TIDAK keterlaluan untuk dikatakan, nafsu makan sesetengah orang akan lebih menjadi-jadi pada bulan Ramadan.
Ia tidak hanya merujuk kepada orang dewasa, waima kepada kanak-kanak pun.
Meskipun, dari sudut agama, bulan puasa adalah tempoh terbaik seseorang mengawal pengambilan makanan sekali gus ‘merehatkan’ usus, nampaknya hal itu tidak dianggap signifikan langsung.
Itu sebab terlalu banyak omelan daripada sesetengah pihak yang menyatakan rasa tidak puas hati tentang berat badan mereka naik mendadak meskipun 30 hari berpuasa. Tidak kurang juga yang kembali sakit.
Jadi, di manakah silapnya?
Dari hasil pembacaan SinarPlus, masalah itu sebenarnya berlaku disebabkan oleh pola pemakanan yang tidak betul ketika berbuka puasa. Jika kita mengandaikan boleh menikmati segala jenis makanan terutama makanan segera selepas lebih 12 jam berpuasa, perspektif itu tidak tepat sama sekali.
Bagi mengukuhkan lagi pandangan itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Dietetik, Klinik Kesihatan Hiliran, Kuala Terengganu, Amirulfarhan Abdul Raki.
Amirulfarhan ketika dihubungi berkata, makanan segera merujuk kepada hidangan yang tidak memerlukan masa yang lama untuk disajikan.
“Dalam erti kata mudah, ia cepat dan ringkas untuk disediakan. Antaranya seperti makanan sejuk beku, mi segera dan makanan yang diproses termasuklah makanan yang telah ditinkan,” katanya.
Pilihan tidak bijak
Menjelaskan lebih lanjut, Amirulfarhan berkata, terdapat tiga komponen penting yang terkandung dalam makanan segera yang berfungsi menyedapkan lagi sesuatu juadah:
i) Garam: Bagi memastikan makanan segera tahan lama, kandungan garam yang tinggi digunakan. Oleh yang demikian, jangka hayat kepada makanan jenis itu mampu disimpan dalam tempoh masa yang panjang.
ii) Lemak: Selain garam, lemak yang terdapat dalam makanan segera juga tinggi bagi membangkitkan lagi rasanya. Organ lidah sangat memainkan peranan penting kepada komponen lemak yang mempunyai tekstur yang lembut itu.
iii) Bahan perasa: Makanan segera juga ‘dihujani’ dengan aneka bahan-bahan tambahan lain seperti sos, kiub ayam, mayonis dan sebagainya.
Kepada SinarPlus, pakar itu berkata, secara matematiknya, bukanlah seseorang tidak boleh langsung menyentuh makanan segera.
“Boleh…tetapi dalam sebulan hanya satu atau dua kali sahaja. Namun, sebaik-baiknya tidak mengambilnya langsung,” tegasnya.
Hal itu lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang bakal menjengah sehari sahaja lagi, konsumsi makanan segera adalah satu pilihan yang tidak bijak.
“Ia memang perlu dielakkan kerana makanan segera adalah juadah yang tidak seimbang terutamanya dari segi kuantiti serat. Kena ingat, ketika berpuasa, badan kita akan kehilangan banyak air dan terhidrasi.
“Jika makanan segera diambil, ia akan memberi respons kepada otak dan perut agar memberi reaksi cepat lapar kerana hidangan itu mempunyai kandungan lemak yang berlebihan,” tuturnya.
Cetus banyak penyakit
Ujar Amirulfarhan lagi, tidak kira sama ada pada bulan puasa atau hari-hari lain, makanan serupa berupa burger, kentang goreng, sambal ikan bilis dalam tin, spageti segera malah daging cincang boleh mencetus masalah obesiti.
Misalnya, sebiji burger ayam mengandungi 381kcal kalori iaitu 46 peratus lemak, 41 peratus karbohidrat dan 13 peratus protein. Sebiji burger ayam dengan keju pula mengandungi 300kcal kalori (36 peratus lemak, 44 peratus karbohidrat dan 20 peratus protein).
“Berdasarkan kalkulasi itu, seseorang boleh obes jika jumlah kalori dan lemak yang dibakar tidak setimpal dengan jumlah kalori dan lemak yang diambil.
“1 gram lemak sahaja sudah menghasilkan sembilan kalori, manakala dengan kuantiti yang sama (karbohidrat dan protein) pula hanya empat kalori sahaja” jelasnya.
Tidak terhenti setakat di situ sahaja, jika tidak bernasib baik, seseorang juga berpotensi mendapat penyakit jantung kerana salur darah telah tersumbat akibat daripada lemak yang tidak dibakar sepenuhnya.
Berdasarkan penjelasan itu, mudah untuk dirumuskan bahawa makanan segera hanya lebih membawa mudarat kepada kesihatan, kata beliau.
“Jadi, orang ramai seharusnya bijak dalam memilih hidangan yang dimakan semasa berbuka puasa. Jangan hanya fikirkan mahu makan sedap sahaja, namun natijahnya lebih parah. Jangan sesekali mengabaikan kandungan zat dan nutrisi dalam makanan,” pesannya.
Pegawai Perubatan, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Afiq Ahmad Anuar turut menegaskan hal yang sama.
Malah katanya, seseorang berupaya memperoleh penyakit kronik lain seperti kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi.
Ketika diwawancara, Dr Muhammad Afiq lebih menekankan tentang aspek pengambilan gula. Kegemaran orang ramai terhadap minuman berkarbonat kata beliau, perlu ditegah segera.
“Paras gula yang berlebihan dalam darah akan menyebabkan berlakunya rintangan insulin hingga boleh menggagalkan insulin untuk berfungsi dengan baik.
“Sebenarnya, fungsi organ dalaman tidaklah terlalu terganggu akibat daripada pengambilan makanan segera, tetapi risiko akan bertambah untuk mereka yang berpenyakit.
“Pesakit jantung misalnya, jika mereka berlebihan makan makanan proses dan berlemak, boleh mendorong kepada arterosclerosis (plak terbentuk di dalam arteri),” jelas beliau.
Saranan
Justeru, apakah amalan pemakanan sihat yang boleh dipraktikkan semasa bulan puasa.
Berikut SinarPlus kongsikan cadangan yang disyorkan oleh portal kesihatan berwibawa, http://www.myhealth.gov.my.
- i) Sahur
- Amalan bersahur amat penting untuk membantu menambahkan tenaga ketika seharian berpuasa. Waktu bersahur yang digalakkan adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak.
- Kita digalakkan mengambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut mil penuh dan oat. Semua makanan tersebut memerlukan masa yang lama untuk dicerna (lapan jam untuk dicernakan sepenuhnya) dan mengurangkan rasa lapar.
- Di samping itu, konsumsi makanan berprotein kerana struktur protein yang lebih kompleks akan melambatkan lagi proses pencernaan. Pilihlah protein yang rendah Biological Value (BV) kerana semakin rendah nilai BV, maka lebih lambat protein itu diguna pakai oleh badan. Antaranya seperti kekacang, soya, ayam, protein susu, daging dan ikan.
- Pengambilan buah-buahan dan air juga perlu mencukupi sewaktu sahur. Elakkan pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi yang boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.
ii) Berbuka puasa
- Semasa berbuka puasa, kita digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu. Ini adalah untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman kita.
- Mulakan dahulu dengan buah kurma kerana ia mengandungi fruktosa yang boleh memberi tenaga segera. Selain itu, buah kurma juga mengandungi enzim yang boleh membantu proses penghadaman.
- Pelbagaikan pengambilan jenis makanan seperti bihun sup, sepinggan mi, atau nasi bersama ikan/ayam dan sayur-sayuran serta buah-buahan. Selain itu, kita juga perlu mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup untuk mengelakkan dehidrasi.
- Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan.
iii. Moreh
- Mengambil snek ringkas seperti roti, biskut, sandwich atau kuih-muih dibenarkan tarawih, tetapi jangan keterlaluan.
- Elakkan mengambil juadah yang berat seperti nasi/mi goreng kerana pada waktu malam, kita tidak memerlukan tenaga yang banyak.
- Di samping kuantiti, kualiti makanan juga perlu dititik beratkan. Ini bagi memastikan tubuh kita menerima kembali tenaga yang telah digunakan sepanjang hari dan semua vitamin serta mineral yang diperlukan oleh tubuh.
ANEKDOT
CONTOH menu harian yang dicadangkan pada bulan Ramadan (untuk dewasa):
Sahur
- 1 – 1 ½ cawan nasi
- 1 ekor ikan goreng
- ½ cawan sup sayur campur dan tauhu
- 1 biji pisang atau 3 biji kurma
- 1 gelas air kosong
- 1 gelas susu rendah lemak
atau
- 1 cawan bijirin sarapan dengan ½ gelas susu rendah lemak dan kismis/ hirisan pisang
- 2 keping roti mil penuh dengan sedikit jem
- 1 gelas jus oren
- 1 gelas air kosong
Berbuka
- 3 biji buah kurma
- ½ cawan jus buah-buahan
- 1 cawan sup sayur atau ½ cawan bubur lambuk
- 1 keping kuih
Makan malam
- 1 ½ cawan nasi
- 1 ekor ikan atau ayam panggang
- 1 cawan sup petola
- 1 biji epal merah
Moreh
- Snek ringkas seperti roti, sandwich, kuih-muih, kekacang rebus atau buah-buahan.
Sumber: http://www.myhealth.gov.my.
Ibu menyesal ‘umpan’ anak makanan segera jika berjaya puasa
BAGI memberi semangat dan dorongan kepada anaknya berpuasa, Norizan Abdul Samad, 32, berkata, beliau mengambil pendekatan ‘mengumpan’ anaknya dengan ‘hadiah istimewa’.
“Apa yang saya lakukan adalah menuruti kehendaknya menikmati set makanan segera berupa burger, kentang goreng dan minuman berkarbonat jika dia dapat melengkapkan puasanya setiap hari.
“Niatnya hanyalah satu ganjaran kepada usahanya, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya,” katanya dihubungi SinarPlus baru-baru ini.
Ujar wanita itu lagi, anak bongsunya, Aina Umar Khusli juga sejak dari dulu lagi juga sebenarnya memang menggemari makanan segera.
Natijahnya, si kecil yang berusia tujuh tahun itu kini mempunyai berat badan mencecah 40 kilogram (kg). Pada bulan puasa, beratnya makin mencanak naik.
Angka itu sebenarnya telah melebihi berat ideal seorang kanak-kanak (berusia enam hingga sembilan tahun) iaitu 23 hingga 29kg.
“Ya, benar dia sudah dalam kategori obesiti,” katanya yang meluahkan kekesalan.
Menyambung bicara, Noriza memberitahu SinarPlus, pada bulan puasa juga, nafsu makan Aina lazimnya memang membuak-buak.
“Jika pada hari biasa, dia hanya pesan satu set makanan segera, namun pada bulan Ramadan, dia akan meminta ekstra lagi. Antaranya seperti nuget,” katanya yang sangat risau dengan perkembangan tidak sihat anaknya ditambah kanak-kanak itu memiliki penyakit asma.
“Nampaknya, pada Ramadan kali ini, saya kena lebih berwaspada dan kena betul-betul menjaga pola pemakanan Aina. Tiada lagi ganjaran berupa set makanan ringan atau segera lagi selepas ini,” katanya.
Kepada ibu bapa di luar sana, pesan Norizan, jangan jadi sepertinya yang terlalu memberi muka kepada anak sendiri.
“Dalam sesetengah hal boleh kita manjakan mereka, namun bab pemakanan, kita kena lebih tegas demi memastikan kesihatannya lebih terjamin kini dan pada masa akan datang,” katanya.
Speak Your Mind