Awas! Ini 4 Tanda Ibu Bapa Perlu Pantau Anak-Anak Membesar

TUMBESARAN bayi dan kanak-kanak merupakan aspek paling signifikan yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa.

Jika anda memikirkan tidak perlu memantau tahap pertumbuhan bayi pada bulan pertama kelahiransi comel itu, pandangan tersebut silap sama sekali.

Pakar Perunding Neonatologis, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Hasmawati Hassan berkata, secara asasnya, terdapat empat aspek utama yang perlu diberi tumpuan oleh penjaga bagi memantau perubahan anak-anak mereka dari semasa ke semasa.

Dr Hasmawati.

“Walaupun setiap kanak-kanak akan memaparkan pelbagai peringkat perkembangan pada usia yang berlainan, terdapat beberapa tanda amaran awal yang ibu bapa perlu awasi dan sedari,“ katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Berikut adalah perinciannya:

i) Motor kasar

Matlamat utama: Memastikan agar kanak-kanak itu mampu berjalan yang bermula dengan kawalan kepala.

Pada usia enam bulan, mereka harus mampu untuk duduk tanpa sokongan buat sementara waktu.

Selain itu, mereka juga boleh menarik sesuatu untuk berdiri pada usia sembilan hingga 10 bulan dan mampu untuk berjalan pada usia 12 hingga 14 bulan.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Gagal mencapai kawalan kepala atau memusing kepala pada usia empat hingga enam minggu.
  • Gagal bergolek menjelang usia lima bulan.
  • Gagal duduk menjelang usia lapan bulan.
  • Gagal berdiri dengan sokongan menjelang usia 10 bulan.
  • Gagal berjalan menjelang usia 15 bulan.

ii) Motor halus

Matlamat utama: Pembangunan memegang atau menggunakan dua jari.

Tangan seorang bayi baru lahir akan kekal tergenggam sehingga bulan ketiga dan mereka harus mencapai kemajuan secara berterusan dengan beralih kepada genggaman dua jari pada usia sembilan hingga 12 bulan.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Genggaman erat tangan selepas tiga bulan.
  • Abduksi (ibu jari menjauhi jari telunjuk) dan fleksi ibu jari yang berterusan selepas tiga bulan.
  • Tidak cuba untuk mencapai objek selepas lima bulan.
  • Sebaran jari yang berterusan semasa percubaan untuk mengambil objek selepas lima bulan.
  • Genggaman tapak tangan yang berterusan selepas sembilan bulan.
  • Kegagalan untuk memegang menggunakan dua jari dengan baik selepas setahun.

iii) Kelakuan dan pembangunan sosial

Matlamat utama: Penilaian kebolehan bayi itu untuk berinteraksi dan bertindak balas kepada persekitaran.

Ia merangkumi paparan kegelisahan mereka terhadap orang yang tidak dikenali pada usia tujuh bulan hingga mampu meminum menggunakan cawan pada usia 12 bulan.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Pada usia enam hingga sembilan bulan, si kecil amat senyap, tidak tersenyum atau ketawa.
  • Kanak-kanak tidak respons kepada nama mereka.
  • Tidak ada kegelisahan terhadap orang yang tidak dikenali.
  • Pada usia sembilan hingga 12 bulan, mereka masih mempunyai kegelisahan terhadap orang yang tidak dikenali dan tidak faham untuk melambai selamat tinggal.

iv) Pertuturan dan pendengaran

Matlamat utama: Memastikan agar kanak-kanak itu boleh bercakap, bermula dengan bisikan lembut, memberi respons kepada bunyi dan kebolehan untuk mengeluarkan kata-kata mudah secara lisan seperti ‘mama‘ atau ‘dada‘.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Tiada senyuman pada usia tiga bulan.
  • Tidak ada percubaan untuk ketawa pada usia enam bulan.
  • Tidak memberi respons kepada nama mereka pada usia enam hingga sembilan bulan atau masih senyap pada usia sembilan hingga 12 bulan.

PemantauanDalam pada itu, Pakar Perunding Paediatrik dari pusat perubatan yang sama, Dr Melanie Majaham berkata, ibu bapa memang sangat disarankan mengunjungi pakar pediatrik secara berkala bergantung kepada umur bayi atau jika mereka menghadapi sebarang masalah perubatan utama.

Dr Melanie.

“Pada setiap lawatan, perkembangan bayi akan dipantau dan sebarang isu berkaitan akan dikesan. Misalnya, jika berlaku  peningkatan berat badan yang lemah atau masalah kegemukan.

“Doktor-doktor juga turut akan membincangkan butiran seperti frekuensi penyusuan, pelan penyusuan dan penanda jarak utama yang perlu dicapai bersama dengan ibu bapa,“ katanya.

Oleh yang demikian, jelas Dr  Melanie, janji temu tipikal biasanya akan disekalikan dengan jadual vaksin, tetapi lawatan akan menjadi lebih kerap jika ia melibatkan sebarang masalah perubatan atau memerlukan ujian-ujian lain seperti ujian darah atau air kencing.

Selaras dengan kemajuan teknologi yang dicapai, pakar itu berkata, terdapat pelbagai jenis saringan, ujian dan rawatan boleh dilakukan dengan lebih efektif.

Antaranya Ujian Saringan Pembangunan Denver yang digunakan sebagai satu rujukan untuk memantau peringkat perkembangan dan juga skor M-CHAT (Senarai Pemeriksaan Diubahsuai untuk Autisme Kanak-Kanak) untuk mengesan tanda-tanda awal gangguan spektrum autisme.

Ujar Dr Melanie lagi, seorang kanak-kanak sepatutnya diberi penilaian lanjut oleh sekumpulan pakar bagi memastikan golongan itu sihat sejak dari peringkat kecil lagi.

“Selain pakar psikologi, kanak-kanak juga perlu dirujuk kepada pakar pediatrik pembangunan, pakar terapi pekerjaan, pakar terapi fisioterapi dan pakar terapi pemakanan dan pertuturan supaya kanak-kanak itu boleh mendapat manfaat dan dapat mencapai potensi penuh mereka,“ ujar beliau.

Speak Your Mind

*