6 Manfaat Makan Daging Segar, Ini Kaedah Tepat Nikmatinya

MEMANG menjadi kebiasaan, tatkala Aidilfitri menjelma, pelbagai sajian akan terhidang di atas meja. Selain ayam, daging lembu atau kambing antara yang sering disediakan.

Sebenarnya, terlalu banyak pendebatan mengenai pengambilan daging dari segi aspek kesihatan. Ada yang berpendapat, ia langsung tidak elok untuk kesihatan.

Menjelaskan kekeliruan itu, daging yang diproses sebenarnya yang sangat tidak digalakkan untuk dikonsumsi, kata Pegawai Dietetik, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Nur Adilah Muhammadun Basar kepada SinarPlus baru-baru ini.

Hakikatnya, daging merupakan salah satu sumber protein yang baik. Dari sudut kalori dan lemak, daging lembu adalah pilihan yang lebih sihat berbanding kambing, arnab, unta dan lain-lain.

Ini kerana 100 gram (g) daging lembu mengandungi 217 kalori, 26.1g protein dan 4.2g lemak berbanding kambing yang mengandungi 258 kalori, 25.6 g protein dan 8.8g lemak.

Mengulas lanjut, Pegawai Dietetik Medical Mythbuster Malaysia, Nur Hafizah Mahamad Sobri berkata, daging merupakan satu sumber gabungan zat penting seperti protein jenis tinggi bioavailabiliti, zink, glutein dan besi heme.

Nur Hafizah Mahamad Sobri.

“Segala zat yang terkandung dalam daging sukar untuk didapati dalam kuantiti yang baik dalam makanan lain. Sebagai contoh, besi heme hanya boleh didapati di dalam daging dan bagi individu yang tidak mengambil daging, mereka akan berhadapan masalah anemia atau sel darah merah yang rendah yang memerlukan kebergantungan kepada suplemen,” terang Nur Hafizah.

Namun demikian, pengambilan daging perlu dikawal. Dalam erti kata lain, kuantiti yang diambil perlu cukup, tidak lebih atau tidak terlalu kurang.

“Kuantiti yang disarankan kepada golongan dewasa untuk gabungan pengambilan daging atau ayam atau telur adalah separuh hingga dua hidangan dalam sehari.

“Perbandingan mudah, satu hidangan tersebut bersamaan dengan satu biji telur atau daging atau ayam bersaiz tapak tangan. Maksudnya, maksimum pengambilan (gabungan) menu tersebut mestilah tidak melebihi dua tapak tangan atau dua biji telur,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Healthy Eating, menurut seorang pakar pemakanan, Reed Mangels, pada setiap hari, setiap daripada kita memerlukan 0.8 hingga 1g protein per kilogram (kg) berat badannya.

“Jadi, jika anda memiliki berat badan 55kg, maka anda perlu sebanyak 44 hingga 55g daging segar.

Bagaimana pula untuk si kecil? Berdasarkan Keperluan Nutrisi Bilangan Kementerian Kesihatan Indonesia, anak-anak berumur 1 hingga 3 tahun, kumpulan ini memerlukan 1,600 kalori, 26 gram protein dan 44g lemak. “Bagaimanapun, ia perlu digabungkan dengan menu pemakanan seimbang seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan protein hingga produk tenusu,” katanya.

Berikut manfaat sekiranya kita menikmati daging segar seperti yang dilaporkan www.healthline.com, www.livestrong.com, www.nutritionadvance.com dan www.idntimes.co.id:

1. Memperkuatkan jisim otot.

Daging diklasifikasikan sebagai sumber protein yang berkualiti tinggi. Menikmati daging dengan kuantiti yang disyorkan akan menurunkan risiko sarcopenia atau hilangnya jisim dan kekuatan otot seiring pertambahan usia.

The American Journal of Clinical Nutrition, sarcopenia adalah masalah kesihatan yang serius di antara orang dewasa yang lebih tua tetapi dapat dicegah dengan peningkatan pengambilan protein.

“Sumber protein makanan terbaik adalah makanan yang berasal dari haiwan seperti daging lembu, ikan dan produk susu,” kata jurnal berkenaan.

2. Meningkatkan prestasi sukan.

Salah satu nutrien yang terdapat dalam daging lembu adalah carnosine iaitu sebatian penting untuk fungsi otot.

Menurut Nutrition Advance, tahap ketinggian carnosine dikaitkan dengan penurunan keletihan dan peningkatan prestasi semasa latihan.

3. Mencegah anemia

Kekurangan zat besi merupakan salah satu penyebab anemia dan gejala utamanya adalah keletihan dan tubuh badan berasa lemah.

Daging lembu adalah sumber zat besi yang bagus terutama dalam bentuk besi heme dan paling mudah didapati kerana hanya terdapat dalam sumber protein haiwan.

Jika dibandingkan dengan besi bukan heme, besi heme lebih mudah diserap oleh badan. Oleh yang demikian,  memakan daging adalah salah satu kaedah terbaik untuk mencegah anemia.

4. Meningkatkan kepekaan insulin.

Daging lembu juga dipercayai dapat meningkatkan kepekaan insulin dan mengurangkan risiko diabetes.

Asid linoleat yang terdapat di dalamnya membantu meningkatkan kepekaan insulin. Selain itu, sebatian L-carnitine yang terkandung di dalam badan lembu dapat meningkatkan tahap glukosa dan profil kolesterol keseluruhan pada pesakit diabetes jenis 2.

5. Sumber kompleks vitamin B.

Tubuh manusia memerlukan pelbagai jenis kompleks vitamin B dan daging boleh menjadi sumber vitamin B kompleks yang baik.

Daging lembu turut mengandungi vitamin B12 yang diperlukan oleh sistem saraf, vitamin B3 yang dapat menyokong sistem pencernaan dan vitamin B2 yang baik untuk kesihatan kulit dan mata.

6. Mempercepatkan penyembuhan luka.

Salah satu penyebab jangkitan luka yang paling biasa adalah penyaluran oksigen ke tisu yang rosak. Kekurangan mineral boleh melambatkan pembentukan dan pembaikan tisu. Justeru, mineral yang terkandung dalam daging membantu dalam penyembuhan kerana berperanan menyebarkan oksigen melalui darah.

ANEKDOT

NUTRISI yang terkandung dalam 100 gram daging lembu:

  • Kalori (kilokalori) 250
  • Lemak (15 gram)
  • Lemak tepu (6 gram)
  • Lemak trans (1.1 gram)
  • Protein (26 gram)
  • Kalsium (18 miligram)
  • Zat besi (2.6 miligram)
  • Vitamin D (7 IU)
  • Vitamin B6 (0.4 miligram)
  • Vitamin B12 (2.6 µg)
  • Magnesium (21 miligram)

Jika diperhatikan daripada kandungan nutrisi, daging lembu tidak mengandungi serat. Justeru, menikmati daging lembu harus diimbangkan dengan pengambil serat daripada buah atau sayur.

Sumber: Halodoc

Speak Your Mind

*