiz ruang yang luas dan terbuka. Satu lagi saya nak pesan, jangan terlalu penuhkan ruangan dapur dengan pelbagai barangan.
“Sebaliknya beri perhatian kepada aliran udara dan penggunaan lantai yang sesuai. Pilihan permukaan lantai yang kasar dapat mengelak berlakunya kemalangan kecil seperti terjatuh atau tergelincir,“ katanya.
Aizul Marcello turut berkongsi ilmu tentang teori rekaan dapur yang seharusnya dibina secara tiga segi yang mana kedudukan ruang memasak, sinki dan peti sejuk diletakkan di tiga posisi seperti segi tiga.
Konsep sebegitu ujar pakar dekorasi itu, lebih memudahkan pergerakan dan ia juga merupakan seni bina sebenar mengikut rekaan hiasan dalaman.
Speak Your Mind