SUATU masa dulu, kuih lempiang merupakan hidangan wajib yang disajikan pada musim perayaan atau majlis keraian terutamanya di kawasan perkampungan di negeri Perlis.
Namun, itu semua cerita lama. Disebabkan generasi sekarang yang tidak mengambil peduli, kuih tradisional itu bagaikan sudah ditelan zaman. Tanyalah pada remaja masa kini, mereka pasti tidak tahu kewujudan sajian itu.
Pun demikian, SinarPlus bertuah kerana berjaya mendapatkan salah seorang penduduk Perlis yang masih mahir membuat kuih lempiang.
Wan Nah Shaari, 65, ketika dihubungi berkata, beliau merupakan generasi kedua yang masih utuh mempertahankan kulinari tradisi kebanggaan keluarganya itu.
“Sehingga kini, saya masih menjual kuih berkenaan walaupun ia kurang popular, tapi tak mengapalah,“ katanya yang mempelajari resipi asal kudapan berkenaan daripada ibunya, Ku Saadiah Ku Mohammad, 86.
Ujar Wan Nah, untuk menghasilkan juadah berkenaan tidak sesukar manapun, tetapi dengan syarat, kena ada minat.
Bahan yang diperlukan juga tidak banyak. Antaranya adalah seperti tepung pulut, telur, soda bikarbonat dan gula serta minyak untuk menggoreng.
“Jika ada kesemua bahan tersebut, pastinya kuih itu dapat disiapkan. Menariknya tentang lempiang, tekstur kuih ini akan cair dalam mulut jika dimakan. Di situlah faktor kesedapannya,“ katanya.
Melihat keunikan bentuk kuih lempiang, penulis bertanyakan adakah terdapat acuan khas yang digunakan? Jawab Wan Nah: “Tiada, kita bentukkannya pakai tangan sahaja. Bila dah selalu buat, semuanya akan jadi mudah.
“Berkenaan dengan saiznya yang dilihat sama saja sehingga ada yang menyangka terdapat acuan khusus pun tak betul. Apa yang saya boleh katakan, semuanya bergantung kepada seni dan kemahiran tangan orang yang membuatnya.“
Bersembang dengan ‘orang lama‘ biasanya memang sarat dengan pengalaman dan petua yang berguna.
Kata anak jati Perlis itu kepada penulis, tip untuk membuat kuih lempiang haruslah dilakukan ketika cuaca redup.
“Jika buat kuih ketika cuaca terik, adunan kuih akan pecah semasa digoreng,“ katanya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Wan Nah turut menitipkan pesan: “Selepas adunan doh digoreng, jemur seketika pada suhu bilik dan keesokan harinya barulah digaul dengan gula halus. Hasil kuih akan jadi lebih gebu.“
PROFIL
- Nama: Wan Nah Shaari
- Umur: 65 tahun
- Asal: Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis
- Facebook: Naimah Noordin
RESIPI KUIH LEMPIANG
Bahan-bahan
- 5 cawan tepung pulut
- 12 biji telur ayam gred A
- 1 sudu besar soda bikarbonat
- Gula halus
- Minyak masak
Cara penyediaan:
- Gaul kesemua bahan sehingga menjadi doh yang lembut.
- Kemudian, ambil sedikit doh dan bentukkannya.
- Seterusnya, panaskan minyak dan goreng kuih lempiang selama 3 hingga 5 minit.
- Seusai siap digoreng, angkat dan jemurkan kuih lempiang seketika (pada suhu bilik).
- Gaul bersama gula halus sehingga gebu (proses ini dilakukan sebanyak tiga kali iaitu setiap satu jam sekali).
- Kuih lempiang siap untuk dihidangkan bersama kopi O panas.
Sumber: Wan Nah Shaari
ANEKDOT
RESIPI KUIH SERABAI KUAH MANIS
Bahan-bahan kuih
- 2 cawan tepung beras
- 1/2 cawan nasi
- 2 cawan santan cair
- 1/2 cawan air suam
- 1 sudu kecil yis
- 2 sudu besar gula
- Sedikit garam
Bahan-bahan kuah
- 2 cawan santan pekat
- 1/2 cawan air
- 1 sudu besar tepung jagung
- 2 helai daun pandan
- 1 biji telur
- Sedikit garam
- 3 sudu besar gula
- 2 keping gula melaka atau nisan
Cara penyediaan kuih:
- Campurkan air suam bersama yis dan biarkan 5 minit.
- Kemudian, kisar nasi dengan air, garam, gula dan santan cair.
- Selepas itu, campurkan tepung beras bersama nasi yang dikisar lalu dikacau sebati.
- Masukkan pula yis. Kacau sebati dan peram dalam 1 atau 2 jam.
- Akhir sekali, bakar seperti biasa menggunakan acuan khas selama 10 hingga 15 minit.
- Kuih serabai siap untuk disajikan bersama kuah manis.
Sumber: Facebook Hasrieza Nur.
Speak Your Mind