SARAPAN dengan menikmati telur separuh masak memang best.
Namun, ada sesetengah daripada kita yang berani ‘menelan’ telur mentah.
Mereka yang berbuat demikian selalunya dalam kalangan atlet atau abang-abang sado termasuk mereka yang sentiasa kekal dan kerap beraktiviti.
Sama seperti telur yang dimasak, telur mentah juga mempunyai rekod pemakanan yang baik.
Antaranya kaya dengan protein, lemak sihat, vitamin, mineral, antioksidan dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, telur mentah juga tinggi lutein dan zeaxanthin.
Dua antioksidan itu penting dalam melindungi mata dan menurunkan risiko penyakit mata yang berkaitan dengan usia.
Pun demikian, menurut healthline.com, selain manfaatnya kepada tubuh badan, menikmati telur mentah juga dapat menyebabkan masalah kesihatan.
Berikut beberapa impaknya:
i) Mengurangkan penyerapan protein.
Satu kajian kecil mengatakan bahawa memakan telur mentah dapat mengurangkan protein berkualiti dalam bentuk 9 asid amino penting.
Buktinya, kajian itu telah membandingkan penyerapan protein daripada telur masak dengan telur mentah dalam kalangan lima individu.
Hasilnya, 90 peratus protein dalam telur yang dimasak diserap, sementara hanya 50 peratus protein telur mentah yang diserap.
Masalah penurunan penyerapan protein tersebut perlu dipertimbangkan sekiranya telur adalah sumber protein utama.
ii) Menghalang penyerapan biotin.
Biotin adalah vitamin B7 yang terlibat dalam penghasilan glukosa dan asid lemak dalam badan.
Selain itu, nutrien berkenaan juga penting semasa kehamilan.
Protein telur mentah putih yang mengikat biotin dalam usus kecil sehingga menghalang penyerapannya.
Bagaimanapun, kemungkinan kekurangan biotin akibat memakan telur mentah sangat kecil kecuali jika diminum secara berkala setiap hari.
iii) Berpotensi dicemari bakteria.
Telur mentah dan telur rebus mungkin mengandungi salmonella iaitu bakteria yang berbahaya.
Makan telur mentah yang dicemari dengan bakteria itu boleh menyebabkan keracunan makanan dengan gejala kekejangan perut, cirit-birit, muntah dan demam.
Simptom tersebut biasanya muncul enam jam hingga enam hari setelah dijangkiti jangkitan itu dan boleh berpanjangan selama empat hingga tujuh hari.
Jika diamati, sebilangan orang yang mengalami keracunan makanan salmonella cepat sembuh, tetapi terdapat sesetengah individu yang berisiko tinggi mengalami gejala yang lebih teruk.
Mereka terdiri daripada warga emas, ibu mengandung, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah dan kanak-kanak.
Jadi, bagaimana ingin mencegah daripada bakteria jahat itu?
Lapor Medical News Today, cara untuk mengawal atau mencegah Salmonella adalah dengan menggunakan kaedah pasteurisasi dan penyinaran.
Pasteurisasi melibatkan pemanasan telur dengan air atau udara panas untuk jangka masa yang sangat spesifik.
Jadi, telur disyorkan dipanaskan pada suhu sekurang-kurangnya 60 darjah Celcius selama 6.2 minit.
Dalam pada itu, pasteurisasi pula dapat mengurangkan pencemaran Salmonella dengan ketara.
Namun, ia tidak mempengaruhi kualiti pemakanan atau rasa telur.
Apa-apapun, semua jenis makanan yang dimakan haruslah diambil secara sederhana.
Ingat, setiap yang berlebihan pasti membawa kemudaratan.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca SinarPlus.
Speak Your Mind