SEKIRANYA seseorang itu sering berasa diri berpusing-pusing sehingga kehilangan keseimbangan, berhati-hati dengan simptom itu kerana ia mungkin petanda diri diserang simptom vertigo.
Vertigo tidak boleh diabaikan dan dipandang ringan. Ini kerana jika ia kerap berlaku dan berulang-ulang secara tiba-tiba, ia sangat merbahaya kepada kesihatan diri.
Mengulas lebih lanjut mengenainya, SinarPlus mewawancara Doktor Perubatan Swasta, Klinik Hijraa Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu, Dr Ahmad Samhan Awang.
Dr Ahmad Samhan menjelaskan, vertigo adalah suatu keadaan yang mana pesakit merasakan pandangan di sekelilingnya berpusing-pusing dan merasakan dirinya turut berpusing sedangkan beliau tidak bergerak sama sekali.
“Vertigo tidak seperti pening biasa kerana simptomnya hanya kepala pesakit menjadi ringan, gelap dan kemudian pengsan. Sebaliknya, simptom vertigo adalah seperti loya, muntah, sakit kepala dan rasa tidak stabil ketika berjalan.
“Lebih teruk mereka yang mempunyai simptom vertigo akan merasakan kepala digerak atau dipusingkan dan jalan tidak seimbang,” beritahunya kepada SinarPlus baru-baru ini.
Menurut Dr Ahmad Samhan, terdapat dua kategori masalah vertigo iaitu:
i) Vertigo periferi
- Berlaku disebabkan oleh masalah pada bahagian dalam telinga dan saraf yang menghantar maklumat ke otak.
- Perubahan posisi kepala secara mendadak menyebabkan bahagian dalam telinga tidak berfungsi secara normal.
- Masalah pada bahagian dalam telinga yang memberi kesan kepada pendengaran dan keseimbangan.
- Keradangan di kawasan dalam telinga yang menyebabkan masalah itu.
- Pertumbuhan tulang yang tidak normal dalam telinga.ii)
ii) Vertigo berpusat
- Masalah pada bahagian otak terutamanya bahagian otak kecil (cerebellum) yang mengawal keseimbangan badan.
Ujar Dr Ahmad Samhan, fenomena vertigo akan meningkat dengan peningkatan umur. Wanita lebih mudah diserang masalah itu iaitu kira-kira dua hingga tiga kali lebih berbanding lelaki.
“Ia melibatkan 2.5 peratus daripada penduduk umum yang mana satu daripada lima orang dewasa akan terlibat. Pada masa sama, vertigo juga merupakan gejala biasa bagi mereka yang berumur melebihi 65 tahun,” jelasnya lagi.
Di Amerika Syarikat misalnya, satu kajian yang dibuat oleh Universiti Carlifonia San Francisco mendapati, hampir 40 peratus orang dewasa di Amerika Syarikat akan merasai vertigo sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka.
Apa penyebab kepada masalah itu? Ujar Dr Ahmad Samhan ia melibatkan situasi pesakit yang pernah mengalami kecederaan pada kepala, mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit vertigo, penggunaan ubat-ubatan tertentu dalam jangsa masa panjang dan mereka yang menghidap diabetes.
“Bukan itu sahaja, mereka yang sering mengalami tekanan dan mempunyai masalah jangkitan dalam telinga juga berisiko tinggi diserang vertigo,” katanya.
Adakah vertigo diklasifikasikan sebagai penyakit kronik? Jawapannya, ya.
“Vertigo boleh dikatakan penyakit kronik jika berpunca daripada kategori vertigo berpusat yang mana terkesan dengan kondisi migrain, sklerosis berganda, neuroma akustik, tumor otak dan stok,” tambah beliau.
Bahaya
Mengulas lanjut, pegawai perubatan itu berkata, masyarakat pada hari ini tidak sedar bahawa sakit kepala yang dialami sehingga rasa berpusing dan hilang keseimbangan badan merupakan gejala vertigo.
“Lebih membimbangkan, ramai merasakan situasi itu sebagai remeh sama ada ia hanya berlaku sekali atau merasakan terdapatnya sebab-sebab tertentu sehingga mereka berasa berpusing, loya dan hilang keseimbangan.
“Penting untuk diketahui bahawa, jika keadaan itu dibiarkan, ia boleh membahayakan kesihatan dan diagnosis perlu dilakukan bagi mengenali punca, bahaya dan cara mengubatinya,” katanya sambil memberitahu vertigo akan hilang dan boleh kembali dalam beberapa minit, jam atau beberapa hari.
Justeru, Dr Ahmad Samhan menyarankan, agar mereka yang mempunyai simptom yang dinyatakan segera mendapatkan rawatan lanjut di hospital lebih-lebih lagi jika mula menunjukkan perilaku kesukaran untuk bercakap, anggota tubuh badan lemah secara tiba-tiba, penglihatan kabur, pergerakan mata tidak normal, kesukaran berjalan atau demam.
“Vertigo tidak diboleh dianggap penyakit biasa tanpa sebarang rawatan kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
“Antara kesannya adalah berlaku gangguan pendengaran sehingga dalam sesetengah kes, pesakit akan kehilangan deria pendengaran.
“Selain itu, serangan vertigo selama beberapa hari sehingga pesakit tidak mampu bergerak dan tiada koordinasi pada salah satu bahagian tubuh adalah petanda pesakit diserang penyakit angin ahmar atau masalah berkaitan otak,” kata Dr Ahmad Samhan.
Mengenai rawatan, ia bergantung kepada penyebabnya, tetapi kebanyakan masalah boleh sembuh dengan sendirinya tanpa memerlukan ubat.
Pesakit yang mengalami vertigo periferi boleh mencuba ubat jenis perencat vestibular seperti berikut:
i) Antihistamine: Promethazine (phenergan) dan betahistine(betaserc).
ii) Benzodiazepines: Diazepam dan lorezepam.
iii) Antiemetics: Prochloperazine(stematil) dan metoclopramide.
“Sebaliknya, jika ia disebabkan vertigo sentral, rawatannya adalah bergantung kepada penyebab masalah tersebut,” kata Dr Ahmad Samhan.
ANEKDOT
BERIKUT makanan dan minuman yang perlu dielak bagi mengelak simptom vertigo:
- Makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula yang terlalu tinggi.
- Pengambilan makanan yang mengandungi banyak garam.
- Minuman berkafein.
- Hadkan pengambilan alkohol kerana boleh mempengaruhi komposisi cecair di telinga dalam.
- Bagi orang yang mempunyai vertigo yang berkaitan dengan migrain, elakkan makanan yang boleh mencetuskan simptom itu seperti anggur merah, hati ayam, daging, yogurt, keju, dan susu.
- Elakkan tabiat merokok.
Sumber: vestibular.org
KAEDAH terbaik kawal diri ketika diserang vertigo:
- Berehat secukupnya.
- Melakukan senaman dan regangan ringan.
- Tidur dengan kepala sedikit terangkat atau tinggi.
- Jangan terus bangun daripada tidur. Sebaliknya, duduk beberapa minit sebelum berdiri.
- Elakkan diri daripada membongkok dan mendongak.
- Melakukan fisioterapi untuk mengatasi gangguan keseimbangan.
Sumber: Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang.
Speak Your Mind