Fikir Dahulu Sebelum Muat Naik Foto Anak, Ini 4 Kesannya

KADANGKALA keterujaan ibu bapa memuat naik gambar si comel di platform media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter malah melalui aplikasi Whatsapp boleh mengundang padah.

Tidak salah untuk berkongsi kegembiraan atau memberitahu dunia tentang perkembangan anak-anak masing-masing, namun jangan keterlaluan!

Mengakui pandangan SinarPlus itu ada kebenarannya, Pakar (Pelawat) Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Dr Nor Rahidah Abd Rahim menasihatkan agar ibu bapa perlu berhati-hati.

“Jangan sewenang-wenangnya berkongsi gambar-gambar anak kecil dalam mana-mana platform pun terutama dalam media sosial,” katanya.

Sebelum meneruskan rentetan artikel, SinarPlus ingin mengajak pembaca mengimbau tentang satu kes yang berlaku pada tahun 2015 yang melibatkan penuntut Malaysia yang dipenjara lima tahun oleh Southwark Crown Court, United Kingdom.

Pelajar yang ketika itu berusia 23 tahun telah ditangkap dan kemudian mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki, menghasilkan dan mengedar 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di bawah umur.

Lebih mengejutkan, sebanyak 601 keping daripada jumlah itu adalah imej dan video kategori A iaitu kategori yang membabitkan foto dan video memaparkan aktiviti persetubuhan dengan kanak-kanak.

Mengambil pengajaran daripada kisah tersebut, Dr Nor Rahidah berkata, budaya memuat naik foto anak-anak dalam pelbagai ragam dan aksi perlu difikirkan semula.

“Mereka kena cakna dengan kesan-kesannya, jika ibu bapa tidak peka, ia boleh mengganggu perkembangan emosi, fizikal dan mental anak mereka itu nanti,” katanya.

Dr Nor Rahidah.

Berikut antara implikasi yang bakal berlaku sekiranya penjaga berkongsi gambar si kecil secara meluas tanpa pertimbangan yang wajar:

i) Privasi terganggu.

Sebelum memuat naik sebarang gambar anak di platform media sosial, pastikan ibu bapa berbincang atau mendapatkan kebenaran daripada anak terlebih dahulu sama ada mereka suka atau tidak gambar tersebut.

Jika mereka masih terlalu kecil, fikirkan sejenak akan perasaan mereka sekiranya melihat gambar itu dalam beberapa tahun akan datang.

Pada pandangan ibu bapa, gambar yang ingin dikongsi kelihatan comel, namun mungkin tidak pada mereka dan ia mungkin akan mendatangkan aib apabila mereka dewasa kelak.

Oleh itu, hormati keputusan dan pertimbangkan keizinan anak-anak.

ii) Sukar dikawal dan dilupuskan

Perlu diketahui bahawa gambar atau video yang telah direkod lalu dimuat naik menerusi media sosial bersifat tahan lama.

Sebagai contoh, paparan gambar yang tidak sepatutnya yang sudah tersebar, pastinya sangat sukar untuk dipadam secara keseluruhannya.

Apatah lagi, mustahil untuk melupus atau menghilangkan gambar-gambar tersebut daripada tatapan khalayak ramai secara langsung.

iii) Gambar disalah guna.

Terdapat risiko penyalahgunaan gambar terutamanya foto yang memalukan anak kecil tersebut.

Ia boleh dianggap sebagai perlakuan buli yang pastinya akan memberi impak negatif kepada emosi si anak.

Lebih parah, keadaan tersebut akan memberi kesan kepada tahap kesihatan mereka. Tidak mustahil mereka akan mengalami masalah kemurungan dan keresahan.

iv) Identiti dicuri.

Secara amnya, apabila ibu bapa membuat keputusan untuk berkongsi gambar anak, ia seakan-akan menjadi ‘avatar‘ kepada perkara-perkara di luar jangkaan sehingga ada yang tidak masuk akal.

Misalnya, gambar-gambar berkenaan akan menjadi ‘perhatian‘ golongan-golongan yang berfikiran songsang seperti pedofilia dan pornografi. Pastinya, mereka akan ‘memanfaatkan‘ sepenuhnya peluang tersebut.

Oleh itu, kepada ibu bapa di luar sana, Dr Nor Rahidah berpesan agar sentiasa mengawal diri daripada memuat naik gambar anak-anak yang dirasakan mampu mendatangan ‘ancaman‘ kepada mereka.

“Sebenarnya, pilihan berada di tangan ibu bapa sendiri. Fikir-fikirkanlah, ibu bapa mana yang tak mahu orang memuji anaknya comel, cantik dan cerdik. Pada masa sama, ibu bapa juga tak mahu dan tak boleh tidur malam jika dapat tahu gambar anak menjadi bahan hiburan golongan tidak bertanggungjawab.

“Sebagai ‘pencipta kandungan‘ ibu bapa perlu bijak dan menilai setiap keping potret yang ingin dikongsikan di media sosial kerana impaknya akan dapat dilihat dalam jangka masa panjang,” pesannya.

TIGA situasi gambar anak kecil yang tidak sesuai dikongsi ibu bapa dalam media sosial:

1. Gambar yang menampakkan anak individu lain.

Sekiranya ibu bapa hendak memuat naik gambar anak yang turut menampakkan anak individu lain, berhubung terlebih dahulu dengan ibu bapa mereka. Walaupun bagi penjaga gambar tersebut tidak mempunyai apa-apa masalah, pandangan ibu bapa lain kadangkala berbeza.

2. Gambar anak kecil sedang mandi atau tidur.

Gambar ketika anak sedang mandi tidak sepatutnya dimuat naik. Ini kerana ketika sedang mandi ata tidur, mereka mungkin akan berada dalam keadaan bogel atau separuh bogel.

3. Gambar lokasi si manja selalu berada.

Jangan sesekali mendedahkan lokasi yang sering mereka kunjungi sama ada di rumah, sekolah, taska, taman permainan atau lokasi lain anak kecil selalu berada.

Sumber: hellodoctor.com